Anda di halaman 1dari 4

Islam menganjurkan agar sifat toleransi ini dikembangkan sebagai satu

syarat  mewujudkan kehidupan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.


Sabda nabi s.a.w :

Ertinya: “Tunjukkanlah belas kasihan terhadap orang-orang di muka bumi,


nescaya Allah yang di langit akan mengasihanimu. Berbelas kasihanlah,
nescaya anda dibelas-kasihani pula. Sesungguhnya Allah merahmati para
hambaNya yang bersifat belas kasihan”.

Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri merupakan manifestasi daripada


sifat toleransi ini.

Pertama;
baginda dengan jelas mengingatkan manusia bahawa mereka datang
daripada keturunan yang sama, bermoyangkan Adam a.s. Oleh itu, mereka
tidak seharusnya terlalu mempertengkarkan perbezaan sesama sendiri,
sebaliknya harus lebih berusaha ke arah menumbuhkan rasa persaudaraan
dan kasih sayang di antara satu sama lain. Sebagai contoh, selepas
Hijrahnya ke Madinah, Nabi telah mempersaudarakan orang-orang Makkah
dengan orang-orang Madinah. Pakciknya Hamzah, seorang bangsawan
Quraisy, dipersaudarakan dengan Zaid, bekas hamba baginda. Zaid inilah
yang kemudiannya dilantik sebagai panglima dalam Perang Mu’tah, yang di
bawahnya berkhidmat pula dua orang bangsawan Arab – Jaafar bin Abu
Talib dan Abdullah bin Rowaha. Bilal bin Rabbah, bekas hamba yang
berkulit hitam dimuliakan sebagai mu’azzin. Salman, dari Farsi,
diistiharkan sebagai ahli keluarga baginda, untuk mematikan sentimen
membangga-banggakan kebangsaan Arab yang masih dipegang oleh
sebahagian Sahabat ketika itu.

Tindakan baginda itu dengan sendirinya menolak prasangka yang


berdasarkan kelainan keturunan, dan darjat sosial. Darjah toleransi yang
tinggi itu juga telah membebaskan masyarakat Islam dewasa itu daripada
bahaya nepotisme, kekauman dan kebangsaan yang sempit – sifat-sifat
yang sering menjadi punca berlakunya ketegangan dan pergeseran dalam
kehidupan masyarakat sejak dahulu hinggalah kini.

Kedua,;
menerusi hukum-hukum Islam, baginda terus mendidik hati dan akhlak
umatnya supaya sentiasa mempunyai perasaan berbaik-baik. Firman Allah
S.W.T:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara kerana itu


damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah
supaya kamu mendapat rahmat”
(Al-Hujurat : 10)

Dalam satu peristiwa diriwayatkan bahawa baginda telah berdiri


menghormati jenazah yang sedang diusung di hadapannya. Apabila salah
seorang yang hadir membisikkan kepadanya bahawa jenazah itu adalah
seorang Yahudi, baginda secara spontan menjawab: “Bukankah si mati itu
juga seorang manusia?”

Ketigal;
baginda bertindak memastikan terpeliharanya jaminan ke atas setiap
individu dalam kehidupan bermasyarakat tanpa mengira bangsa dan
agamanya. Di antara jaminan-jaminan itu ialah hak untuk hidup. Tidak
seorang pun mempunyai hak mencabut nyawa manusia, baik nyawa orang
lain mahupun nyawanya sendiri. Balasan ke atas mereka yang membunuh
hanya boleh ditentukan oleh lembaga kehakiman yang adil dan cekap.
Seseorang individu dijamin keselamatan maruah dan harta-bendanya
daripada penganiayaan. Tidak boleh menceroboh rumah seseorang.
Perbuatan mengintip perihal orang lain terlarang. Seseorang itu dijamin
haknya daripada difitnah dan dihukum atas dasar syak dan prasangka,
termasuk jaminan selamat daripada dihukum disebabkan kesalahan orang
lain. Juga, seseorang itu diberi hak menghindarkan dirinya atau enggan
terlibat dalam perbuatan dosa.

Darjah toleransi yang tinggi sekali ditunjukkan menerusi jaminan hak


seseorang itu bebas memilih agama masing-masing serta hak
perlindungan untuk memenuhi sentimen agamanya tanpa diganggu-gugat
atau diperhina. Baginda juga telah melindungi hak untuk seseorang
individu bebas berfikir dan bercakap bagi menganjurkan kebaikan dan
kebenaran, termasuk hak memprotes kezaliman. tetapi bukannya untuk
menyebarkan maksiat dan kejahatan.

Terdapat salah faham di kalangan sebahagian orang-orang Islam sendiri


dalam menanggapi konsep toleransi. Di antara mereka, ada yang
mendakwa toleransi sebagai sikap berlembut, lemah dan buruk.
Sebahagiannya berhujah jika kita berlembut dalam perjuangan, kita akan
lebih diperas dan ditekan. Ada pula yang menilaikan bahawa kemenangan
yang diperolehi tanpa mengharungi rintangan  rendah mutunya. Ada juga
pihak-pihak yang menggunakan beberapa episod dalam sirah Nabi
Muhammad s.a.w. untuk menafsirkan bahawa sepanjang hidupnya baginda
tidak pernah bertolak ansur dalam memerangi orang-orang kafir. Mereka
memetik peristiwa bagaimana baginda bertindak ke atas tiga puak Yahudi
di Madinah sebagai alasan.

Benarkah penafsiran demikian?

Fakta sejarah membuktikan tindakan ke atas tiga puak Yahudi itu –Bani
Qainuqa, Bani Nadir dan Bani Quraidhah- berupa tindakan terakhir akibat
daripada satu rangkaian provokasi terus-menerus yang berat dan
berbahaya daripada puak-puak Yahudi tersebut terhadap keselamatan
masyarakat Islam dewasa itu. Semua puak Yahudi tersebut telah
melanggar perjanjian yang dibuat dengan pihak Islam dan oleh itu wajar
dikenakan tindakan. Bagaimanapun, di saat-saat dikenakan provokasi yang
berat itupun, Nabi Muhammad s.a.w. masih mengamalkan darjah toleransi
yang tinggi. Hanya puak Bani Quraidhah dikenakan hukuman berat kerana
darjah pengkhianatannya begitu berat. Mereka memutuskan perjanjian
untuk membekalkan makanan kepada orang-orang Islam Madinah sebagai
helah melemahkan pertahanan Islam dalam Perang Khandak. Akibatnya,
mereka dijatuhi hukuman di mana lelaki mereka yang terlibat dalam
perang itu dibunuh dan harta-benda mereka dibahagi-bahagikan,
manakala kaum wanita dan kanak-kanaknya dijadikan tawanan. Sebelum
itu, puak Qainuqa dan Nadir, hanya dikenakan hukuman dihalau keluar
daripada Madinah.

Toleransi tidak pula bermakna Islam melarang umatnya berperang.


Rasulullah s.a.w. sendiri sepanjang hayatnya turut mengepalai peperangan
melawan musuh-musuh  Islam. Namun, dalam berperang pun banyak
unsur toleransi diamalkan. Semasa perang, hak golongan awam dipelihara.
Pembunuhan dilarang ke atas orang-orang tua, kanak, kaum wanita, kaum
pendeta dalam rumah-rumah ibadat, dan orang-orang yang berada dalam
rumah-rumah ibadat. Tentera yang berperang dilarang membunuh musuh
dengan membakarnya hidup-hidup, menyerang askar yang sedang cedera
dan tidak lagi mampu berperang, menceroboh dan merosakkan harta-
benda dalam wilayah musuh, merampas harta-benda awam dan
merosakkan mayat-mayat.

Toleransi juga tidak bermakna bacul. Kemaafan yang diberikan oleh Nabi
kepada musuh-musuh Islam, termasuk Abu Sufian, selepas tentera Islam
membebaskan Kota Makkah dilakukan ketika Islam sedang menang, dan
kepimpinan Nabi sedang kuat dan menyerlah. Ini membuktikan betapa
semakin seorang pemimpin itu semakin kukuh kedudukan kepimpinannya,
semakin dia harus berlapang dada, semakin tinggi ihsannya, dan semakin
kuat pula darjah toleransinya.
Kesimpulannya, dalam agama Islam telah sedia ada sifat toleransi.
Toleransi bukanlah tanda lemah, bacul atau tidak bersedia menghadapi
rintangan. Toleransi dalam Islam menjadi syarat mewujudkan kehidupan
damai, maju dan sejahtera. Paling unik, toleransi dalam Islam dianjurkan
bukannya kerana keadaan kita sedang lemah dan terancam, tetapi menjadi
ciri utama yang tetap berlaku pada ketika kita sedang kuat.