Anda di halaman 1dari 4

JURNAL

Pada hari saya menerima keputusan peperiksaaan spm, saya agak gembira
dengan pencapaian saya walaupun tidaklah begitu cemerlang. Bagi saya berbaloilah
usaha saya selama ini. Sepanjang enam bulan bercuti sebelum meneruskan pengajian,
saya telah berkerja di salah sebuah supermarket sebagai receptionist. Kerja itu
sangatlah membosankan sehingga saya mengambil keputusan untuk berhenti dari
meneruskan kerja itu. Saya hanya berkerja selama dua minggu sahaja. Selepas saya
berhenti dari kerja, saya hanya duduk di rumah dan membantu mak dalam
menguruskan kerja rumah. Walaupun agak penat tetapi saya seronok melakukannya.

Selama saya menghabiskan masa di rumah, pada satu hari saya telah diberitahu
oleh mak bahawa ayah telah memohon untuk saya meneruskan pelajaran dalam
jurusan perguruan. Saya hanya bersetuju sahaja kerana pada mulanya saya langsung
tidak terfikir yang saya akan berjaya masuk kerana memikirkan keputusan peperiksaan
saya yang agak biasa itu. Pada mulanya saya ingin meneruskan pelajaran saya di
sebuah kolej yang bernama Kolej Komuniti. Saya berminat untuk mengambil kos
perhotelan memandangkan kos itu agak senang bagi saya yang tidak berapa minat
dalam membaca tetapi lebih kepada mekanikal. Lebih menyakinkan saya apabila kakak
saya juga belajar di kolej itu yang terletak di Kuala Kangsar. Pemohonan untuk masuk
ke situ agak senang kerana mereka tidaklah memandang keputusan peperiksaan
kerana kos-kos di situ semuanya lebih kepada mekanikal. Saya berusaha pergi ke
sebuah kedai internet untuk memohon masuk ke kolej itu melalui online. Setelah
berjaya saya amat yakin yang saya akan dapat belajar di situ sehingga saya mengajak
rakan saya menemani saya pergi ke Kuala Kangsar untuk mencari rumah sewa yang
berdekatan dengan kolej itu tetapi sayang kerana saya tidak menjumpai rumah yang
ingin di sewa. Saya tekad untuk meneruskan pencarian pada hari lain pula.

Hari-hari pun berlalu dengan pantas. Pada suatu pagi ketika sedang mengemas
rumah tiba-tiba saya mendapat satu panggilan daripada bapa saya. Dia dengan nada
yang gembira memberitahu saya bahawa saya telah berjaya mendapat peluang
ditemuduga bagi memasuki maktab perguruan tersebut. Saya tidak pasti perasaan saya
ketika itu tapi yang pastinya saya agak terkejut. Setelah ganggang diletakkan, saya
memikirkan sesuatu tentang tawaran untuk ditemuduga nanti. Macam-macam perasaan
yang timbul dalam diri saya, takut, sedih, gembira, semua ada. Ini adalah kerana saya
tidak mahu pergi ke temuduga itu. Saya berasa tidak yakin untuk menghadapi semua
ini. Saya percaya yang kehidupan baru akan bermula tidak lama lagi…

Hari yang ditunggu-tunggu oleh mak dan bapa saya telah tiba iaitu hari saya
akan ditemuduga untuk memasuki maktab perguruan nanti. Tempat yang saya dapat
untuk ditemuduga terletak di Maktab Perguruan Tengku Bainon di Seberang Prai. Kami
memulakan perjalanan pada awal pagi iaitu pada pukul lima pagi kerana
memandangkan perjalanan kami agak jauh dan mereka tidak mahu menghadapi
masalah kelewatan dalam menghantar saya pergi temuduga itu. Calon-calon yang
berjaya untuk ditemuduga termasuklah saya harus melaporkan diri pada jam lapan.
Syukur Alhamdulillah perjalanan kami selamat dan kami tiba agak awal dari yang
dijangkakan. Kami tiba pada jam enam dan bapa saya terus pandu masuk dan mencari
surau yang terdapat di situ untuk menunaikan solat subuh. Setelah selasai kami bertiga
meluru pula ke cafe untuk bersarapan pagi.

Jujur saya katakan yang saya tidaklah begitu gembira pada hari tersebut. Saya
berasa amat takut dan gementar tetapi saya sembunyikan semua itu disebalik
senyuman saya yang sentiasa terukir di wajah. Saya tidak mahu menghampakan
harapan dan semangat kedua ibu bapa saya yang selalu berpesan kepada saya iaitu
cuba buat yang terbaik dan sentiasa mengharapkan kejayaan saya. Masa pun berlalu
dengan begitu sahaja. Masa yang saya tidak begitu harapkan telah tiba. Calon-calon
diminta untuk masuk ke dalam perpustakaan untuk sesi temuduga. Kami telah diberi
beberapa kumpulan kecil. Kumpulan saya mempunyai tiga orang. Salah seorang ahli
kumpulan saya ialah rakan saya yang belajar dalam kelas yang sama dengan saya
sekarang. Terdapat tiga peringkat dalam sesi temuduga pada pagi itu. Peringkat yang
pertama ialah perbincangan dalam kumpulan. Kami diberi tajuk dan tugas kami ialah
memberi pendapat dan pandangan tentang tajuk yang diberi. Jika tidak silap saya kami
diberi tajuk tentang penggunaan ict di dalam kelas. Kami pun memulakan perbincangan
sambil diperhatikan oleh pensyarah yang ditugaskan untuk meninjau sejauh mana
pengetahuan kami sama ada kami layak untuk masuk ke maktab perguruan atau tidak.
Setelah selesai sesi perbincangan, sesi yang seterusnya pula ialah sesi menjawab
soalan iaitu INSAK. Terdapat 150 soalan dan kami diberi masa selama setengah jam
sahaja untuk menghabiskan soalan itu. Saya telah berjaya menjawab kesemua soalan
yang diberi pada masa yang di tetapkan. Walaupun tidak begitu susah tetapi terdapat
juga sebilangan calon yang tidak sempat untuk menjawab kesemua soalan tersebut.
Dua sesi telah selesai dan saya tidak sabar untuk menghabiskan sesi yang terakhir iaitu
sesi temuduga secara perseorangan. Saya agak berdebar untuk ditemuduga kerana
takut akan ditanya soalan-soalan yang tidak dapat saya jawab. Saya ialah peserta
terakhir dalam kumpulan kecil saya itu. Kawan-kawan memberi semangat kepada saya.
Sekarang tibalah masa saya untuk ditemuduga. Saya agak gementar dan berasa sejuk
lalu memasukkan tangan di dalam baju tetapi saya telah ditegur kerana perlakuan yang
agak kurang sopan itu. Saya hanya tersenyum dan malu dengan perlakuan saya itu.
Saya tidak berapa ingat soalan yang ditujukan kepada saya. Tetapi yang pasti soalan-
soalan mereka semuanya mengenai persekolahan dan tentang kanak-kanak. Mereka
juga menyuruh saya menceritakan tentang diri saya dan saya haruslah bercakap dalam
bahasa inggeris. Kesemua sesi telah pun selesai tetapi saya telah menghadapi satu
masalah…

Masalah yang saya hadapi ialah saya tidak mempunyai gambar bersaiz pasport
di hadapan borang yang seharusnya dilengkapkan. Kesulitan ini timbul kerana mak
saya tidak perasan borang yang diisi itu harus disertakan dengan gambar sekali. Saya
telah diberitahu oleh pensyarah yang bertugas bahawa jika saya tidak menampal
gambar pemohonan saya untuk masuk ke maktab terus akan ditolak. Saya yang
terkejut terus meminta izin untuk bertemu mak dan bapa saya yang menunggu di
bawah sementara saya menghabiskan sesi temuduga saya. Setelah diberitahu mak
menyuruh saya meminta izin untuk keluar untuk menangkap gambar bersaiz pasport
seperti yang diminta. Kami diberi keizinan dan tanpa membuang masa kami pun
singgah di kedai gambar yang berhampiran. Setelah selesai semuanya kami balik
semula ke maktab tersebut dan saya pergi menyerahkan gambar tersebut dan pulang
ke rumah dengan hati yang lega kerana semuanya sudah selesai.
Keputusan sudah pun keluar. Bapa saya sekali lagi mengumumkan berita
gembira itu dengan penuh kesyukuran. Bapa siapa yang tidak gembira bila anak
mereka diterima masuk ke maktab yang bukan mudah untuk menjejakkan kaki di sana.
Saya masih tidak percaya yang saya telah berjaya masuk ke maktab. Mungkin ini
semua takdir serta berkat doa dari kedua ibu bapa saya. Sebenarnya saya berat untuk
menerima yang saya telah berjaya masuk ke maktab. Ini adalah kerana saya tidak
berminat dengan semua ini dan saya berasakan yang saya adalah pelajar yang paling
bodoh antara yang lain memandangkan keputusan peperiksaan saya. Tapi mak selalu
yakinkan saya ada juga pelajar yang sama dengan saya. Saya agak tertekan tapi saya
cuba menggembirakan hati dengan berfikir yang positif. Banyak borang-borang yang
perlu diisi dan banyak juga barang yang perlu dikemaskan. Mak la yang paling banyak
membantu saya dalam menyediakan dan menyiapkan keperluan untuk di bawa disana
nanti. Mak jugalah yang isi borang-borang yang berlungguk itu. Tugas saya hanya
menyediakan barang-barang dan keperluan yang perlu di bawa. Hari saya akan
mendaftar makin hampir. Macam-macam perasaan yang datang dan saya tidak pasti
apakah perasaan itu. Tapi yang pasti saya seperti mahu lari sejauh yang mungkin…

Anda mungkin juga menyukai