Anda di halaman 1dari 2

Seni Berumahtangga

Written by ummuuswah
Saturday, 13 November 2010 22:02 - Last Updated Saturday, 27 November 2010 23:09

Siapa yang tak nak kawin ? Pastinya semua yang belum nikah nak sangat nikah. Siang
tertunggu-tunggu dan malam termimpi-mimpi : siapakah pasangan sehidup semati ? Yang dah
ada satu isteri, masih mencari-cari calon untuk memenuhi 3 kekosongan lagi. Wah begitu
hebatnya penangan sebuah pernikahan ! Topik yang tidak pernah basi la katakan.

Namun, hidup tidak selalunya indah, laut tak selalunya tenang. Tiba masanya, hujan
pastikannya turun, taufan tentunya melanda kerana itulah suratan kehidupan. Namun
bagaimana kita mengelola kemudi, saat bahtera pernikahan diamuk badai yang mengganas ?

Kenapa pergaduhan terjadi ?


Kita perlu sedar hakikat bahawa suami dan isteri datang dari 2 jantina yang berbeza, keluarga
yang berbeza, didikan dan perangai yang berbeza. Dalam mengenali, memahami dan
menyulami perbezaan ini tentu sekali berlaku banyak percanggahan pendapat. Pernikahan juga
datang bersama tanggungjawab, siapkah kita belajar untuk memikul tanggungjawab yang tidak
pernah kita sentuh sebelum ini ? Dan ramai yang kecundang kerananya.

Bersiap dengan sabar


Kepada yang belum bernikah, bersiaplah menuju hari bahagia anda dengan sebaiknya. Belajar
dan praktikkan selok-belok agama dan kehidupan berumahtangga sehingga bagaimana
mendidik anak-anak. Ia penting agar anda tidak terkejut dengan perubahan yang bakal terjadi
setelah nikah dan menimang cahaya mata. Dunia bujang dan dunia berumahtangga adalah dua
dunia yang cukup berbeza. Pernikahan membawa anda untuk lebih dewasa dan meninggalkan
zaman anak-anak dan remaja.

Pilih memilih
Sebelum nikah, pilihlah pasangan yang terbaik agamanya, akhlaknya, keturunannya
(keluarganya), urusan rumahtangganya. Selidiki juga kelemahan dan kekurangannya agar anda
siap menerimanya setelah nikah. Kita nak nikah dengan orang sanggup susah dan senang
bersama kita, masa muda kita hingga di hujung nyawa kita. Jadi pilihlah yang terbaik untuk kita.
Pastikan juga ibubapa kita dan calon pasangan merestui pernikahan kita. Belanja nikah ni
bukan sikit, jadi baik juga kalau ada tabungan dari sekarang.

1/2
Seni Berumahtangga

Written by ummuuswah
Saturday, 13 November 2010 22:02 - Last Updated Saturday, 27 November 2010 23:09

Setelah nikah
Seronokkan dapat nikah :) Itulah orang yang kita tunggu-tunggu dan tercari-cari sebelum ini :
belahan hati kita. Siapa pun dia, dialah anugerah Allah yang terbaik untuk kita. Kalau ada cela,
belajarlah menghargai kebaikan yang masih banyak pada dirinya. Ingatlah bahawa usia
pernikahan kita masih baru dan banyak lagi yang perlu kita timba untuk meneroka samudera
rumahtangga. Perbaikilah diri dengan memperlengkapkan diri dengan ilmu rumahtangga dan
pendidikan anak-anak. Ingat, anda bukan sekadar mengambil pasangan anda sahaja tapi
seluruh keluarganya juga menjadi keluarga besar anda.

Saat samudera bergelora


Saat samudera bergelora, belajarlah untuk bersabar. Kemarahan akan memburukkan lagi
keadaan. Mintalah nasihat daripada ibubapa untuk memperbaiki hubangan anda dan
pasangan. Itulah pentingnya menikah dengan restu ibubapa kedua-dua belah pihak, ibubapa
akan memberikan solusi terbaik untuk permasalahan kita dan bukannya menambahkan
masalah. Jika permasalahan itu berpunca dari kita, siaplah untuk berubahan. Dengan 
perubahan anda, insyaAllah pasangan juga akan berubah menjadi lebih baik walaupun
terkadang mengambil masa yang lama.

Belajar dan terus belajar


Walau berapa pun usia pernikahan kita, kita perlu terus belajar untuk saling mengenali,
memahami, memaafkan dan membantu pasangan kita dengan seoptima mungkin. Kenapa ?
Kerana setiap tahap pernikahan itu berbeza cabaran dan keperluannya sehingga menuntut
perubahan diri dan kehidupan berumahtangga. Sebagai contoh, kelahiran cahaya mata,
peningkatan usia anak, kos hidup, tekanan kerja, keadaan masyarakat, keperluan pelajaran
anak-anak, kahadiran menantu dan cucu, tahap kesihatan, pencen, zaman tua dan kematian.
Terbukalah dengan perubahan yang mungkin di luar jangkaan anda.

Allahlah sebagai pembantu


Jangan pernah lupa bahawa kita sentiasa bertuhan. KepadaNyalah tempat untuk meminta
rezeki, solusi dan perlindungan. Letakkanlah diri, pasangan dan anak-anak anda di bawah
perhatian, pertolongan dan perlindungan Allah. Ikatlah mereka dengan cinta dan pengawasan
Allah kerana Allahlah tempat untuk meminta tolong. Rumahtangga yang didirikan tanpa tiang
agama selalu gagal untuk bertahan lama.

Akhir kalam, semoga akad pernikahan kita yang disaksikan oleh Allah membawa kita ke
syurgaNya. Tentu laluannya bukan mudah, maka sabarlah dalam melalui mehnahnya kerana di
hujungnya Syurga sedang melambai di sana. Sanggupkah kita menyahut cabaranNya ?

2/2

Anda mungkin juga menyukai