Anda di halaman 1dari 4

Oleh KHAIRUL ANUAR RAHMAN

Kosmo! Selasa 25 Julai, 2006

 Radio Amatur atau juga dikenali sebagai Ham Radio merupakan satu cara berkomunikasi tanpa wayar
dengan menggunakan isyarat radio yang efektif selain dari menggunakan telefon bimbit dan Internet.
Jutaan pengguna dari segenap pelusuk dunia memilih Radio Amatur sebagai satu hobi. Di Malaysia,
pengendali hobi ini tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seseorang yang ingin
mengendalikan Radio Amatur perlu menduduki peperiksaan Radio Amatur atau RAE. Umur minima bagi
menduduki peperiksaan ini ialah 14 tahun sepertimana yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia, organisasi yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran lesen dan isu-isu
berkaitan dengannya.

Pengendali Radio Amatur hanya perlu membayar yuran lesen kategori masing-masing iaitu sebanyak
RM24 setahun bagi kelas B dan RM36 bagi pemegang lesen kelas A. Pemegang lesen kelas B yang
hendak menaiktaraf kepada lesen kelas A yang membolehkan seseorang itu mengendalikan frekuensi
yang lebih meluas dikehendaki untuk menduduki peperiksaan kod Morse pada kelajuan yang ditetapkan
oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Persatuan Radio Amatur tertua di Malaysia dikenali sebagai Malaysian Amateur Radio Transmitters’
Society melalui Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) telah ditubuhkan pada tahun
1952, sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi. Sejak dari tarikh itu, MARTS telah menjadi wakil
Radio Amatur Malaysia di dalam Persatuan Radio Amatur Antarabangsa (International Amateur Radio
Union) atau IARU, sebuah badan Radio Amatur yang ditubuhkan di Paris, Perancis sejak tahun 1925 dan
dianggotai lebih 150 negara.

Terdapat lebih daripada 10 persatuan Radio Amatur di Malaysia yang boleh dianggotai oleh mereka
yang mempunyai lesen Radio Amatur yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC). Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi ini tetapi belum mempunyai lesen,
mereka boleh menyertai persatuan-persatuan radio amatur sebagai seorang pendengar atau lebih
dikenali di dalam dunia Radio Amatur sebagai Shortwave Amateur Radio Listener (SWAL).

Menurut salah seorang penggiat hobi ini, Abdul Ssukur Ahmad, 45, "Komunikasi menerusi radio adalah
unik dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Selain daripada dapat mengenali rakan-rakan di
seluruh dunia menerusi suara, ketukan kod Morse dan pelbagai lagi aktiviti komunikasi Radio Ham yang
lain, ia juga berguna sewaktu kecemasan, iaitu ketika perhubungan lain seperti talian telefon terputus
atau sewaktu ketiadaan isyarat perhubungan telefon bimbit semasa menjelajah tempat terpencil seperti
di kawasan hutan dan perhubungan".

Beliau yang memiliki callsign atau kod panggilan 9M2SY (disebut Nine-Mike-Two-Sierra-Yengki)
merupakan seorang Elmer atau mentor yang membantu mereka yang baru mengenali Radio Amatur.
Beliau turut membantu mendapatkan peralatan Radio Amatur untuk mereka yang berminat menceburi
aktiviti ini selain menyediakan maklumat dan panduan seperti siri kartun Radio Amatur serta pautan
kepada laman-laman web Radio Amatur lain dalam negara menerusi weblog beliau
dihttp://abang9m2sy.blogspot.com/. Mereka yang kurang mahir di dalam bidang teknikal turut boleh
mendapatkan rujukan daripada beliau tentang cara yang betul untuk memasang peralatan radio
mereka.

Abdul Sssukur yang telah terlibat dengan aktiviti Radio Amatur selama lebih daripada 15 tahun dan kini
merupakan ahli seumur hidup Persatuan Radio Amatur Utara Semenanjung Malaysia (ASTRA) dan juga
juruaudit kepada persatuan ini turut menambah, "Bagi mereka yang gemar membuat eksperimen
dengan peralatan radio juga boleh menggunakan peluang ini untuk membina dan mengujikaji radio
serta mendapat bimbingan daripada ahli Radio Amatur yang lebih berpengalaman.

 
ASTRA merupakan persatuan pertama di negara ini yang memiliki rangkaian pancar-ulang atau repeater
yang menghubungkan seluruh Semenanjung Malaysia ketika ini. Selain ASTRA, persatuan lain yang
bergiat aktif termasuklah Persatuan Perkhidmatan Kecemasan Radio Amatur Malaysia (MARES), Kelab
Radio Amatur Negeri Sembilan (NESRAC), Persatuan Radio Amatur Sabah dan Kelab Radio Amatur
Sarawak.

Menurut Abdul Ssukur lagi, "Radio Amatur sangat berkesan dalam memberikan informasi terkini tentang
perkara yang sedang berlaku di sekeliling kita dan sekiranya berlaku kecemasan, kita mudah
mendapatkan bantuan. Sebagai contoh, saya mendapat maklumat mengenai tragedi Tsunami melalui
Radio Amatur lebih awal daripada media massa yang lain". Tambah beliau lagi, "Bukan sahaja saya
menjadi antara orang pertama di dalam negara mendapat berita mengenai bencana ini, malah ia juga
membolehkan kami dengan cepat mengambil tindakan seterusnya dengan lebih cepat".

Selain itu, pengendali radio juga sering bertemu dan kadang-kala mereka mengadakan pertandingan
mencari arah dikenali sebagai Fox Hunting dengan menggunakan antenna Yagi dan Handy, suatu
pertandingan yang hampir serupa dengan pertandingan mencari harta karun menggunakan peralatan
tertentu seperti alat GPS atau Geocaching.

Mungkin ada yang berpendapat hobi ini adalah satu hobi yang mahal. Hakikat sebenarnya ia tidak
semahal yang disangka. Dengan kos minima sebanyak RM600, seseorang boleh mendapatkan peralatan
Radio Amatur dikenali sebagai Handy. Mereka yang mempunyai bajet yang lebih boleh memilih
menggunakan Mobile Rig (untuk kereta) atau Base Station (Untuk rumah atau pejabat).

Tambah Abdul Ssukur lagi, "Langit bukanlah batasan kepada hobi ini, malahan ia menjangkau lebih dari
itu. Isyarat-isyarat yang dipancarkan oleh pengendali dari seluruh dunia melantun dari setiap penjuru
arah pada setiap masa umpama sebuah jaringan labah-labah gergasi yang tidak kelihatan oleh mata
kasar. Tanpa kita sedari, jutaan pengendali radio amatur sendang menjalinkan persahabatan dengan
cara yang unik ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Radio Amatur merupakan raja segala
hobi!".

Anda mungkin juga menyukai