Anda di halaman 1dari 20

Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

1.0 PENDAHULUAN
1.1 LATAR BELAKANG KAJIAN

Pada umumnya, kajian sosiolinguistik ini akan menyelidik satu aspek sosiolinguistik,
iaitu bahasa dan penggunaannya. Bahasa yang bersifat heterogen sentiasa mempamerkan
perbezaan dalam penggunaannya. Dalam erti kata lain, terdapat perlbagai ragam dalam
bahasa. Mengikut Hudson dalam kajiannya pada tahun 1980, dalam ilmu sosiolinguistik, ragam
bahasa mengikut penggunaan diistilahkan sebagai register atau laras (S. Nathesan: 1995).
Persoalan laras bahasa yakni bahasa mengikut penggunaannya sudah lama mendapat
perhatian para pengkaji. Antara pengkaji yang terawal ialah Strauman (1935) yang mengkaji
bahasa dalam bidang kewartawanan. Kemudiannya Savory (1967) yang telah mengkaji
tentang ilmu sains. Kedua-dua pengkaji ini tidak menggunakan istilah laras, tetapi telah meneliti
penggunaan bahasa dalam bidang masing-masing menggunakan kaedah analisis linguistik.
Pada awalnya, kebanyakan tulisan dan makalah tentang laras merupakan kajian teoritis sahaja,
seperti tulisan Haliday (1968) dan Gregory (1967). Namun begitu, ada juga kajian atau analisis
terperinci terhadap laras-laras tertentu dengan menggunakan pendekatan atau model tertentu
seperti yang disarankan oleh Hill (1958), Joas (1962), Halliday (1964), Spensor (1964), Gregory
(1964) dan Ure (1969).

Dewasa ini, aspek laras bahasa mula mendapat perhatian dalam kalangan ahli bahasa
dan konsep laras ini telah menjadi satu fenomena penting sebagai satu variasi bahasa.
Sekarang ini, terdapat banyak penulisan tentang laras, terutamanya dalam ilmu yang
melibatkan hubungan bahasa dengan masyarakat. Kita tidak boleh mengendahkan laras dalam
kajian bahasa kerana hal ini akan menjadikan kajian bahasa sempit dan tidak berfungsi.

Laras ialah satu unsur yang sangat penting bagi memperluas dan memperkembangkan
sesuatu bahasa. Bahasa akan menjadi luas dan berkembang apabila digunakan dalam
pelbagai situasi dengan pelbagai tujuan dan maksud. Laras berubah-ubah mengikut situasi
atau keadaan. Hal ini dapat dibuktikan apabila kita mengamati perlakuan bahasa yang wujud
dalam pelbagai konteks, kita akan dapati terdapat kelainan cara kegunaan bahasa itu.
Misalnya, penggunaan bahasa lisan ditentukan oleh suasana formal dan tidak formal dan ia
merupakan laras bahasa ucapan, laras bahasa sains pula digunakan untuk memperkatakan
tentang sains dan teknologi, dan laras bahasa doa digunakan untuk keinginan kepada Tuhan.

1
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

Bentuk bahasa yang khusus sifatnya bagi membincangkan sesuatu bidang, itulah yang
dianggap sebagai laras. Kemampuan seseorang menggunakan laras yang betul dan tepat
mengikut situasi dan keadaan membolehkan segala maklumat yang hendak dinyatakan lebih
mudah difahami dan dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan. Bahasa juga mempunyai
fungsi-fungsi tersendiri iaitu sebagai penyampai maklumat, penyataan mental atau emosi,
pengikat kumpulan sosial, lambang kumpulan sebaya dan lain-lain. Laras selalunya ditekankan
untuk membolehkan bahasa digunakan dengan betul dan menepati fungsinya. Berpandukan
premis ini, jelaslah bahawa kajian terhadap laras bahasa adalah perlu.

1.2 KAEDAH DAN TUJUAN KAJIAN


Kajian bersifat deskriptif ini akan menggunakan kaedah analisis linguistik untuk mengkaji
laras bahasa yang digunakan dalam akademik dan laras bahasa yang digunakan dalam
perniagaan. Kaedah ini adalah pendekatan yang lazim dilakukan dalam penyelidikan terhadap
laras bahasa. Untuk mengkaji laras bahasa akademik dan perniagaan ini, buku S. Nathesan
(1995) dan Kamaruddin Haji Husin (1995) telah digunakan sebagai rujukan. S. Nathesan
menyediakan kerangka itu berdasarkan kajian yang pernah diterjemahkan oleh Nik Safiah
Karim pada tahun 1986. Kerangka Nik Safiah Karim itu sebenarnya pernah digunakan oleh
Leech dan Short (1981) untuk mengkaji bahasa kreatif (fiksyen). Selain itu, bahan-bahan
rujukan dari perpustakaan Fakulti Bahasa dan Linguistik Unversiti Malaya (UM) turut dijadikan
panduan dalam menyiapkan kajian ini. Dalam kajian ini, kami membandingkan Jurnal
Akademik yang kami perolehi dari dari Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya dan juga
Jurnal Ekonomi yang kami perlolehi dari Perpustakaan Fakulti Perniagaan, Universiti Teknologi
Mara (UiTM).

Tujuan kajian ini adalah untuk lebih memahami tentang konteks laras bahasa dengan
lebih terperinci. Sebagai pelajar yang mendalami ilmu bahasa, bahasa akademik dan
perniagaan merupakan sesuatu yang sangat berlainan. Oleh kerana itulah, ia dijadikan sebagai
kajian untuk kami lebih memahami tentang perbezaan yang terdapat dalam laras bahasa
akademik dan perniagaan. Kajian ini juga dilakukan memandangkan laras bahasa amat
penting dalam bahasa kerana laras bahasa tidak boleh digunakan untuk membicarakan semua
situasi penggunaan bahasa. Selain itu, kajian ini bermatlamat untuk mengenal pasti ciri-ciri
khusus yang terdapat dalam laras-laras akademik dan perniagaan ini.

2
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

1.3 PENGERTIAN DAN KONSEP LARAS

Laras bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Laras bahasa boleh
ditakrifkan sebagai ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidang sesuatu wacana
digunakan. Sesuatu laras bermaksud variasi bahasa yang boleh dipilih daripada sekumpulan
variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Mengikut Haliday (1968), beliau mendefinisikan laras
sebagai variasi bahasa yang berlainan berdasarkan fungsi. Menurut beliau, laras berubah-ubah
mengikut situasi. Dalam erti kata lain, seseorang penutur akan mengubah laras bahasanya
bergantung kepada situasi, iaitu dengan siapa dia bercakap, suasana bentuk percakapan, dan
ia bergantung sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan. Haliday mendasarkan perbezaan
laras yang digunakan kepada dua faktor iaitu pengguna dan penggunaan. Perbezaan dari segi
pengguna mewujudkan dialek manakala perbezaan dari segi penggunaan akan mewujudkan
dialek sosial. Perbezaan ini dapat digambarkan seperti di bawah. Laras mempunyai bentuk
yang tersendiri dan ciri-cirinya yang paling utama ialah pebendaharaan kata, susunan ayat dan
frasa.

Bahasa

Pengguna Penggunaan

dialek laras

(berdasakan daerah) (berdasarkan faktor sosial)

Pilihan laras amat luas, misalnya laras apabila bercakap dengan rakan sepejabat
tentang hal-hal pekerjaan, laras dengan majikan, laras dalam suasana rumah tangga, misalnya
antara suami isteri dengan anak-anak, dengan mentua dan dengan sanak saudara, laras
sewaktu menulis laporan atau minit mesyuarat, laras sewaktu menyampaikan ucapan dan laras
sewaktu tawar-menawar di pasar. Jumlah laras seseorang itu menggambarkan sesuatu
pengalaman bahasanya dan peranan yang dimainkan olehnya dalam masyarakat. Semakin
besar jumlah peranannya, maka semakin besarlah jumlah laras bahasa yang digunakan.

Demikian juga, jumlah bahasa yang wujud dalam setiap masyarakat menggambarkan
pengalaman bahasa masyarakat tersebut. Hal ini kerana kemunculan laras-laras bahasa selari

3
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

dengan kewujudan situasi-situasi penggunaan bahasa. Laras berubah selaras dengan


perubahan-perubahan sosial dan kebudayaan yang berlaku dalam masyarakat dan secara
bandingan, laras berubah lebih cepat daripada aspek-aspek bahasa yang lain. Apabila muncul
perubahan-perubahan dalam masyarakat seperti alat-alat baharu, bentuk-bentuk politik baharu
dan teknologi baharu, akan muncul juga bersama-samanya unsur pembaharuan iaitu gaya
pembicaraan dan pengukapan yang baharu,yakni laras bahasa baharu.

1.3.1 Ciri-Ciri Laras Bahasa

(a) Ciri-ciri keperihalan sesuatu peristiwa bahasa.

Ciri-ciri keperihalan terbahagi kepada dua jenis iaitu situasi luaran dan situasi
persekitaran. Situasi luaran ialah latar belakang sosial dan budaya sesuatu
masyarakat bahasa. Ruang lingkupnya adalah luas meliputi struktur sosial dan
keseluruhan cara hidup yang menentukan perlakuan anggota masyarakat. Sebagai
contoh, huraian tentang laras bahasa Melayu lama hendaklah dikaitkan dengan
situasi istana dan tradisi sastera lisan. Demikian juga, laras bahasa ucapan rasmi
hendaklah mengambil kira bentuk sapaan, teknik berucap dan bentuk penutup
ucapan yang sesuai. Situasi persekitaran pula ialah aspek-aspek yang terlibat
secara langsung dalam penggunaan bahasa. Aspek-aspek ini menghasilkan laras-
laras yang berlainan.

Empat faktor persekitaran yang ketara ialah cara penyampaian, hubungan sosial
dan peribadi antara pengguna bahasa, bahan yang diperkatakan, dan fungsi-fungsi
sosial perlakuan bahasa. Cara penyampaian merujuk kepada bentuk perhubungan
yang digunakan, termasuk jenis bahasa (lisan, bertulis, bahasa isyarat dan
sebagainya), peserta-peserta yang terlibat dalam sesuatu peristiwa bahasa dan
jangka masa yang diambil untuk penggunaan bahasa itu. Hubungan sosial dan
peribadi antara pengguna bahasa membawa perbezaan makna. Terdapat dua aspek
yang berkaitan dengan hal ini iaitu, hubungan yang bersifat peribadi antara individu
dengan individu dalam masyarakat. Pelbagai jenis hubungan peribadi yang wujud
bermula daripada yang paling intim dan mesra seperti antara suami isteri. Hubungan
kedua ialah hubungan yang jauh jaraknya seperti yang berlaku antara pihak yang
menghasilkan akhbar dan majalah dengan pembacanya.

4
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

Bahan yang diperkatakan merujuk kepada isi dan kandungan sebagai contoh
cara memperkatakan bidang sukan tidak sama dengan cara mengajar ilmu kira-kira.
Fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa pula merujuk kepada bahasa sebagai
bahagian utama daripada perlakuan sosial. Sebagai contoh, bahasa diperlukan
untuk berhubung, untuk menyampaikan fikiran dan perasaan.

(b) Ciri-ciri linguistik.

Ciri linguistik pula bermaksud unsur-unsur sistem bahasa itu sendiri,iaitu


aspek bunyinya, aspek perkataannya, serta aspek frasa dan ayatnya. Tiap-tiap laras
dapat dikenali melalui penggunaan ciri-ciri linguistik tertentu iaitu aspek bunyi, aspek
perkataan dan aspek ayat. Aspek bunyi membezakan satu laras dengan laras-laras
lain terutama laras berbentuk lisan. Aspek perkataan merujuk kepada penggunaan
khusus dalam bidang-bidang tertentu yang menjadi ukuran jenis laras. Aspek ayat
pula dari segi binaan, susunan dan panjang pendeknya menjadikan laras berbeza-
beza.

1.4 TEORI DAN PENDEKATAN LARAS

Beberapa sarjana barat telah mengklasifikasikan teori dan pendekatan laras.

1. Hill (1964) dalam Institutional Linguistics mengklasifikasikan laras mengikut tiga dimensi
iaitu gaya, genre dan cara.

2. Joos melihat laras dari dimensi formaliti telah menegaskan gaya dengan
membahagikannya kepada lima jenis iaitu beku, formal, rundingan, selamba, dan intim
dalam tulisannya The Five Clocks.

3. Halliday et al. dalam The Linguistic Science and Language Teaching mengklasifikasikan
laras kepada tiga dimensi iaitu tajuk wacana, cara penyampaian wacana, dan gaya
wacana.

a. Tajuk wacana : bidang penggunaan bahasa iaitu subjek pembicaraan seperti

biologi, matematik, psikologi dan agama.

b. Cara penyampaian wacana : media perlakuan bahasa iaitu lisan dan tulisan.

5
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

c. Gaya wacana : hubungan antara peserta perlakuan bahasa seperti gaya formal

dan tidak formal.

4. Spensor dan Gregory (1964) mengklasifikasikan laras mengikut pembahagian yang


sama seperti Hill.

5. Ellis (1966) pula menambah satu lagi klasifikasi yakni peranan kepada klasifikasi Hill.

6. Ure dan Ellis dalam tulisan mereka Language Varieties: Register (1969)
mengklasifikasikan laras kepada empat matra (dimension), iaitu bidang, cara, peranan
dan keformalan (field, mode, role dan formality).

7. Menurut Halliday (1964) dan Ure dan Ellis (1977) satu analisis perlu dilakukan dengan
luas untuk mengenalpasti ciri-ciri linguistik yang khusus dalam laras yang dikaji. Ciri-ciri
linguistik ini boleh diperoleh melalui satu analisis deskriptif untuk melihat bentuk bahasa
(Ure dan Ellis, 1977: 199).

8. Menurut Halliday (1964) dua perkara utama yang membezakan laras bahasa ialah
tatabahasa dan perbendaharaan kata atau leksisnya.

Berdasarkan kajian para sarjana barat, klasifikasi boleh disimpulkan berdasarkan matra seperti
bidang, cara, peranan dan formaliti.

9. Kajian laras Asmah Hj. Omar menggunakan pendekatan yang berlainan. Misalnya,
beliau menganalisis bahasa saintifik (1987) dari aspek laras dan gaya, istilah dalam
bentuk kata dan frasa, modus dan teks serta ketenunan.

10. Nik Safiah Karim pula mengkaji laras bahasa akademik (1989) dengan melihat aspek
kata, tatabahasa, keindahan bahasa serta ketenunan.

6
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

2.0 DATA KAJIAN

2.1 LARAS BAHASA AKADEMIK.

Laras bahasa akademik ialah laras yang mengungkapkan ilmu. Ia merupakan kemuncak
pencapaian taraf keintelektualan bahasa. Laras akademik berusaha menghasilkan bentuk yang
tepat dan mencerminkan kejelasan pemikiran yang mengutamakan konsep serta urutan
pemikiran secara logik. Keintelektualan bahasa yang dimaksudkan digambarkan daripada
penggunaan perbendaharaan kata, gaya bahasa, ketenunan dan sebahagiannya lagi melalui
struktur tatabahasa iaitu keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa.

Keintelektualan bahasa dicapai melalui penggayaan perbendaharaan kata iaitu dengan


penambahan istilah yang mungkin bersifat khusus untuk bidang tertentu yang berbeza dengan
penggunaan biasa. Hal ini disertai dengan pemantapan sistem tatabahasa, penyediaan kamus
serta bahan-bahan rujukan. Di samping keintelektualan, bahasa akademik perlu memliki ciri
kesempurnaan iaitu sifat-sifat yang menjadikan sesuatu bahasa itu sesuai, tepat, tegas dan
berkesan dalam situasi atau konteks penggunaannya. Bahasa yang sempurna itu
memperlihatkan kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.

Kajian terhadap laras akademik dilakukan ke atas beberapa jurnal yang dipilih sebagai
korpus. Dalam kajian ini hanya empat aspek sahaja yang diteliti iaitu:

a. tatabahasa
b. perbendaharaan kata atau leksis
c. ketenunan
d. gaya bahasa

i) Tatabahasa

7
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

Tatabahasa merujuk kepada sistem atau peraturan bahasa. Aturan itu berkaitan
dengan pembentukan perkataan (perkataan) dan proses pembentukan ayat (sintaksis).
Tatabahasa sesuatu laras disusun dengan cara yang tertentu untuk menimbulkan laras bahasa
yang berbeza–beza dan sudah tentu susunan sedemikian itu membawa pengertian yang
berbeze-beza. Penelitian dibataskan kepada bidang morfologi dan sintaksis sahaja. Dalam
aspek sintaksis kekerapan jenis-jenis ayat seperti ayat tunggal, ayat penyata dikaji manakala
dalam aspek morfologi pula penggunaan jenis-jenis data diteliti.
ii) Perbendaharaan Kata

Perbendaharan kata atau leksis bermakna kompenen bahasa yang memuatkan semua
maklumat tentang makna dan penggunaan kata dalam bahasa. Leksis juga bermakna kosa
kata. Leksis boleh terdiri daripada kata, istilah pinjaman dan istilah bukan pinjaman. Nik Safiah
Karim (1989) menyatakan salah satu ciri yang penting untuk mengenalpasti laras ialah
perbendaharaan kata atau kosa kata.

iii) Ketenunan

Ketenunan ialah cara-cara sebahagian daripada teks dihubungkan dengan yang lain,
misalnya cara ayat-ayat digabungkan. Ketenunan boleh ditimbulkan melalui cara perujukan
rentas dan penghubung. Ketenunan amat penting di dalam melakukan sesuatu penulisan yang
berbentuk akademik. Jika tiada tautan, penulisan itu akan menjadi penulisan yang hambar dan
susah untuk di fahami.

iv) Gaya Bahasa

Gaya bahasa bermaksud cara atau bentuk bahasa yang digunakan dalam pertuturan
atau penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu. Dalam laras bahasa akademik, gaya
bahasa yang sempurna harus mempunyai ciri keindahan bahasa supaya bahasa yang
digunakan untuk melahirkan perasaan, pendapat dan buah fikiran itu mempunyai perkataan
yang sedap didengar, bertenaga dan menarik serta dapat menyentuh perasaan hati pembaca
dan pendengar. Gaya bahasa yang digunakan juga haruslah mempunyai objektif dan jelas.

8
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

2.2 LARAS BAHASA PERNIAGAAN

Laras bahasa perniagaan ini biasanya digunakan dalam dunia korporat, khususnya
bidang perusahaan, perindustrian, perakaunan, perbankan, perniagaan dan perdagangan. Di
dalam aspek bahasa perniagaan, penggunaan bahasa Melayu terpaksa bersaing dengan
bahasa Inggeris. Penggunaan laras bahasa perniagaan dalam bahasa Melayu amat penting,
khususnya dalam aspek komunikasi memandangkan ekonomi negara menjelang abad ke-21
akan berasaskan perindustrian dan perusahaan.

Beberapa jurnal telah dipilih sebagai korpus dalam laras perniagaan. Aspek yang dikaji
serta diberi penekanan ialah tatabahasa, perbendaharaan kata, ketenunan dan gaya bahasa.

i) Tatabahasa.

Dalam aspek tatabahasa, laras bahasa perniagaan dilihat daripada konteks morfologi,
akronim, kata majmuk dan sintaksis. Morfologi ialah kajian terhadap pembetukan kata. Dalam
laras perniagaan, kata-kata umum (kata tunggal) dalam bahasa Melayu boleh menjadi kata-kata
khusus dalam bidang perniagaan apabila menjadi kata terbitan. Sebagai contoh, kata tunggal
wang menjadi kewangan. Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan
menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan huruf awal dan suku kata daripada satu
rangkai kata dan ditulis serta dilafaz sebagai kata yang wajar. Sebagai contoh, BSKL daripada
perkataan Bursa Saham Kuala Lumpur. Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk daripada
dua kata dasar atau lebih dan perkataan yang terhasil yang membawa maksud tertentu,
bertindak sebagai satu unit dan lazimnya terpisah. Sebagai contoh kata untung bersih, sebut
harga dan harta semasa. Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses
pembentukan ayat.

ii) Perbendaharaan kata.

9
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

Dalam aspek perbendaharaan kata, laras bahasa perniagaan dilihat daripada aspek
istilah khusus dan istilah umum. Antara contoh istilah khusus atau penanda laras ialah agihan
jualan, anggaran kos, harga mutlak, fraincais dan eksport. Manakala contoh bagi istilah umum
yang diberi pengertian khusus merujuk bidang ekonomi ialah untung, susut, runcit, tempoh
hutang dan tunai.

iii) Ketenunan

Ketenunan ialah cara-cara sebahagian daripada teks dihubungkan dengan yang lain,
misalnya cara ayat-ayat digabungkan. Ketenunan boleh ditimbulkan melalui cara perujukan
rentas dan penghubung. Dalam bahasa perniagaan, ketenunan amat penting kerana ia
menggambarkan kejelasan terhadap sesuatu fakta itu.

iv) Gaya bahasa.

Dalam aspek gaya bahasa, laras bahasa berbentuk ilmiah iaitu laras bahasa yang
mengungkapkan ilmu. Gaya bahasa juga bersifat formal dan mempunyai perkataan, istilah
susunan frasa dan ayat yang baik, sesuai dan tepat serta boleh menyampaikan maksud dan
pengertian dengan berkesan. Selain itu, gaya bahasa banyak menggunakan jadual, graf dan
carta, graf statistik dan sebagainya.

10
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

2.3 CIRI-CIRI LARAS BAHASA AKADEMIK DAN PERNIAGAAN

2.3.1 Laras Bahasa Akademik.

Laras bahasa akademik ialah laras yang mengungkapkan ilmu. Meliputi pelbagai
bidang seperti sains, teknologi, komunikasi, matematik dan sebagainya yang terletak
dalam ruang lingkup pendidikan. Seperti laras bahasa yang lain, laras akademik juga
memiliki ciri-cirinya yang tersendiri. Antara ciri-ciri laras bahasa akademik ialah bernada
formal dan berobjektif. Bahasa akademik mesti bersifat formal. Oleh itu, setiap fakta
dan hujah perlu disampaikan dengan sempurna supaya bahasa yang digunakan teratur
dan jelas. Fakta yang dipaparkan di dalam penulisan akademik perlulah jelas dan
berobjektif, dan objektif penulisan setiap hujah mestilah berdasarkan kajian dan fakta.
Selain itu, laras akademik menggunakan sudut pandang orang ketiga dari aspek cara
dan gaya penulisan. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan unsur personal antara penulis
dengan pembaca.

Selain itu, di dalam bahasa akademik, ayat pasif selalu digunakan. Konsep ayat
pasif adalah berkaitan dengan penegasan objek ayat dan bukan subjek ayat(pelaku).
Ragam pasif yang yang seuai dalam konteks ini ialah ragam pasif neutral, iaitu yang
menggugurkan pelaku. Ciri lain yang terdapat dalam laras bahasa akademik ialah dari
aspek wacana. Dalam laras akademik, jenis wacana yang digunakan ialah wacana
pemaparan. Wacana pemaparan digunakan kerana laras akademik mengungkapkan
buah fikiran dan ilmu berdasarkan fakta dan bukti.

Laras bahasa akademik ini mengungkapkan nada yang bersahaja. Unsur


emosional, ungkapan yang melampau dan ekstrim tidak sesuai dalam pemggunaan
bahasa akdemik. Memandangkan fungsinya untuk memaparkan kajian, maka tidak
haruslah unsur sentimen dipaparkan dalam laras ini. Laras bahasa akademik hendaklah

11
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

bernada sederhana untuk tidak menimbulkan keraguan kepada pembaca dan ia


haruslah sesuai dengan peribadi penulis itu.

Selain itu, laras bahasa akademik perlulah memiliki ciri tingkat bahasa rasmi.
Bahasa rasmi ialah bahasa yang mematuhi peraturan-peraturan bahasa. Oleh itu,
bahasa akademik mestilah bahasa baku dan kesalahan tatabahasa tidak dibenarkan
sama sekali. Unsur bahasa basahan tidak boleh ada dalam huraian penulis kecuali
sebagai data. Penggunaan ilustrasi juga penting di dalam penulisan akademik.
Penggunaan bahan-bahan ini perlu kerana kadang-kadang huraian dalam tulisan ada
kalanya tidak mencukupi dan perlu dibantu dengan huraian-huraian ilustrasi.

2.3.2 Laras Bahasa Perniagaan

Laras bahasa perniagaan juga mengungkapkan ilmu dan ruang lingkupnya juga
banyak kepada bidang pendidikan. Laras bahasa perniagaan mempunyai istilah khusus
yang lebih terjurus kepada penanda laras serta istilah umum yang lebih merujuk kepada
bidang ekonomi. Selain itu, ciri-ciri bahasa perniagaan ini selalu di dapati di dalam
artikel iklan. Banyak iklan perniagaan yang memaparkan slogan, kaedah penyataan,
kaedah umpan, bandingan dan banyak lagi dalam mengajak pembaca memahami
keterangan yang disampaikan itu. Dalam hal ini, ia mempengaruhi penguna untuk
membentuk tanggapan tertentu atau mengubah sikap dalam melakukan tindakan.

Selain itu, laras bahasa perniagaan ini bersifat formal dan mempunyai perkataan,
istilah susunan frasa dan ayat yang baik, sesuai dan tepat serta boleh menyampaikan
maksud dan pengertian dengan berkesan. Hal ini menunjukkan bahawa laras bahasa
perniagaan juga mempunyai objektif di dalam menyampaikan sesuatu maklumat supaya
bahasa yang digunakan teratur dan jelas.

Ciri-ciri laras bahasa perniagaan juga menggunakan ilustrasi yang banyak


seperti menggunakan jadual, graf dan carta, graf statistik dan sebagainya. Hal ini
kerana, di dalam perniagaan, banyak istilah yang disampaikan lebih mudah di fahami
melalui ilustrasi ini. Ada juga lukisan, gambar, grafik dan sebagainya lagi turut di
gunakan dalam bahasa perniagaan ini bagi menterjemahkan maksud sesuatu istilah itu
untuk lagi mudah difahami.

12
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

3.0 DAPATAN KAJIAN


3.1 ANALISIS JURNAL AKADEMIK

Dalam mengkaji laras bahasa akademik, beberapa jurnal seminar telah dijadikan
sebagai bahan untuk kami mengkaji larasnya dari aspek tatabahasa, perbendaharaan kata,
ketenunan dan juga aspek gaya bahasa. Penelitian dibataskan kepada penulisan pengarang
sahaja iaitu bahasa yang digunakan oleh pengarang untuk membicarakan bidang ini.

Teks 1 : “Pembudayaan Ilmu Melalui Penterjemahan”


Abdul Wahid Jais dan Faezah Kassim
Universiti Malaya (Lampiran 1)

Tatabahasa :

Aspek sintaksis dan morfologi dalam jurnal ini sangat jelas dan tajuknya juga
menggunakan aspek kata tunggal yang menjadi kata khusus(terbitan) dalam menyampaikan
maksud, contohnya istilah pembudayaan yang berasal dari perkataan budaya manakala istilah
penterjemahan pula berasal dari perkataan terjemah. Banyak ayat penyata yang digunakan
dalam jurnal ini dan frasanya memiliki ciri-ciri akademik yang sangat jelas.

Perbendaharaan Kata:

Terdapat perkataan-perkataan pinjaman dalam jurnal ini antaranya seperti History of


Sumatera, versatile, Mukaddimah dan lain-lain lagi. Selain itu, ada istilah-istilah sanskrit turut
digunakan dalam jurnal ini antaranya ialah Sulalatus Salatin.

Ketenunan:

13
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

Dalam jurnal ini banyak aspek ketenunan digunakan dan antara ciri ketenunan yang
digunakan adalah melalui cara penghubung. Contohnya:

‘ Dalam perkembangan dan pembentukan tamadun Cina, pemikiran Konfusius dikatakan


telah memainkan peranan utama. Oleh itu, tidak hairanlah jika didapati fahaman
Konfisianisme memainkan peranan penting dalam tamadun Cina dan dikatakan
mewakili cara hidup yang diikuti orang-orang cina lebih 2000 tahun yang lalu.’

Kata hubung oleh itu telah menjadi peghubung untuk ayat di atas dan ia menyampaikan
maklumat melalui ayat utama sebelum kata hubung itu.

Gaya Bahasa:

Keseluruhan ayatnya bernada pemberitahuan, bersahaja, mudah diikuti dan lancar


dengan syarat pembaca perlu mengetahui terlebih dahulu istilah tertentu yang terdapat dalam
teks. Oleh yang demikian, teks ini merupakan sebuah teks yang ilmiah dari segi kuantitatif
dan kualitatif.

Teks 2 : “Membina Kepustakaan Melayu Melalui Terjemahan”


Dr Abdullah Hassan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (Lampiran 2)

1. Tatabahasa:

Dalam jurnal ini, aspek sintaksisnya sangat jelas. Frasanya bercorak akademik 100%.
Jenis ayat yang di sampaikan juga bercorak positif. Ayat penyata banyak digunakan untuk
memberikan keterangan tentang sesuatu hal dan banyak juga ayat kompleks digunakan dalam
jurnal ini.

2. Perbendaharaan Kata:

Terdapat perkataan-perkataan pinjaman dalam jurnal ini antaranya seperti


ensiklopedia, Publishers Weekly, dummy dan lain-lain lagi. Selain itu, ada istilah-istilah sanskrit
turut digunakan dlam jurnal ini antaranya ialah kalibrasi dan dinar.

3. Ketenunan:
Banyak aspek ketenunan digunakan dalam jurnal ini. Cara perujukan rentas dapat
dilihat melalui contoh ini:
‘Di Jundi Shhpur, tradisi perubatannya adalah gabungan antara perubatan Yunani dan

14
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

India. Inilah yang menjadi asas kepada pembinaan ilmu perubatan Arab Islam.’

Dalam ayat ini, ketenunan di wujudkan melalui kata penghubung inilah.

4. Gaya Bahasa:

Keseluruhan ayatnya bernada pemberitahuan dan penganalisisan, ada sedikit ayatnya


yang menyatakan angka sebagai acuan analisis tetapi tidak secara menyeluruh. Oleh yang
demikian, teks “Membina Kepustakaan Melayu Melalui Terjemahan” ini adalah merupakan
sebuah teks yang sangat ilmiah dari segi kuantitatif dan kualitatif.
3.2 ANALISIS JURNAL PERNIAGAAN

Dalam mengkaji laras bahasa perniagaan, beberapa jurnal ekonomi telah dijadikan
sebagai bahan untuk kami mengkaji larasnya dari aspek tatabahasa, perbendaharaan kata,
ketenunan dan juga aspek gaya bahasa. Penelitian dibataskan kepada penulisan pengarang
sahaja iaitu bahasa yang digunakan oleh pengarang untuk membicarakan bidang ini.

Teks 1 : “Peranan Industri Desa dalam Pembangunan Industri”


Chamhuri Siwar, Ahmad Md. Zain dan Abd Hamid Jaafar (Lampiran 3)

Tatabahasa:

Dalam jurnal ini, kata-kata umum iaitu kata tunggal boleh menjadi kata-kata khusus
dalam bidang perniagaan apabila menjadi kata terbitan. Sebagai contoh, kata tunggal bangun
yang menjadi pembangunan. Ayat yang digunakan menampakkan fungsinya sebagai bahasa
untuk menterjemahkan keadaan sektor industri desa yang sedang membangun. Selain itu, ayat
majmuk turut digunakan seperti gunatenaga. Konteks gunatenaga dalam jurnal ini lebih kepada
maksud para pekerja iaitu orang yang digunakan dalam sektor industri desa. Terdapat juga
penggunaan akronim dalam jurnal ini seperti contoh, KDNK iaitu (Keluaran Dalam Negara
Kasar) dan juga DEB iaitu (Dasar Ekonomi Baru).

Perbendaharaan Kata:

Terdapat istilah khusus yang digunakan dalam jurnal ini iaitu industrialisasi yang
merujuk kepada industri yang ditekankan dalam kajian jurnal ini. Ia menjadi penanda laras
kepada industri desa. Selain itu, kata kekurangan modal juga menjadi istilah khusus dalam
menyampaikan maksud kekurangan wang. Istilah umum yang terdapat dalam jurnal ini adalah
seperti untung yang merupakan istilah yang selalu terdapat dalam jurnal ekonomi seperti ini.

15
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

Ketenunan:

Aspek ketenunan yang dapat dilihat dalam jurnal ini adalah melalui cara perujukan
contohnya:
‘Hanya 7.32% daripada jumlah responden mendapatkan bekalan input dari
lain-lain negeri. Keadaan ini menunjukkan industri desa masih belum dapat
mewujudkan rantaian dalam bekalan input antara negeri.’

Keadaan ini dalam ayat di atas menunjukkan perkaitan dengan ayat sebelumnya dan itu
merupakan perujukan yang terdapat dalam ayat itu.
Gaya Bahasa:

Banyak ayatnya menggunakan angka sebagai acuan analisis. Ayatnya bernada


pemberitahuan dan baris-baris ayat terikat dengan fakta-fakta ekonomi yang telah sedia ada.
Ayatnya jelas dan fokus terhadap sesuatu perkara. Hal ini membuktikan gaya bahasa dalam
jurnal perniagaan juga bersifat ilmiah.

Teks 2: “Penyerapan Prinsip-Prinsip Ekonomi Islam dalam Pembangunan Negara”


Ismail M. Salleh
Unversiti Kebangsaan Malaysia (Lampiran 4)

Tatabahasa:

Dalam jurnal ini juga terdapat kata-kata umum iaitu kata tunggal yang menjadi kata
terbitan. Sebagai contoh, kata tunggal tekan yang menjadi penekanan dan perkataan yang
berubah itu menampakkan fungsinya yang berbeza. Terdapat juga penggunaan akronim dalam
jurnal ini seperti contoh, KDNK iaitu (Keluaran Dalam Negara Kasar), DEB iaitu (Dasar Ekonomi
Baru), RIDA dan juga FELDA.

Perbendaharaan Kata:

Terdapat istilah khusus yang digunakan antaranya ialah isirumah manakala istilah
umum pula ialah seperti import. Terdapat juga perkataan pinjaman dalam jurnal ini antaranya
ialah backwash, trickle down dan corporate.

Ketenunan:

16
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

Ciri ketenunan yang terdapat dalam jurnal ini antaranya malalui cara perujukan dan ada
juga melalui cara pengulangan. Terdapat juga cara penghubung yang digunakan dalam jurnal
ini bagi menampakkan ketenunan antara fakta yang dihujahkan.

Gaya Bahasa:

Juga terdapat ayat yang menggunakan angka sebagai acuan analisis tetapi tidak terlalu
banyak. Ayatnya bernada pemberitahuan, berobjektif dan baris-baris ayat terikat dengan fakta-
fakta ekonomi. Hal ini membuktikan gaya bahasa dalam jurnal perniagaan juga bersifat ilmiah.

3.3 PERSAMAAN DAN PERBANDINGAN LARAS BAHASA AKADEMIK DAN


PERNIAGAAN

3.3.1 Persamaan

Dalam aspek tatabahasa kedua-dua laras ini menggunakan istilah-istilah


tatabahasa yang hampir sama bertujuan untuk kejelasan dan pemahaman ayat dengan
lebih mudah. Dari aspek sintaksis, kedua-dua bahasa banyak menggunakan ayat penyata.
Penggunaan ayat pemeri juga merupakan unsur penting dalam menjadikan ayat untuk
bahasa akademik dan perniagaan itu lebih jelas. Dari aspek morfologi, tidak banyak
perbezaannya. Sebagai contoh, banyak kata tunggal bertukar menjadi kata khusus apabila
menjadi kata terbitan. Hal ini kerana, kata tunggal itu bertukar fungsinya untuk menjadi
sesuatu yang lebih jelas dalam menyampaikan makna perkataan tersebut di dalam laras
bahasa itu.

Dalam aspek perbendaharaan kata, kedua-dua laras bahasa mempunyai susunan


ayat yang teratur. Selain itu dalam laras akademik dan perniagaan, penggunaan kata
bahasa melayu jati agak kurang dan lebih banyak menggunakan kata pinjaman. Aspek
ketenunan juga mempunyai kaitan yang sama. Dalam menjadikan bahasa itu sebagai satu
ilmu, aspek ketenunan berfungsi sebagai sesuatu yang amat penting untuk pemahaman
pembaca. Kedua-dua laras ini menggunakan aspek ketenunan yang ditimbulkan melalui
cara perujukan rentas dan penghubung. Ia amat penting dalam menyatakan sesuatu fakta.

Aspek gaya bahasa dalam laras bahasa akademik dan juga perniagaan mempunyai
persamaan dari ciri nada penyampaian maklumat atau pemberitahuan sesuatu fakta.

17
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

Kedua-dua laras bahasa ini mempunyai perkaitan dari aspek gaya bahasa kerana kedua-
dua laras ini menyampaikan ilmu.

3.3.2 Perbezaan

Dari aspek tatabahasa laras bahasa akademik, ia tidak banyak menggunakan


kata akronim. Berbeza dengan laras perniagaan, ia banyak menggunakan kata akronim
dan sebagai contoh:
BSKL- Bursa Saham Kuala Lumpur
BSN- Bank Simpanan Nasional
Dari aspek sintaksis, laras bahasa perniagaan menggunakan ayat pasif yang
kerap mnakala dalam laras bahasa akademik, lebih banyak menggunakan ayat aktif.
Laras bahasa akademik lebih cenderung menggunakan ayat majmuk yang kompleks
tetapi laras bahasa perniagaan lebih cenderung menggunakan ayat majmuk yang
mendukung beberapa isi dalam satu ayat untuk menimbulkan kelancaran dan
kesinambungan wacana. Dalam aspek lain, ayat-ayat dalam laras akademik lebih
ringkas dan tepat berbanding laras bahasa perniagaan.

Dalam aspek perbendaharaan kata laras perniagaan, banyak penggunaan istilah


khusus yang menjadi penanda laras. Contohnya agihan jualan, anggaran kos, harga
mutlak, francais dan eksport. Penggunaan istilah umum yang diberi pengertian khusus
yang merujuk bidang ekonomi. Contohnya untung, tempoh hutang, tunai dan runcit.
Berbanding dengan laras bahasa akademik, tidak terlalu banyak istilah khusus dan
istilah umum yang digunakan.

Dalam aspek ketenunan, laras bahasa perniagaan menggunakan cara perujukan


rentas dan penghubung yang seimbang manakala ketenunan laras akademik lebih
banyak wujud ciri penghubung. Dari aspek gaya bahasa, laras perniagaan banyak

18
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

menggunakan jadual, graf dan carta, graf statistik dan sebagainya berbeza dengan laras
akademik yang lebih menjurus kepada fokus kepada nada pemeberitahuan. Selain itu,
laras perniagaan juga banyak menggunakan angka dalam ayatnya untuk menyatakan
fakta terhadp sesuatu pemeberitahuan dan laras akademik tidak seperti itu.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, laras bahasa akademik dan laras bahasa perniagaan merupakan laras
yang mengungkap ilmu. Ia merupakan kemuncak pencapaian taraf keintelektualan bahasa.
Laras akademik berusaha menghasilkan bentuk yang tepat dan mencerminkan kejelasan
pemikiran yang mengutamakan konsep serta urutan pemikiran secara logik. Manakala laras
bahasa perniagaan pula merupakan laras yang lebih merujuk kepada bidang ekonomi. Kajian
laras bahasa perniagaan dalam bahasa melayu amat penting, khususnya dalam aspek
komunikasi memandangkan ekonomi negara menjelang abad ke-21 akan berasaskan
perindustrian dan perusahaan.

Perbezaan yang wujud dalam laras akademik dan laras perniagaan dapat membezakan
antara kedua-dua laras tersebut. Berdasarkan perbezaan dan persamaan yang wujud dapat
menyerlahkan lagi ciri bagi kedua-dua laras tersebut. Dari aspek ini, jelas melihatkan tentang
kepentingan kedua-dua bahasa untuk di kaji kerana bahasa akademik dan perniagaan
mempunyai perkaitan yang amat penting di masa hadapan.

Sebagai pelajar, mengkaji tentang laras kedua-dua bahasa ini menjadi satu medium
yang amat berguna, kerana dewasa ini laras bahasa amat penting dalam bahasa kerana ia
tidak boleh digunakan untuk membicarakan semua situasi penggunaan bahasa. Oleh kerana
itu, laras kedua-dua bahasa ini memainkan peranan yang penting untuk difahami dalam setiap
proses mengkaji.

Keseluruhannya, kami dapati kajian ini memberikan ilmu yang cukup bermanfaat dalam
memahami konteks laras yang sebenar. Kami juga dapat mengenal pasti ciri-ciri khusus yang
terdapat dalam laras-laras bahasa akademik dan perniagaan ini. Pengajaran dalam laras
bahasa memberikan satu gambaran bahawa bahasa amat penting untuk difahami kerana ia

19
Laras Bahasa Akademik dan Laras Bahasa Perniagaan

terdapat dalam pelbagai aspek dan contohnya adalah seperti bahasa akademik dan bahasa
perniagaan.

20