Anda di halaman 1dari 2

KONSEP 1 MALAYSIA MEMUPUK PERPADUAN

KAUM
Pembentukan masyarakat majmuk yang harmonis merupakan agenda kerajaan yang paling
penting kerana prasangka perkauman boleh menghancurkan perpaduan yang sedia wujud.
Menyedari hakikat dan kepentingan mengekalkan perpaduan maka pelbagai langkah perlu
dijalankan bagi memastikannya berterusan.

Antara kepentingan mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk ialah untuk
mengekalkan keharmonian dan mengelakkan perselisihan. Penduduk Malaysia yang terdiri
daripada berbilang bangsa boleh hidup aman damai sejak dahulu lagi kerana adanya perasaan
saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.Amalan nilai murni ini menjadi
tunjang kekuatan sesebuah negara. Perkara ini dapat mengelak berlakunya perselisihan
seperti kejadian dalam sejarah hitam Negara iaitu peristiwa 13 Mei 1959. Rusuhan kaum
yang berlaku tidak memberi apa-apa keuntungan malah membawa banyak kemudaratan.

Perpaduan kaum yang wujud juga turut mempercepat dan memperkasa pembangunan
negara. Rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap bertoleransi dan hidup bersatu-padu
memangkinkan usaha memajukan negara dalam segenap aspek merangkumi ekonomi, sosial,
politik dan pendidikan. Pembangunan pesat yang jelas kelihatan pada hari ini membantu
masyarakat menjalani kehidupan seharian dengan selesa. Sebaliknya, jika keharmonian kaum
terancam maka amat sukarlah kerajaan mengatur agenda mencapai kemajuan negara.
Kesannya negara akan ketinggalan dan rakyat menderita kemiskinan.

Bagi merealisasikan kejayaan negara dengan ramuan perpaduan kaum ini, maka
pelbagai usaha ke arahnya hendaklah terus dijalankan. Antara lain, kerajaan mewujudkan
banyak dasar bertujuan menerapkan nilai-nilai bagi mengekalkan perpaduan kaum.Terkini,
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan konsep ‘1Malaysia’.
Dasar kepimpinan yang memperkenalkan konsep “rakyat didahulukan,pencapaian
diutamakan” memperlihatkan keutamaan masyarakat dalam pencapaian sesebuah
negara. Tanpa rakyat yang bersatu padu maka pincanglah negara itu.

Selain itu, segenap lapisan masyarakat juga berperanan menjalankan tanggungjawab masing-
masing untuk memelihara perpaduan. Media massa sebagai medium komunikasi menjadi
saluran maklumat dan membangkitkan semangat bersatu-padu.Memperbanyakkan iklan dan
risalah melalui kempen-kempen mencintai negara dapat menyedarkan masyarakat tentang
peri pentingnya menjaga keharmonian hidup sesamarakyat. Semua ini dapat dikongsi
bersama-sama dengan adanya alat komunikasi media massa seperti televisyen, radio
mahupun internet. Kemudahan yang kita nikmati sekarang ini adalah bukti nyata hasil
kemajuan negara.

Tuntasnya, kemakmuran negara berkait rapat dengan hubungan baik antara kaum yang sama-
sama mendokong usaha ini. Hubungan baik inilah yang perlu diamalkan bila-bila masa dan
selamanya agar kejayaan yang kita nikmati kini tidak ranap begitu sahaja setelah hampir 53
tahun negara kita mencapai kemerdekaan.

Anda mungkin juga menyukai