Anda di halaman 1dari 3

ARKIB : 04/09/2009

‘Perpaduan senipis kulit bawang’ diulas

SAYA tertarik dengan Cuit Zaini Hassan, bertajuk ‘Perpaduan Senipis Kulit Bawang’, Utusan Malaysia, 2
September 2009. Sukar untuk menafikan pandangan anak sekolah dan beberapa kenyataan awal dalam
tulisan tersebut.

Selepas 52 tahun merdeka, kita masih berhadapan dengan masalah yang sama, yang begitu rumit dan
membimbangkan sesiapa sahaja jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Kebebasan bersuara sekarang ini, makin banyak yang disalahgunakan. Niat baik yang diberi, tidak dibalas
dengan idea bernas untuk memantapkan apa yang ada, sebaliknya seperti menuang minyak petrol pada api
yang sedang mula menyala.

Kemunculan media baru yang memberi kebebasan meluahkan perasaan di ruang siber, menjadi medan
peribadi yang sebahagiannya menulis berdasarkan perasaan sendiri. Namun inilah hakikatnya.

Pengalaman peribadi menguruskan kesilapan teknikal dalam pengumuman kemasukan ke universiti baru-
baru ini menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Maki hamun, kata nista, siri sidang media yang hanya melibatkan satu kaum sahaja dan pelbagai lagi
ugutan merupakan antara perkara rutin yang berlaku hampir sebulan lamanya.

Sebahagian besarnya hanya dilihat dengan pandangan yang berasaskan perkauman kerana menyangka
hanya kaum tertentu yang terlibat dan menjadi mangsa. Orang politik daripada parti berbeza berlumba-
lumba untuk menjadi juara.

Tidak perlu kita salahkan sesiapa. Tembok tinggi yang dibina di banyak kawasan perumahan menjadi bukti
bagaimana makin jauhnya kita terpisah antara satu sama lain.

Walaupun keadaan yang berlaku di pejabat-pejabat dan jabatan yang mempunyai kumpulan kaum yang
berlainan menunjukkan satu hubungan akrab yang berbeza, namun gembar-gembur oleh pihak yang ada
kepentingan sering menimbulkan keresahan semua.

Anak kecil di sekolah juga tidak faham apa-apa tentang warna kulit dan wajahnya yang berbeza. Mereka
cuma tahu berkawan, berseronok dan ketawa bersama dengan penuh tulus dan mesra. Kasih sayang yang
dibina semata-mata atas dasar kemanusiaan dan saling memberi dan menerima.
Malangnya, orang dewasa yang memberikan warna yang berbeza. Orang dewasa yang dibesarkan oleh
sistem persekolahan yang sungguh moden ini, serta sesetengahnya dari negara yang begitu maju dan
tamadun yang dikatakan tinggi masih berada dalam pemikiran yang jumud dan penuh prasangka.

Sesetengahnya membezakan pula dengan negara mereka pernah berada seketika tanpa sama sekali
merujuk pada sejarah yang panjang dan latar belakang yang jauh berlainan.

Di universiti pun sama sahaja. Walaupun di sesetengah kampus, pelajarnya tinggal bersama dalam satu
bilik dengan kaum dan budaya yang berbeza, mereka boleh hidup bersama.

Mereka bahagia mengejutkan teman bangun sahur di bulan Ramadan dan menyambut pelbagai perayaan
bersama. Tidak pernah timbul masalah perselisihan, walau sesekali berbeza pandangan.

Sayangnya, ini jarang dihargai, sebaliknya dilihat dengan prasangka. Sesetengah pihak sengaja pula
menjolok sarang tebuan dengan mengapi-apikan perasaan anak-anak muda dengan pelbagai isu remeh
tetapi berbahaya.

Sewajarnya kesejahteraan dan kesentosaan sejati (yang tulus) boleh diwujudkan jika kita benar-benar
ikhlas. Kita benar-benar lakukan dengan penuh tanggungjawab dan sayangkan satu negara yang sama.
Kita tidak ada kepentingan lain selain daripada mempertahankan kedamaian yang dinikmati sekian lama.

Kita menggunakan ilmu pengetahuan untuk mengukuhkan apa yang ada, bukan mengungkit apa sahaja.

Untuk itu, tidak perlulah lagi untuk mencari asal-usul itu dan ini. Sejarah adalah cermin masa lalu untuk kita
cari kekuatan bersama, bukan meleraikan apa yang kukuh dibina.

Janganlah lagi ungkitkan hal-hal yang telah lama dipersetujui bersama. Malah, kita patut bersyukur dengan
segala yang dinikmati bersama.

Menoleh ke belakang dan melihat semula statistik kemasukan pelajar ke sebuah universiti 40 tahun lalu,
terasa sayunya apabila perbezaan bilangannya amat ketara. Daripada hampir 40 orang misalnya yang mula
memasuki sebuah universiti, hanya seorang yang datangnya daripada satu kaum tertentu.

Sedangkan sekarang ini bilangannya amat jauh berbeza. Jika pun bilangannya tidak sama, tetapi tidaklah
sebesar itu.

Liberalisasi pengajian tinggi membolehkan semua orang berpeluang melanjutkan pengajian, termasuk
warga emas yang berusia 71 tahun.

Malah hari ini, bilangan bukan lagi menjadi masalah besar. Yang menjadi masalah sekarang, bagaimana
orang yang berilmu dapat sama-sama membangunkan dan memajukan apa yang ada serta menghargai,
malah mendidik anak-anak untuk merasai bahawa kepelbagaian bukan masalah yang besar, sebaliknya ia
sepatutnya menjadi warna-warna ceria hidup bernegara.

Malangnya, kita masih di tahap yang sama. Ilmu pengetahuan tidak menjadikan kita lebih bijaksana,
sebaliknya membuatkan kita lupa kepada hakikat bahawa terdapat ada yang lebih penting daripada kuasa
dan wang ringgit, iaitu hati yang murni, keikhlasan diri dan keupayaan untuk bertolak ansur serta saling
memberi demi keharmonian sebuah negara.

Jika 1Malaysia ingin dijadikan realiti, maka keikhlasanlah yang akan menjadi penentunya.

Seperti mana diajar agama, kemaslahatan masyarakat mengatasi kepentingan diri dalam apa jua yang kita
lakukan. Barulah dunia yang lestari dapat dinikmati.

Anda mungkin juga menyukai