Anda di halaman 1dari 14

Rumahku, syurgaku".

 Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam kehidupan
seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang harus ada pada sesebuah keluarga
bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan
melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia. 

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah
yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan
sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan
mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan
guru terdekat harus menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata
pepatah ,”bagaimana acuan, begitulah kuihnya”.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk membezakan “yang mana intan,
yang mana kaca”. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka
yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus
memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah
kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti “menatang minyak yang penuh” . Didikan agama dan moral
yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh, biarlah dari
rebungnya”. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti “kapal
tanpa nakhoda”. 

Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami masalah mereka di
samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa
janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan
tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak yang
kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. 

Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-anak harus belajar
bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya
memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat
seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang
jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti “kacang lupakan kulit”. Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu
bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita? 

Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga saling menghormati dan
memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya
pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli
keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. 

Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan
sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia banyak memerlukan unsur juga.
Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya. “Rumahku, syurgaku.” Keluarga bahagia ialah
keluarga impian saya
MUQADDIMAH
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah agen utama dan yang pertama
mesti memainkan peranan melaksanakan tanggung jawab mengasuh, mendidik
mengajar serta membimbing anak-anak mereka untuk menjadi pewaris pelapis kepada
generasi yang cemerlang ilmu dan akhlaknya di dunia dan di akhirat. Sekaligus
membentuk anak-anak yang bukan sahaja boleh dijadikan cermin generasi tetapi juga
sebagai pejuang kepada amar makruf dan nahi mungkar, bahkan sebagai khalifah di
muka bumi ini sekaligus sebagai ulamak pewaris para nabi. 

Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak
mereka adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang,
bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama. 

Maka pengetahuan ibu bapa dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu


dipertingkatkan sesuai dengan kemajuan dan kemodernan dunia yang serba canggih,
dengan mengumpul, mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang
sesuai untuk diterapkan dalam agenda memantapkan syaksiah diri lalu cuba
menterjemahkannya dalam agenda pendidikan anak-anak. 

Ibu bapa yang jumud dalam kekolotan akan terus menghadapi masalah kekalutan dan
kemelut dalam menghadapi ledakan arus permodernan yang akan menyebabkan
mereka dipandang remeh, bahkan dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan
anak-anak mereka yang mergelumang dengan berbagai ledakan budaya songsang
yang mereka anggap sebagai aliran peredaran zaman yang patut diikuti dan dicontohi. 

Kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang


sepatutnya ada pada diri ibu bapa cemerlang adalah sebagai punca sebenar kegagalan
membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia. 

Pendek kata ibu bapa harus menjadi cermin, ikutan, contoh teladan yang baik kepada
anak- anak mereka dalam segenap segi. Hanya ibu bapa yang benar-benar cemerlang
dunia akhiratnya sahaja yang layak mengimpikan anak-anak yang cemerlang ilmu dan
akhlaknya. Maka sentiasalah berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang
seiring dengan usaha membentuk generasi yang cemerlang. 
 
PERANAN IBU BAPA 
Peranan bermakna satu kewajiban melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang
dipikul sebagai amanah yang mana hasilnya yang manis akan kita kecapi sebagai
ganjaran kepada kejayaan kita. Manakala hasilnya yang pahit akan kita kecapi dan kita
telan sebagai bukti kegagalan kita sendiri. 

Peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak ke arah
kecemerlangan dunia dan akhirat, tidak terbatas dalam lingkungan rumah tangga
semata-mata, sedangkan di luar rumah, kita serahkan bulat-bulat kepada peranan
orang lain, sedangkan dalam masa yang sama kita akan marah kalau anak kita
dimarahi atau ditegur kesalahannya oleh orang lain. Tetapi peranan ibu bapa itu bukan
sahaja harus dimainkan terhadap anak mereka sendiri semasa di dalam rumah dan di
luar rumah malah terhadap anak-anak jiran, rakan, hingga kepada sesiapa sahaja,
sesuai dengan firman Allah yang terdapat dalam Suratul 'Asr yang sering kita baca, iaitu
berpesan-pesan kepada (melakukan) kebenaran dan berpesan-pesan kepada
(mengamalkan) sifat kesabaran, sebagai bukti kita orang yang beriman dan beramal
soleh, golongan manusia yang beruntung. Manakala manusia yang bersikap sebaliknya
adalah golongan orang yang rugi. 

Sebenarnya agenda mentarbiah anak itu bermula sejak dari proses mencari jodoh,
proses persenyawaan berlaku hinggalah kepada anak itu mampu berdikari bahkan
sehingga anak kita itu dijemput kembali kepada Allah. 

Semasa nak-anak masih dalam lingkungan usia yang belum layak dihantar untuk
mengikuti pendidikan formal dikelas-kelas TADIKA, TABIKA atau TASKI, maka ketika
itu ibu bapa adalah segala-galanya buat mereka. Ibu bapa adalah guru kepada mereka
dalam pendidikan informal dalam institusi keluatga, yang mana anak-anak mendapat
pendidikan dari ibu bapa mereka secara lisanul hal (praktik) dan lisanul maqal (teori)
sebagai ikutan dan contoh teladan kepada mereka. Bahkan sekalipun mereka telah
mendapat pendidikan formal dari guru dalam institusi persekolahan, ibu bapa masih
tetap berperanan sebagai pemegang saham terbesar dalam memainkan peranan
mentarbiah anak-anak mereka. 

Ibu bapa bertanggung jawab meluntur anak-anak mereka sejak mereka masih rebung
supaya senang dibentuk sesuai dengan kecemerlangan yang diidam-idamkan. Kalau
kita gagal meluntur buluh dari rebungnya, maka kita akan berhadapan dengan risiko
yang semakin rumit untuk melenturnya. Dalam hal ini Pepatah Melayu ada
mengingatkan kita "MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" maknanya,
mendidik anak itu biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu
bagaikan kain putih, maka terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorak-warnakannya
mengikut kemahuan mereka. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud :
"Setiap bayi yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu
bapanyalah (yang berperanan) menjadikannya (samada) Yahudi, Nasrani atau Majusi". 

Maknanya kalau anak kita (muslim) berperangai seperti orang (kafir) Yahudi atau
Nasrani atau Majusi, itu adalah bukti kegagalan kita mengislamkan perangai mereka.
Jika anak-anak kita mengagong-agongkan budaya negatif dari barat seperti
"rock","punk" menagih dadah, pergaulan bebas dan lain-lain, itu membuktikan kita
gagal menerapkan ajaran suci Islam dalam diri mereka, mungkin juga dalam diri kita
sendiri. 
 
ANAK-ANAK TERLANJUR MENJADI BULUH, BESI ATAU BATU 
Jika kita terbukti gagal mendidik anak semasa rebungnya, kita sebenarnya
mendedahkan diri kita kepada risiko yang rumit untuk membentuknya. Walau
bagaimanapun peranan kita sebagai ibu bapa masih tetap wajib dilaksanakan. Untuk
melentur buluh kita terpaksa menggunakan api untuk melembutkannya, pun begitu silap
langkah, buluh akan pecah atau patah, jadi kita harus berhati-hati. Perkara ini perlu
kepada kemahiran dan pengalaman serta maklumat yang luas untuk melihat hasilnya
yang memuaskan. 

Kalau anak telah terlanjur menjadi besi, untuk melembutkannya, mencairkannya dan
membentuknya semula menjadi semakin rumit. Kita terpaksa menggungkan api yang
berkuasa tinggi untuk meleburkannya baru dapat membentuknya semula, sekali lagi
kita perlu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang tinggi. 

Kalau anak telah keras menjadi batu, berhati batu, kepala batu, telinga batu, kita
terpaksa melembutkannya dengan menggunakan air atau terpaksa menggunakan
berbagai alat untuk membentuknya, atau kita terpaksa menghancurkannya menjadi
serbuk baru boleh membentuknya semula. Ini sudah tentu lebih rumit, sekali lagi mahu
tidak mahu kita perlu sentiasa menambahkan kemahiran dan pengalaman. 

Kemahiran dan pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan diri kita
dengan segala sifat yang terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan lain-lain. Sifat-sifat ini
juga tidak akan pernah wujud dalam diri kita seandainya kita tidak mahu menginsafi
segala kesalahan, kesilapan, keterlanjuran, pendek kata segala dosa kita. Justeru itu
kita hendaklah memperbanyakkan taubat dan istigfar memohon ampun kepada Allah
SWT kerana kita telah gagal melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan
kepada kita. sambil memohon ampun kita terus melipat-gandakan usaha mentarbiah
diri dan zuriat kita disamping tidak putus-putus berdoa.
 
KENAPA ANAK-ANAK MENJADI DEGIL? 
Ada beberapa faktor yang menjadi penyebab mengapa anak-anak kita bersifat degil
atau lebih dahsyat lagi derhaka. Faktor-faktor ini adalah akibat kegagalan ibu bapa
menunaikan amanah Allah SWT dalam membentuk keperibadian anak. 
 
Faktor Pertama : BALASAN 
Sebenarnya resiko yang kita terima sekarang ini adalah balasan kepada sikap dan sifat
kita terhadap ibu bapa kita semasa kita kecil dahulu. Sudah tentu ibu bapa kita semasa
kecilnya juga bersifat seperti kita (degil/derhaka). Kesalahan ini kait mengait antara kita
dan ibu bapa kita sebagai balasan Allah SWT. Ini ditambah dengan keingkaran anak
menurut kata, juga kesalahan ibu bapa tidak melaksanakan tanggung jawab (amanah
Allah SWT) mendidik anak mengikut kehendak Allah SWT. Jadi kesalahan anak ialah
kerana gagal berbuat baik kepada ibu bapa, manakala ibu bapa pula gagal membentuk
mereka menjadi anak yang mengikut kebaikan. 
 
Anak-anak sepatutnya berbuat baik kepada ibu bapa seperti mana ibu bapa berbuat
baik kepada mereka, mudah-mudahan anak-anak mereka (cucu-cicit ) nanti berbuat
baik kepada mereka sebagai balasan kepada perbuatan baik mereka. Kalau sebaliknya
maka sebaliknyalah pula yang bakal kita terima. Ini jelas disebutkan dalam sebuah
hadis Nabi SAW yang bermaksud :"Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa
kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu". 

Berbuat baik di sini meliputi segala aspek kehidupan dan juga tuntutan agama Islam itu
sendiri. Ini bermakna tidak timbul anak derhaka akibat (balasan) dari ibu bapa yang
derhaka kepada ibu bapa mereka dahulu, seandainya masing-masing mahu berbuat
baik
 
Faktor Kedua : KECUAIAN/KEGAGALAN MENDIDIK 
Anak kita menjadi degil atau derhaka adalah disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan
kita sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh
agama. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Suruhlah anak-anak
kamu mendirikan solat (sembahyang) ketika mereka berumur tujuh tahun dan
pukullah mereka (jika enggan) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan
pisahkanlah tempat tidur mereka (dari ibu bapa dan juga dari adik beradik mereka
yang berlainan jenis/jentina). 
 
Rasulullah SAW menegaskan betapa peri pentingnya ibadat solat didirikan, sehingga
Baginda menyuruh kita mengarahkan anak-anak kita melakukan solat itu semasa
mereka baru berumur tujuh tahun. Suruhan itu begitu tegas sekali apabila Baginda
menyuruh kita menggunakan rotan tatkala anak yang berumur sepuluh tahun enggan
mendirikannya. 
 
SOLAT/SEMBAHYANG?
Kenapa solat atau sembahyang pula dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi
berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat?  
 
Sebagai menjawab pertanyaan ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Solat/sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya
ia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya ia
meruntuhkan agama". 

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-'Ankabuut ayat : 45 yang bermaksud : 
"Bahawa sesungguhnya sembahyang itu (boleh) mencegah (orang yang
mendirikannya) dari  (melakukan) perkara yang keji dan mungkar (jahat)". 

Kedua-dua NAS yang tersebut sudah cukup untuk membuktikan betapa solat atau
sembahyang itu satu perkara yang amat penting dalam arus pendidikan anak-anak ke
arah melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, pewaris kecemerlangan dunia dan
akhirat. Kerana orang yang taat melaksanakan solat itu sentiasa berada dalam
peliharaan Allah SWT. Terpelihara dari dosa, maksiat dan kemungkaran. Bahkan
mereka sentiasa berada di bawah pimpinan Allah SWT kepada sifat taat, taat kepada
ibu bapa, guru, juga kepada Allah SWT dan RasulNya SAW, serta sifat-sifat terpuji
seperti sabar, rajin, tekun dan sebagainya.
 
ROTAN/PUKUL-DERA?
Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang
paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti hadis yang baru kita ikuti
tadi, dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati
rumah yang di dalamnya ada digantung rotan". 
 
Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk
tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang
sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah
dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan
mendera atau menyeksa anak. Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas
kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang
bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan
tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan
yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya. 
 
KITA DAN ROTAN 
Kalau kita di rumah tidakpun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita
tidak dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan
yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk
menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan
diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak
kita jadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara
kerana kesalahan jenayah dan sebagainya. 

Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak
manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan
menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka. 

Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan,
bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap
langkah maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang
menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng.
Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya
anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.
 
TINDAKAN SUSULAN 
Kalau kita telah berjaya membentuk anak-anak kita mengikut acuan cemerlang seperti
yang kita kehendaki sesuai dengan tuntutan agama yang disarankan oleh orang yang
tidak akan bercakap kecuali yang diwahyukan kepadanya iaitu Nabi Muhammad SAW.
Kita tidak harus bergoyang kaki atau berpuas hati. Ini adalah kerana anak kita sudah
tentu akan terjun ke medan juang yang sudah tentu sitausinya lebih mencabar. Bukan
sahaja mencabar kewibawaan ilmu pengetahuannya tetapi yang amat dikhuatiri ialah
gejala yang boleh memesongkan akhlaknya lebih tepat lagi imannya. 
 
Berjuang ditengah-tengah mesyarakat walau apapun arena yang diceburinya, sudah
tentu bergelut dengan berbagai ragam manusia itu sendiri. Apa yang paling merbahaya
ialah pengaruh persekitaran dan rakan sebaya yang rata-rata menjurus ke arah ledakan
budaya negatif, yang bukan sahaja melambai-lambai bahkan kadang-kala
mengheretnya secara paksa. 

Oleh itu kita sebagai ibu bapa tidak harus lalai dan leka dari terus memberi tumpuan
perhatian terhadap segala aktiviti yang diceburi serta terus meneliti perkembangan
anak kita dari masa kesemasa. Jangan biarkan mereka tergelencir, lalu hanyut dibawa
arus nafsu dan syahwat yang dikemudikan oleh syaitan yang durjana. Kita mestilah
terus membuat tindakan susulan yang berkesinabungan dari masa kesemasa, tanpa
mengenal jemu dan bosan, pendek kata tiada istilah 'pencen' bagi ibu bapa selagi
mereka masih menghirup udara Tuhan. 

Ibu bapa hanya akan 'pencen' dan menerima ganjaran dari 'pencen' tersebut apabila
telah kembali 'kerahmatullah'. Ibu bapa akan menerima ganjaran yang setimpal dengan
tugas serta tanggungjawab yang telah mereka laksanakan di dunia. Di dalam 'barzakh'
(alam kubur) mereka akan sentiasa menerima 'dividen' dan 'bonos' yang diperolehi dari
kiriman yang berterusan dari seorang anak yang 'soleh'. Ini jelas disebutkan dalam
sebuah hadis yang bermaksud : 

"Jika mati anak Adam terputuslah segala amalannya (pahalanya) kecuali dari tiga
perkara; Sedekah 'Jariah', ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang
mendoakannya". 

Untuk melihat sesuatu hasil, sudah tentu perlu kepada usaha yang berterusan yang
tidak mengenal penat lelah, bahkan usaha itu dilakukan adalah semata-mata ikhlas
kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Usaha ke arah melahirkan anak yang soleh
adalah tanggungjawab ibu bapa sebagai amanah dari Allah SWT. Oleh kerana ganjaran
yang bakal diterima di alam 'barzakh' (kubur) begitu lumayan sekali, maka usaha untuk
melahirkan anak yang soleh itu sudah tentu berat, rumit dan sukar sekali sesuai dengan
ganjaran yang bakal diterima.
 
ANAK YANG SOLEH 
Untuk mempastikan anak-anak terus soleh dalam hidup dan penghidupannya, sebagai
tindakan susulan yang berterusan maka perkara-perkara berikut mestilah berjalan
seiring sebagai motivasi dan galakan kepada mereka supaya terus kekal dalam
kesolehannya. 

PERANAN KITA SETERUSNYA IALAH: 


1. Memberi semangat.
2. Memberi dorongan.
3. Memberi galakan. 
4. Memberi perangsang. 
5. Mengambil berat. 

Kesemua elemen tersebut hendaklah sentiasa berlaku dengan penuh hikmah dan
bijaksana. Antara kelima-lima elemen tersebut, yang paling penting sekali ialah
"Mengambil Berat". Ini adalah kerana, ramai anak-anak merasa diri mereka tidak
dikasihi, tidak disayangi apabila ibu bapa gagal mengambil berat tentang diri mereka.
Ada dikalangan anak-anak yang semacam sengaja melakukan sesuatu yang tidak
disukai oleh ibu bapa mereka semata-mata menagih simpati dan perhatian dari ibu
bapa mereka yang pada anggapan mereka telah tidak mempedulikan mereka lagi. 

Mereka berharap dengan melakukan satu-satu kesilapan, ibu bapa akan kembali
memberi perhatian terhadap mereka. Perasaan ini selalu wujud dalam jiwa remaja.
Akhirnya mereka akan bertindak membelakangkan ibu bapa dan ketika itu pengaruh
rakan sebaya menjadi alternatif kepada kekosongan jiwa yang mereka rasakan.
Sebenarnya orang yang paling cepat merebut peluang mengisi kekosongan jiwa
mereka ialah "syaitanir Rajim", lalu syaitan dan segala konconya memainkan peranan
proaktif untuk mempastikan mangsanya benar-benar masuk ke dalam jeratnya.
Matlamat yang ingin dicapai oleh syaitan ialah supaya anak itu menjadi derhaka kepada
ibu bapanya, kemudian ia akan terus memujuk anak itu supaya mengikut telunjuknya
sehingga matlamatnya yang terakhir berjaya iaitu menyeret anak itu masuk ke dalam
neraka. 
 
MENGAMBIL BERAT 
Mengambil berat, ambil hirau atau ambil pusing atau ambil peduli sepatutnya menjadi
'rutin' kepada ibu bapa, kerana kalau perkara ini hanya berlaku sekali sekala sahaja
sudah tentu tidak akan mendatangkan kesan yang memuaskan, bahkan mungkin anak-
anak boleh tersalah anggap terhadap tindakan kita yang boleh menimbulkan rasa
jengkel dan meluat dalam diri mereka. Kalau sikap mengambil berat ini menjadi rutin
dalam kemeseraan antara ibu bapa dan anak-anak, sudah tentu anak-anak akan
meresa diri mereka diambil berat diambil pusing, yang ditafsirkan oleh perasaan murni
mereka sebagai kasih dan sayang. 

Perkara-perkara yang sepatutnya diambil berat atau yang patut sentiasa dihiraukan
sebagai rutin antaranya ialah: 
1. Bagaimana dengan peralatan atau kelengkapan, keperluan anak kita? Adakah ianya
mencukupi?Tidakkah anak kita kekurangan apa yang dia perlukan, atau apakah yang
kita sediakan lebih dari mencukupi atau ianya terlalu berlebihan. Kalau ia tidak
mencukupi sudah tentu ia perlu meminjam dari kawan-kawan, ini mungkin akan
mengajar anak kita sifat kurang baik, kerana kalau ia terbiasa meminjam sudah tentu ia
akan mendapat cemuhan dari kawan-kawan. Cemuhan ini akan bertambah serius jika
anak kita dituduh menghilangkan apatah lagi dituduh mencuri. Tetapi kalau yang kita
sediakan terlalu berlebihan, akan lain pula jadinya. Kalau hanya setakat 'spend' kawan
sahaja tidaklah menjadi hal, tetapi apa yang kita takutkan, dia akan membeli benda-
benda yang tidak berfaedah, melalaikan dan merosakkan atau yang kita tidak ingini ia
akan menjadi mangsa peras ugut rakan sebaya. 
 
2. Bagaimana perkembangan anak-anak kita semasa berada di sekolah, atau di tempat
kerjanya, perkembangan prestasinya yang berkaitan dengan akademik dan juga
akhlaknya, atau mutu kerjanya. Adakah kerjayanya kini perlu kita beri pujian atau
insentif?Apakah sebenarnya insentif yang bersesuaian untuk kerjayanya? Tetapi kalau
kita hanya memandang sepi segala kemajuan yang ditunjukkan (dicapai), mereka
mungkin berangapan yang diri mereka tidak lagi diberi perhatian. Inilah perkara yang
patut kita sering ingat dan cuba elakkan dari pernah berlaku. 
 
3. Bagaimana akhlak dan disiplin anak-anak kita dalam bidang yang mereka ceburi?
Kalau difikirkan mereka perlu diberi nasihat, motivasi atau tindakan yang lebih keras
seperti rotan (rotan didikan), kita harus segera bertindak dengan bijaksana dan penuh
hikmah. Kalau kita lambat apatah lagi gagal bertindak sewajarnya, kita akan
menanggung resiko akibat kecuaian kita. Cuba fikirkan apakah pula yang patut kita
ucapkan atau berikan seandainya ia memang terbukti berakhlak baik dan berdisiplin.

4. Kita mesti mengambil tahu hal keadaan anak-anak kita semasa mereka berada di
rumah. Pastikan apapun yang mereka kerjakan adalah yang baik, bermanfaat dan jauh
dari bahaya, samada bahaya pada fizikal mereka mahupun yang boleh membahayakan
mental mereka, yang lebih utama ialah spiritual mereka. Apatah lagi jika mereka keluar
atau di luar rumah. Membiarkan begitu sahaja, terlalu mudah mengizinkan, terlalu
mudah untuk cuba dibohongi, adalah kesilapan besar yang akan membawa padah yang
besar pula nanti. Kesilapan kita ini akan dijadikan ruang kesempatan untuk mereka
mempelajari sifat-sifat negatif yang menjanjikan wujudnya anak derhaka. Jadi
bertindaklah dengan bijaksana dalam mengawasi segala sepak terajang mereka setiap
masa. Kita bukan sahaja berperanan sebagai ibu bapa, tetapi kita juga bertindak
sebagai guru, bahkan sebagai polis atau 'mata-mata gelap' dalam mempastikan anak-
anak kita benar- benar beraksi di atas paksi yang luhur yang dikehendaki oleh lunas-
lunas agama.
 
MEMPERUNTUKKAN MASA
Kesemua apa yang telah dikatakan sebelum ini memerlukan pengorbanan
yang tinggi dari para ibu bapa. Ibu bapa mestilah pandai memperuntukkan
masa yang secukupnya untuk meladeni (melayani) karenah anak-anak.
 
Sekali lagi kita harus bijaksana menguruskan masa kita. Jangan pula kerana
sibuk mengurus anak-anak menyebabkan kita lalai terhadap tanggungjawab
kita kepada tugas yang diamanahkan kepada kita oleh majikan kita, apatah
lagi kalau sampai melalaikan kita terhadap tanggungjawab kita kepada Allah
SWT dan Rasul SAW. Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan kepada
kita dengan firmannya yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari
mengingati (melaksanakan perintah) Allah, kerana barang sesiapa berbuat
demikian maka merekalah orang yang rugi" (Surah Al-Munafiquun Ayat :9)
Dalam hal ini Pepatah Melayu juga ada mengtakan : "Bahawa masa itu
adalah (umpama) emas". Ini menunjukkan masa itu terlalu berharga. Kalau
kita gagal merebutnya maka kita akan rugi. Maka tidak heranlah kenapa Allah
SWT sendiri bersumpah dengan (keutamaan) masa, seperti firmannya yang
bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu nescaya (berada) dalam
kerugian. Kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh
(berlaku baik), dan berpesan-pesan dengan(menlaksanakan) kebenaran,
dan berpesan-pesan dengan (mengamalkan sifat) kesabaran".
(Surah Al-'Asr)
 
BUKTI KEJAYAAN CEMERLANG
Kejayaan cemerlang atas segala usaha kita selama ini hanya akan berjaya
dibuktikan oleh kita sendiri. Kita yang menjadi ketua rumah dapat
membuktikan bahawa kita telah berjaya mengwujudkan 'keluarga bahagia'
dalam rumah tangga kita. Sementara semua penghuni rumah itu dapat
merasakan bahawa rumah yang mereka diami bagaikan syurga yang aman
damai. Semua isi rumah akan mendokong slogan "Rumahku Syurgaku".
Bahkan suasana tersebut juga dapat dihidu keharumannya oleh jiran tetangga
mahupun para tamu yang datang berkunjung, yang tidak pernah diminta
(komen) dari mulut mereka apapun pujian, tetapi bagaikan manis madu
rasanya (mereka membuat komen) mengatakan bahawa suasana yang
mereka rasai di dalam rumah kita bagaikan suasana sebuah syurga. Bahkan
ibu bapa begini juga adalah orang yang memenuhi segala syarat yang perlu
ada kepada ibu atau bapa "mithali", kerana kejayaannya membentuk keluarga
bahagia dan cemerlang.
 
Ibu bapa ini juga kalau dia seorang pekerja yang menjawat apa-apa jawatan
pun, di mana sahaja ia ditugaskan, bila-bila sahaja khidmatnya diperlukan,
akan mempamirkan mutu
(kualiti) kerja yang berprestasi tinggi. Mereka ini berkhidmat dengan segala
sifat-sifat yang terpuji, melaksanakan tugas dengan yang terbaik, bukan
kerana inginkan pujian, amat teliti dalam segala tindakan dengan
mengelakkan segala sifat-sifat yang keji bukan kerana takut kepada (kejian)
caci dan maki dari sesiapapun. Mereka ini terbukti memenuhi segala syarat
yang perlu ada kepada pekerja yang layak dianugerahi "Khidmat Cemerlang",
bahkan majikannya tidak akan teragak-agak untuk mencalonkannya supaya
dinaikkan pangkat atau dikurniai 'darjah-darjah' kebesaran dan lain-lain
insentif.
 
BUKTI KECEMERLANGAN ANAK
Anak yang terdidik oleh ibu bapa cemerlang dengan kaedah-kaedah
cemerlang akan menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, bukan sahaja
cemerlang akademiknya bahkan cemerlang peribadi dan jiwanya dengan
akhlak yang mulia.
Walau apa bidang kerjaya yang diceburinya, dia tetap cemerlang. Sasaran
utamanya adalah perkhidmatan yang terbaik, matlamatnya adalah
kecemerlangan diri dan majikannya, bahkan kecemerlangan agamanya dapat
dilihat dari mutu kerjanya yang sentiasa maju. Anak-anak ini tidak akan
mudah dikelabui (dirasuah) dengan wang ringgit yang mungkin akan
ditumbukkan kerusuknya. Ia sentiasa merasa diawasi oleh mata yang boleh
melihat dalam keadaan terang mahupun gelap, yang nyata mahupun yang
tersembunyi, DIA (Allah SWT) yang mewakilkan dua malaikat "Kiraman
Katibin" yang tidak pernah lalai dari mencatat segala apa yang ia (juga kita
semua) lakukan. Begitulah kuat imanya terhadap setiap rukun iman (yang
enam) itu sendiri, sebagai bukti kecemerlangan dirinya.
 
Mereka ini menjalankan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan
kepadanya dengan penuh kometmen, iltizam dan istiqamah, tanpa mengira
masa dan tidak tertakluk kepada nilai upah atau gaji yang diterima, bahkan
merasakan bahawa gaji yang diterimanya dari majikan bukanlah satu
keutamaan yang boleh merampas keutamaan sifat ikhlas yang menjadi
sifatnya yang paling utama dalam mencari keridaan Allah SWT.
 
KESIMPULAN
Seandainya apa yang disarankan melalui catatan ini dapat dipraktikkan
sendiri oleh ibu bapa, samada untuk pakaian sendiri atau untuk diterapkan
dalam agenda mentarbiah anak-anak dari masa kesemasa dengan penuh
tanggungjawab dan bijaksana serta niat yang ikhlas, maka usaha yang murni
(artikel) ini sudah tentu dapat membantu mengwujudkan generasi berilmu dan
berakhlak ke arah kecemerlangan (hidup) di dunia dan juga di akhirat nanti.
Maka semua ini terpulanglah kepada ibu bapa itu sendiri samada mahu
mencuba dengan usaha yang bersungguh-sungguh ataupun mahu terus
mencuba teori-teori yang cuba diketengahkan oleh musuh-musuh Islam yang
kadang-kala bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh agama kita yang
maha suci.
 
Perlu diingat, bahawa kita sebenarnya bukanlah gagal dalam mentarbiah
anak-anak kita, tetapi sebenarnya yang gagal adalah percubaan kita yang
mungkin sebelum ini terdapat cacat- cela di sana sini. Oleh itu kita hendaklah
berani untuk terus mencuba. Jangan sekali-kali kita gagal untuk meneruskan
percubaan demi percubaan disamping terus bertawakkal dan bermohon doa
kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan kecekalan kita itu akan
dimakbulkan oleh Allah SWT juga akhirnya Insya Allahu Ta'ala Amin ya
Rabbal 'alamin.
 
Wallahu a'alamu bissowab.
Selamat mencuba dan selamat berjaya.
Wassalam!

AZHARI(S)
30JUN 2000
 
 
Halaman Utama |Informasi Gayong  | Artikel | Aktiviti | Maklumat Ahli | Album

 
 

Anda mungkin juga menyukai