Anda di halaman 1dari 12

Abu Ismaaeel /

Muhammad Fathi bin ‘Ali Al-Malizy Al-Sakandary

Sifat al-Bukhari dalam Kajian Hadis


Penulis menghasilkan penulisan ini berdasarkan rakaman audio Mp3 kuliah guru penulis
iaitu Ustaz Adlan bin Abdul Aziz pada tahun 2005. Selain itu penulis turut menambah
banyak isi dari penulis sendiri yang penulis masukkan samada pada nota kaki mahupun
rangka utama penulisan. Tambahan adalah dengan merujuk kitab-kitab rujukan dan
juga dari maklumat yang penulis peroleh daripada kelas-kelas pengajian yang penulis
hadiri di Mesir

2
Pengenalan Ringkas kepada Imam Al-Bukhari

Imam al-Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-
Mughirah bin Bardazabah atau dikatakan bin Yazdabah. Sesetengah orang menggelarnya
Ibnul Ahnaf, Abu Abdullah bin Abil Hasan al-Bukhari al-Hafiz. Imam al-Bukhari termasuk
salah seorang daripada enam pengumpul dan penyusun kitab-kitab hadis yang terkenal dalam
dunia Islam iaitu Muslim,Ibn Majah,al-Tirmizi,Abu Daud dan al-Nasaie, yang mana kitab-
kitab mereka dikenali sebagai Kutub as-Sitttah1. Beliau dilahirkan pada hari jumaat 13 hari
bulan Syawal 194H. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kecil dan Imam Al-
Bukhari membesar dan tumbuh di bawah asuhan ibunya. Beliau meninggal pada hari Sabtu,
1 hari bulan Syawal 256H iaitu ketika beliau berumur 62 tahun setelah meninggalkan jasa
yang cukup besar kepada Islam dan umat Islam yang berguna sehingga hari kiamat.
Imam al-Bukhari adalah seorang yang telah terkenal akan kehebatannnya dalam hadis,
sehinggakan apabila sesebuah hadis itu disebut sebagai "riwayat al-Bukhari"2 maka ia
memberi tanda kekuatan seolah-olah hadis itu tidak perlu disemak lagi akan kesahihannya.
Bukanlah kita mengatakan bahawa al-Bukhari maksum, akan tetapi setelah dikaji zaman-
berzaman, sejak kitab sahih Al-Bukhari ini ditunjukkan kepada guru-guru Imam Al-Bukhari
seperti Yahya ibn Mai'n, Imam Ahmad ibn Hanbal dan imam-imam lainnya, mereka telah
menyokong penuh akan kesahihan hadis-hadis dalam kitab sahihnya kecuali beberapa hadis
yang tidak sepakati akan darjatnya. Ini bermakna majoriti hadis-hadis dalam kitab Sahih Al-
Bukhari3 telah diakui kesahihannya sejak zaman ia ditulis sehingga Imam Al-Bukhari
meninggal, malah telah cuba dibincang semula setelah Imam Al-Bukhari meninggal.

1
Kutub al-Sittah, atau buku-buku yang enam iaitu sunan al-Tirmizi,sunan Ibn Majah, sunan al-Nasaie,sunan
Abu Daud,sahih Al-Bukhari dan sahih Muslim. Sesetengah memanggil kitab-kitab ini sebagai al-Usul al-Sittah
dan as-Sihah al-Sittah. Digelar Usul al-Sittah adalah kerana kitab-kitab ini telah menjadi pokok dalil bagi Umat
Islam seluruhnya,biasanya kita tidak akan terlepas daripada enam kitab ini dalam sumber dalil fiqh.
Walaubagaimanapun,nama as-Sahih al-Sittah adalah tidak digalakkan kerana ia memberi gambaran yang
kurang tepat seolah-olah keenam-enam kitab ini semuanya mengandungi hadis-hadis yang sahih, sedangkan
bukan semuanya sahih. Nama kutub al-Sittah adalah nama yang paling popular antara semuanya. Perlu diberi
perhatian, sesetengah orang menggelar kitab-kitab ini sebagai Sunan al-Sittah, penamaan kitab-kitab ini sebagai
Sunan al-Sittah adalah tidak tepat, kerana kitab Sunan yang popular hanyalah empat (iaitu sunan Ibn Majah,
sunan al-Tirmizi, sunan Abu Daud, sunan al-Nasaie) dan dikenali sebagai sunan Arba'ah.
2
Yang dimaksudkan "riwayat al-Bukhari" disini adalah hadis-hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dalam
sahihnya, iaitu kitab sahih Bukahri, dan bukan selainnya. Selain kitab sahih Al-Bukhari, Imam al-Al-Bukhari
juga menyusun sebuah kitab hadis lain yang terkenal selain sahih Al-Bukhari iaitu kitab "al-Adab al-Mufrad".
Dan hadis-hadis dalam kitab al-Adab al-Mufrad ini tidaklah kesemunya sahih, ini bukanlah pelik kerana tujuan
Imam Al-Bukhari menyusun kitab al-Adab al-Mufrad ialah untuk mengumpul sebanyak mungkin hadis-hadis
berkaitan adab-adab tanpa menapis sahih atau tidak. Kitab al-Adab al-Mufrad ini telah ditahqiq dan ditakhrij
hadis-hadisnya oleh al-a'lamah Muhammad Nasiruddin al-Albani
3
Sebenarnya nama Sahih Al-Bukhari ini adalah ringkasan bagi judul asal karangan Imam Al-Bukhari iaitu kitab
"al-Jami' al-Sahih li Musnad min Hadis Rasulallah wa Ayyamihi". Disebabkan judul ini terlalu panjang, kitab
ini lebih dikenali dengan judul yang lebih pendek iaitu Sahih Al-Bukhari.Judul tersebut dipilih Imam Al-
Bukhari kerana mempunyai maknanya yang tersendiri. "Al-Jami'" bermaksud kumpulan lengkap hadis-hadis
Rasulullah yang meliputi semua bidang keperluan hidup Umat Islam. "al-Sahih" pula bermaksud keseluruhan
hadis yang terdapat di dalam karangan beliau adalah hadis-hadis yang sahih. Sementara "al-Musnad" pula
bererti hadis-hadis beliau mempunyai sanad yang bersambung hingga kepada sahabat yang merawikan sesuatu
hadis, ini tidak termasuk hadis-hadis yang diletakkan Imam Al-Bukhari sebagai pendahuluan

3
Contohnya, Imam ad-Daraquthni pernah cuba membincang dan menyemak semula
kesahihan hadis-hadis dalam kitab Sahih Al-Bukhari, walaupun terdapat beberapa4 hadis
dalam Sahih Al-Bukhari yang dibincangkan dan diragui akan darjat kesahihanya, namun
setelah dilihat dari segi hujah, didapati hujah-hujah Imam Al-Bukhari dalam mensahihkan
hadis-hadis dalam kitab sahihnya adalah lebih kuat. Secara ringkasnya, semua hadis-hadis
dalam kitab Sahih Al-Bukhari telah diakui akan kesahihannya oleh para muhaddith sezaman
dengannya, ataupun setelah al-Bukhari meninggal dunia. Selain itu, beliau hanya
memasukkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh golongan yang pertama sahaja dan
meninggalkan riwayat golongan yang lain, serta meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk
mensahihkan hadis-hadis dalam kitab sahihnya. Oleh sebab ketelitian beliau inilah, maka
kitab Sahih Al-Bukhari ini menjadi rujukan utama dalam senarai kitab-kitab hadis dalam
dunia Islam.
Imam Al-Bukhari adalah seorang yang bukan berbangsa Arab, malah jika diteliti dari segi
tempat lahir akan keenam-enam Imam penyusun Kutub al-Sittah akan didapati mereka semua
adalah bukan berketurunan Arab, kecuali Imam Muslim yang mempunyai asal-usul talian
dengan bangsa Quraish Arab. Tetapi secara ringkasnya, mereka semua adalah bukan
berketurunan Arab, dan ini semua memberikan petanda kepada kita bahawa Agama Islam ini
dipelihara oleh bangsa Arab dan bukan Arab. Oleh itu, adalah tidak mustahil untuk sesiapa
sahaja samada Arab atau tidak untuk mendalami dan menguasai bidang hadis,asal
mempunyai minat dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Bukan menjadi tujuan dalam penulisan ini untuk menyanjung Imam Al-Bukhari semata-
mata, ini adalah kerana beliau tidak memerlukan apa-apa sanjungan lagi daripada kita.
Malah, sebarang pujian atau kritikan terhadap beliau tidak akan menjejaskan sedikitpun
kedudukan Imam Al-Bukhari pada mata dunia Islam, yang pasti beliau telah meninggal dunia
dan meninggalkan kepada kita bukti keilmuan yang hebat, pujian-pujian para ulama, hasil
karya yang bermutu tinggi dan disanjung para ulama dulu sehingga kini. Apa yang perlu dan
lebih penting untuk dilakukan oleh kita adalah bukan mengkagumi dan menyanjung beliau
semata-mata, akan tetapi adalah menjadi kewajipan kita melihat dan mengambil contoh
akhlak dan sifat beliau untuk kita praktikkan pada diri kita dan umat Islam. Ramai antara kita
di Malaysia suka memuji dan menyanjung kehebatan ulama-ulama silam, akan tetapi
malangnya amat sedikit yang berusaha mengambil langkah lebih kehadapan dengan
mengikuti jejak langkah mereka, sehingga pujian hanya tinggal pujian tanpa hasil kepada
umat.Akhirnya, kita hanya menyanjung ulama-lama silam tanpa melahirkan pengganti
mereka. Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk kita melihat kepada sifat Imam al-Bukhari,
dan yang lebih penting adalah melihat apakah sifat-sifat dan ciri-ciri al-Bukhari yg dapat kita
contohi dan praktikkan dalam hidup kita, terutamanya kepada mereka-mereka yang ingin
mendalami ilmu-ilmu Islam. Walaubagaimanapun, kita akan lebih menfokuskan kepada
akhlak dan sifat Imam Al-Bukhari dalam kajian Hadis.

bab,matabik,pembentangan sahaja dan bukan sebagai asas yang dikehendaki dalam penulisannya, yang dikenali
sebagai hadis Muallaq dalam Sahih Al-Bukhari,dan hadis-hadis Muallaq ini telah dikaji akan darjatnya oleh Ibn
Hajar dalam kitabnya Taghliq al-Ta'liq. Dan akhir sekali, perkataan "ayyamihi" bermaksud,hadis-hadis tersebut
merupakan hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sepanjang hidup baginda. Imam Al-Bukhari
mengambil masa lebih kurang 16 tahun untuk menyiapkan kitab Sahihnya ini
4
Menurut Abu Ja'far al-U'qaili, hanya terdapat 4 hadis (daripada 7124 hadis) yang dipertikaikan kesahihannya
oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Yahya ibn Main dan Ali ibn al-Madini. Kesalahan yang amat kecil ini
menunjukkan kehebatan Imam Al-Bukhari.

4
Para ulama bersepakat bahawa Imam Al-Bukhari adalah salah seorang ahli fiqh dan pakar
ijtihad. Ahmad bin Sayar berkata dalam kitab Tarikh al-Marwi: "Muhammad bin Ismail
adalah seorang yang suka mencari ilmu, mempergauli orang ramai, berkelana mencari hadis,
memiliki ingatan yang kuat, dan seorang pakar fiqh". Sehinggakan Muhammad al-Masandi
berkata: "Muhammad bin Ismail adalah seorang imam atau ikutan, maka barang siapa yang
tidak menjadikannya imam tercelalah orang tersebut". Selain itu beliau juga merupakan
seorang yang zuhud, tawadduk, waraq dan seorang yang soleh.

Akhlaq dan Sifat Imam Al-Bukhari dalam Kajian Hadis

1. Kesungguhan yang tinggi dalam menghafaz hadis

Imam Al-Bukhari banyak menuntut ilmu daripada para Muhaddith di beberapa Negara
yang terkenal dengan ulama hadisnya. Beliau juga suka bergaul dengan orang lain demi
mencapai cita-citanya dalam ilmu hadis. Beliau adalah seorang yang cerdas dan kuat
hafazannya. Imam Al-Bukhari telah mengembara dan mencari hadis dan menghafaznya sejak
beliau berumur 10 tahun. Pada umur 16 tahun, beliau menghafaz kitab Ibnul Mubarak dan
Wakik sehingga beliau dapat menguasai kedua kitab terebut. Menurut al-Firabri, iaitu salah
seorang murid kepada Imam Al-Bukhari, beliau telah bertanya dan berbual bersama Imam
Al-Bukhari tentang bagaimana permulaan Imam Al-Bukhari menghafaz dan menceburi
dalam bidang hadis, beliau Imam Al-Bukhari berkata: "aku mula menghafaz hadis pada lebih
kurang umur aku 10 tahun atau kurang sedikit", kemudian Imam Al-Bukhari menambah
"kemudian aku keluar daripada halaqah yang meghafal hadis itu, keluar pergi ke rumah para
ulama-untuk menuntut hadis". Antara ulama yang dikunjungi Imam Al-Bukhari untuk
menuntut hadis adalah kepada gurunya al-Dakhili,iaitu seorang ulama hadis yang terkenal
pada zamannya ketika itu.
Pada suatu hari, ketika Imam Al-Bukhari berumur 10 tahun atau lebih sedikit, beliau
menghadiri majlis Hadis al-Dakhili dan menegur kesalahan sanad yang disebutkan al-
Dakhili5 dengan teguran yang penuh hikmah, iaitu ketika gurunya al-Dakhili menyebutkan
sanad, "Sufyan dari Abi Zubair, dari Ibrahim", mendengar akan sanad itu, dengan spontan
Imam Al-Bukhari menyebut "sesungguhnya Abu Zubair tidak pernah meriwayatkan
sesuatupun daripada Ibrahim", mendengarkan kata-kata Imam Al-Bukhari itu, lantas al-
Dakhili memarahi dan menyergah al-Bukhari dengan berkata "diam!!". Kemudian Imam Al-
Bukhari menegur gurunya dengan penuh hikmah dengan berkata "wahai guru, baliklah dah
lihatlah pada cacatanmu sekiranya ada..", ini memandangkan al-Dakhili menyebutkan sanad
itu berdasarkan hafalannya dan Imam Al-Bukhari pasti yang gurunya tersilap, kerana al-
Bukhari juga turut menghafal sanad tersebut. Maka al-Dakhili kemudiannya pergi masuk
mengambil buku cacatannya, setelah al-Dakhili melihat akan buku cacatannya, al-Dakhili
bertanya kepada al-Bukhari "wahai anak kecil, bagaimanakah sanad yang sebenarnya..",
Imam Al-Bukhari menjawab " bukan Abu Zubair, akan tetapi hanya Zubair iaitu Ibn Adiy..",
mendengarkan jawapan Imam Al-Bukhari itu, al-Dakhili berkata kepada Imam Al-Bukhari

5
Dalam majlis itu gurunya al-Dakhili menyebutkan sanad berdasarkan hafalannya

5
"wahai anak kecil, betul kamu benar", dan selepas itu al-Dakhili mengakui dan membetulkan
kesilapannya.
Diberitakan juga dari rakan al-Bukhari, Muhammad ibn al-Azhar al-Sajistani. Pada suatu
ketika aku (iaitu al-Sajistani) bersama al-Bukhari dalam majlis ilmu Sulaiman ibn Harb,
seorang Qadhi dari negeri Basrah sedang mengajar hadis. Berkata al-Sajistani "sesungguhnya
Al-Bukhari bersama kami dalam majlis ilmu itu, dia mendengar tetapi dia tidak menulis..".
Kemudian bertanya salah seorang yang turut menghadiri majlis itu "kenapa dia tidak mahu
menulis?" maka jawab seorang yang mengenali al-Bukhari "sesungguhnya dia mendengar
disini dan pulang ke rumahnya di Bukhara kemudian dia menulis berdasarkan ingatannya..",
ini menunjukkan kekuatan hafazan Imam Al-Bukhari.
Selain itu, diceritakan az-Zahabi dalam Siyar A'lam Nubala, berkata Abu Ahmad bin Adiy:
"aku mendengar sesetengah ulama yang menceritakan bahawa Muhammad bin Ismail al-
Bukhari suatu hari datang ke Baghdad, kemudian para ulama hadis berkumpul bersama
beliau untuk mendengarkan sebuah hadis". Kemudian ulama-ulama hadis tersebut sengaja
memutarbelit dan menterbalikkan kesahihan matan dan sanad hadis untuk menguji
kecekapan Imam Al-Bukhari. Setelah ditanyakan kepada Imam Al-Bukhari, beliau dapat
menjawab bahawa sanad dan matan hadis tersebut salah. Juga diberitakan oleh Ahyat bin Abi
Ja'far, "Muhammad bin Ismail berkata: "apabila aku telah mendengarkan hadis di Basrah,
aku akan menulisnya di Syam, dan apabila hadis tersebut aku dengar di Syam maka akau
akan menulisnya di Mesir". Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "para penghafaz hadis dari
penduduk Khurasan iaitu Abu Zar'ah ar-Razi,Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Abdullah
bin Abdur Rahman as-Samarkandi dan Hasan bin Syujak al-Balkhi". Juga berkata Imam
Ahmad:"aku tidak akan dapati seorang di negeri Khurasan seperti Muhammad bin Ismail al-
Bukhari". Ini semua menunjukkan betapa kuatnya hafazan al-Bukhari sehingga para ulama
hadis yang lainnya mengkaguminya.
Juga diceritakan oleh Jamaluddin al-Qasimi, pernah seorang yang kagum dengan kekuatan
hafazan Imam Al-Bukhari bertanya kepada beliau "apakah ubat untuk mudah dan kuat
menghafal", jawab al-Bukhari "tiada perkara lebih bermanfaat tentang hafazan yang aku tahu
melainkan dua perkara: kecintaan dan kemahuan yang tinggi terhadap sesuatu dan sentiasa
mengulangi dan melihat berulang-ulang kali". Nah!! lihatlah petua yang diberikan Imam Al-
Bukhari ini sangat logik, rasional dan praktikal, tiada apa-apa petua yang pelik, tidak perlu
makan atau minum ramuan-ramuan tertentu atau jampi-jampian tertentu, tetapi yang perlu
hanyalah kemahuan dan kecintaan yang kuat dan pengulangan yang kerap!!.

2. Bersabar dalam menjelajah ke merata tempat demi mencari Hadis

Ini adalah satu sifat yang menunjukkan kesungguhan Imam Al-Bukhari dalam menuntut
ilmu Hadis. Berkata al-Bukhari: "aku memasuki Syam, Mesir dan Jazirah dua kali, aku
memasuki Basrah empat kali, Hijaz enam tahun, dan aku tidak dapat menghitung berapa kali
aku masuk dan keluar dari Baghdad dan Kufah bersama para Muhaddith lainnya.."
Imam Al-Bukhari juga pernah bermusafir ke Makkah bersama ibu dan saudara lelakinya.
Ketika sesampainya di Makkah, mereka melakukan ibadah haji kemudian ibu dan saudara
lelakinya meninggalkan Imam Al-Bukhari dalam mencari Hadis. Antara negeri-negeri yang
telah dilaluinya adalah seperti Khurasan, Iraq, Hijaz, Syam, Basrah dan Mesir. Ini semua

6
menunjukkan kesungguhan dan kesabaran Imam Al-Bukhari dalam menjelajah mencari ilmu
Hadis.

3. Tidak sombong dalam mengambil ilmu daripada orang lain

Berkata Imam Al-Bukhari: "seorang Muhaddith itu tidak akan menjadi sempurna
sehinggalah dia belajar dan menulis hadis daripada mereka yang lebih tinggi ilmu
daripadanya, daripada mereka yang sama tahap ilmu dengannya, dan juga daripada mereka
yang lebih rendah ilmunya…", ini menunjukkan sifat tidak sombong al-Bukhari dalam
mempelajari Hadis, beliau mengambil hadis daripada semua lapisan, tidak mengira samada
gurunya, kawan-kawan yang setaraf dan juga daripada anak-anak muridnya sendiri. Sebagai
contoh, Imam Al-Bukhari pernah mengambil dan belajar hadis daripada anak muridnya
sendiri iaitu Imam al-Tirmizi. Juga diberitakan oleh Ibn Hajar bahawa Imam Al-Bukhari
tidak malu mengambil dan belajar hadis daripada anak-anak muridnya dan rakan-rakan yang
setarafnya adalah untuk mencari faedah, manfaat dan perkara-perkara baru daripada mereka.
Mungkin sesetengah perkara yang diketahui anak murid al-Bukhari tidak diketahui Imam Al-
Bukhari, oleh itu Imam Al-Bukhari tidak sombong dan tidak segan silu belajar daripada
mereka, walaupun mereka lebih rendah tahap ilmunya daripada beliau, al-Bukhari
menyedari akan hal bahawa pasti ada orang yang tahu akan perkara yang dia tidak tahu, ini
kerana tiada antara kita yang sempurna.

4. Berkongsi Ilmu bersama orang lain

Imam Al-Bukhari juga terkenal dengan sifatnya yang suka berkongsi ilmu dengan orang
lain, tidak mengira siapa jua walaupun seseorang itu lebih tinggi ilmu daripadanya, sama atau
lebih rendah ilmu daripadanya.Antara murid-murid al-Bukhari yang terkenal yang belajar
darinya dan mengambil ilmu darinya ialah seperti at-Tirmizi, Abu Zur'ah, an-Nasaie, Ibn
Khuzaimah dan lain-lain. Malah, guru-guru Imam Al-Bukhari sendiri seperti Ahmad bin
Hanbal, Ishaq bin Rahuyah turut mengambil manfaat dari Imam Al-Bukhari. Al-Bukhari juga
tidak pernah lokek dan kedekut dalam berkongsi ilmu bersama orang lain,sehingga
diberitakan jika dibilang jumlah semua mereka yang pernah belajar dan mengambil hadis
daripada Imam Al-Bukhari ianya akan mencecah beribu-ribu nama. Imam Al-Bukhari juga
tidak pernah menghadkan masanya untuk menyampaikan ilmu, bahkan akan cuba
menyampaikan sebaik mungkin dan tidak akan menyembunyikan ilmu yang dapat beliau
kongsi bersama anak-anak muridnya. Imam az-Zahabi dalam kitabnya Siyar A'lam Nubala'
menyebutkan bahawa Imam Al-Bukhari pernah berkata: "aku tidak akan menyembunyikan
ilmu sesuai dengan sabda Nabi yang bermaksud: "sesiapa yang ditanya tentang ilmu
kemudian dia menyembunyikannya maka dia akan diseksa dengan api neraka".

7
5. Gigih dalam menghasilkan Penulisan Ilmiah

Imam Al-Bukhari tidak berhenti dan berpuas hati setakat mencari, menghafaz dan
menyampaikan Hadis sahaja, akan tetapi beliau juga turut menghasilkan penulisan-penulisan
ilmiah yang kebanyakannya berkaitan hadis dan terdapat juga penulisan beliau dalam bidang-
bidang lain. Imam Al-Bukhari mula mengarang beberapa buah kitab ketika umur beliau
mencecah 18 tahun, antaranya ialah Fadhail as-Sahabah wa at-Tabiin iaitu pada masa
Ubaidullah bin Musa. Beliau juga mengarang kitab at-Tarikh ketika berada di kubur
Rasulullah SAW. Dan kitabnya yang monumental dan terpenting ialah kitab al-Jami' al-Sahih
atau lebih dikenali dengan timangan Sahih Al-Bukhari. Beliau memerlukan waktu 16 tahun
untuk menyiapkan kitab Sahihnya ini.
Secara lengkapnya dibawah ini disenaraikan antara tajuk-tajuk kitab yang ditulis oleh Imam
Al-Bukhari:
1- Qadaya al-Sahabah wa al-Tabiin.
2- Raf al-Adyan
3- Qiraat Khaf al-Iman
4- Khalq Af'al al-Ibad
5- al-Tafsir al-Kabir
6- al-Musnad al-Kabir
7- Tarikh Shaghir
8- Tarikh Ausat
9- Tarikh Kabir
10- al-Adab al-Mufrad
11- Birr al- wa Lidaini
12- al-Dhuafa'
13- al-Jami' al-Kabir
14- al-Asyribah
15- al-Hibah
16- as-Samik as-Sahabah
17- al-Wuhdan
18- al-Mabsuth
19- al-Ilal
20- al-Kuna
21- al-Fawaid
22- al-Jami' al-Sahih li Musnad min Hadis Rasulallah wa Ayyamihi atau lebih dikenali
dengan Sahih Al-Bukhari

8
6. Tidak semata-mata bergantung kepada Hafazan

Imam Al-Bukhari berkata: "aku tidak akan duduk menulis dan mengajar hadis,
sehinggalah aku dapat kemampuan membezakan hadis yang Sahih dan yang Dhaif". Ini
menunjukkan satu disiplin yang ditetapkan dan dibina beliau untuk dirinya sendiri, bagi
mengelakkan kesilapan beliau dalam menyampaikan dan mengajarkan hadis. Imam Al-
Bukhari sangat berhati-hati dalam menyampaikan hadis, beliau akan memastikan sesuatu
hadis itu tsabit6 dari Nabi SAW sebelum menyampaikannya kepada orang lain. Ini sesuai
dengan sabda Nabi SAW "barangsiapa yang berdusta kepadaku dengan sengaja, maka
siaplah tempat duduknya dalam neraka"7. Dan juga al-Bukhari pernah berkata: "aku tidak
akan tinggalkan satupun hadis di Basrah (apabila beliau pergi kesana) kecuali aku akan
menulis kembali kesemuanya (walaupun hadis-hadis tersebut beliau telah hafal)..". Ini juga
membuktikan bahawa Imam Al-Bukhari tidak semata-mata bergantung kepada ingatan, tetapi
turut menulis dan mencatat segala hadis-hadis yang diketahuinya dan yang dihafaznya.

7. Berhati-hati dalam menilai periwayat Hadis

Imam Al-Bukhari terkenal sebagai ulama Al-Jarh wa Al-Ta'dil8, beliau sangat berhati-
berhati dalam menilai periwayat hadis. Maka dalam menulis buku, Imam Al-Bukhari sangat
berhati-hati dalam Hadis dan sebarang pendapat yang akan beliau tulis atau keluarkan.
Berkata Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Baari : "terdapat sikap berhati-hati yang
lebih pada Imam Al-Bukhari dalam Jarh wa Ta'dil, dan juga pemilihan Imam Al-Bukhari
(dalam hadis) adalah sangat ketat..". Disebabkan ketelitian dan syarat-syarat yang ketat
dalam menilai periwayat inilah yang menyebabkan para ulama berasa susah hendak menolak
hadis-hadis yang disahihkan al-Bukhari dan berasa susah untuk menerima hadis-hadis yang
didhaifkan al-Bukhari.

8. Berhati-hati dalam Memilih Hadis

al-Bukhari sangat berhati-hati memilih hadis ketika menyampaikannya ataupun ketika


menulis. Sehingga beliau mengambil masa yang lama iaitu 16 tahun untuk menyempurnakan
kitab Sahihnya. Ketelitian beliau juga dapat dilihat sebagaimana yang dikatakan beliau
sendiri dalam kitab tersebut: "Aku tidak akan memasukkan hadis-hadis dalam al-Jami al-
Sahih kecuali yang sahih sahaja, dan aku tidak akan meletakkan sebuah hadis dalam kitab
tersebut kecuali apabila aku telah mandi dan melaksanakan solat dua rakaat".

6
Tsabit: iaitu samada hadis itu Sahih atau Hasan, iaitu benar untuk menyandarkannya kepada Nabi
7
Hadis Sahih riwayat Al-Bukhari dan Muslim
8
Al-Jarh wa Al-Ta'dil: iaitu ilmu menilai atau ilmu kritikan periwayat-periwayat hadis yang menentukan
samada diterima atau tidak sesuatu hadis itu.

9
Dalam menulis kitab sahihnya, Imam Al-Bukhari berpegang kepada dua prinsip utama iaitu
memelihara Sanad dan Matan sesebuah Hadis yang akan ditulisnya.Ini bagi memastikan
setiap Sanad hadisnya Marfuk sehingga kepada Nabi SAW dan memenuhi segala syarat
tertentu untuk dikira sahih.
Dalam hal Sanad, Imam Al-Bukhari tetap berpegang kepada prinsip bahawa setiap perawi
mestilah Tsiqah iaitu memiliki sifat Adil dan Dhobit (dipercayai dan tepat dalam menggarap
sesuatu perkara). Beliaulah orang yang telah mempopularkan syarat-syarat untuk
menentukan kesahihan sesuatu periwayatan hadis. Yang mana jika kesempurnaan syarat-
syarat itu dipenuhi, sesuatu hadis itu dapat diterima olehnya dan dimasukkan dalam kitab
sahihnya. Begitu juga dari segi Matan hadis, Imam Al-Bukhari sangat menekankan tentang
kebenaran matan hadis tersebut iaitu terpelihara daripada apa yang dikatakan hadis palsu dan
kecacatan yang tersembunyi. Walaupun sanad sesebuah Hadis tersebut dikatakan telah sahih
dan diterima, maka secara ringkasnya dan sepatutnya hadis itu diterima, tetapi bagi Imam Al-
Bukhari, beliau tetap meneliti setiap matan hadis yang akan dimasukkan dalam kitab
sahihnya. Oleh sebab ketelitian beliau yang melampau inilah, maka kitab Sahih Al-Bukhari
menjadi rujukan utama dalam senarai kitab-kitab hadis seluruh dunia.
Imam Al-Bukhari meneliti setiap matan yang disebut sebagai Hadis kerana Rasulullah
SAW bukanlah manusia biasa,tetapi manusia yang dikurniakan wahyu. Oleh itu tidak
mungkin sesuatu Hadis yang disampaikan oleh Baginda SAW dianggap aneh atau pelik yang
memungkin hadis itu dianggap palsu kerana kemungkinan maksud sesuatu Hadis yang agak
aneh tersebut masih belum dapat difahami oleh manusia biasa. Oleh sebab itu Imam Al-
Bukhari meneliti setiap matan sesebuah Hadis walaupun dari segi sanadnya sudah cukup
untuk menentukan sahih atau tidaknya sesebuah Hadis.

9. Mesra dan Pemurah kepada Pelajar

Sifat ini adalah satu sifat yang sangat terpuji dan patut dicontohi oleh kita. Imam Al-
Bukhari merupakan seorang yang sangat mesra dan pemurah terhadap para pelajarnya.
Beliau tidak pernah mempunyai rasa hati dirinya lebih hebat dari orang lain atau lebih pandai
daripada orang lain, dan tidak pernah mempunyai perasaan dirinya sahaja yang betul dan
orang lain salah. Disebutkan oleh Jamaluddin al-Qasimi: "sesungguhnya al-Bukhari adalah
seorang yang makannya sangat sedikit,dia banyak berbuat ihsan terhadap para pelajarnya,dia
seorang yang baik dan terlalu pemurah.." . al-Bukhari tidak pernah berasa berat sebelah
terhadap semua anak-anak muridnya, akan tetapi memberi layanan yang adil dan saksama.

10
10. Meminta Pandangan Ulama lain berkaitan Hasil Kajian

Ini adalah satu lagi sifat al-Bukhari yang patut diikuti oleh kita, terutamanya bagi mereka
yang mendalami ilmu-ilmu Hadis atau lainnya9. Imam Al-Bukhari tidak mempunyai
perasaan bahawa dia seorang sahaja yang tahu, akan tetapi sentiasa menyedari bahawa di luar
sana pasti akan ada perkara yang dia tidak tahu tetapi diketahui oleh orang lain.Imam Al-
Bukhari sentiasa merujuk dan meminta pandangan ulama lain terhadap hasil kajiannya dalam
hadis, dengan harapan moga-moga akan ada pembetulan, tambahan perkara baru dan
sebagainya.10
Berkata Abu Ja'far al-U'qaili:"apabila al-Bukhari telah menyiapkan kitab Sahihnya, beliau
merujuk dan menunjukkannya kepada (guru-gurunya seperti) Ahmad bin Hanbal, Yahya ibn
Main, Ali ibn al-Madini dan juga kepada orang-orang lain.." Maka mereka (guru-gurunya)
semua berkata: "ianya amat baik, (mereka setuju dengan semuanya) kecuali empat hadis..."
Walaubagaimanapun, setelah al-U'qaili mengkaji semula empat hadis yang diperselisihkan
itu, beliau mendapati hujah-hujah al-Bukhari adalah lebih kuat dan beliau tetap bersetuju
dengan penilaian al-Bukhari bahawa ianya adalah hadis-hadis yang sahih

11. Kesabaran dalam menghadapi gangguan Fitnah orang yang Iri Hati

Ini adalah satu lagi sifat Imam Al-Bukhari yang terpuji. Walaupun, pada masa hayatnya
Imam Al-Bukhari menghadapi pelbagai ujian dan fitnah, namun beliau tetap bersabar dengan
ujian fitnah tersebut. Kerana apa berlaku fitnah? Kerana kehebatan Imam Al-Bukhari dan
kerana sifat dengki ulama-ulama lain yang tercabar dengan beliau. Ini sepertimana juga yang
berlaku kepada ulama-ulama Ahlus Sunnah yang lainnya zaman berzaman seperti Ibn
Taimiyyah, Ibn Hibban, as-Syafie, Ahmad ibn Hanbal, Muhammad Abdul Wahhab dan lain-
lain.
Kisah yang terkenal dalam hal ini adalah kisah fitnah Imam Muhammad bin Yahya al-
Zohli yang merupakan guru Imam Al-Bukhari sendiri. Kisah ini berlaku ketika Imam Al-
Bukhari pergi ke negeri Naisabur untuk mencari dan menyampaikan hadis. Imam al-Zohli
merupakan seorang yang amat terkenal dengan kehebatnnya dalam hadis di negeri Naisabur,
dan antara anak murid al-Zohli yang terkenal adalah Imam Muslim.11 Apabila Imam al-Zohli
mendapat tahu bahawa Imam Al-Bukhari akan dating dan mengajar di Naisabur, al-Zohli

9
Termasuk juga disini ilmu-ilmu akademik lainnya seperti Perubatan, Kejuruteraan, Bahasa, Undang-Undang
dan lain-lain
10
Kata guru kami Syaikh Al-Muhaddith Abu Muhammad Shihatah Al-Alfy Al-Sakandary dalam majlis sama;
Suanan Al-Tirmiz: “hal ini adalah adat para ulama zaman berzaman, iaitu mereka apabila selesai menulis
sesebuah buku, mereka akan merujuk buku tersebut kepada ramai guru-guru mereka untuk disemak dan diberi
komentar, setelah puas disemak maka baru lah ia dibenarkan untuk menyebarkannya”
11
Imam Muslim: namanya Abu al-Husin Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi, lahir pada
206H dan meninggal pada 261H, juga merupakan salah seorang anak murid kepada Imam Al-Bukhari,
merupakan salah seorang daripada Imam Hadis yang terkenal dan salah seorang daripada penyusun Kutub al-
Sittah. Kitab beliau yang monumental dan terkenal ialah kitab Sahih Muslim

11
takut akan kedudukannya akan terjejas sebagai ulama yang terhebat di Naisabur. Maka Imam
al-Zohli telah merancang dan telah berjaya menfitnah Imam Al-Bukhari berkenaan
perselisihan adakah al-Quran itu makhluk atau Kalam Allah. Pada masa itu, khalifah yang
memerintah ialah Makmun bin Harun ar-Rashid yang berfahaman dan berpegang kepada
aqidah Muktazilah. Aliran Muktazilah berfahaman bahawa al-Quran itu adalah makhluk dan
sesiapa yang menentang fahaman tersebut akan dibunuh, sedangkan Imam Al-Bukhari
berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah bahawa al-Quran itu adalah Kalam
Allah sepertimana yang diberitakan dalam al-Quran.
Imam al-Zohli telah berjaya menghasut anak-anak muridnya supaya bertanya kepada
Imam Al-Bukhari berkenaan hal tersebut. Apabila anak-anak murid Imam al-Zohli bertanya
kepada Imam Al-Bukhari "apakah pendapat kamu tentang al-Quran? Adakah ia makhluk atau
Kalam Allah?", Imam Al-Bukhari menjawab bahawa al-Quran itu adalah Kalam Allah sesuai
dengan fahaman aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah sepertimana yang diberitakan dalam al-
Quran sendiri. Mendengarkan jawapan al-Bukhari itu, pihak-pihak yang dengki dan iri hati
terhadap Imam Al-Bukhari telah menggunakan jawapannya itu untuk meyesatkan al-Bukhari,
apabila berita tersebut sampai kepada khalifah Makmun bin Harun ar-Rashid, khalifah berasa
marah dan bertindak menghalau al-Bukhari dari negeri Naisabur,sehinggalah Imam Al-
Bukhari dibuang negeri dan hidup mati dalam buangan. Selain Imam Al-Bukhari, Imam
Ahmad bin Hanbal termasuk orang yang mementang fahaman tersebut, sehingga Imam
Ahmad dipenjarakan, diseksa dan disebat.
Hendak ditunjukkan betapa berjayanya dan hebatnya fitnah terhadap Imam Al-Bukhari ini,
berkata al-Hakim: "ketika mana al-Bukhari dan al-Zohli berselisih faham akan hal ini, para
manusia meninggalkan dan memulau kelas al-Bukhari, kecuali Muslim ibn Hajjaj dan
Ahmad ibn Salamah…", lihatlah pada asalnya beribu-ribu orang pergi mengikuti majlis
Hadis al-Bukhari, akan tetapi apabila fitnah ini terjadi, sehebatnya al-Bukhari hanya tinggal
dua orang sahaja yang tetap bersama Imam Al-Bukhari. Sehinggakan diberitakan bahawa,
Imam Muslim dan Ahmad bin Salamah juga turut dihalau dan dihalang dari mengikuti kelas-
kelas hadis lain, sehingga ada yang mengatakan " aku tidak mahu lagi lelaki ini (Al-Bukhari
dan sesiapa saja yang belajar dengan al-Bukhari) berada dalam negeri ini…". Sehingga Imam
Muslim dan Ahmad ibn Salamah juga terpaksa keluar dari Naisabur dan hidup dalam
buangan. Semua fitnah dan gangguan ini berlaku adalah kerana kehebatan al-Bukhari dan
bukan kerana sebab-sebab yang lain. Sebagaimana kata-kata Ibn Sayyid al-Andalusi "-ini
semua berlaku- kerana al-Bukhari hebat dan mempunyai ilmu yang tinggi -sehingga orang-
orang dengki kepadanya-".

12