Anda di halaman 1dari 3

ULASAN ARTIKEL “PERASAAN TAKUT DI KALANGAN KANAK-KANAK”

Kebanyakan kanak-kanak akan mempunyai perasaan takut terutama pada peringkat awal
kehidupannya. Perasaan takut adalah sebahagian daripada proses perkembangan normal
manusia. Perasaan takut akan menyebabkan manusia peka pada situasi-situasi yang
berbahaya (Mahizer Hamzah, 2009). Berdasarkan artikel “Perasaan Takut di Kalangan Kanak-
kanak, didapati bahawa artikel ini ada mengupas tentang jenis-jenis keadaan yang
menyebabkan kanak-kanak takut, punca kanak-kanak berasa takut dan cara untuk
menanganinya.

Objek atau keadaan yang ditakuti oleh kanak-kanak adalah berbeza mengikut usia
mereka. Bagi kanak-kanak yang berusia satu hingga tiga tahun, mereka sering berasa takut
pada suasana gelap, semasa berjumpa doktor, bunyi mercun, bunyi guruh yang kuat, binatang
seperti semut, lipas, kucing dan anjing, takutkan hantu, anak patung besar serta ditinggalkan di
tempat yang terasing bagi dirinya atau di bawah jagaan orang yang tidak dikenali. Kanak-kanak
yang berusia empat tahun ke atas pula sering dilanda perasaan bimbang apabila memikirkan
soal kematian dan penyakit yang mungkin menimpa ibu bapa mereka. Sesetengah bayi pula
mudah berasa takut pada orang berjanggut, bercermin mata, bertopeng atau yang bersuara
lantang serta perasaan takut terhadap doktor.

Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan timbulnya perasaan takut dalam
diri kanak-kanak. Antaranya ialah berpunca daripada sikap ibu bapa sendiri di mana mereka
secara tidak sengaja menimbulkan rasa takut dalam diri kanak-kanak apabila mereka
mempamerkan perasaan takut terhadap sesuatu benda di hadapan anak mereka. Selain itu,
ada sesetengah ibu bapa yang cuba memaksa anak mereka mematuhi sesuatu perintah
dengan cara menakut-nakutkan kanak-kanak. Misalnya, “Jangan masuk ke dalam bilik itu, ada
hantu”. Jadi, secara tidak langsung perasaan takut akan terus bersarang dalam jiwa kanak-
kanak memandangkan mereka sering diingat-ingatkan tentang hantu dan benda-benda yang
menakutkan.

Di samping itu, perasaan takut juga berpunca daripada pengalaman menakutkan yang
dialami oleh kanak-kanak itu sendiri pada sebelumnya. Sebagai contoh, kanak-kanak yang
takutkan anjing pernah mengalami peristiwa di mana seekor anjing telah menerpa ke arahnya
dan menyalak-nyalak dengan kuat. Keadaan ini sukar dilupakan oleh kanak-kanak tersebut
menjadikan perasaan takut terhadap anjing akan terbawa-bawa sehingga dewasa. Apabila
kanak-kanak tersebut terserempak dengan anjing, dia akan menangis ketakutan dan teringat-
ingat peristiwa yang pernah dialaminya sebelum ini.

Seterusnya, kanak-kanak yang takutkan doktor pula pernah diberi suntikan pelalian di
mana pengalaman yang menyakitkan ini kekal dalam ingatannya. Apabila kanak-kanak tersebut
dibawa berjumpa dengan doktor, dia akan meraung ketakutan dan mengelak daripada disentuh
oleh doktor. Jadi, kanak-kanak perlulah sentiasa ditemani oleh ibu bapa apabila menjalani
pemeriksaan doktor. Hal ini kerana persekitaran di hospital merupakan suasana asing bagi
dirinya dan kanak-kanak mudah berasa cemas dengan keadaan tersebut. Kanak-kanak juga
perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi di hospital.

Lazimnya, doktor kanak-kanak yang berpengalaman akan tahu bagaimana untuk


memujuk dan mendapatkan kemesraan kanak-kanak sebelum melakukan pemeriksaan
kesihatan yang mungkin boleh menimbulkan perasaan takut dalam dirinya. Di sini ibu bapa
sebenarnya turut memainkan peranan dengan memberikan galakan dan senyuman kepada
anak mereka serta tidak meninggalkan anak mereka bersendirian. Lama-kelamaan kanak-
kanak akan berhenti menangis memandangkan situasi yang dialaminya tidaklah menakutkan
sepertimana yang mereka bayangkan.

Pelbagai kaedah yang dapat dipraktikkan untuk mengatasi masalah takut dalam
kalangan kanak-kanak. Antaranya ialah beri pujian atau galakan apabila kanak-kanak
menunjukkan tingkah laku tidak takut yang diingini. Ibu bapa dan pihak guru hendaklah
memberi pujian apabila kanak-kanak cuba melakukan sesuatu perkara yang baru atau apabila
dia menunjukkan sikap bertanggungjawab dan berdikari. Misalnya, kanak-kanak yang takutkan
suasana gelap seharusnya diberi pujian dan galakan apabila dia sudah boleh tidur dalam
biliknya tanpa lampu terpasang. Jadi, perasaan takutnya terhadap suasana gelap akan hilang
secara beransur-ansur.

Selain itu, bagi kanak-kanak yang takutkan bunyi guruh pula, kaedah yang disarankan
adalah dengan memainkan pita rakaman bunyi guruh di hadapan kanak-kanak sewaktu cuaca
terang-benderang. Lama-kelamaan, kanak-kanak tersebut dapat menyesuaikan dirinya dengan
bunyi tersebut walaupun pada mulanya dia menangis ketakutan. Bagi kes kanak-kanak yang
takutkan binatang seperti kucing atau takutkan anak patung besar, satu program “desensitisasi”
bolehlah dilakukan. Sebagai contoh, pada permulaan program, sebuah anak patung kecil
diberikan kepada kanak-kanak yang takutkan anak patung besar untuk bermain-main terlebih
dahulu. Apabila kanak-kanak tersebut telah berasa selesa, seterusnya dia diberikan anak
patung yang lebih besar sedikit saiznya. Proses ini akan berterusan sehinggakan perasaan
takutnya terhadap anak patung yang besar mulai hilang. Langkah “desensitisasi” ini juga boleh
dilakukan terhadap kanak-kanak yang takutkan binatang.

Seterusnya, para pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak perlulah cekap dan


berpengalaman tentang karenah kanak-kanak dan bijak mengawal kanak-kanak yang takut
apabila ditinggalkan oleh ibu bapa mereka di pusat penjagaan kanak-kanak. Bagi kanak-kanak,
mereka mudah berasa cemas dan takut di tempat yang terasing bagi mereka atau ditinggalkan
di bawah jagaan orang-orang yang tidak dikenalinya. Jadi, para pengasuh perlulah melayan
dan memujuk kanak-kanak dengan baik dan meyakinkan kanak-kanak bahawa dia berada di
tempat yang selamat.

Di samping itu, ibu bapa sememangnya memainkan peranan penting dalam menangani
permasalahan ini. Ibu bapa seharusnya faham bagaimana perasaan takut boleh wujud dalam
kalangan kanak-kanak dan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk mengurangkan
dan menghilangkan perasaan takut tersebut. Perasaan takut yang dialami kanak-kanak seelok-
eloknya dirawat sewaktu seseorang itu masih kecil lagi. Hal ini kerana, jika perasaan takut
terhadap sesuatu keadaan atau objek berlarutan sehingga dewasa maka permasalahan ini
akan bertukar menjadi fobia.

Perasaan takut sering terjadi dalam kalangan kanak-kanak tetapi kebanyakannya akan
hilang dengan sendiri seiring dengan peningkatan umur dan kematangannya. Kanak-kanak
yang mengalami perasaan takut boleh dipulihkan dengan menggunakan strategi psikologi. Jika
kanak-kanak mempunyai perasaan takut yang agak keterlaluan, pihak guru dan ibu bapa
perlulah mendapatkan nasihat daripada ahli psikologi atau pakar kanak-kanak yang arif tentang
masalah tingkah laku kanak-kanak agar permasalahan ini dapat dibendung dengan segera.

Konklusinya, semua pihak seharusnya berganding bahu dalam menyelidiki dan


mengatasi segala masalah tingkah laku kanak-kanak meskipun masalah tersebut dianggap
remeh. Kita perlulah mengambil langkah berjaga-jaga dan memberi perhatian ke atas setiap
masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak. Hal ini kerana, kanak-kanak mestilah membesar
dengan baik dan menyeluruh dari segi perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial, moral dan
kognitif. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa semua pihak mempunyai peranan masing-
masing dalam mendidik dan mengasuh kanak-kanak lebih-lebih lagi dalam proses menangani
masalah takut dalam kalangan kanak-kanak.

Anda mungkin juga menyukai