Anda di halaman 1dari 1

2 penjenayah ditembak mati

Oleh Junaidi Ladjana


djuns@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Dua penjenayah yang dipercayai ketakutan selepas menembak mati seorang
pemandu teksi beberapa hari lalu, akhirnya maut ketika berbalas tembak selepas tempat
persembunyian mereka diserbu polis di Jalan Sungai Batang Batu 10, Sandakan, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua penjenayah yang belum dikenal pasti identitinya itu bersembunyi di sebuah
pondok ladang sawit berhampiran tapak pembinaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kira-kira
tujuh kilometer dari lokasi mereka melakukan pembunuhan itu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang, kedua-dua suspek berusia 30-an gagal melarikan diri selepas
lokasi persembunyian mereka dikesan dan dikepung polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, sebaik menyedari tempat persembunyian
mereka dikepung polis, dua penjenayah terbabit melepaskan tembakan terhadap polis yang
mengarahkan mereka menyerah diri.

Beliau berkata, polis membalas tembakan itu menyebabkan kedua-duanya maut. “Sebelum itu, polis
yang curiga dengan kehadiran individu di dalam rumah itu mengarahkan penghuninya keluar, tetapi
arahan itu dibalas dengan tembakan oleh seorang daripada lelaki terbabit.

“Keadaan itu menyebabkan polis tidak memiliki pilihan sebelum berlaku tembak menembak antara
suspek dengan polis menyebabkan dua penjenayah itu maut,” katanya pada sidang media, di sini,
semalam.

Beliau berkata, polis yang melakukan pemeriksaan di rumah itu menemui sepucuk pistol jenis
Caliber45 dipercayai sejata sama digunakan suspek untuk membunuh pemandu teksi pada 28
Februari lalu.

Malah, katanya, siasatan mendapati peluru digunakan suspek sama dengan peluru yang digunakan
untuk membunuh pemandu teksi berkenaan.

Anda mungkin juga menyukai