Anda di halaman 1dari 2

KEBAIKAN KOKURIKULUM KEPADA PELAJAR

Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah.
Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab
atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurang satu daripada setiap
aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan
malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya.

Salah satu kebaikan yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum ialah para pelajar dapat
meningkatkan daya kepemimpinan. Daya kepemimpinan ini dapat dipupuk apabila seseorang
pelajar dilantik sebagai ketua dalam sesuatu kegiatan. Daya kepemimpinan ini juga amat berguna
kepada para pelajar apabila sudah dewasa. Sebagai contohnya, pelajar yang pernah memimpin
sesuatu pertubuhan seperti pengakap, kadet remaja, dan sebagainya, mereka akan lebih yakin
untuk menjadi pemimpin sesuatu organisasi pada suatu hari nanti. Oleh itu, daya kepemimpinan
ini haruslah dipupuk sejak awal lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh daripada kegiatan
kokurikulum. Kebanyakan pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau
permainan disebabkan faktor-faktor tertentu. Kegiatan sukan ini dapat membina stamina yang
kuat serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu bahan perkumuhan
manusia. Sebagai contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina
kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda seseorang. Pepatah
Melayu mengatakan bahawa badan sihat, otak cerdas.

Seterusnya, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan
pelajar. Semangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan
makmur. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai
aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, pelajar berbilang kaum mewakili
pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam
pasukan bola sepak. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan
kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana
bersatu teguh bercerai roboh.

Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar. Sesetengah pelajar
tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan
itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Sebagai
contohnya, ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah
menyertai kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati,
yang akhirnya menjadi juara di kelabnya. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk
mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan
pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan
kemudiannya negara.

Kesimpulannya, pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas
dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan
peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Selain itu, kerjasama daripada
semua pihak terutamanya ibu bapa harus diperkukuh supaya segala aktiviti yang dirancang dapat
dilaksanakan. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama
dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum
supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.

Anda mungkin juga menyukai