Anda di halaman 1dari 3

4 Bidang PSV KBSR

Kandungan Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun dalam empat
bidang kegiatan iaitu:
1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional
Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara aktif, interaksi
yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual serta menghargai nilai
baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.

1. Menggambar
Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan
murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan
teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Antara kegiatan
dalam bidang ini ialah:
1.1 Lukisan
1.2 Catan
1.3 Kolaj
1.4 Montaj
1.5 Cetakan
1.6 Resis
1.7 Gosokan
1.8 Stensilan
1.9 Percikan
1.10 Gurisan
1.11 Capan
1.12 Mozek
1.13 Poster
Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan
menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan
kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan
teknik dalam proses rekaan. Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus
kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan
kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan
membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa yang dilakukan
melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran.
Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan,
nyanyian dan cerita.

2. Membuat Corak dan Rekaan


Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk
menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan
tersebut boleh juga dipadankan kepada mana mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti
binaan, kraf dan sebagainya.
Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan seperti:
2.1 Corak tidak terancang secara:
2.1.1 Pualaman
2.1.2 Tiupan
2.1.3 Titisan
2.1.4 Ikatan dan celupan
2.1.5 Renjisan dan percikan

2.2 Corak terancang secara:


2.2.1 Lukisan
2.2.2 Catan
2.2.3 Cetakan
2.2.4 Capan
2.2.5 Lipatan dan guntingan
2.2.6 Resis
2.2.7 Kolaj
2.2.8 Kaligrafi
Bidang ini membolehkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan
kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk
menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat
rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik
tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini
boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.

3. Membentuk dan Membuat Binaan


Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi
bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan aspek tersebut murid dapat
memahami dengan lebih jelas bila mereka membentuk dan membina sesuatu model. Bidang
kegiatan membentuk dan membuat binaan juga mendedahkan murid dengan penggunaan
pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi
secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan seni. Bidang
kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti:
3.1 Arca timbul
3.2 Asemblaj
3.3 Mobail
3.4 Stabail
3.5 Model
3.6 Diorama
3.7 Boneka
3.8 Topeng
3.9 Origami

Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid membuat rujukan
kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi kesedaran bahawa idea dan kreativiti
mempunyai fungsi dan makna. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses
pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi,
lakonan, nyanyian dan cerita.

4. Mengenal Kraf Tradisional


Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang melibatkan
kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi turun-
temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti:
4.1 Alat domestik
4.2 Alat permainan
4.3 Alat pertahanan diri
4.4 Perhiasan diri (ornamen)
4.5 Batik
4.6 Tekat
4.7 Ukiran
4.8 Tenunan
4.9 Anyaman
4.10 Tembikar
Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam budaya
tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan teknik membuat, alat
dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses
pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh
bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara
seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

Anda mungkin juga menyukai