Anda di halaman 1dari 1

Kepada anak-anak yang dikasihi,

Ramai yang merungut bahawa adalah sukar untuk mencari isi karangan. Sebenarnya, ada kaedah yang mudah untuk mencari isi
karangan.

Sekiranya tajuk kerangan berkaitan dengan masalah sesial, contohnya lari dari rumah, masalah dadah, merosakkan harta benda
awam, masalah disiplin, ponteng kelas, ponteng sekolah dan sebagainya, gunakan kaedah unit kecil kepada unit besar sebagaimana
tergambar dalam gambar rajah di bawah.

DIRI
KELUARGA / AGAMA

RAKAN SEBAYA

SEKOLAH

MEDIA MASSA

MASYARAKAT

Diri: Seorang remaja sudah mencapai usia antara 13 – 18 tahun. Mereka ini sudah boleh berfikir. Mereka sepatutnya dapat
berfikir dan bertindak secara matang tetapi sebaliknya individu tidak mahu bermuhasabah atau mencerminkan dirinya.
Ini menyebabkan mereka terjerumus dalam masalah soaial yang kurang menyenangkan.

Keluarga: Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk minda kanak-kanak. Kanak-kanak diibaratkan
sehelai kain putih. Oleh itu, ibu bapa yang bakal menentukan corak kain berkenaan. Sekiranya dilukis dengan corak yang
berwarna-warni, maka cerahlah masa depannya. Sebaliknya jika ditumpahkan dengan warna hitam, maka gelaplah masa
depannya. Kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting
dalam membentuk keperibadian mulis seseorang. Apabila mereka gagal dalam tanggungjawab berkenaan, maka
wujudlah masalah sosial. Pegangan agama dapat menjadi benteng yang akan menghalang seseorang daripada terjerumus
dalam lembah kehinaan. Orang yang tiada pegangan agama umpama sebuah kapal yang belayar di tengah samudera
tanpa jurumudi.

Rakan: Pada zaman kanak-kanak, kata-kata dan arahan ibu bapa menjadi pegangan dan dituruti. Apabila sudah remaja, kata-kata
rakan sebaya diberi keutamaan dan mereka menganggap ibu bapa mereka sudah tua dan ketinggalan zaman. Sekiranya
mendapat kawan yang baik, maka masa depannya terjamin. Sebaliknya salah pilih kawan, maka hancurlah masa
depannya.

Sekolah: Sekolah ialah sebuah institusi yang cuba membentuk keperibadian seseorang insan. Sekiranya institusi ini gagal dalam
usaha ini, maka lahirlah generasi yang tidak berdidiplin. Jelaslah bahawa sekolah bukan sahaja tempat untuk menggarap
ilmu, malah tempat untuk membentuk sahsiah diri.

Media massa: Media massa, khususnya media elektronik memainkan peranan yang penting dalam mencorak minda seseorang.
Dunia menuju ke arah dunia tanpa sempadan. Kata orang ada maklumat di hujung jari. Walau bagaimanapun, tidak dapat
dinafikan bahawa media massa juga merosakkan minda generasi muda dengan menyogok bahan-bahan picisan dan
pornografi. Apabila tiada kawalan daripada ibu bapa atau keluarga, generasi muda mudah melibatkan diri dalam perkara-
perkara yang membawa padah kepada diri dan negara.

Masyarakat: Masyarakat dahulu menganggap anak orang anak sendiri. Mereka juga berpegang kepada prinsip hidup beranak
seorang, mendidik ramai tetapi masyarakat sekarang tidak mengamalkan konsep murni ini. Mereka hidup bagaikan enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Mereka berpegang kepada prinsip hidup bahawa tidak mahu menjaga
tepi kain orang lain. Oleh itu, masyarakat sekarang perlu mengalami anjakan paradigma. Jika tidak, generasi muda pada
masa akan datang pasti akan mengalami kebobrokan yang bakal memusnahkan masa depan negara kita.

Subramaniam Rengasamy, SMK SELANDAR, 77500 SELANDAR, MELAKA.