Anda di halaman 1dari 4

10 PETANDA DIA JODOH KITA..

Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan
menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi
bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT
mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk
berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang
ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang
dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila
bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara
satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk
bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia
berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia
spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa
dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang
dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka
dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun
tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang,
gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang
sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin
berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit
kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu
perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak
mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia
tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung.
Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak
perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama.
Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh
dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran
bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran
menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar
baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin
hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan
membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya
dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin
memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang
berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati
nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada
kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun
kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui
kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang
panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu
memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan
tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini
dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya
tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting
kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama,
sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab
seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita
sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita
mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi
pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang
gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami
pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula
suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa
bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah
calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

 
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan
yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan
keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu
menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan
senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah,
dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun
tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada
melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-
masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat
mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita
dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran
antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu.
Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia
ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya
pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di
pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam
memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati.
Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan
memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita
mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak,
tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan
kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan
terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah
kekal selamanya.

Anda mungkin juga menyukai