Anda di halaman 1dari 24

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

UBM 1032 : WACANA AKADEMIK BAHASA MELAYU ( ESEI


PROJEK ILMIAH )

TAJUK ESEI :

BAHASA MELAYU DALAM IKLAN

OLEH :

NURUL HANA BALQIS BINTI BAHAROM


D20101037312
SEMESTER 1
AT13-PENDIDIKAN KIMIA
SENARAI KANDUNGAN

1.0 PENGENALAN
1.1 ASAL USUL BANGSA MELAYU
1.2 ASAL USUL BAHASA MELAYU
1.3 BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN
1.4 DASAR PENSWASTAAN
1.5 SEJARAH PERIKLANAN

2.0 KONSEP

2.1 KONSEP BAHASA


2.2 KONSEP IKLAN

3.0 KESALAHAN BAHASA DALAM IKLAN

4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KESALAHAN BAHASA DALAM

IKLAN

5.0 KESIMPULAN

BIBLIOGRAFI
ABSTRAK :
Penulisan esei ini menceritakan tentang asal usul bangsa dan Bahasa Melayu
serta sejarah periklanan dunia. Penulisan ini juga membincangkan jenis-jenis
kesalahan bahasa Melayu yang berlaku atau wujud di dalam iklan dari aspek
kesalahan dalam hukum D-M, penggunaan kata nama khas dan penggunaan
istilah. Turut dibincangkan ialah langkah-langkah yang perlu di ambil untuk
memartabatkan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa yang di terima sebagai
bahasa Kebangsaan.

1.0 PENGENALAN

1.1 ASAL USUL BANGSA MELAYU

Asal usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur. Namun, beberapa sarjana

Eropah seperti hendrik Kern (Belanda) dan Robert Von Heine Geldern (Austria)

telah melakukan penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan

pergerakan masyarakat Melayu kuno. Para sarjana Eropah ini menyatakan

bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia iaitu kelompok

manusia yang berasal dari daerah Yunan di China. Kelompok ini telah berhijrah

dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya

menduduki wilayah Asia Tenggara.

Gelombang pertama yang berhijrah dikenali sebagai Melayu-Proto iaitu

masyarakat yang wujud sekitar 2500 tahun sebelum Masihi. Pada tahun 1500

sebelum Masihi pula, datang gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-
Deutro. Masyarakat Melayu-Deutro ini mendiami daerah-daerah yang subur di

pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini

menyebabkan masyarakat Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri,

Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke

kawasan pedalaman. Masyarakat Melayu-Deutro dikatakan lebih bijak daripada

masyarakat Melayu-Proto. Masyarakat Melayu-Deutro ini merupakan masyarakat

Melayu yang ada pada masa kini.

1.2 ASAL USUL BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu dikatakan berasal daripada rumpun Bahasa Austronesia

manakala Bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada golongan

Bahasa Austris. Nik Safiah Karim menerangkan bahawa Bahasa Austris

ialah filum Bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun Bahasa

Austroasia dan Tibet-China. Rumpun Bahasa Austronesia pula

dikategorikan kepada empat kelompok yang lebih kecil iaitu Bahasa-

bahasa Kepulauan Melayu atau Bahasa Nusantara, Bahasa-bahasa

Melanesia dan Bahasa-bahasa Micronesia. Bahasa Melayu tergolong

dalam cabang Bahasa-bahasa Nusantara seperti Bahasa-bahasa Acheh,

Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut yang mempunyai

bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200 hingga 300 bahasa. Pada

zaman dahulu, bentuk Bahasa Melayu yang dituturkan di Kepulauan


Melayu dikenali sebagai Bahasa Melayu kuno dan bahasa ini jauh

berbeza dengan bahasa Melayu moden. Bentuk bahasa Melayu Kuno

dapat dilihat melalui kesan tinggalan sejarah seperti Batu Bersurat

Kedukan Bukit ( 683M ) di Palembang. Batu-batu bersurat yang

menggunakan Bahasa Melayu dipercayai ditulis bermula pada akhir abad

ke-7. Penulisan di batu-batu bersurat dipercayai dibuat atas arahan raja

Srivijaya, sebuah kerajaan lama yang mempunyai empayar meliputi

Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri

Lanka. Hal ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan

sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekali

gus meluaskan penyebaran Bahasa Melayu ke tanah jajahan takluknya.

Istilah “Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun

644 dan 645 Masihi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “mo-lo-yue”

yang mengirimkan utusan ke Negeri Cina untuk mempersembahkan hasil-

hasil bumi kepada Raja China. Zaman penting bagi Bahasa Melayu ialah

pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang

telah menerima Islam dan berjaya membawa empayar yang luas telah

dapat meningkatkan kemajuan dan perkembangan Bahasa Melayu di

rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti

perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa

Melayu bukan sahaja menjadi “lingua franca” malah telah menjadi bahasa

yang terulung melalui gambaran Francios Valentijin pada abad ke-18

iaitu :
“Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi
juga telah digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur,
sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.”

1.3 BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

Abad ke-21 merupakan abad yang mencabar kewibawaan dan kegemilangan

sesebuah peradaban bangsa-bangsa di dunia ini. Perkembangan globalisasi,

liberalisasi dan pengaruh pasca modenisme yang terlalu pesat sering kali

dikaitkan dengan lupusnya sesuatu bahasa, tradisi persuratan dan budayanya.

Bahasa dan persuratan Melayu dijangka akan menghadapi pelbagai cabaran

dalam konteks nasional mahupun supranasional. Seiring dengan perkembangan

bidang ekonomi, sains dan teknologi; perkara yang sedang berlaku kini ialah

kekeliruan atau kecelaruan sesebuah bangsa untuk memilih cara berbahasa.

Bahasa Inggeris kini dianggap sangat penting sehingga menjadi pegangan

hampir kesemua bangsa di dunia. Pemikiran seperti inilah yang telah

memusnahkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai medium penyampaian

maklumat dalam pelbagai bidang seperti bidang pendidikan, sektor swasta dan

persuratan. Contohnya seperti di negara kita, sekiranya tiada usaha dan

tindakan tegas di ambil dalam memartabatkan Bahasa Melayu pasti kejayaan

Dasar Bahasa Kebangsaan dalam jentera kerajaan dan dasar pendidikan akan

tergugat. Martabat dan kedudukan Bahasa Melayu dalam perlembagaan boleh

dilihat sebagai elemen peribumi; elemen yang unik dan tidak boleh dimansuhkan

melalui proses biasa iaitu proses pindaan melalui Parlimen. Hal ini kerana

Bahasa Melayu adalah sebahagian daripada kontrak sosial yang merangkumi

hal-hal yang dipersetujui sewaktu rundingan kemerdekaan dahulu. Elemen


peribumi Perlembagaan yang lain ialah sistem beraja, kedudukan istimewa

orang-orang Melayu dan kedudukan Islam. Perlembagaan Malaysia adalah

sebuah dokumen yang berpaksikan demokrasi, ditunjangi oleh prinsip sama rata.

Elemen peribumi tersebut adalah terkecuali daripada konsep sama rata ini. Oleh

sebab itu, elemen peribumi tidak boleh disentuh, apalagi dimansuhkan.

Perlembagaan telah menetapkan bahawa peruntukan tentang Bahasa Melayu

hanya boleh dipinda dengan persetujuan Majlis Raja-raja. Peruntukan mengenai

bahasa juga sebagaimana peruntukan mengenai kewarganegaraan, adat istiadat

Melayu dan Islam tidak boleh digantung, hatta ketika darurat. Bahasa Melayu

juga mempunyai perkaitan yang kuat dengan institusi beraja kerana Raja-raja

mempunyai kuasa budi bicara dalam hal-hal yang berhubung dengan adat

Melayu dan pentadbiran istana. Perlembagaan tidak memberi maksud yang jelas

mengenai “bahasa kebangsaan”. Mengikut takrifan Kamus Dewan, “bahasa

kebangsaan” ialah bahasa yang diterima oleh majoriti penduduk dalam sesebuah

negara yang mempunyai beberapa bahasa atau loghat yang lain. “Bahasa rasmi”

pula ialah “bahasa pentadbiran kerajaan”. Lebih tepat jika dilihat dalam konteks

kebangsaan yang diterangkan sebagai “yang berkaitan dengan negara secara

keseluruhan” atau sesuatu yang “dipilih untuk melambangkan identiti Negara.

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam

perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Perkara ini

bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu serta menjamin perpaduan

rakyat di Tanah Melayu.


1.4 DASAR PENSWASTAAN

Penswastaan mula diperkatakan di Malaysia mulai pertengahan tahun 1983

apabila mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir melancarkan Dasar

Pensyarikatan Malaysia yang juga telah menegaskan peranan pihak swasta

dalam pembangunan serta pengurusan negara. Dasar Penswastaan adalah

bertujuan untuk mengurangkan bebanan kewangan kerajaan. Pada masa lalu,

pihak kerajaan telah memperuntukkan ribuan juta ringgit dalam sektor kesihatan,

pertahanan, air, api, jalan keretapi, pelabuhan, lapangan terbang dan

perbelanjaan terus meningkat dari masa ke semasa dan kadar pulangan balik

kepada kerajaan sangat rendah. Kerajaan juga perlu menyelenggara

perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan tertentu. Matlamat dasar penswastaan

adalah untuk meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja. Pencapaian

perusahaan awam yang terlibat dalam bidang perdagangan dan perindustrian

masih tidak memuaskan walaupun menikmati pelbagai sokongan kerajaan.

Melalui penswastaan serta kepakaran yang boleh diberi pihak swasta, adalah

dijangka perkhidmatan tersebut dapat ditingkatkan dengan lebih baik lagi. Antara

matlamat lain dasar penswastaan adalah mempercepat pencapaian matlamat

Dasar Ekonomi baru. Melalui peluang yang diberikan kepada pihak swasta,

kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta

Bumiputera bagi memenuhi kehendak Dasar Ekonomi Baru itu. Antara sektor
swasta yang penting pada masa kini ialah periklanan, pembuatan, pemasaran,

pelancongan dan sebagainya.

1.5 SEJARAH PERIKLANAN

Orang Mesir telah menggunakan papirus untuk membuat mesej jualan dan

poster dinding. Mesej komersil dan kempen politik telah ditemui di runtuhan

Pompeii dan Arab Purba. Iklan mencari orang hilang sangat popular di Greece

purba dan Rom Purba. Lukisan dinding atau batu untuk iklan komersil

merupakan manifestasi lain dari bentuk iklan kuno yang hadir untuk hari ini di

pelbagai negara Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Tradisi lukisan dinding boleh

ditelusuri kembali ke lukisan batu seni India yang bertarikh 4000 tahun sebelum

Masihi. Sejarah menerangkan kepada kita bahawa iklan berbentuk ‘billboard’

merupakan bentuk tertua periklanan. Pada zaman pertengahan ketika bandar

dan kota sedang membangun, rakyat jelata masih belum tahu membaca.

Justeru, tukang kasut, tukang giling, tukang jahit dan tukang besi menggunakan

gambar yang berkaitan dengan perniagaan mereka untuk mempromosikan

barangan mereka. Apabila pendidikan menjadi semakin penting begitu juga

pembacaan dan percetakan, periklanan mula berkembang dan terhasil corak

periklanan yang baru iaitu ‘handbill’. Jenis periklanan ini adalah berasaskan nota

kecil atau iklan yang biasanya diedarkan melalui tangan. Revolusi percetakan

dan penciptaan alat cetak oleh Johannes Guterberg pada tahun 1440

merupakan titik mula kegiatan periklanan di dunia. Penciptaan ini membolehkan


penerbitan iklan dilakukan dalam bentuk poster bercetak, iklan akhbar, helaian

dan bil. Pada tahun 1472, iklan poster bercetak pertama di terbitkan. Iklan

akhbar yang pertama muncul di London adalah pada tahun 1625. Akhbar-akhbar

harian awal seperti Daily Courant, Revue, Examiner, Tatler dan Spectator di

barat menyiarkan pelbagai iklan barangan termasuk iklan kopi, coklat, teh, ubat-

ubatan serta iklan peribadi. Iklan pertama di Amerika Syarikat muncul pada

tahun 1704 dalam Boston Newsletter manakala agensi periklanan yang pertama

dibangunkan oleh Voltey Palmer terletak di Massachusetts. Beliau membeli

ruang-ruang iklan daripada pemilik-pemilik akhbar pada kadar potongan dan

kemudiannya menjual ruang-ruang itu kepada pengiklan dengan harga yang

lebih tinggi. pada zaman itu, para pengiklan lazimnya menyediakan iklan mereka

sendiri. Pada 1890, N.W. Ayer & Son di Philadelphia menawarkan

perkhidmatannya kepada para pengiklan seperti mana yang dilakukan oleh

agensi-agensi periklanan masa kini. Majalah pertama yang menerbitkan iklan

ialah Southern Messenger pada Julai 1844. Pada tahun 1848, Cyrus H.K . Curtis

mengasaskan majalah Ladies Home journal yang begitu bergantung kepada

iklan untuk membiayai kos penerbitannya. Pada tahun 1920, iklan radio mula

disiarkan di Pittsburgh, Pennsylvania manakala iklan televisyen pertama kali

disiarkan pada tahun 1941. Televisyen warna pula mula diperkenalkan pada

tahun 1955 dan iklan televisyen menjadi semakin penting kerana keupayaan

televisyen menarik perhatian para penonton di rumah.


2.0 KONSEP

2.1 KONSEP BAHASA

Menurut Willhem Von Humboldt, seorang sarjana Jerman, bahasa didefinisikan

sebagai sintesis bunyi manakala menurut Ferdinand de Saussue seorang

sarjana linguistik Swiss pada awal abad ke-20, bahasa adalah sistem isyarat.

Charles F. Hockett pula memperkatakan bahasa dari sudut psikologi

behaviorisms, iaitu sistem tabiat-tabiat sangat rumit. John B. Carol pula meninjau

bahasa dari sudut linguistik yang merupakan sistem bunyi vokal berstruktur dan

urutan-urutan bunyi. Bloch dan Trager pula mendefinisikan bahasa sebagai satu

lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan anggota masyarakat untuk

berkomunikasi. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan bahasa sebagai

sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam

lingkungan satu kelompok manusia ( antara seorang individu dengan individu

yang lain ). Bahasa adalah semua bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat-alat

sebutan manusia seperti rongga mulut, hidung, paru-paru dan artikulator –

artikulator lain. Setiap bahasa mempunyai susunan tertentu, sama ada dalam

bentuk bunyi-bunyi perkataan, susunan perkataan, tatabahasa atau sintaksis

yang dikatakan bersistem. Setiap bahasa mempunyai bentuk-bentuk tertentu

seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat. Setiap pertuturan dalam bahasa

mempunyai makna bagi penutur dan pendengar. Bahasa juga berubah dan
berkembang selagi wujudnya interaksi antara penutur. Bunyi-bunyi bahasa

dihasilkan satu demi satu ( satu lambang mewakili satu bunyi ) oleh pergerakan

alat-alat sebutan secara linear. Bahasa adalah kreatif, iaitu sebagai contoh

dalam Bahasa Melayu terdapat 28 huruf yang dapat membentuk beribu-ribu

perkataan. Melalui penyingkiran masa dan tempat, manusia boleh menggunakan

bahasanya untuk bercakap tentang sesuatu perkara atau peristiwa yang berlaku

pada masa itu, sebelum atau selepasnya. Wujud dua pola dalam bahasa, iaitu

sebagai contoh dalam Bahasa Melayu ada vokal dan konsonan. Bahasa juga

boleh dipelajari dalam konteks budaya dan kebudayaan. Bahasa merupakan alat

penghubung iaitu interaksi yang jelas, luas dan tanpa sempadan. Bahasa

berfungsi sebagai penyata perasaan iaitu ekspresi dan luahan. Bahasa juga turut

berfungsi sebagai pernyataan fikiran. Tanpa bahasa, manusia tidak dapat

meluahkan pemikiran atau idea-idea yang mereka fikirkan.

2.2 KONSEP IKLAN

Perkataan iklan berasal dari perkataan Arab yang bermaksud khabar yang

disiarkan. Dalam Bahasa Inggeris, perkataan advertising dipinjam daripada

perkataan Latin, advetere yang bermaksud memalingkan fikiran kepada sesuatu

perkara. Kamus Dewan Edisi Keempat pula mendefinisikan iklan sebagai

pemberitahuan kepada orang ramai melalui surat khabar, televisyen, radio dan

lain-lain. Mengiklankan pula bererti memperkenalkan sesuatu kepada umum

melalui iklan, memberitahukan sesuatu menerusi iklan ( dalam surat khabar,


majalah, dsb ). Terdapat pelbagai fungsi dalam pengiklanan, sama ada untuk

pengiklanan produk atau perkhidmatan. Antara fungsi iklan adalah

memperkenalkan kepada pengguna tentang sesuatu keluaran dan

membezakannya dengan yang lain. Iklan juga bertindak untuk menyampaikan

maklumat tentang keluaran, ciri-cirinya dan tempat jualan. Iklan juga bertujuan

untuk menggalakkan pengguna mencuba dan mencadangkan penggunaan

ulangan serta menggalakkan pengedaran sesuatu keluaran.


3.0 KESALAHAN BAHASA DALAM IKLAN

Periklanan adalah salah satu agensi swasta yang berfungsi sebagai agen

penyebar maklumat. Lazimnya, iklan selalu digunakan untuk menyampaikan dan

memberitahu kepada umum tentang sesuatu produk yang ingin dipasarkan.

Namun, bukan sekadar memasarkan barangan sahaja, iklan juga kini digunakan

untuk menyampaikan mesej kerajaan dan mesej-mesej kesedaran. Contohnya

iklan kempen ‘1 Malaysia’ yang dapat dilihat di papan-papan iklan di kawasan

bandar dan lebuh raya. Selain iklan yang direntang di atas papan iklan, iklan

yang berbentuk kain rentang juga sudah mula mendapat perhatian pengiklan

kerana kosnya yang lebih murah. Perkembangan agensi periklanan dapat dilihat

dengan jelas menerusi pelbagai jenis iklan yang rancak dipaparkan kepada

umum melalui media cetak seperti majalah, surat khabar dan artikel. Selain

media cetak, iklan juga disampaikan melalui media massa seperti internet, radio

dan televisyen. Perkembangan industri periklanan sangat penting namun,

disebalik kerancakan periklanan, wujud satu permasalahan baru yang amat

membimbangkan. Masalah yang berlaku adalah kesalahan-kesalahan bahasa

yang wujud dalam iklan. Jika kita perhatikan iklan-iklan yang terdapat di

sepanjang jalan, hampir semua iklan-iklan tersebut mempunyai kesalahan

tatabahasa yang sangat ketara. Contohnya kesalahan bahasa pada papan tanda

kelajuan. Lazimnya, frasa yang digunakan ialah ‘kurangkan laju’. Seharusnya,


frasa yang digunakan ialah ‘kurangkan kelajuan’. Mesej sebenar yang

dimaksudkan oleh papan tanda ini adalah untuk meminta pemandu

mengurangkan kelajuan kenderaan mereka. Jika diperhatikan dengan teliti,

terdapat kesalahan bahasa pada papan tanda tersebut. Pertama, perkataan

“kurangkan” harus diikuti kata nama terbitan “kelajuan” bukannya kata sifat “laju”.

Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh DBP yang meninjau dan memantau

penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan akhbar tempatan yang utama iaitu

Berita Harian dan Utusan Malaysia, rata-rata iklan yang disiarkan dalam kedua-

dua akhbar tersebut menggunakan Bahasa Melayu, namun kualiti penggunaan

bahasanya perlu diberi perhatian. “POTATO CRISPS meriangkan selera”,

begitulah bahasa yang digunakan dalam iklan Jacker. Dari segi kolokasi ,

“meriangkan” tidak sesuai digandingkan dengan kata “selera” kerana kata “riang”

ialah kata sifat yang dikaitkan dengan suasana, situasi dan perasaan hati yang

gembira. Kata yang sesuai dipadankan dengan “selera” seharusnya

“membangkitkan” atau “membuka”. Oleh itu, lebih tepat kalau dikatakan

“POTATO CRISPS membuka selera”. Begitu juga slogan “Si Manja Cerewet

Makan perlu Merangsang Tumbesaran Pesat” yang dipaparkan dalam iklan

Pedia Sure. Kata “pesat” dalam konteks ini tidak sesuai digunakan kerana

“pesat” lebih sesuai dalam konteks pembangunan. Slogan yang lebih tepat ialah

“Si Manja Cerewet Makan perlu Dirangsang Tumbesarannya. Namun begitu, apa

yang merunsingkan ialah senario penggunaan bahasa rojak, separuh Bahasa

Melayu dan separuh Bahasa Inggeris yang kini menjadi satu budaya yang

semakin menular dalam industri pengiklanan. Antaranya, “Memang Power”


seperti dalam iklan Sony yang boleh digantikan dengan “Memang Berkuasa”

atau “Memang Hebat”. Dalam iklan Panasonic pula, slogan “Panasonic Ideas For

Life ” boleh diterjemahkan kepada “Panasonic, Ciptaan Sepanjang Hayat”.

Maksud yang ingin disampaikan lebih jelas sekiranya bahasa yang digunakan

adalah bahasa yang difahami seperti bahasa Melayu. Selain itu, wujud pula

senario baru, iaitu syarikat iklan lebih cenderung mempromosikan produk

mereka dalam bahasa asing seperti bahasa Perancis dan belanda semata-mata

untuk menarik perhatian pengguna. Contohnya, iklan produk Ellgy Plus

menyatakan “Ellgy Plus is uiterst werkzaam...zelfs mijn moeder is het daarmee

eens”. yang bermakna “Ellgy Plus berkesan”. Lucunya, apakah kewajarannya

menggunakan bahasa asing yang tidak difahami oleh majoriti bakal pembeli di

Malaysia, walhal produk itu akan lebih laris kalau mesejnya sampai melalui

Bahasa Melayu. pelbagai alasan yang diberikan oleh pengiklan yang tidak yakin

dengan kemampuan Bahasa Melayu. Walhal, Bahasa Melayu mampu

menyampaikan mesej dengan berkesan dan indah. Mesej hanya akan sampai

kepada pengguna apabila bahasa yang digunakan difahami. Selain kesalahan-

kesalahan bahasa di atas, kesalahan yang sering kali berlaku dalam iklan adalah

kesalahan hukum D-M. Hukum ini dinamakan sedemikian bukan kerana nama

individu yang memperkenalkannya tetapi kerana singkatan daripada dua

perkataan iaitu diterangkan dan Menerangkan. Hukum D-M ini hanya digunakan

dalam pembinaan Frasa Nama dan tidak melibatkan Frasa Kerja, Frasa Adjektif

mahupun Frasa Sendi Nama. Mengikut hukum D-M, jika terdapat dua atau lebih

perkataan dalam binaan frasa nama, unsur yang hendak diterangkan ( yang di
beri penekanan ) hendaklah mendahului unsur yang menerangkan ( penerangan

tentang unsur tadi ). Unsur D terletak di hadapan unsur M. Sering kita temukan

kesalahan frasa nama yang tidak mematuhi Hukum D-M seperti : cili sos, mini

bas, maggie mi, Kassim Restoran, lain-lain hal, lain-lain faktor dan sebagainya.

Perkara ini berlaku disebabkan pengaruh Hukum M-D dalam Bahasa Inggeris,

kerana unsur yang menerangkan ( M) mendahului unsur yang diterangkan ( D ).

Oleh sebab itu, frasa seperti Hilton Hotel, red lorry, chilli sauce, mini bus dan

sebagainya adalah betul mengikut Bahasa Inggeris tetapi salah mengikut hukum

D-M. Contoh kesalahan hukum D-M adalah seperti di dalam gambar.

GAMBAR

Sekiranya diperhatikan dengan teliti, terdapat empat kesalahan yang sangat

ketara. Kesalahan yang pertama ada kaitannya dengan Hukum D-M iaitu Pre-

Raya Promosi yang sepatutnya ditulis : Promosi Praraya. Unsur yang hendak

diterangkan ( D ) ialah promosi, manakala unsur yang menerangkan ialah

praraya. Kesalahan yang kedua adalah Pre-Raya. Dalam Bahasa Melayu,

awalan yang dipinjam daripada Bahasa Inggeris iaitu pre ( yang bermaksud

sebelum ) ditulis sebagai pra. Kesalahan yang ketiga ialah huruf r pada
perkataan raya tidak perlu ditulis dengan huruf besar kerana raya bukanlah kata

nama khas. Kesalahan yang keempat, oleh sebab raya tidak perlu ditulis dengan

huruf besar, tanda sempang tidak diperlukan untuk memisahkan awalan pra

dengan raya. Berdasarkan peraturan dalam Hukum D-M, jelaslah bahawa binaan

yang betul bagi keseluruhan frasa ialah : Promosi Praraya.

Kesalahan Hukum D-M sering berlaku disebabkan pengiklan tidak faham dan

tidak dapat membezakan di antara Hukum D-M dalam Bahasa Melayu dan

Hukum M-D dalam Bahasa Inggeris. Kesalahan lain yang berlaku dalam iklan

adalah kesalahan kata nama khas. Nama khas yang dianggap kurang sesuai

ialah kata nama khas yang tidak memenuhi ciri-ciri kebaikan, keindahan dan

kecanggihan. Ciri-ciri kelemahan atau kekurangan pada nama khas dapat

dibahagikan kepada dua aspek, iaitu : aspek ejaan dan penggunaan istilah

umum dan khusus. Ejaan merupakan elemen yang sangat penting dalam

pembinaan sesuatu frasa atau ayat. Sekiranya berlaku kesalahan dalam ejaan,

berkemungkinan besar mesej sebenar yang ingin disampaikan tidak dapat

dicapai. Contoh kesalahan ejaan ialah perkataan yang terbentuk sebelum tahun

1972 tetapi tidak diubah dan masih terpampang di khalayak ramai seperti

sharikat, kelinik, letrik / eletrik, timor dan sebagainya. Kesalahan perkataan ini

juga terdapat pada kata nama khas yang baru seperti Chen’s Chermin Mata

yang sepatutnya ditulis sebagai Kedai Cermin Mata Chen. Kesalahan kata

majmuk juga dikategorikan sebagai kesalahan ejaan seperti pasaraya, pasaria,

alatulis, lebuhraya dan bandaraya yang sepatutnya ditulis sebagai pasar raya,

pasar ria, alat tulis, lebuh raya dan bandar raya. Dalam penggunaan istilah
umum dan khusus pula, masalah yang sering terjadi ialah ketidakselarasan atau

ketidaktepatan istilah yang digunakan. Kesannya, wujud kata nama khas seperti

Golf and Country Club yang sepatutnya dinamakan sebagai Golf dan Kelab

Desa. Aspek-aspek kesalahan bahasa ini sekiranya tidak diperbetul dengan

segera dikhuatiri akan mengelirukan orang awam mengenai ketepatan Bahasa

Melayu itu sendiri.


4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KESALAHAN DALAM IKLAN

Masalah ketepatan penggunaan bahasa yang semakin meruncing perlu diberi

perhatian serius dan segera daripada semua pihak. Langkah yang paling utama

yang boleh dilakukan kerajaan ialah menguatkuasakan undang-undang sedia

ada yang melibatkan penggunaan bahasa. Selain itu, kerajaan Malaysia perlu

memastikan sektor swasta mentadbir dalam Bahasa Melayu, segala urusan

surat-menyurat dibuat dalam Bahasa Melayu, semua papan tanda ( tanda nama,

tanda harga, tanda arah dan arahan ) di gedung-gedung perniagaan di buat

dalam Bahasa Melayu dan semua keterangan pada benda seperti ubat-ubatan,

mesin, kereta dan lain-lain yang dikeluarkan di dalam negara ataupun di luar

negara hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sahaja. Hal ini penting untuk

memastikan martabat dan maruah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

tetap terpelihara. Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa

melayu juga harus dilaksanakan. Salah satu rancangan yang harus

dipertimbangkan ialah peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu

perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Jika kerajaan

bersedia meminda atau memperluas akta DBP dalam hal pemberian kuasa

untuk mengambil tindakan kepada pihak yang menggunakan Bahasa Melayu

yang salah di tempat awam, maka tindakan yang sama hendaklah dikenakan
kepada sesiapa jua yang tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Mekanisme penguatkuasaan dan

tindakan perlu dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa

kebangsaan dipandang serius oleh semua pihak, sama dengan seriusnya

tindakan kepada orang yang melanggar undang-undang negara yang lain.

Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan

sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas, misalnya, diberi

perhatian, tetapi tidak pula undang-undang melanggar peruntukan

Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta

pendidikan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar

utama. Pengiklan juga harus memandang serius mengenai Bahasa Melayu yang

digunakan dalam iklan mereka. Semua pengiklan seharusnya mematuhi garis

panduan seperti yang terkandung dalam undang-undang kecil Iklan. Iklan

perlulah mematuhi akta dan undang-undang yang berkaitan seperti Undang-

undang Kecil Iklan ( Wilayah Persekutuan ) 1982 yang terkandung dalam Akta

Kerajaan Tempatan 1976 seperti yang berikut; perkataan-perkataan dan huruf-

huruf dalam bahasa Malaysia hendaklah diberi keutamaan dalam warnanya dan

di sesuatu kedudukan yang lebih jelas daripada perkataan-perkataan atau huruf-

huruf atau tulisan-tulisan dalam bahasa lain yang digunakan dan saiznya

hendaklah tidak melebihi ukuran yang terdapat dalam Bahasa Malaysia ( PU(A)

364/85 ), seseorang tidak boleh mempamerkan atau menyebabkan atau

membenarkan dipamerkan mana-mana iklan yang tidak mematuhi paragraf (1)

dan (2) ( PU(A) 187/82 ) dan iklan yang dihantar untuk mendapatkan
pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka mestilah iklan yang belum

disahkan bahasa kebangsaannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka . Sekiranya

garis panduan pengiklanan dipatuhi oleh semua pengiklan, nescaya papan-

papan tanda iklan yang baru bebas dari kesalahan bahasa yang sememangnya

tidak harus berlaku. Antara langkah lain yang boleh dilakukan oleh agensi yang

berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka ialah mengadakan kempen secara

besar-besaran dan menyeluruh untuk memartabatkan Bahasa Melayu dengan

menerapkan semangat cinta akan bahasa kebangsaan di hati rakyat Malaysia

tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Sekiranya semua pihak memainkan

peranan masing-masing dengan serius, nescaya masalah bahasa dalam

pengiklanan khususnya dan masalah bahasa dalam sektor swasta umumnya

dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Justeru, perhatian yang serius

harus di ambil semua pihak untuk memartabatkan kembali bahasa kebangsaan

kita. Penerapan semangat cinta akan bahasa kebangsaan juga harus dipupuk

sejak di peringkat awal persekolahan lagi kerana sistem pendidikan merupakan

agen perubah yang terpenting dalam mendidik generasi-generasi muka yang

bakal merubah negara kita.


5.0 KESIMPULAN

Slogan ’Bahasa Jiwa Bangsa’ harus direalisasikan melalui pelbagai langkah

drastik yang mesti di ambil untuk mengembalikan keagungan dan martabat

Bahasa Melayu. Semangat cinta akan bahasa kebangsaan harus wujud dalam

setiap jiwa rakyat Malaysia kerana bahasa kebangsaan merupakan lambang

perpaduan kaum di negara kita. Sekiranya semua rakyat Malaysia menghargai

bahasa kita, Bahasa Melayu ini; pasti segala kekangan dalam memartabatkan

bahasa kebangsaan dapat diatasi. Apabila rakyat Malaysia telah menghayati

keindahan Bahasa Melayu, barulah masalah-masalah kesalahan bahasa dapat

dihindari. Maka, semua rakyat Malaysia haruslah mempunyai kesungguhan yang

mendalam untuk mempelajari dan menghayati keindahan Bahasa Melayu yang

telah diamanahkan oleh nenek moyang kita dahulu. Matlamat mengembalikan

martabat tinggi Bahasa Melayu hanya dapat direalisasikan sekiranya bahasa itu

sendiri dihargai dan digunakan dengan cara yang sempurna.


BIBLIOGRAFI

Pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan : Satu Penilaian. Diperoleh pada Ogos 11, 2010
daripada http://www.kongresbahasa.org/?=160
Asal Usul Bahasa Melayu. Diperoleh pada Ogos 11, 2010 daripada
http://www.tutor.com.my/stpm/asal_usul_bahasa/asal_usul_bahasa_melayu.htm
Kerancuan Bahasa Melayu. Diperoleh pada Ogos 11, 2010 daripada
http://www.scribd.com/doc/3784928/Kerancuan-Bahasa-Melayu
Pemartabatan Bahasa Kebangsaan Dalam Pembinaan Negara Bangsa. Diperoleh pada
Ogos 11, 2010 daripada
http://www.jpmipgntaa.webs.com/penulisan/Prof.DrAwangSariyan.pdf
Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu. Diperoleh pada Ogos 18, 2010 daripada
http://akumelayutulen.blogspot.com/2009/04/bahasa-melayu-sebagai-bahasa-
ilmu
Shahir Mohamad Zain ( 2005 ). Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu. Berita Harian, 3.
Normala Mohamad Yusof ( 2005 ). Bahasa Iklan Perlu Dipertingkatkan. Berita Harian,
12.
Advertising. Diperoleh pada Ogos 11,2010 daripada
http://en.wikipedia.org/wiki/Advertising
Iklan. Diperoleh pada Ogos 11, 2010 daripada
http://matskai.blogspot.com/2007/07/koc3203-asas-pengiklanan-peranan-iklan
.html
Hukum D-M. Diperoleh pada Ogos 11,2010 daripada
http://namharahman.blogspot.com/2009/07.hukum-d-m.html

Anda mungkin juga menyukai