Anda di halaman 1dari 3

Jikalau anak-anak muda menyuarakan keinginan untuk bernikah walaupun mereka masih lagi

menuntut di kampus, jangan cepat melenting. Yakinlah, keberanian mereka untuk menyuarakan
permintaan tersebut menunjukkan kematangan mereka. Keberanian mereka untuk membuat
permintaan sedemikian rupa menunjukkan mereka ingin menyelamatkan iman dan akhlak.Yakinlah,
jika mereka memilih untuk tidak meminta izin untuk berkahwin mereka mampu. Jika mereka
memilih untuk tidak berkahwin dan meneruskan onar mereka sehingga ke tahap yang serius pun
mereka mampu. Maka, jika mereka menyuarakan pendapat dan meminta izin, pertimbangkanlah ia
dengan rasional, kematangan dan gunakanlah neraca keimanan. Mereka bukanlah anak-anak kecil
lagi. Mereka juga bukannya terburu-buru ataupun terlalu mengikut nafsu. Yakinlah, apa yang
mereka suarakan itu adalah bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan serta kesungguhan mereka
untuk menjaga nama baik keluarga.

O Mama, Aku mahu kahwin! (buat ibubapa moden)

Maszlee Malik (Pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan,UIAM)

Antara dilemma yang dihadapi oleh anak-anak muda masakini ialah sukarnya untuk mengawal
nafsu yang bergelora. Dunia maklumat yang tidak bersempadan telah menyebabkan nafsu anak-
anak muda kita semakin menggila. Samada di dalam bidang hiburan, mahupun di dalam ruangan
berita sekalipun, unsur pembangkit nafsu tetap berleluasa. Fenomena globalisasi juga turut
menyumbang kepada pemaksaan ke atas anak-anak muda untuk menerima budaya yang
dipromosikan oleh sesetengah pihak. Bagi yang lemah iman dan lemah akal pemikiran, mudahlah
mereka dihanyutkan oleh arus hedonisme dan liberalisme. Bagi yang masih ingin mempertahankan
keimanan serta nilai murni di dalam diri, dilemma yang mereka hadapi semakin parah.

Di antara budaya yang dipaksakan ke atas anak-anak muda kita ialah budaya "coupling"
(berpacaran) dan "sex before marriage" (seks pra-nikah). Bukanlah sesuatu yang ganjil jika ramai
di antara anak-anak muda akan berasa janggal dan terasing jika mendapati diri mereka tidak
mempunyai teman lelaki istimewa dan teman wanita istimewa. Seseorang remaja akan terasa
seperti makhluk asing di bumi jika mereka tidak bergaul bebas dengan rakan-rakan berlainan
jantina. Bagi anak-anak yang dibesarkan di sekolah-sekolah agama atau madrasah, mereka
mungkin masih lagi selamat. Keselamatan ini, walau bagaimanapun akan segera hilang apabila
mereka mula melangkah ke gerbang-gerbang IPT. Tidak kiralah IPTA mahupun IPTS. Kebebasan
dan juga pengaruh rakan dan sekitaran akan segera membuatkan mereka menerima kejutan
budaya. Samada mereka akan larut dan terheret oleh pengaruh sekitaran, ataupun mereka akan
menjadi begitu rigid, keras dan tidak bertolak ansur. Inilah realiti kehidupan anak-anak muda di
IPT-IPT.

Sepertimana yang pernah diutarakan sebelum ini, solusi bagi fenomena yang begitu menggila ini
ialah "nikah". Hayat para pelajar di IPT tidak patut disia-siakan. Waktu yang mereka habiskan untuk
berpacaran dan juga melayan lamunan, akan lebih terjaga jika mereka telah bernikah. Segalanya
akan menjadi halal, dan masa tidak akan terbuang sia-sia. Segalanya mendapat keberkatan, dan
tiada kerungsingan dan juga ketidak tentuan perasaan. Jika persoalan natijah selepas pernikahan
yang menjadi persoalannya, maka solusi "nikah khitbah" telah dicadangkan. Mudah sahaja, selama
hayat mereka di IPT, mereka tidak perlu mengandung, tidak perlu melahirkan anak, tidak perlu
untuk tinggal di dalam sebuah rumah yang khusus, dan tidak perlu menjalani kehidupan seperti
pasangan suami-isteri yang mempunyai pekerjaan tetap. Mereka hidup sebagai suami isteri di
dalam segala keterbatasan yang ada, yang penting hubungan tersebut halal dan mereka tidak
melakukan maksiat.

Walau bagaimanapun, ide ini tidak semudah yang diutarakan. Kebanyakan komen dan respon yang
diterima adalah bersifat negatif. Bukanlah para remaja IPT yang bersifat negatif, tetapi ibu bapa
yang bersikap negatif. Memang benar, tanpa sokongan ibu bapa, ide nikah khitbah untuk
menyelamatkan anak-anak muda daripada berzina ini tidak mudah. Ibu bapa di Malaysia masih lagi
mempunyai pemikiran yang kolot dan klasik. Mereka masih lagi menggunakan sifir lama dan
lapuk.Mereka sanggup menjunjung adat yang kolot walaupun terpaksa membiarkan anak-anak dara
dan teruna mereka bergelumang di dalam dosa. Jika hendak berkahwin, tunggu selepas habis
belajar. Jika hendak kahwin, tunggu sehingga mendapat pekerjaan tetap. Jika hendak kahwin,
tunggu sehingga mendapat ijazah. Bagaimana pula sementara menunggu hendak habis belajar dan
hendak mendapatkan pekerjaan tetap?

Si teruna dan dara tiap-tiap hari bersua muka. Peluang untuk bertemu dan bersama itu jauh lebih
besar daripada tidak bertemu. Dorongan media massa, media eletronik, persekitaran dan juga
budaya setempat mendorong mereka untuk terus bertemu. Oleh kerana kita di negara yang mana
rakyat masih lagi bebas untuk melakukan maksiat, maka peluang untuk melakukan maksiat itu
terbuka lebih luas. Apakah ibu bapa yang kolot dan mundur pemikiran itu mengira anak-anak muda
mereka malaikat yang tidak punya nafsu?, atau mungkin mereka anggap anak-anak muda mereka
mempunyai "fire wall" yang begitu utuh?, atau juga mereka sangkakan mereka boleh mengawal
"nafsu" anak-anak muda mereka dari jarak jauh (remote control)?

Bagi ibu bapa, sepatutnya mereka berusaha memahami realiti dan tuntutan semasa. Kita hidup di
zaman yang dipenuhi dengan kefasadan dan keruntuhan moral. Peluang untuk melakukan dosa di
bumi Malaysia ini jauh lebih banyak daripada peluang untuk menghindarinya. Ruang-ruang di media
sentiasa diwarnai dengan warna nafsu dan juga maksiat. Anak-anak mereka yang tinggal jauh dari
pandangan, sedang mengecapi kebebasan yang tidak terbatas. Tanpa iman, tanpa nilai dan tanpa
sifat malu yang tinggi, mereka bebas melakukan apa sahaja. Jangan tertipu dengan perwatakan
mereka di rumah!. Anak-anak muda akan mempunyai sikap dan peribadi yang berbeza sewaktu di
rumah dan sewaktu berada bersama ahli keluarga. Bahkan, dalam banyak keadaan, mereka
mempunyai sikap yang berbeza sewaktu di hadapan guru atau para pensyarah. Ingatlah, syaitan
tidak akan melepaskan peluang untuk mendorong anak-anak Adam untuk melakukan perkara yang
terlarang. Itulah tugas syaitan.

Jika para ibu bapa mempunyai tahap kepercayaan yang begitu tinggi kepada anak-anak mereka, itu
adalah sesuatu yang baik. Namun, sangkaan yang baik semata-mata tidak cukup. Mereka perlu
memahami realiti, anak-anak itu tinggal jauh di mata. Suasana persekitaran tidak membantu.
Tarikan naluri orang muda adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, hatta di kalangan siswa dan
siswi institusi pengajian berorientasikan agama. Jikalaulah mereka sudah mempunyai perubahan
pada tingkah langku dan perlakuan seharian, maka selidikilah. Jika mereka sudah mempunyai
pasangan, berbuallah mereka dengan cara yang matang dan rasional. Ingatlah, mereka sudah
besar, mereka ingin dilayan seperti orang dewasa juga. Kadar intelektual mereka perlulah dihargai.
Gunakanlah cara sehikmah yang mungkin untuk melakukan "penyelidikan" terhadap anak-anak
muda.

Jikalau anak-anak muda menyuarakan keinginan untuk bernikah walaupun mereka masih lagi
menuntut di kampus, jangan cepat melenting. Yakinlah, keberanian mereka untuk menyuarakan
permintaan tersebut menunjukkan kematangan mereka. Keberanian mereka untuk membuat
permintaan sedemikian rupa menunjukkan mereka ingin menyelamatkan iman dan akhlak.Yakinlah,
jika mereka memilih untuk tidak meminta izin untuk berkahwin mereka mampu. Jika mereka
memilih untuk tidak berkahwin dan meneruskan onar mereka sehingga ke tahap yang serius pun
mereka mampu. Maka, jika mereka menyuarakan pendapat dan meminta izin, pertimbangkanlah ia
dengan rasional, kematangan dan gunakanlah neraca keimanan. Mereka bukanlah anak-anak kecil
lagi. Mereka juga bukannya terburu-buru ataupun terlalu mengikut nafsu. Yakinlah, apa yang
mereka suarakan itu adalah bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan serta kesungguhan mereka
untuk menjaga nama baik keluarga.

Apakah langkah seterusnya?

Berbincang dengan mereka. Rasionalkan pemikiran mereka untuk melihat sesuatu dengan
pandangan yang jauh. Dorong mereka untuk merancang dan bersikap realistik. Timbulkan segala
kemungkinan dan kebarangkalian yang bakal mereka hadapi dan bantu mereka untuk mencari
solusinya. Bukakan pemikiran mereka untuk melibat sudut-sudut yang mungkin mereka terlepas
pandang. Apa yang lebih penting, berikan peluang untuk mereka mengutarakan pendapat-pendapat
dan pandangan-pandangan mereka. Perlu diingatkan sekali lagi, mereka telah pun dewasa dan
pemikiran mereka bukan lagi pemikiran anak-anak.

Seperkara yang penting juga, janganlah terlalu membuat keputusan melulu. Ada sesetengah ibu
bapa yang langsung mencemuh, memperlekehkan dan terus menutup peluang untuk anak-anak
mereka bersuara. "Dah gatal!", "Belajar dulu!", "Dah tak tahan lagi!", "Awak tu muda lagi!",
"Janganlah hampakan harapan mak!" dan pelbagai ayat yang berbentuk cemuhan, prejudis dan
juga mematikan hujah tidak akan membantu. Sekali lagi perlu diingat, mereka bukan lagi anak-
anak kecil.

Setelah anda mendengar pendapat mereka, yang sebaiknya berkenalanlah dengan pasangan anak
anda itu. Perbincangan di antara si ibu dan si ayah sebelum memberikan apa-apa keputusan
kepada si anak amat penting. Sekali lagi perlu diingatkan, jangan emosional dan jangan terburu-
buru di dalam membuat keputusan.

Ingatlah, anak-anak muda zaman kini hidup di dalam persekitaran yang serba mencabar. Walaupun
kita telah mengawal sebaik mungkin di rumah, namun apa yang mereka dapat dari media, dari
rakan-rakan dan juga dari tempat pengajian jauh lebih banyak. Di dalam dunia global, tiada sesiapa
yang dapat menghalang orang lain daripada mengakses kepada apa-apa maklumat. Persekitaran
dan juga suasana yang serba moden dan mencabar ini akan sentiasa membawa kepada
pengingkaran terhadap perintah Tuhan. Satu-satunya cara untuk anak-anak muda yang telah mula
terjebak dengan "cinta" dan juga "pacaran", adalah dengan bernikah.

Mungkin ibu bapa akan terfikirkan mengenai prestasi pembelajaran anak-anak yang bakal merudum
selepas perkahwinan. Mungkin juga ada di antara ibu bapa yang begitu skeptik dan merasakan
bahawa anak-anak mereka tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran
selepas perkahwinan. Sesuatu yang biasa juga bagi ibu bapa yang mengandaikan seribu satu
andaian liar. Bagi yang mempunyai anak-anak perempuan, maka mereka akan terfikrikan,
Bagaimanakh nanti anak-anak mereka akan dapat membahagikan masa untuk pelajaran dan
melayan suami, Mereka juga terfikir, bagaimana pulakah jika anak mereka mengandung?,
melahirkan anak?

Bagi mereka yang mempunyai anak lelaki pula terfikirkan, bagaimanakah anak mereka berupaya
menanggung anak orang lain. Mereka juga terfikirkan, mampukah anak-anak mereka membimbing
dan menjaga "anak gadis" orang. Akhirnya, kesemua andaian-andaian dan prejudis tersebut
diterjemahkan kepada penolakan. "Tunggu sehingga habis belajar!", "Kami tak menolak pilihan
awak, Cuma awak kena tunggu sehingga dapat kerja yang baik!". Kesemuanya menjadi jalan keluar
kepada ibu bapa yang malas berfikir, ataupun berfikiran kolot ini. Jalan mudah diambil demi
memudahkan kerja-kerja mereka. Akhirnya, sang anak yang tidak dapat melawan nafsu pun terus
berpacaran, dan bergelumang dengan dosa "khalwat" dan berpegangan tangan. Bagi yang tidak
mempu membendung nafsu, akhirnya mereka terjerumus ke lembah zina...kesemuanya kerana
pemikiran kolot si ibu dan ayah.

Ibu bapa moden perlu berfikiran terbuka. Adalah lebih baik mereka berkorban material dan tenaga
demi menjaga kesucian susur galur keluarga mereka. Sepatutnya ibu bapa moden bersikap
konstruktif dan bukannya negatif. Apalah salahnya jika mereka membantu anak-anak yang ingin
berkahwin itu dari segi material. Berikan juga sokongan moral. Berikan sokongan dan bimbingan.
Berikan tunjuk ajar, dan berikan mereka "fulus". Bukankah mengkahwinkan anak perempuan di
usia muda mereka merupakan sunnah?, bukankah membantu anak-anak untuk mengelakkan diri
dari melakukan maksiat adalah wajib? ...Fikirkan!

Hidup manusia telah berubah, gaya kehidupan juga berubah, teknologi juga berubah, maka sudah
sampai waktunya para ibu bapa moden juga berubah. Pemikiran yang kolot serta terlalu
mengongkong tidak akan membantu anak-anak muda mereka. Pemikiran yang terlalu liberal dan
tidak kisah juga membahayakan. Apa yang kita perlukan adalah pemikiran yang Islamik dan
realistik. Kita juga mahukan pemikiran yang berdasarkan "fiqh al-Waqi'" (fiqh realiti). Biarlah minda
kita selari dengan zaman.

Anda mungkin juga menyukai