Anda di halaman 1dari 9

TAJUK : KONSEP 5P DALAM KBSR

KONSEP 5P DALAM KBSR

Konsep 5P merupakan asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam


KBSR. Konsep ini merupakan aspek penting dalam pengajaran dan
pembelajaran kerana melalui proses ini pelajar dapat menyesuaikan maklumat
dalam ransangan serta menghasilkan satu pelajaran yang bersepadu dan
menyeluruh serta mengelakkan kebosanan dalam kalangan murid. Konsep 5P
terdiri daripada proses penggabungjalinan kemahiran, penyerapan
pengetahuan, penerapan nilai murni, pemulihan dan juga pengayaan. 

0.1 PENGGABUNGJALINAN KEMAHIRAN

Apa yang disebut sebagai strategi penggabungjalinan kemahiran ialah satu


proses yang menggabungkan pelbagai bidang kemahiran dalam satu
pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan satu pelajaran yang intergratif
dan menyeluruh. Ia merupakan integrasi beberapa kemahiran yang berkaitan
secara bersepadu serta menyeluruh dalam suatu proses pengajaran dan
pembelajaran. Tujuan strategi ini dilaksanakan ialah bagi membantu murid
dalam penguasaan pelbagai kemahiran dalam sesuatu masa pengajaran dan
pembelajaran secara serentak serta meningkatkan keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran. 

Selain itu strategi ini juga penting untuk menarik minat murid terhadap proses
pengajaran dan pembelajaran disamping menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran lebih bermakna murid. Proses penggabungjalinan kemahiran juga
dapat memberi ruang dan peluang bagi pertumbuhan dan perkembangan murid
secara seimbang dan menyeluruh melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di
dalam kelas yang melibatkan murid secara aktif serta seluruh kelas. 

Terdapat tiga jenis bentuk penggabungjalinan kemahiran iaitu


penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran,
penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain dan
penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum. Penggabungjalinan pelbagai
kemahiran dalam satu mata pelajaran ialah apabila proses pengajaran dan
pembelajaran yang dijalankan melibatkan pelbagai kemahiran seperti
kemahiran lisan atau pertuturan, membaca, menulis, mengira, melukis,
mewarna dan lain-lain. 
Penggabungjalinan ini memerlukan sekurang-kurangnya dua kemahiran yang
digabungkan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran-
kemahiran ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kemahiran fokus dan
kemahiran sampingan. Kemahiran fokus merupakan kemahiran utama yang
hendak disampaikan sebagaimana yang terdapat dalam objektif pengajaran dan
pembelajaran manakala kemahiran sampingan pula ialah kemahiran yang
digabungkanjalinkan setelah dipilih berdasarkan kaitannya dengan kemahiran
yang di fokus. 

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam pelaksanaan pengajaran


yang melibatkan proses penggabungjalinan seperti membuat penelitian
terhadap keperluan mata pelajaran untuk mengenal pasti kemahiran yang di
fokus dan kemahiran sampingan yang akan terlibat ketika proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung. Penilitian ini sangat penting dalam menentukan
kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar agar objektif
pengajaran dapat dicapai. Di samping itu guru perlu memastikan keutamaan
kemahiran agar kemahiran fokus dapat dikuasai oleh murid berbanding
kemahiran sampingan. 

Selain itu guru juga perlu menetapkan susunan atau tertib kedudukan
kemahiran-kemahiran tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai persediaan sebelum bermulanya proses pengajaran guru boleh
menyediakan keperluan bahan-bahan yang diperlukan bagi tujuan pelaksanaan
kemahiran-kemahiran tersebut selaras dengan objektif mata pelajaran. 

Bentuk penggabungjalinan yang seterusnya ialah penggabungjalinan kemahiran


daripada mata pelajaran lain.Proses ini memerlukan penggabungan kemahiran-
kemahiran yang terdapat di dalam sesuatu mata pelajaran lain ke dalam mata
pelajaran yang diajar. Sebagai contoh yang jelas dapat dilihat
penggabungjalinan yang diaplikasikan ialah seperti penggabungan kemahiran
dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dengan mata pelajaran Kajian
Tempatan iaitu melalui aktiviti seperti melukis Jalur Gemilang atau pelan
kedudukan sekolah. Penggabungjalinan ini perlu diwujudkan antara satu mata
pelajaran dengan mata pelajaran lain bagi meningkatkan kemahiran dalam
kalangan murid. 

Penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum pula melibatkan kemahiran-


kemahiran yang terdapat dalam kurikulum seperti kemahiran belajar untuk
proses pembelajaran murid, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dan
kemahiran menyelesaikan masalah. Setiap kemahiran ini mempunyai hubungan
dan berkait rapat dengan kehidupan seharian murid. Oleh itu kemahiran-
kemahiran ini perlu dititikberatkan ole setiap guru semasa proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung. Selain itu guru yang juga perlu menitikberatkan
soal kemahiran pelbagai kecerdasan serta kemahiran generik kerana kemahiran
ini melibatkan kecerdasan murid dan penting untuk proses pertumbuhan dan
perkembangan murid.

Implikasi daripada proses penggabungjalinan kemahiran ini objektif bagi setiap


mata pelajaran dapat dicapai disamping menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Proses ini juga merupakan suatu
pengukuhan kepada kemahiran yang telah diperoleh oleh murid daripada mata
pelajaran lain. Kemahiran sampingan yang terdapat dalam penggabungjalinan
dapat membantu penguasaan kemahiran fokus sebagaimana yang dikehendaki
dalam objektif pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu murid-murid juga berpeluang untuk menyepadukan kemahiran-
kemahiran yang perlu dalam kehidupan. Kemahiran-kemahiran yang telah
mereka perolehi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat
diaplikasikan dalam aktiviti kehidupan seharian seperti membaca, menulis,
melukis dan mengira. Penggabungjalinan juga berkeupayaan untuk
menimbulkan suasana pembelajaran yang menarik dan dapat mengelakkan
kebosanan murid disamping menggalakkan proses pertumbuhan dan
perkembangan murid-murid secara seimbang, harmonis dan bersepadu. 

0.2 PENYERAPAN PENGETAHUAN

Penyerapan pengetahuan melibatkan proses penyebatian dan penyepaduan


pengetahuan atau unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran lain ke
dalam isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar. Hal ini adalah kerana
setiap perkara yang dipelajari dalam suatu mata pelajaran adalah saling
berkaitan dan amat berguna bagi mata pelajaran lain. Sebagai contohnya isi
pengetahuan daripada mata pelajaran Sains dan Matematik diserapkan seiring
dengan penguasaan kemahiran-kemahiran dalam mata pelajaran Pendidikan
Seni Visual. 

Konsep ini sedikit berbeza dengan konsep penggabungjalinan kerana proses


penyerapan pengetahuan melibatkan unsur pengetahuan dan bukannya
kemahiran. Dalam proses ini murid akan dapat melihat perkaitan antara suatu
mata pelajaran dengan mata pelajaran yang lain. Hasil daripada penyerapan ini
maka wujudlah beberapa kelebihan kepada proses pengajaran dan
pembelajaran antaranya seperti aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat
menjadi lebih menarik walaupun tajuk yang hendak dipelajari pada asalnya
bersifat sebaliknya. 

Oleh itu secara tidak langsung aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi
lebih produktif serta efektif. Penguasaan ilmu yang lebih luas juga turut berlaku
kerana pelbagai maklumat dapat disampaikan disamping murid-murid menjadi
lebih faham dengan sesuatu yang telah dipelajarinya melalui penyerapan
kerana semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung isi
pengajaran telah dihubungkaitkan dengan pengetahuan dari mata pelajaran
lain. Guru haruslah bijak memilih isi pengetahuan yang menarik daripada mata
pelajaran lain untuk meransang minat murid terhadap pengajaran dan menjadi
lebih ceria, aktif serta progresif.

0.3 PENYERAPAN NILAI MURNI

Penyerapan nilai murni merupakan proses menerapkan nilai-nilai dalam


pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai murni ini
melibatkan semangat kewarganegaraan masyarakat Malaysia yang
berlandaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Melalui proses
pengajaran dan pembelajaran, penyerapan nilai murni ini telah dilakukan secara
sedar dan terancang tetapi murid menyerap ilmu dan nilai tersebut secara
semulajadi dan sendirinya. 

Walaubagaimanapun, secara terperincinya penyerapan nilai-nilai murni ini telah


berlangsung melalui dua pendekatan iaitu pendekatan implisit dan juga
pendekatan eksplisit. Pendekatan implisit digunakan apabila guru-guru secara
tidak langsung telah menerapkan sesuatu nilai dalam proses pengajaran dan
pembelajaran seperti apabila guru bercakap benar, berpakaian kemas dan adil.
Pendekatan ini boleh berlangsung secara merentas kurikulum serta oleh semua
guru kerana nasihat, bimbingan, teguran, contoh dan teladan boleh
berlangsung pada bila-bila masa dan di mana-mana yang difikirkan sesuai. 

Pendekatan eksplisit pula boleh diaplikasikan dengan mengadakan ssesuatu


peraturan, arahan, pekeliling dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu
perkara yang diharapkan sepert arahan untuk tidak membuang sampah di
merata-rata serta menjaga kebersihan persekitaran. Terdapat juga sesetengah
pihak sekolah yang mengadakan program atau aktiviti yang khusus untuk
menerapkan sesuatu nilai murni dalam kalangan murid seperti program
motivasi, khemah ibadat, sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Guru, kempen
kebersihan dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian. Penyerapan
nilai murni melalui pendekatan eksplisit adalah lebih terancang bersesuaian
dengan matlamat dan kaedah pelaksanaan serta penilaian yang jelas. 
Terdapat 17 nilai murni yang perlu diserapkan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran iaitu:

Baik hati 
1. Belas kasihan
2. Bertimbang rasa
3. Murah hati
4. Saling memahami
5. Sedia memaafkan

Berdikari
1. Bertanggungjawab
2. Tidak berharap atau bergantung kepada bantuan orang lain
3. Jaya diri
4. Yakin kepada diri sendiri

Berhemah tinggi 
1. Kesopanan
2. Mengaku kesalahan sendiri
3. Ramah mesra

Hormat-menghormati 
1. Hormat kepada ibu bapa
2. Hormat kepada orang yang lebih tua
3. Taat kepada raja dan Negara
4. Hormat kepadda hak asasi
5. Hormat kepada undang-undang
6. Menghargai maruah diri

Kasih sayang
1. Sayang kepada nyawa
2. Sayang kepada alam sekeliling
3. Cinta kepada Negara
4. Cinta kepada keamanan dan keharmonian

Keadilan 
1. Bertindak adil
2. Sentiasa saksama 

Kebebasan

1. Kebebasan di sisi undang-undang


2. Kebebasan dalam sistem demokrasi

Keberanian 
1. Berani dengan tidak membuta tuli
2. Berani kerana benar
3. Berani mempertahankan kebenaran
4. Berani bertanggungjawab

Kebersihan fizikal dan mental 


1. Kebersihan diri
2. Kebersihan persekitaran
3. Pertuturan dan kelakuan yang sopan

Kejujuran
1. Bersifat amanah
2. Bercakap benar
3. Sentiasa ikhlas

Kerajinan
1. Cekal
2. Daya usaha
3. Dedikasi
4. Gigih
5. Tekun

Kerjasama
1. Persaudaraan
2. Tanggungjawab bersama
3. Gotong-royong
4. Toleransi
5. Kebaikan bersama
6. Perpaduan

Kesederhanaan
1. Sederhana dalam meningkatkan kepentingan diri dan orang lain
2. Tidak keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah laku

Kesyukuran
1. Berterima kasih
2. Mengenang budi
3. Menghargai

Rasional 
1. Boleh membuat pertimbangan
2. Boleh membuat penaakulan
3. Berfikiran logik dan terbuka

Semangat bermasyarakat 
1. Bermuafakat
2. Kejiranan
3. Peka kepada isu-isu sosial dan masyarakat

Semangat kewarganegaraan 
1. Berbangga menjadi rakyat Malaysia
2. Bersemangat patriotik
3. Berusaha ddan produktif

0.4 PEMULIHAN
Konsep seterusnya ialah konsep pemulihan. Konsep ini telah dibentuk dengan
melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi membantu murid yang
mengalami masalah dalam kemahiran asas 3M. Pendidikan pemulihan adalah
lebih terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan membaiki
kelemahan pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid yang lambat, iaitu
mereka yang lembab mencapai pembelajaran berbanding dengan kanak-kanak
yang lain. Pencapaian pembelajaran murid-murid ini biasanya di bawah tahap
pencapaian yang sepatutnya (Koh Boh Boon, 1982).

Rasionalnya pendidikan pemulihan adalah amat penting kerana melalui


pendidikan pemulihan murid-murid yang lemah dapat diasuh dan diberikan
tumpuan yang lebih berbanding murid lain. Hal ini berlaku kerana murid adalah
berbeza dari segi pengalaman, minat dan juga kebolehan. Oleh itu murid yang
lemah atau menghadapi masalah tertentu perlulah diberi perhatian dan
bimbingan. Objektif pendidikan pemulihan diadakan adalah untuk membolehkan
murid-murid menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan mengikuti
aktiviti-aktiviti alternatif yang sesuai dengan murid. 
Selain itu pendidikan pemulihan ini juga membolehkan murid-murid mendapat
layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan
perkembangan mental mereka di samping membolehkan murid mengurangkan
masalah yang dihadapi melalui bantuan guru-guru dan juga pihak lain. Murid
juga turut diberikan peluang untuk mencuba mengembangkan potensi diri
mereka dalam pelajaran dan minat mereka untuk mencuba ke tahap yang lebih
maju serta sama-sama melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti sosial
sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

Antara faktor yang membawa kepada masalah pembelajaran ialah


apabilawujudnya perasaan tidak yakin, rendah diri dan takut dalam kalangan
murid. Selain itu masalah pembelajaran juga berlaku akibat daripada sikap
negatif yang ada dalam diri murid tersebut sendiri seperti tidak mahu mengikut
kata, tingkah laku yang kurang baik serta disiplin diri yang rendah. Faktor
kecacatan sejak lahir dan selepas lahir juga turut menyumbang kepada masalah
pembelajaran. Murid yang mengalami kecacatan ini akan ditempatkan disekolah
khas yang bersesuaian dengan keadaan mereka.

Aktiviti pemulihan boleh dilakukan melalui lima kaedah iaitu pengajaran


individu, pengajaran kumpulan kecil, pengajaran kumpulan besar, pengajran
bimbingan rakan sebaya dan juga pengajaran kolaboratif. Bagi pengajaran
individu guru akan membimbing murid bagi mengatasi masalah yang dihadapi
dengan alat bantuan yang sesuai manakala bagi pengajaran kumpulan kecil
pula guru akan membimbing murid yang berada dalam kelompok kumpulan
yang sama dan mempunyai masalah yang sama tetapi mendapat perhatian
secara individu dari guru. 

Berapa langkah khas harus diambil kira ketika menjalankan langkah-langkah


pemulihan bagi memastikan objektif aktiviti pemulihan tercapai seperti
membuat perancangan dan memilih teknik pengajaran yang sesuai,
menentukan masalah yang sama tidak berulang, mengikuti kemajuan murid
dengan menggunakan senarai semak dan juga membuat penentuan aktiviti
penhukuhan yang sesuai dan secocok bagi menyelesaikan masalah. Setelah
selesai proses pemulihan sebagaimana yang telah dijadualkan satu penilaian
harus dilakukan bagi menguji tahap penguasaan murid. Penilaian ini bertujuan
bagi memastikan sama ada objektif pengajaran pemulihan terlah tercapai atau
tidak dan tindakan susulan akan diambil ke atas murid.

0.5 PENGAYAAN
Cabang konsep yang terakhir ialah aktiviti pengayaan. Aktiviti pengayaan
melibatkan murid-murid yang berpencapaian melebihi sederhana atau murid-
murid pintar cerdas. Konsep ini mengambil kira bahawa murid-murid yang
pintar cerdas adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang
diberikan kepada mereka. Konsep ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti
tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam
atau di luar bilik darjah. Pada kebiasaannya aktiviti pengayaan dijalankan ke
atas kumpulan murid yang telah mencapai tahap yang memuaskan atau telah
menguasai kemahiran asas. 

Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan


pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari oleh murid.
Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang kepada murid untuk
mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta
dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan juga
masyarakat. 

Objektif bagi aktiviti pengayaan adalah untuk membolehkan murid menjalani


aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereja disamping menambahkan minat
dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah perkembangan diri dan
bakat mereka. Selain itu aktiviti ini juga dapat membuatkan murid berminat
untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari bagi membolehkan mereka
meneruskan pembelajaran seumur hidup serta meelahirkan daya kreativiti
menerusi pemikiran dan kebolehan untuk menilai kerja mereka sendiri.

Secara keseluruhannya pelaksanaan konsep 5P ini dalam KBSR adalah penting


dan wajar demi meningkatkan kredibiliti anak bangsa. Konsep integrasi dalam
kurikulum dan pengajaran yang diterapkan adalah ke arah pembangunan
individu insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani. Di dalam KBSR konsep ini membawa maksud bahawa penguasaan ilmu
pengetahuan, kemahiran, bahasa dan pemupukan nilai-nilai murni secara
bersepadu dan menyeluruh.

Anda mungkin juga menyukai