Anda di halaman 1dari 6

MEMBINA KUALITI INSAN

www.iluvislam.com
akhie_naim
editor:azzahra_solehah

Soal pembinaan kualiti insan merupakan satu perkara yang terpenting dalam
kehidupan manusia. Tanpa pembinaan kualiti insan, sudah tentu tidak akan
wujud kelangsungan kehidupan masyarakat yang bertamadun. Oleh sebab
itulah, maka pada hari ini kita menyaksikan program-program pembangunan
insan menjadi antara program wajib di segenap peringkat, daripada sekolah
sehinggalah ke sektor swasta dan awam.

Kesedaran akan pentingnya proses pembinaan kualiti insan juga telah


mendorong banyak pihak untuk menjalankan program-program latihan dan
pendidikan ke arah membina kualiti insan. Namun, seringkali latihan-latihan
serta program yang dijalankan lebih bersifat ‘superficial’ sehingga program
tersebut tidak mampu untuk membina kualiti insan dengan sebenar-
benarnya.

Salah satu faktornya adalah kegagalan untuk memahami hakikat manusia


itu sendiri serta hakikat kewujudan. Rasanya perlu untuk ditekankan di sini
bahawa apabila disebut ‘membina kualiti insan’, maka hal tersebut juga
bermaksud melaksanakan usaha dakwah. Hal ini demikian kerana proses
asas dalam berdakwah adalah proses membaiki individu; yakni dimulakan
dengan diri sendiri, kemudian dengan ahli keluarga terdekat serta orang di
sekeliling.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Ar-Ra’d ayat:

“...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum


mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri...”.

Sepertimana yang dikupas oleh Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi di


dalam tafsirnya, ayat tersebut menjelaskan bahawa permasalahan yang
berlaku di dalam masyarakat serta di alam sekitar adalah disebabkan oleh
sikap manusia itu sendiri. Justeru, sudah tentu untuk membaiki keadaan,
yang perlu dibaiki terlebih dahulu adalah manusia-manusia itu sendiri.

Inilah metodologi yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah S.A.W;


baginda membina kualiti dalam diri setiap individu sehingga generasi para
sahabat itu diiktiraf oleh Allah S.W.T sebagai generasi umat yang terbaik
(khayra ummah). Sekarang, adalah penting untuk difahami terlebih dahulu
hakikat manusia itu supaya pendekatan yang betul dalam aktiviti mahupun
program latihan dapat dibuat dengan sebaik-baiknya.

Contoh yang terbaik telahpun ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W,


dengan berpandukan kepada panduan yang terbaik yakni Al-Qur’an. Cuma
mungkin disebabkan kurangnya kefahaman, maka ramai yang gagal melihat
contoh-contoh yang sebenarnya telah ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W
untuk diikuti oleh umat Islam pada hari ini. Untuk memahami hakikat
manusia itu, maka sudah tentu kita perlu merujuk kepada Yang Maha
Mengetahui, yakni S.W.T.

Allah adalah Pencipta segala sesuatu, Dia-lah yang mencipta manusia. Maka,
sudah tentu apa sahaja yang diberitakan kepada kita oleh Allah melalui Al-
Qur’an adalah yang paling tepat dan paling benar, serta tidak ada yang lebih
benar daripadanya.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Hijr ayat 28-29, maksudnya:

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sungguh


Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering dari lumpur
hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan
(kejadian)nya, dan Aku telah meniupkan roh (ciptaan)-Ku ke dalamnya,
maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.’”

Manusia terdiri daripada dua entiti yakni entiti fizikal dan spiritual.
Sepertimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Qur’an, manusia itu
diciptakan daripada tanah liat yang hina, kemudian barulah ditiupkan roh ke
dalamnya. Manusia bukan semata-mata makhluk fizikal, tetapi manusia juga
adalah makhluk spiritual. Apabila hakikat ini gagal difahami, maka apa yang
berlaku adalah proses latihan dan pembangunan insan akan hanya tertumpu
ke arah memuaskan kehendak fizikal manusia semata-mata. Sedangkan di
antara entiti fizikal dan spiritual, yang lebih penting serta lebih mencirikan
seseorang manusia itu adalah elemen spiritualnya.

Ayat dalam Surah Al-Hijr di atas menjadi dalil yang cukup jelas. Manusia itu
diciptakan daripada tanah liat yang hina. Namun, manusia itu menjadi mulia
dengan sebab roh yang ditiupkan oleh Allah ke dalam tubuh manusia itu,
lantas diperintahkan kepada para malaikat untuk sujud sebagai tanda
hormat kepada manusia. Perhatikan, bahawa para malaikat tidak diarahkan
untuk sujud kepada tubuh manusia yang terbina daripada tanah liat itu,
tetapi para malaikat hanya diarahkan untuk sujud setelah roh yang mulia
ditiupkan ke dalam tubuh badan manusia itu.
Oleh sebab itu jugalah, kita boleh saksikan dengan jelasnya pada hari ini
bahawa tubuh fizikal manusia itu ada yang baik, dan ada yang tidak baik.
Ada yang elok, ada yang cacat. Sedangkan Allah itu Maha Adil. Hal ini sudah
tentu membayangkan kepada kita bahawa keadaan fizikal itu tidak penting.
Seandainya fizikal manusia itu penting, sudah tentu Allah menciptakan
semua manusia itu dalam keadaan fizikal yang sama, ataupun setidak-
tidaknya memberikan pilihan kepada setiap manusia itu untuk menentukan
keadaan fizikalnya sendiri.

Begitu juga kalau kita fikirkan, bahawa apabila manusia itu meninggal dunia,
keadaan mayat itu ada pelbagai. Ada yang boleh disemadikan dengan baik.
Namun, ada juga mayat yang mungkin sudah hancur dek kerana mati dalam
kebakaran. Mungkin ada juga mayat yang dibakar sehingga menjadi abu,
menurut kefahaman dan kepercayaan sesetengah agama. Mungkin ada juga
mayat yang hancur ketika dalam kemalangan. Nah, kalau difikirkan,
bagaimanakah proses soal jawab malaikat di dalam kubur itu boleh berlaku
seandainya mayat telah dibakar menjadi abu dan tidak ditanam langsung di
dalam tanah? Sudah tentu, hal ini menunjukkan bahawa setelah meninggal
dunia, elemen fizikal itu langsung tidak penting.

Sebaliknya, yang akan dihadapkan untuk dinilai dan dihisab di hadapan


pengadilan Allah adalah elemen spiritual manusia. Hakikat tentang elemen
spiritual manusia ini sememangnya tidak mampu untuk diketahui dengan
sepenuhnya.

Firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 85, maksudnya:

“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, ‘


Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan
hanya sedikit."

Walau bagaimanapun, Al-Qur’an dan Al-Hadith telah memberikan manusia


dengan panduan dan pengetahuan yang memadai untuk manusia
menguruskan dirinya dengan baik serta memenuhi maksud dan tujuan
penciptaannya. Di dalam Al-Qur’an, elemen spiritual manusia ini disebut
dengan beberapa istilah penting, seperti al-qalb (hati), an-nafs (jiwa), ar-ruh
(roh) dan al-‘aql (intelek). Elemen-elemen spiritual itulah yang penting
untuk dibangunkan terlebih dahulu kualitinya.

Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi turut menyebut di dalam tafsirnya


bahawa segala tindak tanduk anggota tubuh manusia berpunca daripada
jiwa yang baik. Apabila jiwa manusia berkualiti, maka segala perilaku dan
tindakan manusia itu juga akan menjadi berkualiti. Namun, jika sebaliknya
jiwa manusia itu tidak berkualiti, maka sudah tentu tindakan serta
perilakunya juga turut menjadi tidak berkualiti.

Penerangan ini selari dengan apa yang telahpun dinyatakan oleh Rasululla.
Justeru, apa yang penting dalam proses membina kualiti insan adalah
membina kualiti spiritual seseorang insan itu. Nah, berdasarkan beberapa
ayat Al-Qur’an, termasuklah ayat yang telah dinyatakan di atas, kita
memahami bahawa roh manusia itu adalah suci dan mulia. Maka,
mengapakah perlu dilakukan pembinaan kualiti spiritual?

Jawapannya, kerana spiritual manusia itu telah dikotori dan dikurangi


kualitinya kerana sikap dan tindak tanduk manusia itu sendiri. Dalam salah
sebuah hadithnya Rasulullah ada menyebut bahawa setiap bayi yang lahir
itu adalah ibarat kain putih yang bersih; keadaan ini sudah tentu
menggambarkan keadaan spiritual setiap bayi yang berada dalam keadaan
fitrah. Keadaan fitrah spiritual setiap manusia itu adalah keadaan yang
berada dalam ketaatan serta pengabdian yang menyeluruh kepada
Pemiliknya, yakni Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-A’raaf ayat 172, maksudnya:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang)


anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian
terhadap roh mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’
Mereka menjawab, ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi.’...”.

Semua roh manusia ketika berada di alam roh dahulu telah bersaksi dan
mengakui bahawa Allah itu adalah Tuhan. Persaksian itu bermaksud tunduk
dan patuh kepada segala aturan, arahan dan ketetapan Allah. Walau
bagaimanapun, manusia itu pelupa. Dalam Al-Qur’an, manusia turut digelar
insaan. Istilah insaan dalam bahasa Arab berasal daripada kata akarnya
yakni nasiya yang bermaksud ‘lupa’. Apabila menjalani kehidupan di dunia,
manusia lupa akan perjanjiannya.

Namun, Allah yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang itu
mengutus di kalangan manusia para rasul beserta kitab-kitab untuk
mengingatkan manusia. Namun, harus difahami juga bahawa kehidupan di
dunia ini adalah satu ujian daripada Allah untuk para hamba-Nya. Maka,
manusia diberikan pilihan sama ada untuk mengikuti panduan dan membaiki
kualiti spiritualnya, atau untuk terus mengotori dan merosakkan kualiti
spiritualnya.

Firman Allah di dalam Surah As-Syams ayat 7-10, maksudnya:


“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan
kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang
yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang
mengotorinya.”

Jelas bagi kita, yang paling penting dalam membina kualiti insan adalah
membina kualiti spiritualnya terlebih dahulu. Pembinaan kualiti spiritual
sudah tentu adalah dengan cara mengembalikan jiwa itu kepada keadaan
fitrahnya yang sangat mulia itu. Hal ini bermaksud, mengembalikan jiwa
kepada pengabdian yang menyeluruh kepada Allah.

Untuk melaksanakan hal tersebut, antara pra-syarat terpenting adalah ilmu.


Ilmu yang dimaksudkan pula, sudah tentu adalah ilmu yang paling penting
yakni ilmu ‘aqidah. Pemahaman dan pegangan terhadap ‘aqidah yang benar
akan membolehkan seseorang itu melaksanakan ‘ibadah, yakni pengabdian
kepada Allah, dengan benar dan baik.

Oleh sebab itulah Imam Ghazali r.a. pernah menyatakan: “Tidak sah sesuatu
‘ibadah, melainkan setelah mengenali Yang Disembah (Tuhan).” Itulah yang
terpenting dalam melaksanakan program-program latihan. Yang harus
diutamakan adalah pembinaan jiwa, pengukuhan hubungan dengan Allah
sebelum pengukuhan hubungan dengan manusia dan alam.

Akhirnya, adalah penting untuk ditekankan bahawa pembinaan kualiti insan,


yang berpandukan kepada pandangan alam Islam yang benar, haruslah
dilaksanakan dengan meletakkan kehidupan di alam abadi sebagai
matlamat. Kehidupan di dunia ini hanyalah seketika, dan hanyalah
diciptakan semata-mata sebagai tempat persinggahan sementara untuk
manusia mencari sebanyak mungkin ruang dan peluang untuk mengabdikan
diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, seterusnya meningkatkan kualiti
spiritualnya untuk dihadapkan kepada-Nya kelak.

Pembinaan kualiti insan yang bertujuan untuk hal dunia ini semata-mata
pasti akan menimbulkan keadaan yang tidak harmonis kerana, sepertimana
yang telah disebut tadi, jiwa manusia yang fitrahnya adalah untuk
mengabdikan diri semata-mata kepada Allah pasti akan memberontak.
Pembinaan kualiti insan yang memfokus kepada elemen fizikal semata-mata
pasti sia-sia; kerana sepertimana yang telah disebutkan juga, elemen fizikal
manusia bukanlah yang terpenting.

Firman Allah dalam Surah As-Syu’ara ayat 88-89, maksudnya:

“(yakni) pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali
orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”

Maaf di atas segala kekurangan di dalam penulisan yang serba lemah ini.
Sesungguhnya, Allah jua yang Maha Mengetahui.

Rujukan: * Al-Qur’an dan terjemahannya. * Syeikh Muhammad Mutawalli


Sya’rawi. “Tafsir Sya’rawi” * Syed Muhammad Naquib Al-Attas. “The Nature
of Man and The Psychology of The Human Soul”

Anda mungkin juga menyukai