Jika sebelum ini, mungkin ada di antara anak-anak ini yang bersifat
introvert dan kurang keyakinan diri, kini, setelah setahun berlalu, tuan-tuan
dan puan-puan sendiri dapat melihat perubahan sikap yang sangat ketara
dan positif. Murid-murid ini telah menyertai pelbagai jenis pertandingan
seperti olahraga, tarian, nyanyian, bercerita dan sebagainya. Ada yang
bakal kita saksikan bakatnya untuk menghiburkan kita pada pagi ini. Semua
pertandingan dan aktiviti ini bukan sahaja bertujuan untuk mencari
pemenangnya semata-mata, tetapi lebih berorientasikan pembinaan self-
esteem atau keyakinan diri sewaktu berhadapan dengan situasi yang
mendebarkan atau terpaksa berhadapan di hadapan khalayak. Di kalangan
kita sendiri pun ada yang masih terketar-ketar untuk bercakap di hadapan
umum, tetapi murid-murid ini berjaya menampilkan persembahan yang
menarik dan bersahaja walaupun bertubuh kecil molek. Pelbagai
pencapaian telah digapai dan dicipta, sama ada pada peringkat sekolah,
zon, daerah, negeri, hatta ada di antara mereka yang telah mengharumkan
nama negeri Johor di peringkat kebangsaan. Namun, itu semua tidak
datang bergolek.
Adalah amat penting agar anak-anak ini belajar untuk bekerja dalam
satu pasukan tanpa mengira warna kulit dan agama sewaktu mereka masih
mentah lagi. Ini supaya amalan ini menjadi kebiasaan sehinggalah mereka
dewasa kelak. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Interaksi interpersonal yang diterapkan sewaktu mereka belajar,
bukan sahaja di antara murid dengan guru, atau murid dengan bahan
pembelajaran, tetapi yang lebih penting, interaksi sesama mereka sendiri.
Adab dan tatacara sewaktu berinteraksi dan berkomunikasi turut sama
diutamakan dan mereka dididik agar dapat berhubung sesama manusia
dalam suasana yang aman, beradab dan berkemanusiaan.
Tidak lupa juga kepada semua pihak, sama ada terlibat secara
langsung atau tidak langsung, daripada jawatankuasa penyediaan makanan,
sehinggalah jawatankuasa teknikal, bagi memastikan majlis yang penuh
bermakna ini menjadi lebih bermakna. Jasa tuan-tuan dan puan-puan
semua hanya Allah yang dapat membalasnya.
Hadirin sekalian,
Dengan kata-kata akhir itu tadi, saya dengan sukacitanya dan dengan lafaz
yang mulia Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Majlis Konvokesyen
Prasekolah Daerah Pasir Gudang Tahun 2010.
Sekian,
Wabillahitaufiq wal hidayah,
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.