Anda di halaman 1dari 9

Kurikulum Kebangsaan

“... suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi
semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu
perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta
untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan
pengetahuan”

Akta Pendidikan 1996


[Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997]

Falsafah Pendidikan

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepadaTuhan. Usaha
ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara.

KENYATAAN LAJNAH PENDIDIKAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT


"ISU PEMANSUHAN UPSR & PMR : JANGAN SEPERTI TIKUS MEMBAIKI LABU"

Cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan perlu
diteliti dan dikaji dengan penuh berhati-hati agar masa depan generasi pewaris masa depan negara tidak
diperjudikan sekali lagi sebagaimana gagalnya pelaksanaan PPSMI yang kini  lebih dilihat membazirkan
duit rakyat serta meminggirkan pelajar luar bandar. Ungkapan peribahasa Melayu 'seperti tikus
membaiki labu' haruslah dijadikan panduan agar kerosakan sistem pendidikan yang berlaku pada hari ini
tidak semakin bercelaru hanya kerana tindakan yang terburu-buru tanpa kajian yang teliti dan
diperhalusi secara mendalam.

Mungkin rakyat masih ingat lagi tentang dasar PPSMI yang semakin melebarkan jurang pendidikan
antara pelajar luar bandar dan di bandar. Sebenarnya, saya selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS
Pusat semakin bimbang kerana, ura-ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan menjelang 2011 seolah-
olah dilihat hanyalah 'gula-gula' yang diumpan kepada anak-anak kecil walhal pada hakikatnya
pemansuhan secara berperingkat dengan alasan 'soft landing' akan memakan masa yang lama.
Selepas ini,kita tidak mahu lagi melihat sistem pendidikan yang bercelaru dan pelbagai projek
dilaksanakan atas nama dan slogan 'pendidikan anak bangsa' dilaburkan dengan begitu mudah tanpa
kajian teliti. Akhirnya, implikasi yang diterima kesan daripada transformasi sistem pendidikan dilihat
hanya lebih kepada 'retorik' semata- mata dan 'indah khabar dari rupa'. Implikasinya, guru dan pelajar
menjadi mangsa 'eksperimen' pendidikan yang bercelaru.

Memang diakui, sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini  tidak mementingkan nilai pembangunan
rohani dan sahsiah serta akhlak yang tinggi sebaliknya lebih berorientasikan 'peperiksaan' atau 'exam
oriented' semata-mata. Mata pelajaran Pendidikan Islam pula tidak dimasukkan dalam subjek UPSR
sedangkan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, pelajar  boleh mengambil lebih dari 5
matapelajaran. Persoalannya, apa salahnya jika pelajar Melayu Islam diwajibkan mengambil mata
pelajaran Pendidikan Islam sebagai syarat wajib dalam UPSR? Bukankah dengan cara ini, penerapan nilai
sahsiah yang tinggi sebagai individu muslim dapat diterjemahkan melalui perlakuan amalan  dan
tindakan apabila isi kandungan matapelajaran Pendidikan Islam dihayati oleh setiap pelajar?

Sesungguhnya,cabaran sistem pendidikan semasa  dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan
pelajar pada hari ini memerlukan penelitian yang rapi dan penuh berhati-hati apabila mahu mengubal
sistem pendidikan yang ada pada masa kini. Masalah sosial yang sedang melanda sangat
membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat. Kes jenayah,zina, isu buang bayi, sumbang
mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat
mendukacitakan.

Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melihat seolah-olah suatu keruntuhan nilai yang amat
dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan tersergam indah dan
bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jatidiri generasi pewaris
masa hadapan bergelar 'pelajar' yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara 
kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya sistem pendidikan yang holistik dan bersepadu merangkumi
penerapan nilai-nilai murni merupakan  wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan
negara yang semakin meruncing.

Sesungguhnya, 'Guru' adalah 'agen' perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu
berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai 'kemerdekaan' tanahair.
Gurulah yang membentuk 'jiwa dan minda merdeka' dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan
masyarakat suatu ketika dahulu. Justeru, Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat  menyeru
kepada golongan pendidik dan pakar pendidikan  di seluruh negara agar 'berani' membuat anjakan
paradigma demi melihat sistem pendidikan negara dan masa  depan pelajar yang bakal menjadi pewaris
kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.
Menyedari bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang yang digubal suatu ketika dahulu kini
semakin tersasar jauh dari konsep JERI (Jasmani, Emosi, Rohani,Intelek), saya selaku Pengerusi Lajnah
Pendidikan PAS Pusat  menyeru ahli akademik dan tokoh pendidikan tanahair agar berani  menyuarakan
pendapat melalui 'lisan dan mata pena' demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi
lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas. Persidangan Meja Bulat yang akan berlangsung pada 17
Julai  dan 27 Julai ini sangat penting agar masa depan pelajar tidak 'terkorban' sekali lagi di tangan
golongan 'pembuat dasar' di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia sedangkan dalam masa yang
sama golongan 'pelaksana dasar' yang mewakili lebih daripada 360,000 pendidik di seluruh Malaysia
menjadi  mangsa transformasi sistem pendidikan yang bercelaru. Cukuplah isu pemansuhan
matapelajaran Jawi suatu ketika dulu yang akhirnya menyebabkan ramai pelajar Melayu Islam 'buta Al-
Quran' dan tidak 'celik Tulisan Jawi'. Begitu juga dengan Dasar PPSMI yang telah bermula pada tahun
2003 yang belum dimansuhkan hingga kini.

Sebenarnya, apa yang diharapkan dari golongan pendidik ialah aspek pembangunan rohani dan
pemantapan spiritual  yang tidak dikesampingkan demi mendepani cabaran pendidikan semasa dalam
era globalisasi masa kini.Pemansuhan UPSR misalnya, haruslah diganti dengan suatu sistem pentaksiran
yang lebih efektif dan efisyen dengan memasukkan unsur EQ ( Emotional Quationt), IQ (Inteligent
Quotiont) dan SQ (Spiritual Quationt) di samping tidak meminggirkan penghayatan dan amalan ilmu
yang lebih praktikal untuk diadaptasi dalam kehidupan pada masa akan datang seperti unsur kemahiran
hidup,unsur nilai keusahawanan dan sifat berdikari dalam diri.

Di samping itu, pemilihan pelajar ke asrama penuh selepas peperiksaan UPSR sebelum ini pula perlu
diganti dengan sistem penilaian yang lebih holistik, bukan sahaja berdasarkan keputusan akademik dan
bilangan 'A' semata-mata sebaliknya merangkumi aspek ko-kurikulum dan aspek sahsiah diri agar
kemasukan pelajar terpilih ke asrama penuh tidak mengundang masalah disiplin kemudian hari. Kita
tidak mahu melahirkan generasi yang hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, tetapi
hilang jatidiri dan nilai murni dalam diri seperti terdedah kepada kes buli yang akhirnya mengakibatkan
nyawa pelajar lain melayang.

Isu kematian pelajar yang bernama Muhammad Naim Mustakim Bin Mohd. Sobri akibat dibuli pada 26
Jun yang lalu, daripada Maktab Tentera Diraja baru–baru ini menggemparkan dunia pendidikan negara
kerana tidak menyangka kes seperti ini boleh berlaku di sekolah yang terbaik dan dari kalangan pelajar
yang cemerlang akademiknya.

Sudah pasti senario seperti ini akan menghakis kepercayaan ibu bapa dan orang ramai terhadap integriti
dan kredibiliti institusi sekolah yang berkenaan.Bukan sahaja imej sekolah tercemar malahan nyawa
pelajar yang tidak bersalah menjadi korban gara- gara sikap segelintir pelajar yang bermasalah dan tidak
bertanggungjawab. Sudah pasti ibu bapa pelajar mangsa yang terkorban berasa sangat kecewa kerana
mereka mengharapkan anak yang dihantar belajar di sekolah terpilih dan tersohor akan menjadi insan
yang berguna dan berbakti kepada negara tetapi malangnya pulang kepangkuan keluarga dalam
keadaan telah menjadi mayat dan terbujur kaku serta tidak akan kembali lagi bersama mereka. Kes
seperti ini, harus menjadi pengajaran penting untuk diperhalusi oleh pihak kementerian agar perkara
seperti ini tidak berulang lagi.

Manakala, pemansuhan PMR pula memerlukan rasional yang wajar agar diterima baik oleh golongan
pendidik, tokoh pendidikan,golongan ahli akademik,ibu bapa dan pelajar agar mereka tidak merasakan
bahawa pemansuhan PMR ini hanya ’menggadai’ masa depan anak bangsa semata- mata.Tuntasnya,
transformasi sistem pendidikan ini tidak boleh dilaksanakan secara terburu- buru sebaliknya
memerlukan kajian yang cukup teliti dan ’dimurnikan’ secara berperingkat.

Sekali lagi, saya selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat ingin membuat
penegasan bahawa kajian teliti perlu dibuat dengan mengambilkira aspek yang telah disebutkan di atas
selain mewujudkan suatu sistem pentaksiran pelajar yang lebih holistik jika pemansuhan UPSR dan PMR
mahu dilaksanakan.

Kalau perlu, bukan setakat Persidangan Meja Bulat pada 17 Julai  dan 27 Julai ini, malahan 'sesi
pendengaran awam' juga amat penting dan perlu diadakan agar rakyat berpeluang menyuarakan
pandangan dan pendapat demi melihat kelangsungan  sistem pendidikan negara lebih konsisten dan
terarah serta memiliki halatuju yang jelas.
Isu Pemansuhan UPSR Dan PMR

Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu
peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan itu
kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan
peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai
keterampilan tinggi gagal dicapai.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus
peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat
sekolah saja.

Jika terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut
ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada
peringkat sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem pendidikan
dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah.

Beliau berkata, pada masa ini, sistem pendidikan yang terlalu cenderung dengan peperiksaan
menyebabkan guru terlalu fokus untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan dan pelajar terlalu
menumpukan usaha untuk cemerlang dalam peperiksaan awal saja.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pihaknya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan


memansuhkan peperiksaan itu kerana perlu mengkaji implikasi lain selain mengalu-alukan pandangan
semua pihak termasuk warga pendidik, pelajar dan masyarakat.

Katanya, kajian pihaknya juga mendapati ada negara lain yang tidak mempunyai banyak peperiksaan
seperti di Malaysia, malah ada sesetengah negara yang hanya mempunyai satu peperiksaan saja pada
peringkat sekolah.

Beliau berkata, pengurangan peperiksaan di peringkat sekolah itu membolehkan pelajar mempunyai
banyak masa untuk menumpukan kepada mata pelajaran tertentu dan kegiatan sukan, sekali gus
memberi kesan positif kepada keseluruhan cara pendidikan pelajaran.

sumber : Utusan Malaysia


Sesi Meja Bulat Bincang Cadangan Mansuh UPSR Dan PMR

Kementerian Pelajaran akan mengadakan sesi meja bulat bagi membincangkan secara mendalam
maklumbalas terhadap cadangannya memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua pihak berkepentingan akan
dipelawa mengambil bahagian dalam sesi itu untuk memberi pandangan masing-masing.

Beliau yang berterima kasih kepada saranan-saranan yang diberikan pelbagai pihak terhadap cadangan
itu melalui media massa, meminta agar perdebatan mengenai cadangan itu dihentikan bagi memberi
peluang kepada kementerian itu meneliti segala pandangan yang telah dikemukakan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata seluruh pimpinan pendidikan negara telah
menunjukkan minat besar terhadap perkara itu dan majoriti respons yang diterima bersetuju dengan
cadangan itu, walaupun ada sebahagiannya mencadangkan supaya sistem peperiksaan itu hanya
ditambah baik dalam bentuk penilaian.

Katanya lagi ada yang berpendapat yang penting bukan peperiksaan tapi setiap pelajar perlu dinilai
prestasi mereka setiap tahun, sama ada dalam bentuk peperiksaan awam atau berasaskan sekolah.
Dalam sistem persekolahan sekarang sudah ada penilaian dibuat secara berkala, tiga bulan sekali dan
ada yang setiap bulan tetapi kerana sistem itu menjurus kepada peperiksaan, sebahagian besar
mengarah kepada nak mendapat keputusan terbaik.

Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan
memansuhkan UPSR dan PMR di masa hadapan kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih
berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat
dilakukan sepenuhnya.

Antara kemungkinan yang sedang dikaji ialah UPSR dan PMR akan hanya diteruskan sebagai penilaian
pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Pada masa yang sama beliau meminta semua pihak memberi pandangan terhadap cadangan itu.

sumber : BERNAMA

Pemansuhan UPSR Dan PMR Tidak Jejas Kemasukan Pelajar MRSM

Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika
dilaksanakan, tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana
pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini melibatkan ujian khas manakala
pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Jun lepas
berkata dua peperiksaan itu mungkin dimansuhkan kerana pembelajaran ketika ini dilihat lebih
berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama memberi pendidikan holistik tidak dapat
dilaksanakan sepenuhnya.

MRSM mengambil kira-kira 9,000 pelajar baru setiap tahun.

sumber : BERNAMA

Mansuh UPSR, PMR: Kerajaan Diminta Buat Kajian Teliti

Kerajaan diminta membuat kajian secara terperinci dan mendapatkan pandangan daripada pihak yang
berkepentingan sebelum memansuhkan peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR) dan Penilaiaan Menengah Rendah (PMR).

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr
Mohamad Ali Hassan berkata Kementerian Pelajaran perlu memastikan bahawa pelajar di sekolah
rendah mahir dalam 3M (membaca, menulis dan mengira) sebelum memansuhkan dua peperiksaan
awam berkenaan.

Beliau menyokong langkah kerajaan mahu menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR. Namun
kementerian perlu pastikan 100 peratus pelajar di peringkat sekolah rendah menguasai kemahiran 3M
ini, selepas itu barulah kerajaan boleh mansuhkan dua peperiksaan awam yang dilihat berorientasikan
peperiksaan semata-mata.

Pelajar perlu didedahkan dengan kemahiran seperti membuat kerja kursus yang mampu merangsang
minda kerana ia secara tidak langsung mampu melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan inovasi,
tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang membayangkan bahawa KPM mungkin akan memansuhkan UPSR dan PMR dan
mengekalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebagai peperiksaan awam tunggal pada masa
hadapan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dilaporkan berkata kerajaan melihat ada kewajaran untuk
berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan
sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian
pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam. Katanya pihak
kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan
daripada semua pihak mengenainya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Mohamad Ali berkata, sekiranya perkara itu dilaksanakan kementerian
perlu mengadakan ujian penilaian yang setanding dengan peperiksaan awam itu bagi menilai
pencapaian pelajar di peringkat sekolah.

Beliau berkata dengan mengaplikasikan kaedah itu, ia secara tidak langsung dapat menilai secara
menyeluruh sama ada seseorang pelajar itu mampu mengaplikasi apa yang dipelajarinya di sekolah.

Sementara itu, Bernama melaporkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Jais Abdul Karim
berkata langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan pelajar
yang lebih fokus dan tenang.

Pemansuhan itu juga katanya akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar secara
lebih berkesan dan tidak terikat dengan jadual peperiksaan. Bagaimanapun katanya, pada masa yang
sama kementerian wajar mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk mengukur pencapaian pelajar.

Bagi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata
pemansuhan PMR wajar di laksana memandangkan peranan peperiksaan tingkatan tiga itu hanya untuk
menentukan aliran yang akan diikuti mereka ketika tingkatan empat.

Pegawai Perhubungan Pesatuan Bekas Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Abdul Karim Abdullah pula
berkata pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar dan guru menumpukan
perhatian kepada kegiatan kokurikulum dan sukan.

Sebelum ini mereka anggap kegiatan sukan dan kokurikulum mengganggu masa pembelajaran kerana
pelajar harus bersedia hadapi peperiksaan, tetapi apabila peperiksaan dimansuhkan kelak pelajar akan
ada lebih masa untuk fokus kepada kegiatan kokurikulum dan sukan, katanya.

sumber : http://mstar.com.my

Keningau: Ibu Bapa Pedalaman Setuju Mansuh UPSR, PMR

KENINGAU: Rata-rata ibu bapa di kawasan pedalaman bersetuju terhadap cadangan pemansuhan, Ujian
Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), tetapi menegaskan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) masih diperlukan.
Pendapat Orang Awam

1. “Dengan ketiadaan UPSR dan PMR, isu pelajar ‘gagal’ tidak akan timbul,”
– Masdir Hussien, 52

2.  “UPSR dan PMR tidak sesuai untuk dijadikan penanda ukur kebolehan seorang pelajar dan
pemansuhan itu merupakan satu penstrukturan baru dalam sistem pelajaran di negara ini”
 -  Pengerusi PIBG, Mohd Khairil Abdullah, 40

3.  “Jika ini berlaku, negara akan menghadapi tekanan ramai pelajar menamatkan persekolahan di
peringkat awal,” jelas seorang bapa
– Idris Mohd Tahir, 60.

4.  “Kerajaan telah meneliti satu kaedah terbaik dalam proses penambahbaikan sistem pelajaran di
negara ini, dengan memansuhkan dua kekangan besar terhadap pelajar dan ibu bapa”
- Harry Gitik, 47

sumber : http://www.keningaukini.com

Anda mungkin juga menyukai