Anda di halaman 1dari 3

Kesatuan sekerja bukan bayangan

parti politik — S. Anad Kumar


December 31, 2010

31 DIS — Dua kesatuan sekerja terbesar di negara ini, Cuepacs dan Kongres Kesatuan
Sekerja Malaysia (MTUC) selesai mengadakan pemilihan tertingginya untuk memilih
barisan kepemimpinan baru bagi menerajui kesatuan masing-masing untuk tempoh tiga
tahun akan datang.
Sebagai suara mewakili pekerja, kesatuan sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak
kerana kelantangan menyuarakan hak pekerja yang sentiasa dianggap sebagai nadi
pembangunan negara.
Pergerakan kesatuan sekerja bukan sesuatu yang baru di negara ini, malah ramai
pemimpin kesatuan sekerja turut menjadi wakil rakyat seperti Allahyarham Ahmad Nor
dan mendiang V. David.
Ketika MTUC lantang memperjuangkan kebajikan pekerja, timbul pula pelbagai
persoalan seperti apakah benar mereka berjuang untuk pekerja, masih relevan
kesatuan sekerja di negara ini dan adakah benar kesatuan sekerja pada masa kini
memihak kepada pembangkang?
Sebelum berlangsungnya pemilihan MTUC, banyak ahli kesatuan sekerja itu
melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan tertinggi MTUC kerana
mendakwa perjuangan kongres itu dilihat lebih menjurus kepada pembangkang.
Ada pemimpin kanan MTUC turut menyampaikan rintihan mereka berhubung perkara
itu dan menegaskan sebagai sebuah kesatuan sekerja, MTUC harus bergerak bebas
tanpa memihak mana-mana parti politik.
Apakah mandat 475 perwakilan daripada 119 kesatuan gabungan yang memilih
Timbalan Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan sebagai pemimpin utama kesatuan
sekerja itu, kelmarin dapat dijayakan Presiden baru.
Mohd Khalid yang baru sepenggal menjadi orang nombor dua MTUC membuat
“kejutan” menewaskan penyandang, Syed Shahir Syed Mohamud yang sudah dua
penggal menerajui kepemimpinan tertinggi kongres itu.
Syed Shahir yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal mempertahankan
kerusinya buat penggal ketiga selepas menerima 213 undi, manakala Mohd Khalid
yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkayuan Malaysia mendapat
255 undi.
Menjelang pemilihan MTUC setiap tiga tahun sekali, pertembungan dua kumpulan
berbeza dalam kesatuan sekerja itu seolah-olah sudah menjadi tradisi sejak 1980.
Seperti biasa, pada pemilihan MTUC kali ini wujud dua puak dalam kongres itu iaitu
kumpulan Syed Shahir dan bekas Setiausaha Agung, G. Rajasekaran yang juga
seorang pemimpin veteran.
Sebelum pemilihan, ramai kalangan perwakilan menunjukkan sokongan terhadap
kumpulan Rajasekaran atau lebih dikenali sebagai kumpulan “dari pekerja untuk
pekerja”, seolah-olah menjadi satu isyarat mahu menolak kepemimpinan politik dalam
MTUC.
Sebaik saja keputusan diumumkan kira-kira jam 8.45 malam, hampir 80 peratus calon
daripada kumpulan Rajasekaran berjaya memenangi jawatan dalam pemilihan kali ini.
Abdul Halim Mansor yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung
selama 12 tahun, dipilih sebagai Setiausaha Agung dengan mendapat 188 undi
menewaskan dua lagi calon iaitu Ahli Parlimen PKR Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul
Hamid (165) dan J. Solomon (117).
Rajasekaran yang sudah 17 tahun memegang jawatan Setiausaha Agung membuat
keputusan tidak lagi mempertahankan jawatannya dan memberi laluan kepada
pemimpin lain untuk mengisi kerusi itu.
Kebanyakan pemimpin MTUC memandang tinggi sumbangan Rajasekaran kepada
golongan pekerja di negara ini dan menyifatkan beliau berundur secara terhormat serta
mengalu-alukan pemimpin veteran itu membantu MTUC pada setiap masa.
Sementara itu, Rajasekaran memberitahu Berita Harian, bahawa beliau tidak bermusuh
dengan mana-mana pihak, tetapi dirinya secara terbuka menyokong Mohd Khalid dan
Abdul Halim kerana melihat kedua-dua pemimpin itu mampu memimpin MTUC dengan
cemerlang.
“Setiap orang berhak menyertai mana-mana parti politik, kita tidak boleh menghalang
perkara itu, tetapi jangan biarkan MTUC ‘dipimpin’ parti politik atau kita memihak
kepada mana-mana parti politik.
“Sebagai kesatuan sekerja kita perlu bergerak bebas dengan terus lantang
memperjuangkan nasib pekerja, itu namanya kesatuan sekerja, kita bukannya parti
politik..., sesuatu isu atau masalah pekerja harus diselesaikan secara bersama
bukannya emosional,” katanya.
Rajasekaran berkata, kesatuan sekerja di negara ini sentiasa dipandang tinggi oleh
kerajaan kerana di Malaysia tiada kesatuan sekerja yang dianggap sebagai ancaman
kepada kerajaan.
“Kesatuan sekerja di sini sentiasa patuh kepada undang-undang, kita tidak
menganjurkan piket secara besar-besaran sehingga boleh menjejaskan negara,
kadang-kala piket yang dibuat pun secara kecil saja, tetapi kemudian kita selesaikan
masalah pekerja menerusi saluran yang betul,” katanya.
Melihat kepada keputusan pemilihan MTUC kali ini, apakah lebih 500,000 ahli kongres
itu mahu kepemimpinan baru dipilih benar-benar berjuang untuk kaum pekerja dan
bergerak bebas tanpa memihak. Apapun Presiden MTUC yang baru, Mohd Khalid
bersama barisan kepemimpinannya akan merangka strategi baru untuk menyelesaikan
masalah pekerja seterusnya memastikan kongres itu sentiasa bersatu padu. — Berita
Harian

Anda mungkin juga menyukai