Anda di halaman 1dari 3

Setiap ketamadunan yang terbentuk telah dibina atas dasar moral etikanya, agama, budaya,

keintelektualannya dan sebagainya. Sejarah telah membuktikan bahawa sememangnya turun naik

sesebuah ketamadunan seperti zaman Firaun, Cina Kuno, Yunani, Parsi dan lain-lain lagi tamadun besar

dunia amatlah bergantung kepada dasar moralnya. Jikalau diamati dari sudut kehidupan perseorangan,

entiti moralnya memainkan peranan yang amat penting dalam mengukur integriti dan keperibadiannya.

Dengan mengukur dimensi moral seseorang individu, kita dapat mengatakan sama ada beliau

seseorang yang bermoral ataupun sebaliknya. Natijahnya, dengan menggunakan formula yang sama,

apatah lagi kesannya kepada organisme yang jauh lebih besar dan kompleks iaitu ketamadunan

manusia. Dimensi moral tidak dapat diabaikan dan tiada ketamadunan yang bertahan dan berkembang

dengan pengabaian dimensi moralnya.

 Menurut dimensi moral, persoalan kebejatan moral di sini dapat dipecahkan kepada dua isu induk iaitu

yang pertama sekali, dimensi moral yang menyangkuti hal kepimpinan dan yang kedua pula merupakan

pengamatan dimensi moral yang membincangkan peranan para cendekiawan kerana sememangnya,

tanpa kedua-duanya, ketamadunan tidak akan mampu berfungsi. Harus ditekankan bahawa apabila

diperbincangkan mengenai moral, ia bukanlah sekadar mempersoalkan tentang soal disiplin peribadi

seperti tidak melanggar tatasusila, menceroboh hak manusia ataupun tidak mengamalkan sesuatu yang

melanggar norma masyarakat, namun moral yang dimaksudkan di sini merupakan ketanggungjawapan

dan keberanian untuk berpihak pada yang benar, tidak mengira dari mana sumbernya. Keberanian

moral yang ingin diperbincangkan adalah keberanian untuk berpihak kepada golongan yang tertindas,

terabai, terpinggir dan ternoda.

Pembangunan tamadun banyak dikesankan oleh produksi makanan yang akan mempertingkatkan

pemukiman manusia, organisasi politik akan dimantapkan dan dimensi intelektual manusia akan

menjadi lebih progresif dari masa ke masa.

Kebejatan moral, atau keterbalikkannya iaitu kemantapan moral, berkait-rapat dengan pembangunan

tamadun dan dari aspek kepimpinan politik, ia telah begitu banyak dirakamkan dan dianalis. Seperti

mana yang pernah dirakamkan oleh Pitirim Sorokin dalam bukunya, “Who Shall Guard the Guardians”,

ataupun siapakah yang akan menjaga si Penjaga, beliau telah mempermasalahkan tentang isu korupsi

dan soal moral yang terdapat dalam kalangan pemimpin dunia dewasa ini. Beliau juga pernah
meramalkan bahawa dunia kita akan mengalami satu pemberontakan, keresahan dan kegelisahan yang

diakibatkan oleh kebejatan moral yang semakin meruncing dalam kelalaian dan kecuaian pentadbiran

politik sesebuah masyarakat/negara.

Di rantau kita juga, isu kebejatan moral dalam kepimpinan politik acapkali dibincangkan juga. Dari

Munsyi Abdullah ke Sudjamoko di Indonesia dan juga Prof. Syed Hussein Alatas di Malaysia, isu ini

kerap ditimbulkan dan dititikberatkan. Kepimpinan politik yang tidak berpaksikan moral akan menjadi

petanda besar keruntuhan ketamadunan tersebut. Tambahan lagi, tidak harus dilupakan juga golongan

inteligensia masyarakat kerana sekiranya mereka tidak memiliki keberanian moral, senanglah bagi

mereka untuk bersekongkol dengan pihak penguasa yang tidak bermoral. Tidak dapat disangkal lagi

bahawa kebejatan moral di kalangan pihak pemimpin dan inteligensia akan menjadi petanda

keruntuhan ketamadunan tersebut.

Golongan intelek yang tidak memiliki kemampuan untuk menolak rasuah, menyalahgunakan kuasa, lalai

dalam pentadbiran merupakan golongan intelek yang tidak memiliki keberanian moral kerana kekuatan

intelek bukanlah kebolehan berteori itu dan ini, berhujah sana dan sini. Namun, apa yang ingin

diperkatakan di sini merupakan yang bertitik-tolak daripada keberanian untuk menegakkan yang benar.

Sejarah kesultanan Melaka jelas memperlihatkan bahawa keruntuhan tamadun tersebut disebabkan

kebejatan moral pihak feudal dan penulis Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang, secara sedar ataupun tidak,

telah mendedahkan kelemahan kepimpinan politik kaum feudal masa itu. Mentelah lagi, dari Mpu

Prapanca dalam puisi epiknya, Nagarakertagama (yang mengisahkann mengenai kerajaan Majapahit),

sehinggalah ke Munsyi Abdullah dalam Kisah Pelayaran Abdullah, isu kebejatan moral dalam

kepimpinan telah banyak kali dipermasalahkan! Jelas, kebejatan moral sememangnya petanda

keruntuhan sesebuah tamadun.

Apabila mempersoalkan mengenai keruntuhan tamadun, apakah pula yang dimaksudkan oleh

antonimnya iaitu perkembangan sesebuah tamadun? Kekuatan dan perkembangan sesebuah tamadun

bukanlah sahaja merangkumi aspek kekayaan materil masyarakat tersebut atau kecanggihan

pertahanannya, tetapi tamadun yang mampu bertahan dan berkembang merupakan tamadun yang

memilik pasak moral yang teguh dan berintegriti. Dari pasak moral yang kuat, kemanusiaan dan

kesejahteraan akan dapat terjamin dan ketidakmanusiaan akan mampu disanggah.


Syed Hussein Alatas pernah memperkatakan mengenai konsep Cita Sempurna dan Cita Bencana dan

menurutnya, tamadun yang memiliki pasak Cita Sempurna akan mampu bertahan dan berkembang

kerana pandangan hidup yang bermoral, menyeluruh dan mewujudkan masyarakat yang sempurna akan

menjanjikan pembangunan yang sihat. Namun, dengan kebejatan moral, apa yang akan terjadi pula

adalah Cita Bencana di mana akan terjadinya kerosakan kepada pembangunan sesebuah masyarakat.

Korupsi, jenayah dan kelemahan moral akan menjadi petanda besar keruntuhan masyarakat dan

ketamadunan.

Anda mungkin juga menyukai