Anda di halaman 1dari 9

Cerpen

SYARAH PERANG YANG TERPINGGIR


Oleh Serunai Faqir

MALAM bertasbih larut hingga ke dinihari. Bulan telah lama bangkit menari dari

pentas muramnya. Terpental dari kilas kilau bayang mentari, cahayanya mewah

berpesta di dada langit. Lalu berpawailah segala makhluk dan unggas

menyambut kedatangan malam. Semuanya ingin mengoyak rahsia yang

membaluti jasad kegelapan ini. Suara gendang dan tabuh alam tingkah-

meningkah memeriahkan lagi pesta mujahadah yang kian memuncak. Dalam

asyik tarian sama’, perlahan suara dan irama tenggelam dalam satu dan

menyatu dalam sebuah pertemuan yang kudus.

Argh ...

Khalif terjaga dari lenanya yang singkat. Mimpi kudusnya itu terlalu cepat

berpamitan, seperti selalu. Purnama culas sekali untuk muncul. Yang ada gelap

cuma. Tidak seperti malam yang lepas, cahaya menyirami pandangan. Kini

semuanya telah gelap, pekat dan likat. Tubuhnya pula seakan kaku, tiada ruang

untuk berkutik dan bernafas walaupun sesaat. Rengkungnya tidak lagi

mengalirkan dingin udara segar yang biasa ditogoknya. Hanya keliar mata

menabrak rona kehitaman yang merajai suasana. Pohon akalnya bagaikan tidak

1
berbuah, fikirnya renyuk dan renta digilis buntu. Barangkali zat mindanya masih

terarah pada peristiwa yang menggurat hatinya siang tadi.

Namun, raungan mortar dan kecumik peluru telah usai ditelan malam

yang tenang, tenang untuk seketika, fikir Khalif.

Khalif meletakkan pandangan ke tubuh rakannya yang longlai dibaham

kepenatan. Siang telah merakam saat-saat ketakutan yang menerkam dari

belikat langit yang menyiramkan hujan api. Khalif beristigfar panjang, syukur

masih diberi peluang untuk memungut sisa-sisa kedamaian malam yang entah

bila akan berakhirnya. Dicubanya untuk menggerak-gerakkan jari telunjuk, dalam

kepayahan meski. Ah, masih mampu untuk memetik picu. Tandanya masih

mampu bergerak untuk berjuang di atas landasan jihad fi sabilillah.

“Tidak boleh tidur?” Tiba-tiba rakannya menegur.

Spontan Khalif menoleh. “Alam ... kau juga begitu?”

“Apakah siang tidak cukup buas untuk menganyang tenagamu dengan

keletihan, teman?”

Dicelah-celah itu, suara dengkur dan alam saling sahut-menyahut, bagai

seia sekata membenarkan perkataan Alam – teramat letih. Berlari ke sana-sini,

susup-sasap, bergolek dan ada pula yang tergolek diuliti peluru penjajah

Amerika. Nafas Fallujah bagaikan sesak ditujah asap-asap hitam. Raung pekik

dan tangis marhaen bumi aulia menyerak dan bergema ke segenap penjuru

alam – tanda kemanusiaan telah terbunuh dan santun pun terkubur tanpa

pembelaan. Derai kokok ayam di PBB tidak mampu lagi memanggil pagi yang

2
makmur, hanya tinggal taji tidak terasahkan lagi. Resolusi hanya tinggal teori.

Dan teori itu adalah mimpi ngeri kami!

Khalif tenggelam dalam pertanyaan rakannya dan bulan yang pucat

segara muncul.

“Perjuangan ini perlu istiqamah. Dan ia tidak pernah mengenal waktu.

Siang atau malam bagaikan tidak bersempadan, Alam. Detik yang berputar

sudah lama mati di sini! Dan letih ... adalah makanan aku, makanan kau ...

makanan kita semua. Ia telah mengenyangkan seorang aku dengan keinsafan,

teman. Selagi ...”

Khalif menghela nafas. Berat sekali. “... selagi ada nyawa perjuangan ini

mesti diteruskan. Biar insaf mengingatkan bumi Aulia ini kenapa harus

berpenasaran dan tidak berperasaan. Apakah tanah ini telah kemarau dari titis

kasih dan sekelumit belas Tuhan yang Akbar?”

Alam membiarkan pejuang itu melepaskan ketul-ketul gusar yang

terpemanai di hatinya. Pejuang yang telah berdiri untuk menegakkan panji-panji

keadilan di bumi yang terhimpun 200 buah masjid yang telah menjadi saksi pada

pengebumian hak asasi manusia. Pusaranya entah di mana. Dia sendiri tidak

pasti dimanakah nisannya tertegak.

Biar slogan gila Amerika – ‘Mereka Itu Pengganas!’ berangkat dan

mendarat ke seluruh pendengaran jagat. Namun, siapakah yang lebih ganas dan

siapakah pengganas yang sebenarnya? tukas Alam.

3
Perlahan Khalif merapati Alam, lalu berbisik padanya. “Perjuangan kita

sebenarnya adalah untuk menilai diri. Apakah kita tegar untuk bertahan di sini

demi Fallujah dan Iraq? Apakah perkebunan yakin masih subur dengan buah-

buah iman.”

Jeda memanggung waktu. Ada bisik purba yang menyungai di batas sepi.

“Masihkah lagi pesan Junaid, Syibli dan Hurairi menyebati di jiwa?”

Alam bangun, membetulkan duduknya. “Apa maksudmu?”

Sekujur itu resah menziarahinya. Khalif diam.

Sambil bertopang pada AK-47 yang berdebu, dia bingkas duduk. Pasir

dan debu yang merayapi senjatanya dibiarkan. Malah tubuhnya yang berdebu

dan digayuti oleh pasir itu juga dibiarkan. Biar ia menjadi saksi pabila merah

darah mengguyuri tubuhnya kelak. Biar ia bermadah di depan Tuhan bahawa

agama-Nya masih lagi dipertahankan di bumi ini.

“Apa maksudmu?” Ulangi Alam. Bundar matanya menujah lensa khalif,

meski dalam samar-samar cahaya dia masih mampu menyeluruhi wajah

temannya itu.

“Kau sudah lupa pesan Amru bin Osman Al-Makki, salah seorang guru

kepada Sheikh Junaid Al-Bagdadi. Suatu hari beliau menulis sepucuk surat

kepada Sheikh Junaid, Syubli dan Hurairi yang berbunyi : ‘Orang yang berani

masuk ke dalam jalan ini ialah orang yang telah menempuh 2000 batang sungai

yang amat deras airnya dan 2000 buah gunung api sebelum ia mencapai "kenal

diri”. Barangsiapa yang tidak berani menghadapi percubaan itu, maka jangan

4
cuba mengatakan(mendakwa) dirinya sebagai orang yang mencari Makrifat

Allah’.

“Err, aku tidak ingat Khalif. Lalu apa jawab mereka?” Balas Alam sedikit

gagap.

“Sheikh Junaid berkata bahawa dia hanya telah menempuh satu halangan

sahaja. Hurairi pula berkata beliau hanya baru berjalan tiga langkah sahaja dan

Syubli pula dengan tawadduk menyatakan mereka berdua beruntung juga

kerana dia tidak termasuk pun ke dalam salah satu daripada keadaan-keadaan

tersebut. Lalu kita bagaimana? Termasukkah dalam golongan itu Alam, saat-saat

nyawa menggelitar memohon ehsan Allah? Kita ... jauh sekali untuk

menghampiri mereka.”

Sepi menerajui alam yang dijaluri sedikit cahaya purnama. Unggas dan

hidupan telah lama menyepi, semuanya terkaku di bawah timbunan pasir dan

cerai-cerai tubuh manusia yang berselerakan. Dengkur temannya semakin

meninggi dikala malam kian dewasa. Ada getar semangat membumbui

dengkuran mereka. Sesekali jerit pedih dan semangat melompat dari nafas yang

kian meninggi, bagai ada sesuatu yang tersekat dan bersedia untuk

melepaskannya.

Ketika itu masing-masing ghairah berpelukan dengan senjata yang setia

berkhidmat demi untuk agama. Tiada lagi rengkuh panas sang isteri yang bisa

melenakan diri. Yang ada, hanya terik haba syahid yang menggulati. Dan tiada

5
lagi tari sama’ yang mengiringi mimpi-mimpi, yang tinggal hanya mimpi-mimpi

ngeri.

Ah, bilakah mimpi itu akan melewati kamar peraduanku, bisik Khalif.

Mimpi yang indah. Mimpi yang bahagia dan tidak sia-sia.

“Maka itu, Tuhan tidak menjadikan perang ini percuma, penuh dengan

hikmah dan tersirat dengan rahmah. Sakinahnya seorang pejuang itu adalah

apabila matinya lolos tanpa dihisab. Untuk itu, perang yang sekian lama

terpinggir itu harus dimulakan sekali lagi. Mesti!”

“Tapi inilah perangnya Khalif. Demi melepaskan geruh yang menjerat

nusa, bangsa dan agama. Perang suci ini harus diwajari bersama. Ketika Bush

dan Blair menggerogoti saat-saat ketenangan yang bermukim di sini, kita bangun

– Sunni dan Syiah saling menyatukan peluit perjuangan yang senada dan

seirama. Kita bersatu Khalif, kita bersatu untuk kasad yang tekad.” Nadanya

meninggi. Ada baur semangat dan emosi menyelangi.

“Lalu kenapa tanah kelahiran Sayyidul Syeikh Abdul Kadir Jelani masih

mengandung penjarah-penjarah yang menyembelih rusanya sendiri?

Sekularisme dan kolonialisme bersultan di mata! Kita semua masih belum

bersatu di bawah lindungan Ka’abah. Gila apa kita mendambakan tangan Garner

dan Tim Cross untuk menyuap para marhen yang telah biru birat menelan

propaganda mereka sebelum ini?” Khalif menyeka keringkat yang menyungai di

pipinya. Bahang perang masih terasa. Hatinya lalap dijilat api perjuangan yang

menjulang.

6
Seketika matanya mengawasi langit yang membumbungi.

Dari jauh, sayup-sayup pesawat A-10 'Tankbuster' merampas suasana

dengan bunyinya yang berekor-ekor. Gemanya seakan enggan hilang,

menyulutkan lagi kejantanan yang kian tercabar. Mereka tidak rela pertiwi

tercinta ini diinjak lagi setelah perang Teluk mewariskan seribu kepedihan.

“Harus apa kita perbuatkan kalau begitu?”

“Kita harus kembali kepada diri.” Segera Khalif menjawab.

Jeda sebentar. “Kembali mengisi ruang di antara kita dan Dia demi

memaknakan semula perjuangan ini dengan niat yang suci dan jazam yang

putus kerana Dia. Hanya dengan mengingati Dia, perjuangan ini kan lebih segar

dan kita tidak punya masa lagi untuk memesrai gundah yang memercupi daerah

iman. Syahid ini perlukan jiwa-jiwa yang mengenali-Nya untuk memperoleh

kekuatan yang sejati. Bukan hanya sekadar laung-laung kosong yang

bercempera.”

“Aduh, sucinya niatmu itu. Fahamku tidak mampu bersemenda dalam

sumur makrifahmu.”

“Soalnya kita mahu atau tidak, itulah hakikatnya. Pertautan cinta akan

membuahkan kekuatan nurani. Haiwaniah akan ghaib, timbullah sifat kemuliaan

insaniah, baru tercapai maksud perjuangan yang hakiki.” Khalif bersandar,

menegakkan belakangnya yang dirayapi lenguh.

“Malam ini kita harus berjihad lagi, Alam.”

7
“Jihad? Jihad apa lagi? Desing peluru masih tersimpan di kelopak, yang

ada cuma tangis dinihari yang mendinginkan. Selain dari itu, ada apa? Jihad apa

teman? Ini bukan waktunya untuk bersantai canda dengan gurau-gurau ngeri

Khalif. Cukup mata kita bersengkang untuk menampung mimpi-mimpi indah

mereka. Esok baru kita ke padang buru, membenteras zalim dan kekufuran.”

Alam kurang senang dengan perkataan temannya itu. Gusar pantas menyergap

dirinya biar kantuk masih terasa.

Khalif senyum sendirian. “Jihad, ya malam kita berjihad. Jihad yang satu

lagi, yang lebih besar dari segala jihad. Jihad yang sudah lama kita pinggirkan.

Dan malam ini adalah permulaannya.”

Berkerut Alam menaakul bicara temannya.

Khalif segera bangun dan menuju oaisis yang berhampiran. “Malam ini

aku akan berjihad semula!”

***

Pagi esok, corong-corong radio di saentero dunia terjerit-jerit melaungkan

berita sembilan askar Amerika terbunuh apabila helikopter Black Hawk yang

mereka naiki terhempas berdekatan Fallujah selepas diserang oleh puak

pemberontak di Iraq.

“Selain dari itu, helikopter pengangkut tentera marin Amerika juga telah

terhempas pada pukul 1.20 pagi berdekatan Rutbah ketika menjalankan operasi

keselamatan. Mereka itu semua pemberontak merbahaya yang mesti

dihapuskan,” kata tentera AS dalam satu kenyataan.

8
Khalif senyum. Semuanya terbunuh kerana kerana meninggalkan perang

yang satu lagi. Perang yang terpinggir…