Anda di halaman 1dari 9

Berdasarkan sebuah cerpen yang diambil daripada akhbar, anda dikehendaki

mengulas cerpen berkenaan berdasarkan aspek-aspek yang berikut: synopsis, tema


dan persoalan, watak dan perwatakan, plot, latar, dan gaya bahasa.

Cerpen : Pak Ngah Pasca Merdeka


Pengarang : Dr. Adnan Abd Rashid

Pendahuluan
Cerpen ialah akronim yang terhasil melalui gabungan dua perkataan iaitu “cerita”
dan “pendek”. Cerpen sering diterbitkan secara meluas menerusi media cetak seperti
akhbar dan majalah. Penulisan cerpen berkembang di sekitar tahun 30-an apabila
persuratkhabaran Melayu mencapai zaman kegemilangannya. Ia memaparkan sikap,
perasaan, pandangan dan fikiran penulis terhadap persoalan yang diutarakan dan mampu
memberi gambaran yang jelas mengenai masalah sosial, politik, ekonomi, dan sebagainya
pada sesuatu zaman.

Ulasan ini akan mengupas sinopsis, tema dan persoalan, plot, watak dan
perwatakan, latar, serta gaya bahasa dalam cerpen “Pak Ngah Pasca Merdeka” karya Dr.
Adnan Abd Rashid.

Sinopsis
Cerpen “Pak Ngah Pasca Merdeka” dimulakan dengan teriakan “Jalur Gemilang”
oleh kanak-kanak tadika di hadapan rumah Pak Ngah. Kegembiraan kanak-kanak itu
membuatkan Pak Ngah terimbau kembali zaman kanak-kanaknya yang sarat dengan
kepayahan hidup. Membandingkan kehidupan zaman remajanya dengan anak muda masa
kini, Pak Ngah merasa sedih melihat keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa. Pak
Ngah juga terkenangkan ayahnya yang banyak memberi dorongan kepadanya untuk
berjaya dalan hidup. Sebagai anak lelaki sulung, Pak Ngah telah berhempas pulas
membantu ibubapanya membesarkan adik-adiknya yang masih kecil ketika itu. Namun
begitu, Pak Ngah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.

Walaupun Pak Ngah gigih berusaha, namun nasib tidak berpihak kepadanya
apabila hanya berjaya mendapat pangkat tiga sahaja dalam peperiksaan Sijil Pelajaran

1
Malaysia (SPM). Hati Pak Ngah menjadi tidak tenteram apabila memikirkan masa depan
lima orang adik-adiknya. Pak Ngah berazam untuk tidak berputus asa dan terus berusaha
mengubah nasib diri dan keluarganya. Usaha gigih Pak Ngah berhasil apabila dia berjaya
mendapat pangkat satu dalam peperiksaan SPM kali kedua yang diambilnya di sebuah
sekolah swasta secara persendirian.

Lamunan Pak Ngah terhenti sejenak apabila isterinya menyapa. Kanak-kanak


tadika tadi masih lagi riang menyanyikan lagu Jalur Gemilang dengan penuh semangat.
Pak Ngah membaca akhbar dan tertarik dengan satu tajuk berita yang berbunyi “Ramai
pelajar IPTA menganggur”. Pak Ngah tertanya-tanya mengapa anak muda zaman
sekarang begitu mudah berputus asa; tidak sepertinya yang tidak pernah mengalah walau
telah berkali-kali gagal. Akhirnya Pak Ngah memilih profession perguruan yang pada
awalnya tidak diminati. Pak Ngah menjadi guru Matematik di beberapa sekolah rendah di
kawasan pendalaman. Pelbagai kesusahan terpaksa Pak Ngah tempuhi sepanjang bergelar
pendidik. Pak Ngah kemudiannya mengkritik sikap guru-guru zaman sekarang yang
masih tidak berpuas hati dengan kemudahan yang ada dan enggan berkorban demi masa
depan anak bangsa sendiri.

Hasil simpanan gajinya sebagai guru, Pak Ngah bertolak ke Timur Tengah untuk
melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa Arab dan pengajian Islam selama empat
tahun sehingga berjaya mengenggam segulung ijazah. Pak Ngah ditawarkan mengajar di
Sekolah Agama Rakyat dengan gaji hanya RM 300 sebulan. Lamunan Pak Ngah terhenti
seketika dek teguran isterinya.

Permohonan Pak Ngah untuk melanjutkan pengajian pasca ijazah di universiti


tempatan diterima. Pak Ngah terkenangkan kesabaran isterinya yang sedikit sebanyak
menjadi pendorong semangatnya dalam mengejar kejayaan. Pak Ngah bersyukur kerana
dikurniakan seorang isteri yang begitu memahami jiwanya. Terlintas di fikirannya kisah
rumah tangga zaman sekarang yang porak-peranda.

2
Pak Ngah telah berjaya mendapat ijazah kedua (M.A) dengan cemerlang dan
ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom bersama
keluarganya. Akhirnya Pak Ngah berjaya menjadi seorang pensyarah di sebuah universiti
tempatan berkat ketekunannya menimba ilmu di perantauan selama tiga tahun setengah.
Pak Ngah bersyukur kerana telah berjaya memerdekakan dirinya dari belenggu
kemiskinan sekaligus menunaikan wasiat ayahnya. Lamunan Pak Ngah mati apabila
isterinya mengajaknya makan tengah hari bersama.

Tema dan Persoalan


Menurut Saudah Mohamed (2001), tema ialah idea atau persoalan pokok yang
merupakan gagasan pemikiran yang menjadi dasar kepada sesebuah karya sastera.
Persoalan pula merupakan perkara-perkara yang ingin disampaikan oleh pengarang
melalui tindakan, gagasan, dan pemikiran watak-watak ciptaan pengarang dalam
sesebuah karya sastera. Persoalan selalunya saling berkaitan antara satu sama lain dan
terjalin membentuk satu tema bagi sesebuah karya sastera.

Cerpen “Pak Ngah Pasca Merdeka” mengenengahkan tema sikap tidak berputus
asa dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Tema ini ditonjolkan menerusi watak Pak
Ngah yang merupakan watak utama dalam cerpen ini. sepanjang perkembangan plot
cerpen ini, pengarang telah mengemukakan pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi
Pak Ngah sepanjang hidupnya. Namun berkat kesabaran dan sikapnya yang tidak mudah
berputus asa, Pak Ngah ahkirnya berjaya mencapai cita-citanya. Diantara cabaran-
cabaran yang terpaksa dihadapi Pak Ngah ialah kesusahan hidup ekoran kemiskinan yang
menghimpit keluarganya. Disebabkan taraf hidup keluarganya yang rendah, Pak Ngah
terpaksa bekerja keras untuk membantu kedua orang tuanya menyara kehidupan mereka
sekeluarga. Meskipun hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan, Pak Ngah tidak
sesekali patah semangat dan berputus asa. Malah, kemiskinan keluarga mereka dijadikan
batu loncatan bagi Pak Ngah untuk berusaha lebih gigih lagi demi memerdekakan
keluarga mereka dari kepompong kemiskinan. Selain daripada itu, Pak Ngah juga tidak
mudah mengalah walaupun telah berkali-kali dikecewakan oleh kegagalan. Pak Ngah
pernah gagal mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

3
Namun disebabkan sikapnya yang tidak mudah berputus asa, Pak Ngah menduduki
peperiksaan tersebut buat kali kedua pada tahun berikutnya dan akhirnya berjaya
memperolehi pangkat satu.

Diantara persoalan yang dikemukakan dalam cerpen ini ialah kesusahan hidup
dan kemiskinan. Sepanjang perjalanan cerita cerpen ini, pengarang telah menceritakan
kesusahan hidup Pak Ngah dalam mengejar kejayaan. Semasa kanak-kanak, Pak Ngah
terpaksa memanjat pokok belimbing, cenerai, asam jawa, pokok muyu, jambu batu,
jambu air, pokok setaq, pokok rembia, pokok setoi, dan sebagainya untuk mengisi perut
yang lapar. Sebagai anak lelaki sulung, Pak Ngah juga terpaksa membantu ibubapanya
bekerja keras untuk membesarkan adik-adiknya yang masih kecil pada ketika itu. Lebih
daripada itu, Pak Ngah terpaksa berulang-alik ke sekolah yang terletak kira-kira 20
kilometer dari rumahnya dengan basikal buruk. Pak Ngah juga hanya dibekalkan wang
saku sebanyak lima hingga dua puluh sen ke sekolah setiap hari. Tidak cukup dengan itu,
Pak Ngah terpaksa menghadapi kesusahan semasa mengajar di Sekolah Agama Rakyat
apabila hanya dibayar gaji RM 300 sebulan.

Selain daripada itu, persoalan lain yang terdapat dalam cerpen ini ialah kegagalan.
Pak Ngah telah menghadapi banyak kegagalan dalam hidupnya. Pak Ngah pernah gagal
memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dia juga
pernah gagal mendapat tempat di tingkatan enam dan ITM. Pak Ngah turut gagal menjadi
inspektor polis dan pegawai angkatan tentera. Meskipun telah berjaya menggenggam
segulung ijazah, Pak Ngah masih lagi gagal mendapat pekerjaan yang mampu menyara
hidupnya sekeluarga. Namun kecekalan hati dan semangatnya yang membara untuk
berjaya mengatasi segalanya. Pak Ngah tidak berputus asa dan terus berusaha dengan
tekun sehingga kejayaan menjadi miliknya.

Plot
Plot ialah urutan atau jalinan peristiwa dalam sesebuah karya cereka (Saudah,
2001). Binaan plot terdiri daripada permulaan atau eksposisi, pertengahan atau
perkembangan, dan pengakhiran atau peleraian. Permulaan sesebuah cerita biasanya

4
mendedahkan watak-watak, permasalahan yang dialami oleh watak-watak, gambaran
latar masa dan tempat, sudut pandangan serta bayangan persoalan dan tema sesebuah
karya. Bahagian pertengahan atau perkembangan pula memaparkan konflik atau
perumitan untuk menyelesaikan masalah-masalah. Bahagian pengakhiran atau peleraian
sesebuah cerita merupakan peleraian masalah-masalah yang dihadapi oleh watak-watak,
sebelum menuju kepada penyelesaian.

Plot cerpen “Pak Ngah Pasca Merdeka” ini berkembang dengan baik dari
bahagian permulaan hingga peleraian cerita. Di bahagian permulaan, pengarang telah
memulakan cerpen ini dengan berlatarkan kawasan hadapan rumah Pak Ngah dimana
sekumpulan kanak-kanak tadika sedang menyanyikan lagu “Jalur Gemilang” dengan
riangnya. Kegembiraan kanak-kanak itu membawa fikiran Pak Ngah kembali ke zaman
kanak-kanaknya yang penuh dengan kepayahan hidup lantaran kemiskinan yang
membelenggu keluarganya.

Seterusnya, pengarang menceritakan kepayahan hidup Pak Ngah sebagai anak


orang miskin di bahagian perkembangan cerita. Pak Ngah terpaksa mengharungi pelbagai
rintangan namun kekuatan semangat dan azamnya untuk berjaya mengatasi segalanya. Di
bahagian perumitan, pengarang mengisahkan kegagalan Pak Ngah mendapat keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pak Ngah bertekad untuk
menduduki semula peperiksaan itu dan akhirnya berjaya mendapat pangkat satu.

Klimaks dalam cerpen ini ialah apabila Pak Ngah berjaya menjadi pensyarah di
sebuah universiti tempatan setelah tamat pengajian ijazah kedua (M.A) di United
Kingdom. Di bahagian peleraian, Pak Ngah bersyukur kerana telah berjaya
memerdekakan dirinya dari belenggu kemiskinan dan menunaikan amanat ayahnya
meskipun dicabar perbagai rintangan dan dugaan yang silih berganti.

Watak dan Perwatakan


Secara amnya, hanya terdapat tiga watak yang signifikan dalam cerpen “Pak Ngah
Pasca Merdeka” ini. Watak yang pertama ialah watak utama cerita ini iaitu Pak Ngah,

5
manakala watak yang kedua dan ketiga ialah isteri Pak Ngah yang bernama Ida serta ayah
Pak Ngah yang muncul sekali sekala sepanjang perkembangan plot cerita ini. Watak-
watak lain dalam cerpen ini, seperti watak kanak-kanak tadika, hanyalah watak-watak
sampingan yang tidak memainkan peranan yang besar.

Watak Pak Ngah dalam cerpen ini digambarkan oleh pengarang sebagai seorang
yang cekal, tabah, dan tidak mudah berputus asa. Pak Ngah yang dilahirkan di dalam
sebuah keluarga miskin yang serba kekurangan, tidak pernah patah semangat dalam
mengejar impian hidupnya walaupun pelbagai rintangan melanda dirinya. Sebagai
contoh, ketika zaman persekolahannya Pak Ngah terpaksa berbasikal sejauh kira-kira 20
kilometer untuk ke sekolah pada setiap hari. Bukan setakat itu, Pak Ngah juga terpaksa
berhempas pulas membantu orang tuanya mencari sesuap nasi untuk mereka sekeluarga.
Namun begitu, segala cabaran hidup dihadapinya dengan cekal dan tabah kerana Pak
Ngah percaya pada janji Allah bahawa kejayaan pasti tiba bagi mereka yang tekun
berusaha.

Watak seterusnya ialah watak Ida yang merupakan isteri Pak Ngah. Dalam cerpen
ini, Ida digambarkan sebagai seorang isteri yang taat kepada suaminya. Ida sangat
memahami jiwa Pak Ngah dan tidak pernah merungut atau meminta-minta kemewahan
darinya. Ida juga merupakan seorang isteri yang penyabar dan sanggup mengharungi
pahit getir hidup bersama Pak Ngah. Selain itu, satu lagi watak dalam cerpen ini ialah
ayah Pak Ngah yang merupakan seorang pesawah. Dia merupakan seorang ayah yang
bertanggungjawab kerana sanggup bertungkus lumus mengerjakan sebidang tanah pusaka
untuk membesarkan anak-anaknya. Ayah Pak Ngah juga selalu memberi dorongan dan
galakan kepada Pak Ngah untuk berjaya dalam pelajaran.

Latar
Saudah (2001) menyatakan bahawa latar ialah pernyataan tentang masa, tempat,
ruang, suasana dan pemikiran dalam sesebuah karya. Ia menjelaskan tempat dan masa
sesuatu peristiwa itu berlaku dan dikaitkan dengan citra masyarakat yang dipaparkan dari
segi struktur pemikiran, budaya, sosial,ekonomi dan kepercayaan sesebuah masyarakat.

6
Dalam cerpen “Pak Ngah Pasca Merdeka” ini, latar tempat yang terlibat ialah di
hadapan rumah Pak Ngah dimana kanak-kanak tadika menyanyikan lagu “Jalur
Gemilang”. Selain itu, latar tempat yang terdapat dalam cerpen ini ialah kawasan
pendalaman tempat Pak Ngah ditempatkan untuk mengajar setelah tamat pengajian di
maktab perguruan. Timur Tengah dan United Kingdom juga merupakan latar tempat
yang penting dalam cerpen ini kerana Pak Ngah pernah melanjutkan pelajarannya ke
kedua-dua buah negara tersebut.

Penceritaan cerpen ini tidak berkisar pada latar masa yang sama kerana pengarang
menggunakan teknik imbas semula untuk menulis cerpen ini. Berikutan hal ini, cerpen ini
berlatarkan jarak masa di sekitar tahun awal tujuh puluhan hingga zaman sekarang. Di
samping itu, keseluruhan cerpen ini juga berlatarkan waktu siang.

Cerpen ini berlatarkan masyarakat yang semakin rosak akhlaknya kerana terlibat
dalam pelbagai gejala tidak sihat seperti lumba haram, kumpulan punk, pesta seks, dan
sebagainya. Latar masyarakat yang seterusnya ialah masyarakat miskin yang hidup serba
kekurangan. Masyarakat sebegini diwakili oleh Pak Ngah sekeluarga yang hidup dalam
keadaan daif ketika Pak Ngah masih kanak-kanak. Selain itu, cerpen ini juga berlatarkan
masyarakat tidak bersyukur dengan kemudahan yang disediakan serta sering merungut
mengenai pelbagai perkara. Contohnya, guru-guru zaman sekarang sering merungut
apabila diarahkan untuk mengajar di kawasan luar bandar sedangkan luar bandar masa
kini sudah jauh berbeza dengan luar bandar ketika Pak Ngah bergelar guru. Cerpen ini
juga berlatarkan masyarakat yang keluarganya porak-peranda. Dalam cerpen ini,
pengarang menyelitkan kisah suami menendang isteri dan isteri yang mencurahkan asid
pada suami.

Gaya Bahasa
S. Nathesan (1995) mendefinisikan gaya bahasa sebagai “cara atau bentuk bahasa
yang digunakan dalam pertuturan atau penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan

7
tertentu”. Gaya bahasa merangkumi semua aspek bahasa seperti pemilihan kata atau
diksi, penggunaan kiasan, pembinaan frasa, ayat dan lain-lain.

Diantara gaya bahasa yang digunakan dalam cerpen ini ialah pengulangan.
Terdapat beberapa perkataan yang digunakan berulang kali di dalam cerpen ini seperti
“Jalur Gemilang”, “kegembiraan”, dan juga “megah”. Dari segi diksi atau pemilihan kata
pula, secara keseluruhannya bahasa yang digunakan adalah bahasa biasa. Namun begitu,
terdapat juga penggunaan bahasa istana seperti “bonda” dan bahasa Arab seperti “Azza
Wajalla” dan “alhamdulillah”. Selain itu, pengarang turut menyelitkan penggunaan
pepatah di dalam cerpen ini seperti “tak kenal tak cinta”. Akhir sekali, gaya bahasa sinkof
turut digunakan seperti perkataan-perkataan “tak”, “tu”, “tau”, “ni”, “de”, dan
sebagainya.

Penutup
Secara konklusifnya, Dr. Adnan Abd Rashid telah berjaya menyampaikan mesej-
mesejnya dengan berkesan menerusi cerpen “Pak Ngah Pasca Merdeka” ini. Beliau telah
mengenengahkan tema dan persoalan dengan berkesan sepanjang penceritaan cerpen ini
menerusi watak-watak yang diwujudkan sepanjang penceritaan cerita ini. Gaya bahasa
turut diolah dengan begitu baik dan dijelmakan dalam bentuk yang indah untuk menarik
perhatian pembaca terhadap cerpen ini serta menyerlahkan lagi kekuatan jalan ceritanya.
Sehubungan dengan itu,dapat disimpulkan bahawa cerpen merupakan salah satu wadah
yang berkesan dalam menyampaikan mesej secara kreatif kepada masyarakat.

8
Rujukan

Abu Seman Bakar & Mohd. Ismail Sarbini (2002). Komsas SPM. Petaling Jaya:
Sasbadi Sdn. Bhd.

S. Nathesan (1995). Laras bahasa ilmiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Saudah Mohamed (2001). Ulasan dan kajian kesusasteraan Melayu dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu. Malaysia: Eastview.