Anda di halaman 1dari 3

Mencari bahagia selepas 

dimadu

Saya sangat tertarik dengan maklum balas yang puan berikan terhadap masalah Fatin dalam
siaran akhbar ini pada 25 Januari lalu. Kata-kata semangat dan motivasi puan menjadi santapan
saya setiap hari dan Insya-Allah saya semakin mendapat cahaya di dalam kegelapan.

Berbeza dengan Fatin, saya dimadukan tanpa pengetahuan saya dan suami menyemai cinta
bersama isteri kedua ketika saya sedang berada di tahun akhir pengajian sarjana. Keazaman saya
untuk menjadi pakar perubatan menjadikan tumpuan saya lebih terarah kepada pengajian dan
anak-anak. Saya hanya mengetahui pernikahan mereka sebulan sebelum saya memulakan tugas.
Segala-galanya sudah terlambat kerana mereka sedang meniti hari bahagia untuk menimang
cahaya mata. Saya akui walaupun sebagai seorang profesional, perkahwinan suami menjadikan
saya hilang arah dan pedoman.

Alhamdulillah, hasil sokongan rakan-rakan dan bantuan profesional mereka, menjadikan saya
segera sembuh daripada depresi. Saya juga bangkit daripada keruntuhan perasaan untuk
menjalankan tanggungjawab saya terhadap masyarakat dan keluarga. Walaupun hampir setahun
berlalu, saya masih di dalam proses menguatkan diri untuk menerima kenyataan pahit ini,
memaafkan suami dan berusaha untuk terus menyintainya serta menerima madu saya sebagai
saudara sendiri. Namun, payah untuk melupakan apa yang terjadi dan ia seolah-olah menjadi
penghalang untuk saya memaafkan suami serta isteri keduanya. Puan, saya memilih untuk
menerima poligami, malangnya jalan yang terpaksa saya lalui sangat sukar dan berliku-liku.
Mampukah saya mencapai destinasi bahagia??

Hani Eliza, Kuala Lumpur.

Jawapan:
HANI Liza yang sedang membangun kekuatan. Terima kasih kerana sudi berkongsi masalah
dengan Umi. Mudah-mudahan perkongsian ini membuahkan keyakinan berpanjangan.

Hani, anda sedang diuji Allah. Sebagai langkah pertama cuba fahami dan hayatilah pesanan Nabi
Muhammad SAW yang berbunyi “sebaik-baik ibadah ialah sabar menunggu jalan keluar”. Ini
bermakna tidak ada satu ujian pun yang akan kekal. Mana mungkin ada malam yang tidak ada
siang, pagi tanpa digantikan dengan petang, mana mungkin banjir berpanjangan dan tidak akan
terjadi kemarau berpanjangan. Jika ini kenyataan yang terjadi bermakna Allah tidak pernah tidak
adil pada makhluknya. Bagi memperhatikan lagi cinta Allah pada makhluk-Nya dan
membuktikan lagi kehebatan Allah Yang Maha Adil maka dibekalkan makhluk-Nya dengan
pesanan melalui surah Hud :81 yang berbunyi “bukankah Subuh itu sudah tiba.” Subuh
bermakna betapa pun panjangnya malam pekat pasti akan bertemu dengan waktu tamatnya.

Oleh iu betapa pun berat dan panjangnya penderitaan yang ditanggung oleh hamba Allah, Dia
telah menjelaskan pasti Allah menemukan saat penyembuhan untuk keluar daripada
permasalahan itu. Subuh bermakna cahaya fajar bagi orang yang ditimpa kesedihan itu telah
menyerlah. Maka pandai-pandailah merasai sapaan dan sentuhan suria pagi, tunggulah panasnya
bebola mentari pagi sebagai tanda bahawa kemenangan telah datang dari Yang Maha Berkuasa.
Oleh itu laluilah kehidupan dengan keyakinan ini dan puan akan merasa sentuhan Allah tidak
pernah putus daripada kita hamba-Nya. Ini dipastikan dalam janji Allah bahawa Allah tidak
pernah mengantuk, tidak pernah penat, berhenti mengurus langit dan bumi serta seluruh isinya.

Begitulah juga dengan puan sebagai seorang daripada hambanya. Keadaan puan ketika ini harus
dilihat sebagai seperti seutas tali. Jika tali itu sudah sangat tegang, maka ia akan segera putus.
Ertinya jika persoalan itu sudah kritis atau matang, maka tunggu kerana ia pasti akan berhenti
dan ditemukan dengan jalan keluar. Allah akan pastikan setiap kesedihan dan kegembiraan itu
menemui penghujungnya.

Ini ditegaskan lagi oleh Allah, “dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah
akan menjadikan baginya jalan kemudahan dalam urusannya (QS Ath-Thalaq:4). Ini janji Allah
yang sangat pasti, maka bangunkan keyakinan puan dan panjatkan doa dan kesedihan puan
kepada-Nya, pasti puan akan berasa bahawa kesedihan tidak berpanjangan kerana Allah tidak
membenarkan keadaan itu terjadi selagi puan tidak berputus asa dari rahmat Allah. Sebab itu
Allah menjanjikan, “maka, sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan,
sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (QS Al: Insyirah:5-6) Dengan syarat puan
yakin sepenuhnya bahawa apa yang puan lakukan kerana Allah dan mahu mendapat reda Allah,
bukan kerana manusia.

Pandanglah manusia yang bersama puan kerana itu adalah pemberian Allah. Terima dan layanlah
mereka kerana Allah bukan kerana manusia. Jika tidak, puan tidak akan berasa ikhlas melayan
mereka kerana rasa dendam dan curiga. Pesanan Umi setiap kesulitan akan menjadi sulit bila kita
memikirkan kesulitan. Kerana apa yang kita fikirkan itulah yang akan terjadi. Maka untuk
mencapai bahagia sejati ikutlah apa yang dilakukan oleh Zulaika yang amat mencintai Yusuf
sebelum mendapat cinta Allah.

Maka setelah dia mengahwini Yusuf dan mendapat cinta Allah, dia memberikan sepenuh
cintanya kepada Allah dan melayan Yusuf kerana cintanya kepada Allah, bukan lagi kerana cinta
sepenuhnya kepada Yusuf semata-mata seperti sebelum menikahinya. Umi harap puan juga
begitu. Tinggalkan kesedihan sedapat yang mungkin. Jika puan terus bersedih dan luka, pasti
puan tidak dapat menikmati bahagia yang puan cari.

Biarlah takdir berjalan semahunya dan jangan puan tidur kecuali dengan hati yang bersih kerana
Allah. Ia pasti akan mengubahnya dari satu keadaan ke keadaan yang lain sebagaimana yang
puan doakan dan impikan kerana Allah itu mengikut sebagai mana sangkaan hamba-Nya. Jika
mereka berasa aku dekat maka aku akan dekat, begitulah jika mereka berasa aku jauh maka aku
akan jauh daripada mereka. (hadith Qudsi).

Perbanyakan membaca istiqhfar agar puan dapat menemukan jalan keluar dari setiap kecemasan
dan akan membuka pintu keluar dari setiap kesempitan, mendapatkan ketenangan batin, harta
yang halal, keluarga yang salih dan kebahagiaan yang sebenar. Akhir sekali bangunkan fikiran
positif, perasaan yang positif dan perlakuan yang positif dengan hati yang ikhlas. Insya-Allah
puan akan diberi petunjuk oleh Allah…..Amin.
Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar motivasi)

Anda mungkin juga menyukai