Anda di halaman 1dari 8

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN


TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI POLITEKNIK


BERTEMPAT DI
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
25 FEBRUARI 2010,
JAM 10.00 PAGI

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan


salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke


hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah izin dan kurniaNya, kita dapat
berhimpun dalam satu majlis yang bersejarah yang menandakan
permulaan transformasi politeknik sebagai institusi peneraju dalam
pendidikan dan latihan vokasional serta teknik di negara kita.

2. Saya terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada kumpulan


pertama tiga (3) buah politeknik yang diiktiraf sebagai Politeknik Premier
pada tahun ini. Syabas juga saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian
Tinggi atas kejayaan mencapai salah satu sasaran penting di bawah
bidang keberhasilan utama kementerian.

1
Pelan Transformasi Kerajaan – Meluaskan Akses kepada Pendidikan
Berkualiti

3. Baru-baru ini kerajaan telah melancarkan Pelan Hala Tuju Program


Transformasi Kerajaan untuk memacu negara kita ke arah mencapai
Wawasan 2020. Intipatinya merangkumi tumpuan ke atas perkara-perkara
yang utama dan sangat penting kepada rakyat sejajar dengan konsep Satu
Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Di Utamakan.

4. Dalam bidang pendidikan, komitmen kerajaan adalah untuk


memastikan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan juga
latar belakang dapat menikmati pendidikan yang berkualiti dan
berkemampuan. Dan untuk mencapai hasrat ini, kerajaan kita telah
menyusun pelan transformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan
negara. Bermula daripada peringkat pra-sekolah sehinggalah ke tahap
pengajian tinggi.

5. Matlamat kita adalah untuk menjadikan pendidikan berkualiti sebagai


landasan untuk melahirkan modal insan yang kreatif, yang inovatif dan
yang berkemahiran tinggi. Ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan
untuk meningkatkan daya saing negara melalui peningkatan kualiti modal
insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita. Dalam model ekonomi
baharu yang akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri, kejayaan untuk melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk
berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu bagi menjana kekayaan
negara merupakan faktor yang kritikal, yang akan menentukan kemajuan
dan kemakmuran masa depan negara.

2
6. Dalam konteks ini, pendidikan dan latihan vokasional dan teknik
mempunyai peranan yang amat penting. Pendidikan aliran ini
menyediakan laluan utama ke arah untuk melahirkan modal insan yang
berkemahiran tinggi dan seterusnya menjadi penyumbang kepada
penjanaan kekayaan baharu bagi negara kita. Oleh itu, peningkatan kualiti
pendidikan yang berteraskan kemahiran ini, mesti diperkasa dan mesti
dijadikan agenda utama dalam memenuhi keperluan modal insan negara.

Transformasi Politeknik

7. Saya percaya program Transformasi Politeknik yang dilancarkan


pada hari ini merupakan satu usaha penting ke arah untuk meningkatkan
kualiti dan memperkasa pendidikan vokasional dan teknik di negara kita.
Transformasi ini boleh dijayakan melalui inovasi sistematik atau systemic
innovation yang menambah nilai kepada proses dan keberhasilan
pendidikan dan latihan politeknik. Ini bermakna bahawa warga politeknik
perlu sentiasa memikirkan cara baharu dan kaedah baharu untuk
meningkatkan keberhasilan pendidikan dan latihan ini. Ini termasuklah
melakukan inovasi dari segi pembangunan kurikulum, latihan sumber
manusia, menambahbaik struktur dan tadbir urus institusi serta
pengukuhan kerjasama antara institusi dan industri.

Kolaborasi Pendidikan

8. Pada hemat saya, antara contoh inovasi yang telah dimulakan ialah
memanfaatkan kedudukan strategik politeknik yang terletak di antara
pendidikan menengah dan universiti untuk menawarkan laluan pendidikan
tinggi yang lebih singkat. Dalam perjanjian persefahaman antara Politeknik

3
dengan Malaysian Technical University Network (MTUN), lulusan diploma
politeknik dikecualikan daripada mengambil jumlah kredit tertentu apabila
mereka menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda di
universiti-universiti teknikal negara ini. Dengan cara ini, lulusan politeknik
akan dapat mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam masa yang lebih
singkat dan sekali gus akan menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan
utama bagi pelajar-pelajar yang berhasrat untuk mengikuti pengajian di
universiti-universiti teknikal ini.

9. Secara tidak langsung, saya berharap agar inovasi dalam


pengurusan pendidikan politeknik ini, akan dapat menarik minat pelajar-
pelajar terbaik untuk mengikuti pendidikan dan latihan vokasional dan
teknik di negara kita. Langkah ini boleh dikembangkan lagi dengan
memberikan pengecualian kredit pada pelajar lepasan sekolah menengah
yang memasuki politeknik. Jika usaha tercapai, politeknik akan menjadi
satu institusi penghubung yang menawarkan pendidikan vokasional dan
teknik yang komprehensif melalui jalinan pendidikan peringkat menengah,
pasca menengah dan tinggi.

Kemahiran Insaniah Melalui Jaringan Industri

10. Inovasi seterusnya ialah dari segi kaedah latihan industri yang lebih
berkesan bagi meningkatkan kebolehpasaran ataupun employability dan
kemahiran keusahawanan (enterprising skills) graduan politeknik. Ini
merupakan aspek penting pendidikan dan latihan vokasional dan teknik
dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, yang kreatif dan
juga yang inovatif. Dan untuk itu, politeknik perlu memperkukuh jaringan
kerjasama dengan pihak industri. Bukan saja dari segi pembangunan
4
kurikulum dan latihan, tetapi juga usahasama penyelidikan dan inovasi. Ini
termasuklah dengan meningkatkan usaha penyelidikan gunaan bersama
pihak industri bagi menggalakkan budaya inovasi dan penghasilan
teknologi baharu dalam proses pembuatan dan penambahbaikan produk.

11. Usaha seperti ini akan memberikan nilai tambah kepada proses dan
keberhasilan pendidikan dan latihan di politeknik yang akan meningkatkan
kualiti graduan yang dilahirkan. Saya percaya dengan komitmen seluruh
warga politeknik, untuk menerapkan budaya inovasi, institusi politeknik
akan muncul sebagai peneraju utama pendidikan dan latihan vokasional
dan teknik yang berkualiti bukan sahaja di negara ini tetapi Insyaallah di
rantau ini.

Program Baharu

12. Oleh kerana ekonomi di negara kita sedang berubah ke arah


ekonomi yang dipacu oleh sektor perkhidmatan, bidang dan program yang
ditawarkan di politeknik juga harus selaras dengan perubahan ini tanpa
mengabaikan keperluan yang masih wujud dalam sektor pembuatan dan
sektor pembinaan. Penawaran kursus-kursus yang berteraskan
perkhidmatan seperti animasi digital, rekabentuk, insurans dan kewangan,
hendaklah dipergiatkan. Disamping itu, kita pandang bidang-bidang baru
seperti bioteknologi dan nanoteknologi juga perlu dibangunkan dan
dijadikan bidang tujahan ataupun niche areas politeknik. Pusat-pusat
kecemerlangan politeknik perlu diwujudkan untuk menggalakkan kolaborasi
intensif dengan pihak industri yang relevan bagi memupuk budaya
penyelidikan dan menjana inovasi dalam bidang-bidang tujahan ini.

5
Universiti Politeknik

13. Saya berharap usaha untuk memperkasa politeknik boleh


direalisasikan dengan penubuhan Universiti Politeknik yang akan menjadi
pelengkap kepada pendidikan vokasional dan teknik di peringkat pengajian
tinggi di negara kita. Penubuhan universiti politeknik akan membolehkan
pelajar mengikuti pengajian vokasional dan teknik pada peringkat pasca
menengah dan tinggi di bawah satu sistem politeknik tanpa perlu
menyambung pengajian ke insititusi yang lain. Dengan menawarkan pakej
pendidikan peringkat diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda,
sistem politeknik pastinya akan berjaya menarik minat pelajar-pelajar
terbaik di negara ini untuk mengikuti pendidikan berteraskan kemahiran
tinggi dan potensi mereka boleh digarap dan ditingkatkan lagi untuk
menyumbang kepada kemajuan negara.

14. Program transformasi politeknik ini mempunyai makna yang besar.


Ia bukan sahaja satu langkah ke hadapan, dalam meningkatkan kualiti
pendidikan vokasional dan teknik di negara ini, tetapi juga bakal mengubah
persepsi terhadap pendidikan berteraskan kemahiran. Pendidikan aliran
vokasional dan teknik, selepas ini bukan lagi menjadi aliran pilihan kedua
ataupun ketiga bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam pencapaian
akademik tetapi akan menjadi aliran pilihan utama pelajar-pelajar terbaik di
negara kita ini. Dengan perubahan persepsi ini, saya berharap lebih ramai
tenaga muda yang berpotensi menceburi bidang latihan berteraskan
kemahiran tinggi dan sekaligus meningkatkan daya saing negara dalam
menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif ini dan

6
Inilah sumbangan utama transformasi politeknik yang akan dijayakan oleh
seluruh warga politeknik di negara ini.

Pembangunan Tenaga Pengajar

15. Dengan harapan besar ini, warga politeknik menggalas tugas yang
amat mencabar untuk meningkatkan kualiti pendidikan politeknik. Warga
politeknik perlu sentiasa peka dan sentiasa responsif dengan tuntutan
semasa. Para penuntut politeknik perlu dibekalkan dengan pendidikan dan
latihan yang sentiasa relevan dengan keperluan industri disamping
menggarap kemahiran minda dan sikap yang membolehkan mereka
menghadapi cabaran baru ekonomi yang berteraskan pengetahuan.

16. Tidak ada jalan mudah untuk mencapai hasrat ini. Seluruh warga
politeknik perlu sentiasa berinovasi dalam menghasilkan kaedah dan
pendekatan yang berkesan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan
latihan. Objektif utama ini ialah untuk menjadikan politeknik sebagai
wadah utama dalam usaha kita untuk melahirkan modal insan yang
berpengetahuan, berkemahiran tinggi, yang kreatif, inovatif dan
berwawasan.

17. Akhir sekali saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah
kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Khaled Nordin dan seluruh
pimpinan atas usaha untuk menjayakan transformasi politeknik ini. Kepada
seluruh warga politeknik, saya mengucapkan Selamat Maju Jaya,
tingkatkanlah usaha dan bekerjalah dalam satu pasukan untuk
meningkatkan kecemerlangan pendidikan politeknik demi masa depan

7
negara. Jadikanlah usaha ini sebagai agenda penting pembangunan
modal insan negara yang kita cintai. Terima kasih.

18. Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya dengan


sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi Politeknik.
Wabillahi al-Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai