Anda di halaman 1dari 10

PENGERTIAN TAMADUN

Perkataan tamadun berasal dari perkataan Arab. Bagaimanapun perkataan ini tidak asing lagi
pada masa ini. Perkataan yang sama erti dengan tamadun ialah peradaban atau dalam bahasa
Inggeris ialah Civilisation . Walaupun semua istilah di atas adalah berbeza tetapi secara
umumnya bererti maju atau mencapai kemajuan.
Para Sarjana ilmu ketamadunan mengemukakan pengertian tamadun kepada empat aspek iaitu:-
1. Aspek pertama tamadun adalah suatu tingkat pencapaian atau kemajuan hidup manusia dari
cara hidup nomad kepada kehidupan hidupan kota atau Bandar.
2. Aspek Kedua tamadun dianggap sebagai proses untuk mencapai kemajuan atau kebaikan di
dalam kehidupan.
3. Aspek ketiga, tamadun diberikan makna kombinasi kepada kemajuan aspek pemikiran rohani
dan jasmani atau material manusia.
4. Aspek keempat tamadun adalah keadaan kemajuan manusia yang diasaskan kepada ketinggian
akhlak atau budi pekerti, tidak hanya setakat hidup di kota atau di Bandar atau mencapai
kemajuan material.

LATARBELAKANG TAMADUN CINA

Tamadun Cina dipercayai bermula kira-kira pada milenium ke-6 Sebelum Masihi (SM) dan
merupakan salah satu tamadun yang tertua di muka bumi selain daripada Tamadun Mesir
(Lembah Sungai Nil), Mesopotamia atau Sumeria (Lembah Sungai Tigris dan Sungai
Euphrates), India (Lembah Sungai Indus) dan Tamadun Yunani (Eropah). Sifat keterbukaannya
dalam berinteraksi dengan tamadun-tamadun lain, integratif dan dinamik menyebabkanya
menjadi lebih mampan walaupun pernah dicabar oleh tamadun-tamadun lain. Walaupun
mengalami perubahan-perubahan dalam proses perkembangan yang panjang, namun identitinya
dikekalkan sebagai satu tamadun berkesinambungan dan kekal pada keseluruhannya.

Walaubagaimanapun, berdasarkan bukti-bukti penemuan arkeologi antara kebudayaan-


kebudayaan Neolitik ( Zaman batu baru) di Yangshoa di provinsi Shaanxi menunjukkan,
Kebudayaan Yangshao telah wujud pada milenium ke-5. Tapak tradisi kebudayaan Yangshoa ini
dijumpai di teres-teres berhampiran cawangan-cawangan Sungai Wei dan Huanghe (The Yellow
River), kerana kawasan ini mempunyai tanah yang subur, lembap dan mudah untuk dikerjakan
sebagai kawasan pertanain dan penempatan. Kegiatan awal bangsa Yangshoa ialah pertanian,
penternakan babi dan mengukir tembikar (painted pottery). Adalah dipercayai, bijirin (milet)
adalah makanan asasi atau rugi bangsa Yangshoa. Perkembangan peradaban bangsa Yangshoa di
bahagian tengah dan utara negara Cina menelan masa kira-kira 6 milenium iaitu lebih kurang
5000 tahun sebelum diambilalih oleh kebudayaan Longshan.

Kebudayaan Longshan bermula sejak pertengahan kurun ke-2 dan zaman Gangsa Awal (Bronze
Age) lewat milenium ke-2 atau milenium pertama. Pertemuan arkeologi menunjukkan peradaban
ini terletak di Lembah Sungai Yangzi di provinsi Jiangxi dan juga di Sanxingdui,di provinsi
Suchuan. Peradaban ini lebih maju berbanding ketamadunan Yangshoa,di mana tembikar yang
dijumpai menunjukkan berkualiti, kerana dipercayai menggunakan mesin peroda tembikar
(potter’s wheel) dalam pengeluarannya.
Dalam tahun 1766SM – 1122SM, gangsa dinilai sebagai simbol elit oleh Dinasti Shang dan
tukang-tukang gangsa dihormati sebagai ahli masyarakat yang penting semasa pemerintahannya.
Zaman Dinasti Shang memperlihatkan perkembangan tamadun yang lebih komplek dengan
pembentukan negara-kota, penggunaan sistem tulisan, peningkatan pengkhususan pekerjaan dan
wujudnya sistem masyarakat yang berlapis. Peradaban Shang berpusat di bahagian utara He’nan
di mana dua tapak arkeologi di Zhengzhou dan Anyang menunjukkan sejarah ketamadunan
Dinasti Shang.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TAMADUN CINA


1. Alam Sekitar
Tempoh Neolitik di negara Cina mempunyai kedudukan yang unggul dalam sejarah
perkembangan peradaban China. Peradaban Yangshoa yang menjadikan bijirin (milet) sebagai
makanan asasi telah menggalakan perkembangan dalam kegiatan pertanian. Tapak peradaban
Yangshoa yang terletak di kawasan di mana tanah pasirnya telah dimendapkan oleh angin selama
berkurun-kurun lamanya menjadikan kawasan ini subur dan sesuai untuk kegiatan pertanian.
Penemuan benih padi di Lembah Yangzi, di Selatan Teluk Hangzhou, provinsi Zhejiang
menunjukkan penanaman padi telah dilakukan secara meluas.

Geografi Negara China yang luas, menyebabkan keadaan cuaca yang berbeza dan ini telah
mempertembungkan dua kebudayaan iaitu Kebudayaan Milet (Bijirin) dan kebudayaan Sawah
Padi, yang wujud secara berasingan di bahagian Utara dan Selatan China.

Pada asasnya, bahagian timur China menghadap lautan, bahagain barat-laut direntangi oleh
gurun yang luas dan bahagian barat-daya adalah dataran tinggi Qinghai-Tibet, dataran yang
terluas di dunia dengan ketinggian 4000-5000 meter secara purata. Keadaan ini menyebabkan
kebanyakan sungai mengalir ke arah kawasan Selatan atau Timur dan seterusnya menggalakkan
pergerakkan penduduk, terutamnya para petani untuk menetap di bahagian Selatan China. Hasil
dari pola pergerakkan ini, perkembangan kebudayaan juga turut beralih ke Selatan China.

2. Bahasa dan sistem tulisan cina


Bahasa cina telah digunakan dengan meluas di zaman silam dan ia masih digunakan sekarang
berbanding dengan bahas-bahasa kuno lain. Ini adalah kerana, walaupun mempunyai pelbagai
sebutan dialek, tetapi hanya satu tulisan bercirikan karektar digunapakai oleh semua rakyat cina.
Ini merupakan faktor penting dalam menyatupadukan rakyat cina dan perkembangan
tamadunnya.

Karektar yang digunapakai dalam tulisan cina biasanya berdasarkan kepada lambang bergambar
(xiang xing) dan dikenali sabagai Hanzi (tulisan Han), lambang petunjuk (zhishi), lambang
petunjuk fikiran (huiyi), dan gabungan bentuk bunyi (xing sheng), bersamaan dua kaedah yang
berfungsi memperluaskan erti atau penggunaan sesuatu huruf cina, iaitu ‘mutual semantik
transfer’ (zhuanzhu) dan ‘loan character’ (jiajie). Keedah-kaedah tersebut digolongkan sebagai
‘six principles of writing’ (liushu).

Perkembangan tulisan cina telah mempengaruhi bangsa-bangsa lain terutamanya si Asia Timur
seperti Jepun, Korea dan juga Vietman, yang telah mengadaptasi karekter tulisan cina ke dalam
bahasa mereka, walaupun mereka mempunyai bahasa sendiri.
3. Pembentukan bangsa Tionghoa
China merupakan satu negara yang luas dan besar. Penduduknya terdiri daripada pelbagai bangsa
yang pada zaman Neolitik dan zaman batu menduduki tiga kawasan utama, iaitu Utara, Tengah
dan Selatan.
Menurut para sarjana Cina, terdapat tiga kumpulan bangsa yang terbesar iaitu kumpulan Yan-
Huang yang diwakili oleh kaum Yang Di dan Huang, kumpulan Feng-Yang dan kumpulan Miao-
Man yang terdiri dari suku kuam bagsa di Selatan China.

Proses peredaran zaman yang panjang telah membentuk kerjasama antara bangsa tersebut.
Peperangan, berinteraksi, berkahwin campur dan tiru-meniru budaya dikalangan bangsa ini telah
mewujudkan satu bangsa yang kuat yang dikenali sebagai bangsa Tionghoa (Zhonghua minzu).

4. Pandangan semesta dan kepercayaan


Pandangan animisme merupakan pegangan dan kepercayaan penduduk primitif cina di mana
pemujaan binatang, tanaman, matahari, bintang, sungai serta kuasa-kuasa lain yang dipercayai
wujud pada zaman neolitik dengan bangsa Yangshao dan Longshan lagi. Selain daripada
kepercayaan animisme ini, konsep Tian iaitu langit sebagai makluk unggul (supreme being) yang
menguasai nasib seseorang telah wujud sejak zaman dinasti Zhou (kk 1123 SM-221SM).

Tian dalam kontek kepercayaan konfusianisme bermakna prinsip tertinggi dalam alam semesta.
Konfusianisme merupakan doktrin kenegaraan yang merangkumi aspek falsafah, keagamaan dan
sosiopolitik. Asas utama dalam pengajaran konfusianisme adalah nilai dan sifat moral yang
mulia, terutamanya mengenai perikemanusian (ren), kesusilaan (li) dan ketaatan kepada ibu-bapa
(xiao). Pujangga agung konfusianisme, Mencius (372 SM –289 SM), berpendapat semasa
dilahirkan manusia mempunyai empat sifat yang baik iaitu perikemanusiaan (ren), kewajaran
(yu), kesusilaan (li) dan kearifan (zhi).

Dong Zhongshu (179 SM – 104 SM), seorang lagi pujangga konfusianisma di zaman dinasti Han
mencipta satu falsafah Yin-Yang yang menceritakan bahawa insan merupakan sebahagian
daripada Tian. Oleh itu wujud satu pertalian di antara insan dengan Tian. Kesalahan yang
dilakukan oleh kerajaan duniawi akan menyebabkan kemarahan oleh Tian dengan mencipta
keadaan luar biasa sebagai menifestasi amarannya.

Konsep Tian juga wujud dalam kepercayaan Daoisme. Kitap Daoisme dan Yijing menceritakan
bahawa Tian adalah segala-galanya. Kelahiran sesuatu hayat juga dipercayai akan berakhir dan
kembali kepada akhir hayat mereka iaitu Dao.

5. Sistem politik dan pemerintahan


Perkembangan pesat pemikiran politik di China bermula pada zaman pemerintahan dinasti Qin
(221 SM – 209 SM). Antara aliran pemikiran politik yang penting ialah Konfusianisme,
Daoisme, Legalisme dan Moisme. Walaubagaimanapun, Legalisme bermula sebelum dinasti
Qin, di mana teori dan pelaksanaan konsep Legalisme telah berjaya membawa pembaharuan
dalam sistem pemerintahan dengan menggantikan sistem pemerintahan feudal yang bercirikan
pelbagai negeri dan jajahan (multistate) kepada sistem pentadbiran commendaries dan counties
(junxian zhi) iaitu kerajaan birokratik berpusat (centralized bureaucractic government). Sistem in
telah menyumbangkan kepada pengekalan pentadbiran dan kestabilan politik di sepanjang
sejarah ketamadunan cina.

Pemikiran politik berasaskan Daoisme bertentangan dengan apa yang diterapkan oleh pemikiran
Konfusianisme. Daoisme berpendapat bahawa pemerintah tidak perlu menguatkuasa sebarang
usaha yang keras (wuwei) dan meneruskan kehidupan secara primitif yang menghormati diri
dengan alam semesta.
Manakala pemikiran politik Moisme pula menegaskan penyelarasan peraturan dan pembentukan
kuasa pusat (shangtong) tidak bersesuaian dengan pihak pemerintah. Ini adalah kerana ajarannya
yang menitikberat kepada jimat-cermat (jieyong) dan pelantikan pegawai kerajaan berdasarkan
kepada kelayakan dan kemampuan (xuan xian yu neng) sukar untuk dilaksanakan.

6. Kemasukan Islam di Cina


Peluasan kawasan Islam itu berlaku ketika di zaman khalifah AL-Walid bin Abdul Malik.
Panglima Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam ke Timur hingga ke sempadan
negara China adalah Qutaibah bin Muslim. Akibat daripada penguasaan Islam ke timur dan
kekalahan tentera China di sungai Talas maka ini telah menghalang kerajaan China pada ketika
di bawah Dinasti Tang daripada mengekalkan kuasa di Asia Tengah.

Berikut terdapat beberapa keadaan bagaimana Islam tersebar ke negara China:


i. Berdasarkan sumber dari China, Maharaja Tang II telah menghantar utusan kepada Nabi
Muhammad SAW untuk menghantar pendakwah ke negara tersebut. Nabi telah menyambut baik
dengan menghantar tiga orang pendakwah. Dua daripada pendakwah itu meninggal dunia semasa
perjalanan yang amat jauh, dan hanya seorang sahaja yang selamat sampai ke China. Maharaja
tersebut telah membina sebuah masjid untuknya. Bermula dari itu beliau mula menyebarkan
Islam di negeri China. (Jameel Abdullah, present Islamic world, part 2, p.in Saudi Arabia, page.
495, in Arabic) .

ii. Semasa di zaman Khalifah Al-Rashidin yang ketiga iaitu Uthman bin Affan, baginda telah
menghantar Saad bin Abi Waqqas melawat negeri China pada tahun 651 M (29Hijrah) untuk
menyampaikan dakwah kepada Maharaja China. Hasil daripada lawatan tersebut, maharaja
China telah mengarahkan pembinaan Masjid yang besar dan indah di Bandar Canton atau kini
dikenali sebagai Guangzhou. (Abdur- Rauf, 1994).

iii. Tentera Islam dibawah Qutaibah bin Muslim menjalankan penaklukan ke atas Bandar
Kashgar ibu kota Turkestan Timur pada tahun 714 M dan menyeru Maharaja China memeluk
Islam. (Turkestan Timur adalah sebuah negara merdeka sehingga ditakluk oleh kerajaan Manchu
tahun 1759. Pada tahun 1876 ia memberontak dan merdeka dari kerajaan Manchu dan pada
tahun 1949 ia di kuasai oleh kerajaan komunis China).

iv. Dalam tahun 757 M. (138 Hijrah) Jeneral Lien Chen memberontak menentang Maharaja Su
Tsung. Atas permintaan Maharaja Khalifah Abbasiyah iaitu Khalifah Al-Mansor telah
mengirimkan 4000 orang tentera yang terdiri daripada orang Islam berbangsa Turki ke China.
Tentera Islam yang dikirimkan berjaya dalam misi tersebut. Namun begitu tentera tersebut terus
tinggal di negeri China dan berkahwin dengan wanita tempatan. Ini membantu dalam penyebaran
Islam di China. (Abdur-Rauf, 1994).
v. Sesetengah pendakwah ke China melalui laut bersama pedagang dan menyebarkan Islam di
Bandar-bandar seperti Shanghai, Guangzhou, dan sebagainya (Abdullah, 1994).

vi. Dalam kurun ke 4 Masehi (10Hijrah), Raja Turkestan Timur memeluk Islam. Ini
memudahkan lagi penyebaran Islam di Turkestan Timur dan China (Muhyiddin Hasan, 1987).

vii. Bila masyarakat berbangsa Uyghur yang tinggal di Turkestan Timur memeluk Islam, maka
mereka mula menyebarkan Islam di Turkestan Timur dan China.( Abdur-Rauf, 1994).

viii. Bila Maharaja China mula tertarik dengan kebaikan agama Islam maka beliau telah
menjemput beberapa pendakwah Islam secara rasmi. Pendakwah tersebut dapat menyebarkan
Islam dengan bebas dan selesa. (Jameel Abdullah).

Berikut adalah zaman gemilang Islam di China pada peringkat awal.


1- Zaman Tang berakhir 907 Masehi
2- Zaman Sung dari 907-1279 Masehi
3- Zaman Yunnan 1280-1368 Masehi
4- Zaman Ming 1368-1644. Masehi

Pada empat zaman ini jumlah penduduk Islam bertambah dari semasa ke semasa dan maju dari
segi pendidikan, politik, ekonomi dan sosial. (Muhyiddin Hasan, 1987).

SUMBANGAN TAMADUN CINA

1. Kesusasteraan dan Kesenian


Sejarah kesusasteraan cina bermula seawal kurun ke-14 SM dan diteruskan perkembnagannya
sehingga lebih 300 tahun. Bahasa cina dapat dikekalkan identitinya walaupun negara China
pernah ditalukki oleh orang asing seperti mongol (dinasti Yuan, 1279 –1368) dan orang Manchu
(dinasti Qing, 1644 – 1911). Ini adalah kerana tulisan cina tidak bersifat fonetik sebaliknya
berbentuk grafik. Sifat yang berbentuk grafik ini telah meninggalkan kesan terhadap
kesusasteraan cina dan penyebarannya.

Terdapat pelbagai gengre sastera cina klasik seperti puisi, prosa, drama dan juga fiksyen.
Antologi puisi cina yang terawal ialah Shi jing yang mengandungi 305 buah nyanyian kuil,
nyanyian istana dan rakyat yang wujud dalam tempoh antara zaman Zhou Barat (kurun ke 11 SM
–771 SM) hingga zaman Musim Bunga Musim Luruh (770 SM – 476 SM). Antologi ini
dikumpul pada masa konfusius (551 SM – 479 SM) di kawasan Lembah Huanghe. Secara
amnya, puisi cina berhubung rapat dengan muzik dan ia bersifat padat dan singkat. Puisinya juga
lebih naratif atua diskriptif yang mempunyai fungsi sosial dan politik.

Perbezaan prosa dan puisi adalah kurang jelas. Prosa dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu
prosa bercampur puisi (poetic prose), prosa berirama (rhyme prose), rapsody (rhapsody),dan
puisi bersifat prosa (poetry prose). Prosa klasik atau dikenali guwen adalah dominan dalam
sastera klasik cina dan ia mempunyai fungsi sosial dan politik.
Drama cina berkembang agak lewat kerana penaklukan dinasti Yuan (1279 –1368).
Walaubagaimanapun, drama cina dari jenis zaju – drama berbentuk puisi yang digubah mengikut
kesesuaian muzik sangat bersemarak pada zaman dinasti Yuan. Drama digunakan oleh penulis
sebagai saluran untuk meluahkan ketidakpuasan perasaan dan mengkritik kerajaan pemerintah
seperti drama Dou’er Yuan (ketidakadilan Yuan).

Menjelang lewat kurun ke-18, drama rakyat dari pelbagai daerah mula berkembang dan
dipentaskan kepada umum. Dari sini, lahirlah opera cina yang menjadi salah satu kegemaran
rakyat cina dalam drama. Drama juga digunakan oleh konfusius untuk menerapkan nilai-nilai
moral dan etika.

Tamadun cina juga tidak ketinggalan dalam mencipta keseniannya. Muzik klasik, kaligrafi, seni
lukis dan seni pembinaan merupakan kesenian yang terawal dalam tamadun cina. Sistem melodi
muzik klasik cina adalah kompleks di mana alat-alat yang digunakan dikategorikan mengikut
bahan akustik dan cara sesuatu alat itu dimainkan. Muzik bagi tamadun cina adalah sesuatu yang
berharmoni dengan alam semesta dan di letakkan pada satu kedudukan penting pada fahaman
konfusius. Pada abab ke-8, kemasukkan muzik dari tamadun lain telah memeriahkan lagi suasana
muzik di cina terutamanya dengan kemasukkan tamadun India dan Asia Tengah.

Kaligrafi merupakan salah satu kesenian yang paling tinggi diberi penghormatan dalam tamadun
cina. Kaligrafi ditulis dengan menggunakan dakwat, berus, kertas dan kadang-kadang sutera.
Perkembangan kaligrafi telah menghasil pelbagai bentuk tulisan cina. Kaligrafi dikatakan
mempunyai hubungan yang rapat dengan seni lukis dan puisi. Su Dongpo (1037 – 1101) pada
zaman dinasti Song merupakan seorang pelukis dan juga seorang pakar kaligrafi. Seni lukisan
cina pada dasarnya terbahagi kepada dua kategori iaitu xieyi (freehand) dan juga gongbi
(menggunakan garis halus).

2. Sains dan teknologi

Kajian arkeologi menunjukkan sain dan teknologi Cina telah wujud pada kurun ke-15 sehingga
kurun ke-11 SM. Pada awalnya teknologi kejuruteraan digunakan dan dikembangkan kerana
untuk mengawal banjir Sungai Kuning. Antara lain-lain teknologi adalah dalam bidang
astronomi, perubatan, optik dan kimia. Di zaman dinasti Zhou dalam kurun ke11 hingga ke 3
SM, orang cina telah mampu menyediakan maklumat berkaitan dengan bintang dengan
terciptanya peralatan astronomi.

Sampoa digunakan pertama kalinya oleh ahli matematik cina iaitu Xu Yue dalam kurun ke2 SM.
Buku jiuzhang suanshu (sembilan bab matemetik) yang ditulis oleh Zhang Cang pada kurun ke-2
menunjukkan penemuan mengenai kuantiti negatif, sistem pecahan dan perpuluhan.

Perkembangan perubatan cina bermula dari sistem perubatan cina tradisional yang terdiri dari
teori kosmik dualistik yin dan yang, teori lima elemen, dan juga teori jing dan luo. Teori yin dan
yang menyatakan keseimbangan kedua-dua kuasa ini mempengaruhi kesihatan manusia. Teori
lima elemen menganggap bahawa tubuh manusia yang terdiri dari organ luaran dan dalaman
adalah berpadanan dengan lima elemen dalam alam semesta. Teori jing dan luo merupakan asas
kepada rawatan terapeutik seperti moxisbustion (membakar daun moxa) dan akupuntur. Teori ini
berpendapat bahawa, organ dalaman, tangan dan kaki adalah berkaitan dan dihubungkan oleh
saluran dimana darah dan qi (tenaga dinamik) beredar. Gangguan pada sistem ini akan
menyebabkan seseorang tidak sihat. Buku-buku perubatan cina seperti Huangdi neijing dan
Bencao gangmu dipercayai sebagai pemangkin kepada perkembangan perubatan modem oleh
barat.

Terdapat empat ciptaan agung dalam tamadun cina iaitu teknik membuat kertas, pencetakan,
bahan letupan dan kompas. Cai Lun telah berjaya membuat kertas dengan menggunakan fiber
tumbuh-tumbuhan pada tahun 105. Teknologi pencetakkan telah mula diperkenalkan semasa
pemerintahan dinasti Tang (618 –906) di mana buku jingang jing dipercayai buku yang terawal
dicetak iaitu pada 11 Mei 868. Bahan letupan telah dihasilkan oleh ahli kimia cina pada kurun
ke-7 apabila ahli-ahli kimia Daois berjaya mencampurkan saltpetre dengan sulfur dn karbon.
Pada zaman dinasti Tang, pihak militari telah menggunakannya dalam peperangan. Pada zaman
pemerintahan dinasti Han (206 –220 SM) sifat-sifat magnet telah ditemui di cina. Penemuan
tentang gejala magnet aruhan (induced magnetism) dalam kurun ke-6, pengherotan (declination)
dan juga kekutuban magnet (polarity) pada kurun ke-8 dan ke-9, telah membuahkan penghasilan
kompas oleh orang cina dan digunakan semasa pelayaran.

RELEVANSI TAMADUN CINA DENGAN TAMADUN LAIN

1. Pengenalan

Tamadun Cina yang telah lama bertapak mula berinteraksi dengan tamadun luar apabila orang-
orang Cina mula berhijrah ke tempat luar. Sistem politik yang berwibawa, kuat dan stabil telah
menggalakkan penghijrahan orang Cina ke luar samada untuk melakukan aktiviti ekonomi
ataupun mencari penempatan baru. Penggabungan etnik-etnik cina yang kemudiannya dikenali
sebagai orang Han atau Cina telah membentuk tamadun yang besar dan berpengaruh. Interaksi
tamadun Cina dengan tamadun luar boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu interaksi
budaya Cina dengan kawasan bulatan budaya dan juga interaksi budaya Cina dengan kawasan
luar lingkaran bulatan budaya.

2. Interaksi dengan kawasan bulatan budaya – Korea, Jepun dan Vietnam

Pada zaman dinasti Shang (kurun ke-16 hingga ke 11 SM) orang Cina telah mengenali Korea
sebagai satu entiti kawasannya tersendiri. Orang-orang Cina telah berhijrah ke Korea untuk
mengelakkan peperangan dan seksaan politik. Dipercayai pada kurun ke-2 SM, Wiman, iaitu
seorang pelarian Cina telah memerintah sebuah wilayah Korea iaitu Chosan. Pada tahun 108 SM,
empayar Han berjaya diperluaskan ke kawasan orang-orang Korea termasuk kawasan yang
diperintah oleh Wiman. Semasa pemerintahan Han, orang Korea telah dipaksa supaya
mengamalkan kebudayaan Cina. Proses perkembangan kebudayaan Cina mencapai
kemuncaknya apabila Korea muncul sebagai sebuah negara berfahaman Konfusianisme semasa
pemerintahan dinasti Li (1392 – 1910).

Antara unsur-unsur kebudayaan Cina yang amat berpengaruh di Korea ialah konfisianisme dan
Buddhisme. Pengaruh konfusianisme dan buddhisme pada Korea sangan kuat sehingga kerajaan
Korea menubuhkan institusi pendidikan untuk mengkaji konfusianisme dan buddhisme
disamping menjadikan fahaman ini sebagai bahan pengajaran. Tidak cukup dengan itu, demi
mengukuhkan lagi fahaman ini, kerajaan menghantar beratus-ratus pelajar ke China untuk
mempelajari konfusianisme dan memahami sistem pentadbiran China. Oleh itu, setiap
perkembangan dan konsep konfusianisme telah diamalkan sepenuhnya oleh Korea.

Selain daripada kepercayaan, bahasa dan tulisan Cina juga mempengaruhi Korea. Pada kurun ke-
15, pemerintah dinasti Li Korea telah mencipta sistem tulisan Korea berpandukan kepada grafik
tulisan Cina. Kebanyakan perbendaharaan kata bahasa Korea berasal dari istilah-istilah tulisan
atau bahasa Cina. Pengaruh Cina mula terhakis apabila Jepun menakluki Korea pada tahun 1910.

Hubungan Cina dengan Jepun bermula seawal kurun ke-2 SM iaitu di zaman dinasti Qin (221-
206SM). Perpindahan teknologi telah berlaku di mana teknologi pertanian, pemeliharaan ulat
sutera dan perbuatan perkakas besi dan gangsa dibawa masuk ke Jepun oleh pedagang Cina.
Pengaruh kebudayaan Cina berkembang denga pesatnya pada zaman Nara hingga zaman
Kesyogunan Tokugawa (664-1867) di mana bahasa, sejarah, falsafah, agama, kesenian, sistem
politik dan sebagainya dipelajari oleh pelajar-pelajar Jepun yang dihantar ke China.
Sistem tulisan Jepun, Kana dicipta berasaskan kepada sistem tulisan Cina iaitu Kanji. Buku
sejarah terawal Jepun iaitu Nihongi ditulis menggunakan bahasa Cina. Falsafah konfusianisme
Cina yang bersendikan Dao begitu terpengaruh dalam sistem pembelajaran, politik dan tatasusila
orang-orang Jepun. Perkembangan falsafah konfusianisme di jepun boleh dibahagikan kepada
tiga fasa iaitu fasa pertama pada kurun ke-5 hingga kurun ke-12, fasa kedua pada kurun ke-12
hingga kurun ke-17 dan fasa ketiga bermula pada kurun ke-17 iaitu zaman pemerintahan Edo
atau Kesyogunan Tokugawa (1603-1867).

Vietnam merupakan negara Asia Tenggara yang paling kuat dipengaruhi oleh kebudayaan Cina.
Ini adalah kerana Vietnam merupakan negara yang terdekat dengan China dan pernah menjadi
sebahagian daripada empayar China untuk jangka masa yang panjang (111-939). Penaklukan ini
meniggalkan kesan yang mendalam kepada pembentukan kebudayaan tempatan. Bahasa,
pemikiran, adat resam dan nilai-nilai kehidupan penduduk Vietnam banyak dipengaruhi oleh
kebudayaan Cina. Bahasa Cina merupakan bahasa yang digunakan dalam pentadbiran,
pendidikan, kesusateraan dan sebagainya sebelum Vietnam ditalukki oleh kuasa Perancis.

Klasik konfusisnisme yang diasaskan oleh ahli falsafah Cina merupakan pegangan dan pedoman
hidup masyarakat Vietnam. Ajaran konfusius juga dijadikan panduan dan rujukan bagi golongan
pemerintah dalam pengetahuan politik, ekonomi ddan juga perancangan pendidikan. Selain
daripada itu, terdapat juga aspek-aspek harian lain seperti pakaian, seni binaan dan juga budaya
hidup orang-orang Vietnam seolah-olah mencerminkan kehidupan orang-orang Cina.

3. Interaksi dengan kawasan luar budaya – Asia Tenggara, India, Dunia Islam dan Barat

Hubungan tamadun Cina dengan Asia Barat dan Eropah agak lambat. Ini adalah kerana
kedudukan geografi yang agak jauh dan dipisahkan oleh permukaan bumi yang bergunung
ganang serta padang gurun. Negara-negara Asia Tenggara, yang kedudukannya agak dekat dapat
berinteraksi dengan kebudayaan Cina seawal zaman pemerintahan dinasti Han (206-220TM).
Kerajaan Dinasti Han telah menghantar utusan ke Funan (Kampuchea) dan negara-negara Asia
Tenggara lain dalam usaha mencari jalan untuk menembusi Tamadun Rom dan Parsi.

Penghijrahan orang Cina ke Negara-negara Asia Tenggara secara tidak langsung juga
menyumbang kepada interaksi antara budaya. Dalam kurun ke-19, kemasukkan beramai-ramai
orang Cina dan India oleh penjajah Barat dalam usaha mereka untuk memenuhi permintaan
tenaga buruh telah mewujudkan satu kolompok masyarakat Cina dan India di Negara-negara
Asia Tenggara. Budaya dan pegangan kehidupan pendatang ini telah mempengaruhi kehidupan
penduduk tempatan.

Hubungan Malaysia dengan China dipercayai telah bermula sebelum kegemilangan kerajaan
Parameswara Melaka, tetapi hubungan ini bertambah baik apabila Laksaman Ho Chi Ming, yang
di hantar Maharaja China untuk berdagang dengan kerajaan Melaka diterima baik oleh sultan
Melaka. Asalnya hubungan perdagangan ini telah bertukar kepada hubungan perkahwinan
apabila Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sulatan Melaka.

Tamadun Cina dan tamadun India dikatakan bertembung di Asia Tenggara. Kedua-dua tamadun
ini mempunyai keagungan masing-masing. Interaksi antara dua tamadun ini, telah membuka
lembaran baru dalam konsep kepercayaan buddha. Ajaran buddha yang konsepnya hampir
menyerupai konsep Daoisme senang diterima masyarakat Cina, sehinggakan dalam tempoh yang
singkat, orang-orang Cina telah berjaya menyusun doktrin buddha dalam satu koleksi yang
dinamakan Tripikata yang terdiri dari kandungan kitab Mahayana dan Hinayana.
Perpindahan dua hala kebudayaan China dan India ini terus berlaku bukan sahaja dalam kontek
pegangan kehidupan tetapi kepada hampir keseluruhan corak kehidupan kedua-dua tamadun ini.
Perpindahan teknologi telah berlaku di mana teknologi pembuatan kertas dari China telah dibawa
masuk ke India dan teknologi membuat gula dari India telah dibawa masuk ke China.

Walaupun interaksi dengan tamadun Barat agak lewat, pertembungan dua tamadun ini banyak
memberi kesan positif kepada kecemerlangan tamadun dunia hari ini. Tamadun Barat yang
terkenal dengan kemajuan sains, telah menggunakan kesempatan ini sepenuhnya apabila
mengkaji secara lebih mendalam empat penemuan agung tamadun Cina. Tamadun Cina yang
mengutamakan etika dalam pengurusan masyarakat dan negara dianggap oleh para intelektual
cina sebagai penghalang kepada kemajuan sains dan teknologi. Pertembungan tamadun ini telah
menyedarkan para intelektual cina supaya melancarkan satu revolusi yang dikenali sebagai
Gerakan Kebudayaan Baru dalam usaha untuk memajukan negara China.

Penutup

Tamadun Cina merupakan satu tamadun yang kuat pengaruhnya. Perkembangan tamadun Cina
sehingga ke dunia Barat menunjukkan tamadun cina berupaya bersaing dengan tamadun-
tamadun lain. Tamadun Cina telah memberi pandangan baru kepada tamadun lain. Pegangan
konfusianisme telah memberi idea kepada sesebuah negara agar beretika dalam penubuhan
sesebuah kerajaan. Konsep konfusianisme yang mementingkan humanisme, humanitaarianisme,
intelektualisme dan rasionalisme adalah bersesuaian untuk diamalkan dalam kehidupan harian
manusia.
i.
Kebolehan tamadun Cina dalam teknologi dengan menyumbangkan empat ciptaan agung kepada
dunia menunjukkan tamadun Cina telah awal lebih maju berbanding dengan tamadun lain.
Walaupun pada zaman pemerintahan Yong Zheng (1723-1735), dasar isolation telah
diperkenalkan, ini tidak memundurkan masyarakat cina. Namun sedikit sebanyak memberi
impak kepada kemajuan secara global. Kebangkitan para intelektual Cina setelah China kalah
beberapa kali dalam peperangan telah memberi kesan positif kepada pembangunan China.
Revolusi Gerakan Kebudayaan Baru yang dilancarkan oleh para intelektual Cina telah
menyedarkan kerajaan China bahawa pembaharuan perlu dilakukan untuk memajukan
tamadunnya sendiri. Pegangan kosnfusianisme semakin terhakis apabila ramai rakyat China
diberi pendidikan sekularisme Barat.

Rujukan:
1. Tamadun Islam dan Tamadun Asia Terbitan Universiti Malaya
2. Tamadun Islam dan Tamadun Asia Terbitan Universiti Teknologi Mara
3. Tamadun Melayu, India, China & Jepun By Esa Khalid & Mohd Azhar Abd. Hamid
4. http://www.fstc.co.uk
5. http://www.muslimheritage.com
6. http://www.wikipedia.com/civilization

Posted by m.mohaj at 12:02:00 AM    

11 comments:

ultraman mac said...

Anda mungkin juga menyukai