Anda di halaman 1dari 7

Jurnal Akademik 2006 IPTAR

Tahap Pengetahuan Guru Prasekolah tentang Teori Vygotsky dalam


Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Kanak- kanak Prasekolah

Oleh

Awang Salleh bin Awang Wahap & Dr. Zamri Mahamod

Jabatan Ilmu Pendidikan


Institut Perguruan Tun Abdul Razak
&
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Kertas kerja ini membincangkan satu dapatan kajian tahap pengetahuan guru prasekolah tentang Teori Vygotsky
dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kanak-kanak prasekolah. Kajian dijalankan secara tinjauan terhadap
50 orang guru prasekolah annex Kementerian Pelajaran Malaysia di daerah Kuching yang dipilih secara rawak.
Kajian ini menggunakan alat kajian berupa soal selidik dua pilihan jawapan (ya/tidak) yang mengandungi soalan yang
menilai pengetahuan guru tentang Teori Vygotsky yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
kanak-kanak prasekolah. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan statistik deskriptif (kekerapan dan peratus)
dan analisis menggunakan Khi Kuasa Dua (Chi Square). Kajian mendapati sebahagian besar responden (opsyen
prasekolah dan bukan opsyen prasekolah) tidak mempunyai pengetahuan tentang Teori Vygotsky, walaupun
mengaku ada mengamalkan beberapa prinsip penting teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa yang
dikendalikan di kelas prasekolah. Justeru, responden berpendapat mereka perlu diberi latihan dan kursus sewajarnya
tentang teori Vygotsky memandangkan teori ini amat sesuai untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran
prasekolah.

Pendahuluan
Bahasa merupakan salah satu daripada enam komponen dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) yang
dilaksanakan di semua pusat prasekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Berbanding lima komponen yang lain, komponen bahasa dan komunikasi dianggap komponen utama atas sifat
bahasa sebagai pusat pembelajaran. Huraian KPK menyebut bahawa kebolehan berbahasa dan berkomunikasi
dengan baik meningkatkan keyakinan murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran. Ini akan menjadi
asas kepada pembelajaran sepanjang hayat (Kementerian Pelajaran Malaysia 2003). Dalam kata lain,
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bahasa akan meningkatkan tahap kemahiran bahasa kanak-kanak.
Sebagai alat berfikir, kemahiran bahasa yang tinggi sudah tentu membantu proses pembelajaran dalam domain
perkembangan yang lain.

Konsep dan prinsip utama Teori Vygotsky


Teori Vygotsky memberi penekanan terhadap pengaruh persekitaran sosial terhadap perkembangan kanak-kanak,
khususnya aspek perkembangan bahasa kerana bahasa adalah alat utama interaksi yang berperanan sebagai
penyampai maklumat. Bahasa kanak-kanak berkembang dalam persekitaran sosialnya. Menurut teori ini, bahasa
ialah alat berfikir bagi manusia untuk membina konsep-konsep dalam fikiran sebagai respons kepada masalah dan
rangsangan persekitaran.

74
Jurnal Akademik 2006 IPTAR

Menurut Bodrova (2003), Teori Vygotsky amat relevan dengan perkembangan mental, bahasa dan sosial kanak-
kanak. Bagi Vygotsky, bahasa adalah alat budaya sekali gus perantara dalam memperoleh alat-alat budaya yang
lain. Bahasa dilihat dalam konteks keperluan komunikasi dan integrasinya dengan proses mental yang lain.
Kemahiran kognitif dan pola pemikiran tidak ditentukan oleh faktor semula jadi, sebaliknya terhasil daripada aktiviti
dalam institusi sosial kanak-kanak tersebut membesar (Schutz 2004). Menurut Thomas (1993), dalam proses
perkembangan kognitif kanak-kanak, bahasa merupakan alat terpenting menentukan bagaimana kanak-kanak
belajar cara berfikir kerana pemikiran dipindahkan kepada kanak-kanak dalam bentuk perkataan.

Teori ini mengemukakan empat prinsip penting dalam pembelajaran, khususnya peringkat awal kanak-kanak
(Gallaghan 1999), iaitu:
1. Kanak-kanak membina pengetahuan dari konteks sosial ke konteks individu
2. Perkembangan tidak dapat dipisahkan daripada konteks sosial
3. Zon Perkembangan Terhampir (Zone of Proximal Development)
4. Bahasa memainkan peranan penting dalam perkembangan

Vygotsky mengutarakan tiga peringkat perkaitan bahasa dengan proses berfikir, iaitu peringkat pertuturan luaran
(external speech), pertuturan peribadi (private speech) dan pertuturan dalaman (internal speech) (Ford 2004). Ini
berlaku ketika kanak-kanak dalam usia prasekolah yang belum menguasai kemahiran sosial membina pengetahuan
dari konteks sosial. Kanak-kanak dibantu melalui scaffolding untuk berkembang dalam Zon Perkembangan
Terhampir (ZPD) supaya mampu mencapai tahap perkembangan yang lebih tinggi berbanding jika tidak dibantu.

Teori Vygotsky didapati sesuai untuk digunakan dalam pengajaran bahasa awal kanak-kanak kerana memberi
penekanan terhadap persekitaran sosial kanak-kanak. Perkembangan bahasa awal kanak-kanak banyak dipengaruhi
oleh ahli keluarga, jiran, rakan sebaya, guru dan alam fizikal sekitarnya seperti haiwan, serangga, tumbuhan, alat
mainan dan seumpamanya. Kadar dan tahap perkembangan bahasa awal kanak-kanak juga banyak dibantu oleh
orang di sekelilingnya. Bantuan yang diterima kanak-kanak dalam proses perkembangan dan pembelajaran
bahasanya menepati konsep scaffolding untuk mencapai ZPD Vygotsky. Beberapa kajian mutakhir tentang aspek
bahasa kanak-kanak cenderung menggunakan perspektif Teori Vygotsky (Gonzalez 2000; Kozulin 2000; Santiago et
al. 2002; Bodrova 2003; Ford 2004; Santrock 2004a, 2004b).

Model Konseptual Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) meletakkan komponen bahasa dan komunikasi sebagai
pusat pembelajaran melalui pendekatan bersepadu berasaskan pengalaman sosial kanak-kanak. Justeru, ini
memungkinkan kanak-kanak berkembang secara menyeluruh dalam semua aspek perkembang sebagai persediaan
ke sekolah rendah. Pendidikan prasekolah yang berpandukan Model Konseptual KPK, menjadikan kemahiran dan
kebolehan bahasa teras proses pembelajaran, seterusnya alat sosial yang amat berkesan dalam proses
perkembangan kanak-kanak. Ini sesungguhnya amat selari dengan perspektif Teori Perkembangan Vygotsky.

MODEL KONSEPTUAL
MODEL KONSEPTUALKURIKULUM
KURIKULUM
PRASEKOLAH
PRASEKOLAH
PERKEMBANGAN KANAK -KANAK

• PERKEMBANGAN SECARA MENYELURUH DAN


BERSEPADU
P • PEMBELAJARAN YANG MENGGEMBIRAKAN
AB
AB • PENGALAMAN YANG BERMAKNA
P
• PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

• KECEKAPAN BERBAHASA DAN KOMUNIKASI


• KEMAHIRAN BERFIKIR
• BERAKHLAK MULIA DAN BERETIKA
• BERKEYAKINAN DAN BERDISIPLIN
• SIHAT DAN CERGAS
• KREATIF, IMAGINATIF DAN EKSPRESIF

BERSEDIA KE SEKOLAH

75
Jurnal Akademik 2006 IPTAR

Pernyataan masalah
Guru mengajar kanak-kanak prasekolah dengan pelbagai pendekatan dan strategi. Empat pendekatan utama
pengajaran dan pembelajaran prasekolah ialah pendekatan belajar melalui bermain, bertema, bersepadu dan
penggunaan ICT. Walaupun guru sentiasa mempelbagaikan strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran,
termasuk yang melibatkan prinsip-prinsip Teori Vygotsky, kebanyakan guru tidak sedar bahawa mereka sedang
menerapkan prinsip-prinsip penting teori berkenaan dalam pengajaran mereka. Dalam kata lain, guru melaksanakan
scaffolding dalam pengajaran mereka tanpa mengetahui bahawa scaffolding adalah aktiviti membantu kanak-kanak
untuk mencapai tahap perkembangan dalam ZPD, justeru tanpa kesedaran dan perancangan yang terarah.
Akibatnya prinsip-prinsip asas teori tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dalam pengajaran
bahasa kanak-kanak prasekolah. Guru berada dalam keadaan mengamalkan sesuatu tanpa menguasai ilmu
tentangnya.

Terdapat kecenderungan guru menilai tahap perkembangan kanak-kanak berasaskan aspek bahasa dan kognitif
semata-mata. Apabila ini berlaku, aktiviti pengajaran dan pembelajaran hanya menjurus kepada aktiviti kognitif
sehingga berlangsung dalam bentuk latih tubi yang berlebihan. Kemahiran komunikasi dan sosial bukan lagi
dijadikan teras aktiviti kumpulan. Sebaliknya kanak-kanak diberi tugasan individu yang dilakukan dalam kelompok
fizikal dengan interaksi yang minima kerana perlu menyiapkan tugasan masing-masing.

Kurikulum latihan perguruan Pendidikan Prasekolah hanya membincangkan pandangan Vygotsky sepintas lalu di
samping tokoh-tokoh lain seperti Montessori, Froebel, Piaget, dan seumpamanya di bawah tajuk Pandangan Tokoh
dan Falsafah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Perkembangan kognitif. Begitu juga dalam Kursus Dalam
Perkhidmatan (KDP 14 minggu), Teori Vygotsky dibincangkan dalam jumlah jam kuliah yang amat terhad.
Pendedahan yang terhad ini memungkinkan guru mempunyai terlalu sedikit pengetahuan tentang Teori Vygotsky.

Tujuan kajian
Kajian ringkas ini bertujuan untuk:

1. Meninjau sejauh mana guru prasekolah mempunyai pengetahuan tentang Teori Vygotsky dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa kanak-kanak prasekolah.
2. Meninjau aspek amalan prinsip-prinsip asas teori Vygotsky dalam pengajaran guru prasekolah.
3. Membandingkan aspek pengetahuan dan amalan prinsip-prinsip Teori Vygotsky dalam kalangan guru
prasekolah berdasarkan opsyen.

Persoalan kajian
Dapatan kajian diharap dapat menjawab persoalan-persoalan berikut:

1. Sejauh manakah guru prasekolah mempunyai pengetahuan tentang Teori Vygotsky dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa kanak-kanak prasekolah?
2. Sejauh manakah guru prasekolah mengamalkan prinsip-prinsip utama Teori Vygotsky?
3. Adakah terdapat perbezaan aspek pengetahuan dan amalan prinsip-prinsip Teori Vygotsky dalam kalangan guru
prasekolah berdasarkan opsyen?

Kepentingan kajian
Kajian ini penting kerana memberi gambaran sejauh mana guru prasekolah tahu dan faham, seterusnya
berkebolehan menerapkan (mengamalkan) prinsip-prinsip utama Teori Vygotsky secara sedar dan terancang dalam
pengajaran bahasa kanak-kanak prasekolah. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bahasa berdasarkan
prinsip-prinsip Teori Vygotsky diyakini dapat membantu kejayaan pelaksanaan KPK.

Dapatan kajian ini seterusnya memberi petunjuk bentuk dan jenis kandungan latihan atau kursus yang diperlukan
oleh guru prasekolah bagi meningkatkan lagi tahap pengetahuan mereka tentang Teori Vygotsky dalam pengajaran
dan pembelajaran bahasa kanak-kanak prasekolah.

76
Jurnal Akademik 2006 IPTAR

Metodologi kajian
Responden kajian terdiri daripada 50 orang guru prasekolah di daerah Kuching yang dipilih secara rawak mudah.
Sebanyak 21 orang daripada responden terdiri daripada kalangan guru opsyen Pendidikan Prasekolah, manakala 29
orang lagi guru bukan opsyen Pendidikan Prasekolah yang dikehendaki mengajar prasekolah.

Alat kajian adalah berupa soal selidik yang mengandungi jawapan ‘ya’ dan ‘tidak’ yang ditadbirkan secara temubual
langsung yang dijalankan sepanjang dua minggu. Setiap temubual hanya berlangsung selama 10 minit. Dengan
kerjasama Guru Besar sekolah-sekolah terlibat, sebanyak lima hingga enam orang guru prasekolah dapat
ditemubual setiap hari.

Data dianalisis secara statistik deskriptif untuk menerangkan demografi responden dan mengira kekerapan serta
peratus guru prasekolah yang mempunyai pengetahuan dan amalan prinsip Teori Vygotsky. Ujian inferensi non-
parametrik menggunakan Khi Kuasa Dua dijalankan untuk melihat perbezaan kekerapan yang didapati dengan
kekerapan yang dijangkakan. Ujian ini digunakan untuk menentukan sama ada perbezaan kekerapan antara dua
kumpulan responden yang diperhatikan dalam sesuatu kategori berlaku kerana kebetulan atau kerana ralat
persampelan.

Dapatan kajian
Daripada 50 orang responden, 21 orang (42%) adalah guru yang opsyen Pendidikan Prasekolah di maktab
perguruan (sekarang IPG), sementara 29 orang (58%) adalah guru opsyen lain yang dikehendaki mengajar kelas
prasekolah. Hanya 14 orang guru yang bukan opsyen Pendidikan Prasekolah pernah mengikuti Kursus Dalam
Perkhidmatan (KDP 12 Minggu) Pendidikan Prasekolah anjuraan Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Ini bermakna
15 orang lagi guru mengajar kelas prasekolah tanpa sebarang pendedahan tentang program prasekolah. Daripada
50 orang responden, cuma empat orang adalah guru lelaki manakala selebihnya guru wanita.

Dari aspek jumlah tahun mengajar kelas prasekolah, 13 orang guru mengajar kurang daripada satu tahun (4 opsyen
prasekolah dan 9 opsyen lain), 21 orang (1 - 3 tahun: 4 opsyen prasekolah dan 17 opsyen lain), 3 orang (3 – 5 tahun:
1 opsyen prasekolah dan 2 opsyen lain) dan 13 orang (5 tahun dan lebih: 12 opsyen prasekolah dan 1 opsyen lain).
Secara keseluruhannya, 34 orang (68%) guru mengajar prasekolah 3 tahun dan kurang, dan 16 orang (32%) guru
mengajar prasekolah melebihi 3 tahun. Sebanyak 62% guru opsyen prasekolah mengajar prasekolah melebihi 3
tahun, manakala 89.7% guru opsyen lain mengajar prasekolah 3 tahun dan kurang.

Daripada 21 orang guru opsyen prasekolah, 10 orang (47.6%) mengaku mempunyai pengetahuan tentang Teori
Vygotsky. Sebanyak 15 orang (71.4%) mengaku mengamalkan prinsip-prinsip asas Teori Vygotsky dalam
pengajaran. Sebanyak 14 orang (66.7%) guru opsyen prasekolah berpendapat, mereka perlu diberi kursus tentang
Teori Vygotsky. Hanya 7 orang (33.3%) guru opsyen prasekolah berpendapat mereka tidak perlu kursus berkaitan
kerana merasakan mereka tahu dan telah mengamalkan prinsip-prinsip asas Teori Vygotsky.

Daripada 29 orang guru opsyen lain, hanya 7 orang (24.1%) mengaku mempunyai pengetahuan tentang Teori
Vygotsky. Ini bermakna 75.9% guru opsyen lain yang mengajar prasekolah tidak tahu tentang Teori Vygotsky.
Bagaimanapun 12 orang (41.3%) daripada mereka mengaku mengamalkan prinsip-prinsip penting Teori Vygotsky
seperti memberi perhatian terhadap aktiviti bahasa dalam pengajaran (interaksi). Sebanyak 28 orang (96.5%) guru
yang bukan opsyen prasekolah ini berpendapat mereka perlu diberi kursus berkaitan Teori Vygotsky.

Ujian inferensi non-parametrik menggunakan Khi Kuasa Dua dijalankan secara berasingan bagi aspek pengetahuan
dan amalan Teori Vygotsky. Hasil Ujian Khi Kuasa Dua bagi aspek pengetahuan ditunjukkan dalam Jadual I.

JADUAL I
Ujian Chi-Square

Kekerapan yang didapati dan dijangkakan bagi guru opsyen


Prasekolah dan guru opsyen lain dari aspek pengetahuan tentang Teori Vygotsky

Opsyen Guru Prasekolah Ya Tidak Jumlah Lajur


Opsyen prasekolah 10 (7) 11 (14) 21
Opsyen lain 7 (10) 22 (19) 29
Jumlah ruang 17 33 50

Nilai Khi Kuasa Dua yang diperoleh hasil perkiraan berdasarkan Jadual I ialah 3.302. Dengan darjah kebebasan
bersamaan 1 di paras signifikan .05, nilai Khi Kuasa Dua kritikal ialah 3.841. Oleh sebab nilai Khi Kuasa Dua yang

77
Jurnal Akademik 2006 IPTAR

diperoleh lebih kecil daripada nilai Khi Kuasa Dua kritikal, ini bermakna tidak terdapat perbezaan yang signifikan
antara dua kumpulan responden dari aspek pengetahuan tentang Teori Vygotsky.

Hasil Khi Kuasa Dua dari aspek amalan prinsip-prinsip Teori Vygotsky oleh responden diterangkan dalam Jadual II.

JADUAL II
Ujian Chi-Square

Kekerapan yang didapati dan dijangkakan bagi guru opsyen


prasekolah dan guru opsyen lain dari aspek amalan prinsip-prinsip Teori Vygotsky

Opsyen Guru Prasekolah Ya Tidak Jumlah Lajur


Opsyen prasekolah 15 (11) 6 (10) 21
Opsyen lain 12 (16) 17 (13) 29
Jumlah ruang 27 23 50

Nilai Khi Kuasa Dua yang diperoleh hasil perkiraan berdasarkan Jadual II ialah 5.285. Nilai Khi Kuasa Dua kritikal
adalah seperti pada aspek pengetahuan, iaitu 3.841. Oleh sebab nilai Khi Kuasa Dua yang diperoleh lebih besar
daripada nilai Khi Kuasa Dua kritikal, ini bermakna terdapat perbezaan yang signifikan antara dua kumpulan
responden dari aspek amalan prinsip-prinsip Teori Vygotsky dalam pengajaran mereka.

Perbincangan
Sebahagian besar guru opsyen lain dikehendaki mengajar kelas prasekolah perluasan kerana sekolah tidak
dibekalkan dengan guru lepasan maktab yang mempunyai opsyen prasekolah. Ini menyebabkan pengendalian kelas
prasekolah oleh guru-guru ini, terbawa-bawa dengan cara pengajaran di kelas formal sekolah rendah. Hanya
sebilangan kecil daripada guru ini secara kebetulan telah mengikuti KDP 14 minggu. Bilangan guru yang mengajar
kelas prasekolah kurang daripada tiga tahun sebanyak 34 orang (68%) adalah selari dengan langkah perluasan
prasekolah annex yang dilaksanakan secara berperingkat dari setahun ke setahun sejak 2001.

Guru opsyen prasekolah yang mengaku mempunyai pengetahuan tentang Teori Vygotsky sebanyak 10 orang
bagaimanapun turut mengakui bahawa pengetahuan mereka hanya terhad kepada prinsip ZPD dan interaksi sosial
dalam pembelajaran. Manakala tujuh orang guru opsyen lain yang mengaku mempunyai pengetahuan tentang Teori
Vygotsky merupakan guru yang telah menghadiri KDP 14 minggu pada tahun 2003 dan 2004. Bagaimanapun
mereka hanya dapat mengaitkan ZPD dengan Teori Vygotsky. Walaupun sebahagian responden (27 orang/ 54%)
mengaku mengamalkan beberapa prinsip Teori Vygotsky, mereka turut mengakui bahawa mereka sebenarnya tidak
tahu apakah prinsip-prinsip asas teori yang diamalkan. Mereka menjalankan aktiviti secara kumpulan, tetapi
sebahagiannya mengaku bahawa dalam aktiviti kumpulan kanak-kanak membuat tugasan masing-masing. Kanak-
kanak tidak digalakkan saling membantu untuk mengelak kebisingan. Responden juga mengaku mereka kerap
membantu kanak-kanak dalam pembelajaran, tetapi tidak tahu bahawa aktiviti membantu ini satu bentuk scaffolding
untuk mencapai ZPD.

Responden berpendapat mereka sangat memerlukan kursus berkaitan dengan Teori Vygotsky agar dapat
memahami dan melaksanakannya dalam pengajaran secara sedar dan terancang. Sebanyak 42 orang (84%)
responden memilih untuk mengikuti kursus seumpamanya jika diberi peluang. Ini jelas menunjukkan betapa guru-
guru yang mengendalikan kelas prasekolah anjuran KPM mempunyai pengetahuan yang amat sedikit tentang salah
satu teori perkembangan yang amat penting. Justeru, tidak menghairankan jika sebahagian daripada mereka
mengajar kelas prasekolah seperti mengajar kelas Tahap satu sekolah rendah.

Hasil ujian Khi Kuasa Dua yang dijalankan untuk aspek pengetahuan terhadap responden jelas menunjukkan
bahawa tahap pengetahuan responden tentang Teori Vygotsky dalam pengajaran bahasa di prasekolah amat
rendah. Secara keseluruhannya, baik guru opsyen prasekolah mahupun guru opsyen lain yang mengajar
prasekolah, sebahagian besar mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang teori perkembangan yang amat
penting ini. Kesimpulannya tidak ada perbezaan antara guru opsyen prasekolah dan opsyen lain dari aspek
pengetahuan kerana kedua-dua golongan tersebut tidak tahu tentang teori ini, apatah lagi hendak melaksanakannya
dengan berkesan.

Ujian Khi Kuasa Dua bagi aspek amalan pula mendapati adanya perbezaan yang signifikan antara kedua-dua
opsyen. Walaupun tidak mengetahui sepenuhnya tentang teori ini, guru-guru opsyen prasekolah ternyata lebih
cenderung melaksanakan beberapa prinsip asas teori ini dalam pengajaran bahasa. Walau bagaimanapun amalan
tersebut terhad kepada bantuan guru dari aspek sebutan, ejaan dan menulis. Bilangan guru opsyen lain yang tidak
mengamalkan prinsip-prinsip tersebut adalah jauh lebih besar.

Secara keseluruhannya, didapati Teori Vygotsky kurang diketahui guru prasekolah. Sebilangan mereka hanya
pernah didedahkan sepintas lalu dalam latihan perguruan atau kursus pendek yang membincangkan teori ini secara

78
Jurnal Akademik 2006 IPTAR

terhad. Kepentingan teori ini dari aspek perkembangan kanak-kanak nampaknya tidak diketahui oleh guru
prasekolah yang terlibat dalam kajian ini.

Cadangan

Berdasarkan dapatan kajian, adalah dicadangkan pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan tertentu untuk
mendedahkan Teori Perkembangan Vygotsky secara lebih meluas kepada guru-guru prasekolah khususnya:

1. Mengkaji teori ini secara lebih mendalam untuk serapkan dalam kurikulum latihan dan kursus perguruan. Teori
Vygotsky yang berteraskan persekitaran sosial didapati sesuai dengan alam sosial dan budaya tempatan yang
masih tebal dengan nilai-nilai murni dan kekeluargaan yang jika diterapkan akan membantu perkembangan
kanak-kanak secara lebih berjaya ke arah mempersedia mereka ke alam persekolahan yang bukan sahaja sedia
dari segi kognitif, malah turut bersedia dari segi sosial dan emosi.
2. Mengkaji teori ini secara lebih mendalam untuk dijadikan salah satu amalan pengajaran yang penting di
peringkat prasekolah kerana sesuai dengan pendekatan pengajaran prasekolah yang sedia dilaksanakan, iaitu
belajar melalui bermain, pengajaran bertema, teknologi maklumat dan komunikasi, dan pendekatan bersepadu.
3. Sebagai langkah jangka pendek, bengkel dan kursus pendek perlu difikirkan untuk memberi pendedahan
mendalam teori ini kepada guru prasekolah. Sebagai langkah jangka panjang, institusi latihan guru boleh
memikirkan secara serius untuk memperkemas kurikulum latihan guru prasekolah dengan memberi penekanan
kepada teori perkembangan ini. Prinsip-prinsip utama Teori Vygotsky boleh dijadikan rujukan dan amalan
praktik ketika guru pelatih atau peserta kursus (KDC) menjalani praktikum di pusat prasekolah agar
pengetahuan dan kemahiran berkaitan dapat digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sebenar setelah
tamat latihan atau kursus.

Kesimpulan
Tahap kesediaan kanak-kanak prasekolah memasuki alam persekolahan formal banyak bergantung kepada
pengalaman prasekolah mereka. Pengalaman prasekolah yang positif dan berkesan banyak bergantung kepada
kurikulum dan guru yang melaksanakan kurikulum berkenaan. Jika guru memahami aspek perkembangan kanak-
kanak secara mendalam dan melaksanakan amalan pengajaran yang sesuai dengan tahap dan keperluan
perkembangan kanak-kanak, maka pengalaman prasekolah akan menjadi pengalaman yang amat menyeronokkan
bagi kanak-kanak, seterusnya menjadikan mereka lebih bersedia untuk melangkah ke alam persekolahan formal.

Dalam konteks KPK, pengajaran bahasa tidak berdiri secara terasing. Bahasa merupakan elemen penting yang
diajar merentasi keseluruhan kandungan kurikulum. Selain itu, bahasa adalah pusat pembelajaran dan alat berfikir
bagi kanak-kanak yang sedang pesat berkembang. Justeru, penggunaan Teori Vygotsky dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa di peringkat prasekolah bermakna menggunakan teori ini dalam amalan pengajaran dan
pembelajaran prasekolah secara keseluruhannya.

Rujukan

Bodrova E. 2003. Vygotsky and Montessori: One dream, two visions. Montessori LIFE 15 (1): 30-33.

Ford M. R. 2004. Thinking and cognitive development in young children. In. Maynard, T. and Thomas, N. Eds. Antroduction to
early childhood studies. London: SAGE Publications.

Gonzalez, L.E. 2000. The relationship between classroom settings and language models with regard to the development of
language and social skills of Spanish-speaking preschoolers with language disorder. PHD dissertation. Pace University.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2003. Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan
Kurikulum.

Kozulin, A. 2000. Vygotsky. In. A. Kozulin Ed. Encyclopedia of psychology. Washington DC and New York: American Psychological
Association and Oxford University Press.

Murray Thomas, R. Comparing Theories of Child Development, Third Edition. Belmont, California: Wadsworth Publishing
Company, 1993

Santiago-Delefosse, M.J., Delefosse, J. and Oderic, J.M. 2002. Piaget and Vygotsky: three positions on child thought and language.
Theory and Psychology 12: 723-747.

79
Jurnal Akademik 2006 IPTAR

Santrock, J.W. 2004a. Life-span development. Boston: Mc Graw Hill.

Santrock, J.W. 2004b. Child development. Boston: Mc Graw Hill.

Schutz, R. 2004. Vygotsky & Language Acquisition. English Made in Brazil <http://www.sk.com.br/sk-vygot.html>. Online. 5 de
dezembro de 2004.

80

Anda mungkin juga menyukai