Anda di halaman 1dari 3

cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.

17 Dis 2009

Komentar

KALAM INSAN
'Maaf, keluarga anda pincang?'

By A. Rahman Basrun

KELUARGA pincang. Keluarga bobrok. Keluarga bermasalah. Keluarga melarat. Keluarga


malang. Keluarga kurang bernasib baik.

Terima atau tidak, itulah antara istilah yang kita gunakan untuk menggelar segolongan
keluarga di kalangan kita.

Kalaulah keluarga saya diberi julukan sedemikian, terus terang saya katakan, saya akan
berasa kurang selesa.

Maklumlah, sebobrok mana keluarga saya, saya pun masih ada harga diri.

Namun, itulah hakikatnya - keluarga sedemikian menjadi tumpuan (lagi) kali ini - akibat
kes pembunuhan kanak-kanak bernama Edy, menyusuli kes pembunuhan seorang lagi
kanak-kanak bernama Nonoi beberapa tahun lalu.

Cuma kali ini ia dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Dua kes tersebut diibaratkan
sebagai petanda bahawa keadaan masyarakat kita akan memburuk jika keluarga
pincangnya tidak ditangani.

Bahkan, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sendiri, Dr Yaacob


Ibrahim, melahirkan rasa malu atas duduk perkara.

Wajarkah rasa malunya itu?

Terus terang saya katakan, luahan rasa malunya itu terpuji.

Ia menunjukkan betapa beliau sebagai pemegang mohor tertinggi bagi maslahat orang
kita sedia mengakui kekurangan yang ada dalam 'rumah' jagaannya demi
memperkukuhkannya lagi.

Padahal sudah banyak kemajuan orang kita di bawahnya.

Sesiapa pun yang berada dalam kedudukan Dr Yaacob akan berasa kecewa - sedang
kadar perceraian dan kahwin muda di kalangan orang Melayu kian menunjukkan
penurunan, timbul pula kes seperti pembunuhan Edy.

MASALAH MELAYU?

Cuma, saya teringat kes keracunan rojak India di pasar sementara Geylang Serai dulu.

Ada yang turut mengaitkannya dengan 'kepincangan' orang Melayu dalam soal
kebersihan sehinggakan mengundang tikus dan terjadinya peristiwa seperti itu.

Padahal gerai rojak India itu dikendalikan orang bukan Melayu, dan bahagian paling
kotor pasar tersebut - pasar basah yang serangkaian tanpa halangan dengan geraigerai
makanan - kebanyakannya dikendalikan penjaja bukan Melayu!

Jadi, maaf cakap, kes bunuh dua budak itu pun mungkin serupa. Mungkin kita perlu
merenung panjang sebelum mengaitkannya dengan nama Melayu.

Bukannya saya buta pada hakikat bahawa kededua kes bunuh itu angkara orang
Melayu.

Tetapi adakah orang Melayu saja yang terlibat dengan pembunuhan kanak-kanak
ataupun saudara-mara?

Kalau kita amati dada akhbar, ternyata terbukti sebaliknya.

Saya senaraikan sekelumit kes:

 Baru November lalu, seorang lelaki Cina dipercayai membunuh kededua anaknya
berusia tiga dan lima tahun sebelum membunuh diri.

Isterinya dilaporkan menjerit: 'Kenapalah engkau mengheret anak-anak aku sekali!'

 Oktober lalu pula, seorang wanita Singapura berbangsa Cina yang berhijrah ke
Canada bersama suaminya didakwa membunuh anak mereka berusia 15 tahun yang
autistik.
 Pada Mac 2004, seorang suri rumah berbangsa Cina melompat membunuh diri
bersama dua anak perempuannya berusia dua dan tiga tahun.
 Pada Mei 2003, seorang jurutera Cina membunuh diri selepas mencekik anaknya
berusia 11 tahun.
 Pada 2000, seorang pemandu teksi Cina menikam isterinya sebelum membunuh
dirinya.

Ada lagi kes serupa. Namun, sampai sekarang, tidak sekali pun gejala sedemikian
disebutkan sebagai masalah orang Cina.

Yang saya khuatirkan, pendekatan kita terhadap kes Edy dan Nonoi ibarat kes 9/11 dulu
- kerana perbuatan segelintir pengganas yang beragama Islam, seluruh umat Islam
terbabit bersama.

Lantaran itu, besar harapan saya, kerana nila setitik, usahlah rosak susu sebelanga.

Bukan saja kali ini, bahkan juga senario serupa pada masa depan.

JADI SIAPA PINCANG?

Namun, itu tidak bermaksud saya menidakkan wujudnya masalah keluarga pincang di
kalangan masyarakat Melayu.

Saya setuju 100 peratus dengan Dr Yaacob bahawa ia satu virus yang harus dihapus
kerana menular dan kian berakar dalam masyarakat kita dari generasi ke generasi.

Sekarang pun, Yayasan Mendaki dan Universiti Nasional Singapura (NUS) sedang
mengkaji punca-punca keluarga pincang Melayu.

Saya tabik usaha mereka itu. Kefahaman lebih mendalam tentang isu ini akan
membantu mencapai huraian yang lebih bermakna.

Mungkin sebagai permulaan, boleh kita fikirkan istilah lebih 'manis' daripada 'keluarga
bobrok' atau 'keluarga pincang' demi mengurangkan stigma dan meningkatkan lagi
tahap penerimaan golongan sedemikian kepada sebarang bantuan yang dirancangkan.

Misalnya, apa kata panggil mereka 'keluarga menakat'?

Akhir kalam, maaf cakap, cara orang kita membincangkan isu ini sekarang seolaholah
keluarga pincang ini satu gejala yang baru dikesan dan disedari.

Padahal, kalau tak silap saya, bukankah keluarga pincang lazimnya dicirikan tahap
sosio-ekonomi mereka?

Ertinya, berpendapatan rendah dan berpendidikan rendah.

Jadi, bukankah keluarga sedemikian yang menjadi sasaran badan-badan Melayu kita
bertahun-tahun ini?

Tidakkah ratusan skim dan program bantuan sudah mereka jalankan dan jutaan dolar
sudah mereka belanjakan?

Jadi, apakah hasil dan kesannya?

Gagal atau berjaya?

Atau mungkin bantuan kita selama ini tersasar dan tersalah orang?

Copyright © 2009 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.


Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne

Anda mungkin juga menyukai