Anda di halaman 1dari 15

Konsep Islam Hadhari

Pengenalan

Islam Hadhari memberi tekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada
pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi
fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu,
pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.

Mempertingkatkan mutu kehidupan adalah dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem


perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik, pembangunan sepadu dan seimbang bagi
melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi
amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Islam Hadhari bukanlah agama baru. Islam Hadhari bukan ajaran baru. Islam Hadhari
bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam
kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis yang merupakan
teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas dan difahami
secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas
akidah.

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam dan


memastikan umat Islam tanpa tergelincir akidah akan dapat menghadapi cabaran dan realiti
semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang diwarisi dapat dikaitkan dengan
bentuk dan corak pembangunan mengikut masa dan mengikut tempat. Adalah perlu diteliti
semula pelbagai pendekatan dan kaedah untuk diperkemaskan supaya lebih seimbang dan
menyeluruh, merangkumi pembangunan prasarana dan pembangunan ekonomi,
diperkukuhkan dengan pembangunan manusia melalui program pendidikan yang
komprehensif, diperlengkap pula dengan program pembangunan rohani untuk
menyemaikan nilai-nilai murni dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Prinsip Islam Hadhari

Islam Hadhari akan memastikan pencapaian sepuluh prinsip utama:

I. Keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI


II. Kerajaan adil dan beramanah
III. Rakyat berjiwa merdeka
IV. Penguasaan ilmu pengetahuan
V. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
VI. Kehidupan berkualiti
VII. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
VIII. Keutuhan budaya dan moral
IX. Pemeliharaan alam semula jadi
X. Kekuatan pertahanan

Prinsip-prinsip ini adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan
pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana
pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan berbilang
kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah untuk memperkasakan umat Islam supaya
berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada
pembangunan ekonomi dan tamadun yang menyeluruh – berupaya menjadi penggerak dan
pendorong kepada peningkatan daya saing umat. Warisan dan tamadun Islam yang
memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam dalam semua bidang perlu dijadikan
rujukan dan sumber inspirasi memajukan masyarakat Malaysia.

Perubahan minda umat memerlukan satu tindakan secara menyeluruh, secara drastik,
secara sistematik, dan tidak bersifat sektor atau partisan. Ini memerlukan satu perubahan
tasawur (pandangan global) seluruh masyarakat. Selaras dengan itu, konsep hidup sebagai
pengabdian kepada Tuhan dan konsep kerja sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah dan
kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan perlu dititikberatkan,
khususnya prinsip maqasid al Syariah adalah berkaitan dengan lima perkara seperti berikut:

I. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama


II. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan akal
III. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan nyawa
IV. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan harta
V. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan keturunan

Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang.
Segala bentuk pemikiran yang mengelirukan dan tidak bersesuaian dengan kefahaman
Islam perlu dikikis supaya pemikiran dan jati diri umat dapat dibentuk. Perubahan sikap dan
budaya umat memerlukan peranan berijtihad dan berjihad. Konsep jihad perlu ditafsirkan
secara lebih luas, meliputi aspek kehidupan manusia seperti menuntut ilmu, menguasai
sains dan teknologi serta melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi. Peningkatan kualiti (itqan)
dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan merangkumi bidang pendidikan, penguasaan
sains dan teknologi serta aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad
membina ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberikan
pengiktirafan.

Masyarakat Malaysia perlu diberikan kefahaman Islam yang membolehkan umat


menghayati dan mewarisi wawasan ketamadunan global (Rahmatan Lil’alamin) untuk
membolehkan umat berperanan secara berkesan diperingkat global. Semangat
persaudaraan (ukhuwah Islamiah) perlu dipupuk dan disemarakkan bagi menghasilkan
rangkaian sosial yang mantap sebagai satu strategi ke arah meningkatkan daya saing umat.
Masyarakat Malaysia perlu menghargai dan menghayati sifat berdikari dan mengurangkan
kebergantungan kepada pihak lain. Sikap dan nilai-nilai negatif masyarakat perlu diubah
kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam tasawwur Islam.

Umat perlu dijadikan masyarakat iqra dalam hasrat mahu membina kemampuan bangsa
dari segi peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Tuntutan Islam
mewajibkan umat menguasai ilmu dalam semua bidang perlu dihayati. Perlu diperbetulkan
sebarang salah faham terhadap konsep ilmu agar tidak berlaku pemisahan antara ilmu
sekular dengan ilmu agama. Bahawa penguasaan sains dan teknologi serta peningkatan
kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan Islam. Begitu banyak ayat-
ayat di dalam al-Quran yang menyentuh soal penguasaan sains dan teknologi, yang perlu
diberikan perhatian oleh umat. Sumbangan tamadun Islam dalam sains dan teknologi yang
membawa kepada kelahiran renaissance di Eropah wajib diketahui oleh semua pelajar
Islam. Usaha melahirkan saintis Islam yang dapat menghasilkan penemuan-penemuan baru
perlu diperbanyakkan.

Dunia adalah satu perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses pengabdian manusia
kepada Allah SWT dengan menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah secara
sempurna, jujur, telus dan amanah. Manusia tidak mungkin berjaya memanfaatkan dunia
ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat sebagaimana
mestinya, kerana alam dan fenomenanya diciptakan dan ditundukkan oleh Allah SWT untuk
manusia diturunkan sebagai khalifah. Kerana itu, amatlah penting untuk umat manusia itu
diperlengkap dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, supaya membolehkan manusia
menguasai dunia.

Amatlah penting umat Islam dipimpin memahami dan menghayati Islam sebagai sistem
kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan
menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab
akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan kepada akhirat
semata-mata. Kerajaan juga tidak pernah bersifat sekularisme yang menolak akhirat dan
memberi tumpuan kepada dunia semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang
mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi. Allah SWT berfirman:

Yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah
kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-
hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya
yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".

(Surah al-Qasas: Ayat 77)

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008

Prinsip Islam Hadhari :1. Keimanan &


Ketakwaan Kepada Allah
KEIMANAN DAN KETAQWAAN KEPADA ALLAH

Bagi orang Islam pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketaqwaan kepada
Allah sebagai teras utamanya. al-qur’an dan sunnah Rasulullah S.A.W sebagai teras
pegangan dan rujukannya. Gabungan kemantapan akidah (kepercayaan), syariah
(perundangan), akhlak, moral dan nilai-nilai murni adalah teras perancangan dan
pelaksanaan pembangunan diri dan pengurusan sistem untuk mencapai umat yang
berkualiti dan negara yang cemerlang. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT. dalam
surah al-A’raaf :96,

Maksudnya : “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang
melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi . Tetapi mereka mendustakan(rasul
kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah
usahakan.” 

Pada prinsipnya penentuan pegangan agama atau akidah bagi mereka yang berada di luar
Islam terbahagi kepada dua iaitu tiada paksaan dalam agama dan kebebasan dalam
menganut agama masing-masing seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah : 256

Maksudnya : 

"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran
(Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan dia
pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali
agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.

Dan dalam surah al-Kaafiruun: 6, Allah SWT berfirman,

Maksudnya :

“Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”

Prinsip Islam Hadhari :2. Kerajaan Adil &


Beramanah
   
 
KERAJAAN ADIL DAN BERAMANAH

Adil adalah memberi yang hak kepada yang berhak akan haknya, mengikut kadar masing-masing. Ini
bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nahl : 90
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan , serta memberi bantuan kepada
kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta
kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil
peringatan mematuhiNya”.

Pelaksanaan keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya
atau perbezaan agama. Ini bersesuaian dengan peruntukan dalam al-qur’an dan hadis Rasulullah
SAW. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maa’idah : 8

Maksudnya :

“Dan jangan sekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak
melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil(kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Dan hadis Nabi SAW diriwayatkan oleh Bukhari maksudnya,

“Sekiranya(anakku) Fatimah mencuri nescaya aku akan memotong tangannya”.

Amanah pula bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang diletakkan ke
atasnya. Ini bersumberkan dari al-qur’an dan hadis Nabi SAW. Dalam al-qur’an Allah SWT berfirman
dalam surah an-Nisa’ :58

Maksudnya :
“ Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah SWT dengan (suruhanNya) itu
memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa
mendengar lagi sentiasa melihat”.

Dan hadis nabi SAW, yang diriwayatkan oleh Ahmad


Maksudnya :

“ Dan tidak beriman bagi seseorang yang tidak amanah”.

Islam Hadhari meletakkan amalan tadbir urus yang baik (good governance) dan adil serta amanah
kepada semua lapisan rakyat. Pengurusan negara yang cekap, adil, amanah (tidak boros dan
perbelanjaan berhemah) melahirkan negara yang baik, maju, dan dirahmati Allah SWT sebagaimana
ditegaskan dalam al-qur’an surah Saba’ : 15
Maksudnya : “ Demi Sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang
membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun
(yang luas lagi subur)”. Yang terletak disebelah kanan dan disebelah kiri(Kariah mereka).(Lalu
dikatakan kepada mereka):”makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah
kepadaNya: (negeri kamu ini adalah)negeri yang baik(aman dan Makmur), dan (Tuhan kamu adalah)
Tuhan yang Maha Pengampun”.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008

Prinsip Islam Hadhari :3. Rakyat Berjiwa


Merdeka
 

RAKYAT BERJIWA MERDEKA

Salah satu prinsip utama pendekatan Islam Hadhari ialah mewujudkan rakyat yang berjiwa
merdeka. Antara ciri jiwa merdeka ialah berfikiran kreatif dan inovatif. Masyarakat yang
berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu
melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat
dan negara. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-qur’an surah al-Isra’: 70

maksud:

“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan kami telah beri mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan kami telah memberikan
rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka
dengan selebih-lebihnya atas makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan”.

Masyarakat hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka


kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan
pemikiran berdaya maju dan menolak amalan-amalan negatif yang boleh menyebabkan
jiwa terus terbelenggu.

Masyarakat yang berjiwa merdeka bukanlah masyarakat yang terlepas daripada peraturan
undang-undang dan etika, sebaliknya asas-asas murni itu hendaklah digunakan sebagai
landasan membangunkan masyarakat dan negara yang teguh dan utuh.

Setiap potensi anggota masyarakat harus digerakkan sebijaksana mungkin sehingga


mampu memartabatkan jatidiri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara
berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap
terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah
dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun
mengikut acuan kita sendiri.

Makna jiwa merdeka bukan hanya terletak pada slogan atau pernyataan luaran semata-
mata tetapi lebih daripada itu menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-
sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008

Prinsip Islam Hadhari : 4. Penguasaan


Ilmu Pengetahuan
 

PENGUASAAN ILMU PENGETAHUAN

Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara intergratif boleh menjadikan kita memiliki
kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa supaya kecemerlangan intelektual dapat
dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat
dibangunkan. Proses ini perlu bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang
terdapat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara kita. Ini bertepatan dengan firman
Allah SWT dalam al-qur’an surah al-Mujaadalah: 11

Maksudnya:

“Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa
darjat . Dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu
lakukan”.

Dalam mana-mana sejarah masyarakat yang maju dan bertamadun ianya tidak akan
berlaku tanpa menjadikan ilmu sebagai sumbernya. Tamadun Baghdad dan Tamadun
Andalusia menjadi contoh nyata bagaimana ilmu yang integratif mampu menyumbang ke
arah pembangunan tamadun Barat dan Timur.

Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan cabaran semasa, faktor ilmu intergratif,
kemajuan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus bagi melahirkan sumber tenaga
manusia yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan ketrampilan tetapi juga memiliki nilai-nilai
murni yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan manusia
sejagat.

Melalui pengukuhan ilmu fardu ain yang dilengkapkan dengan penguasaan ilmu fardu
kifayah, hasrat untuk mencapai kecemerlangan terbuka luas. Melalui system pendidikan
yang melengkapi dwi pengkhususan dan double Major, kita boleh melahirkan sumber
tenaga yang mampu menerajui program pembangunan negara dan ummah.

Usaha penggalian dan penerokaan serta penemuan ilmu sains dan teknologi amat
digalakkan dalam tradisi Islam. Amat disedari umat Islam ketinggalan dalam penguasaan
sains dan teknologi pada masa kini. Sewajarnya usaha pengkajian dan penyelidikan
(tadabbur) dijadikan matlamat keilmuan supaya asas pembangunan intelek, rohani dan
jasmani dapat berlaku secara seimbang, menyeluruh dan teratur. Ini bertepatan dengan
firman Allah dalam surah a-li ‘Imraan : 190

Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam
dan siang, ada tanda-tanda(kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi
orang-orang yang berakal;

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008

Prinsip Islam Hadhari : 5. Pembangunan


Ekonomi Seimbang & Komprehensif
 

PEMBANGUNAN EKONOMI SEIMBANG DAN KOMPREHENSIF

Dalam usaha untuk memajukan negara, aspek ekonomi turut sama diberi keutamaan oleh
Islam. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif memberikan satu pendekatan
yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi yang berakhlak
dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara berkesan sesuai dengan
perkembangan ekonomi di dalam negara dan diperingkat antarabangsa. Ini bertepatan
dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Jumu’ah : 10

bermaksud:
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu dimuka bumi(untuk
menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa-apa yang kamu hajati dari limpah
kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak(dalam segala keadaan) , supaya
kamu berjaya(di dunia dan akhirat)”.

Untuk menjayakan pendekatan tersebut, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu sama-
sama berperanan secara bersepadu. Ini sudah pun diberi penekanan dalam konsep
pensyarikatan Malaysia. Islam Hadhari menuntut setiap masyarakat merebut peluang untuk
memaju pencapaian ekonomi mereka.

Usaha-usaha untuk memantapkan keadilan dan kestabilan ekonomi di dalam negara akan
terus diberi keutamaan. Melalui strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna tenaga
penuh, kestabilan paras harga dan pertumbuhan ekonomi yang mapan, keadilan dan
kestabilan ekonomi akan dapat dicapai. Bahkan strategi tersebut menepati aspirasi Islam
Hadhari.

Melalui strategi tersebut negara mampu mengembeling kesemua tenaga rakyat semoga
mereka dapat berprestasi di peringkat optimum. Dalam rangka yang sama pendekatan
Islam Hadhari akan terus berusaha untuk meningkat kecekapan sistem penyampaian sektor
awam dan prestasi sektor swasta. Justeru itu mutu sistem pendidikan dan Institusi Latihan
Negara perlu sentiasa dipertingkatkan semoga kesemua aspek keperluan tersebut dapat
dibekalkan kepada rakyat.

Dalam suasana ekonomi dunia yang sangat mencabar dan tidak menentu, perancangan dan
dasar ekonomi yang digubal perlu sensitif kepada perkembangan tersebut. Walaupun sektor
pembuatan dan perkhidmatan menyumbang secara besar-besaran kepada pertumbuhan
ekonomi negara, demi keselamatan negara, sektor pertanian akan turut diberi perhatian
yang sewajarnya. Pembekalan kepada makanan asasi rakyat, adalah sesuatu yang dituntut
oleh Islam. Melalui kemajuan bidang sains bioteknologi, negara akan berusaha untuk
memaju sektor pertanian dengan teknologi tersebut.

Jelas sekali bahawa pendekatan Islam Hadhari adalah suatu pendekatan yang komprehensif
di mana pencapaian pembangunan ekonomi negara mampu menjana kepada wujudnya
sebuah masyarakat yang bertamadun dan progresif.

Prinsip Islam Hadhari : 6. Kehidupan


Berkualiti
 

KEHIDUPAN BERKUALITI

Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan
masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek
keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam menuntut semoga setiap individu
berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia.
Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan
yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material.

Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam al-qur’an surah al-Qasas : 77

Bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu
akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu(keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-
hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu(dengan pemberian nikmat-
nikmatnya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan dimuka
bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan
asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan,
menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa
hadapan yang cemerlang.

Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut kualiti kehidupan mengikut Islam
tidak bersifat statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek tersebut
perlu diusaha dan dijayakan dari masa ke semasa semoga tahap pencapaian setanding
dengan masyarakat yang maju di dunia.

Di samping itu, Islam memberi keutamaan kepada insitusi keluarga. Keluarga yang
sejahtera akan menjamin kepada lahirnya generasi yang seimbang dan berprestasi. Bahkan
gejala sosial masyarakat dapat diminimakan jika setiap institusi keluarga dapat berfungsi
dengan berkesan.

Dalam konteks mencapai kehidupan yang berkualiti, kemudahan persekitaran turut serta
diberi perhatian. Tempat rekreasi dan kemudahan beriadah turut sama difikir perlu dalam
membina masyarakat yang sihat dan bertenaga.

Dari pendekatan Islam Hadhari, kita dapati bahawa kualiti hidup masyarakat dari kesemua
aspek akan dibangunkan secara bersepadu.
 

Prinsip Islam Hadhari : 7. Pembelaan


Hak Kumpulan Minoriti & Wanita
 

PEMBELAAN HAK KUMPULAN MINORITI DAN WANITA


Pendekatan pendidikan Islam Hadhari memberi kemuliaan insan itu diberikan kepada setiap
individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti. Hak-hak
mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama,
harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam matlamat pesyariatan
syariat Islam (Maqasid as-Syariah). Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut
atau alasan menjadi kumpulan kecil atau perbezaan jantina. Penafian dan halangan ke atas
hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang. Ini selaras dengan firman Allah
SWT dalam al-qur’an surah al-Hujuraat : 13.

bermaksud

“Wahai Umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya
kamu berkenal-kenalan( dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu,(bukan
yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi
mendalam pengetahuanNya(akan keadaan dan amalan kamu)”.

Jaminan ke atas hak-hak tersebut terkandung dalam Pelembagaan Persekutuan. Ia terdapat


dalam Bahagian Kedua Perlembagaan yang membuat peruntukan mengenai kebebasan
asasi (Fundemental Liberties).

Implikasi daripada jaminan tersebut meletakkan kumpulan minoriti dan wanita dapat
menikmati apa jua yang dinikmati oleh kumpulan majoriti dan lelaki. Mereka berhak untuk
turut sama dalam pembangunan negara dan menikmati apa jua yang dinikmati oleh kaum-
kaum lain. Mereka boleh menyertai dalam pentadbiran negara aktiviti ekonomi, sosial,
pendidikan, agama dan politik. Isu mengenai hak-hak wanita telah diberi perhatian yang
khusus oleh kerajaan dalam menggubal dasar negara seperti termaktub dalam Dasar
Wanita Negara.

Rasulullah S.A.W telah juga menyebut dengan jelas tentang wanita sejak mula hingga
keakhir hayat baginda dengan peringatan khusus semasa mengerjakan Haji Wida’(Haji
perpisahan) dengan sabdanya yang telah diriwayatkan oleh muslim,maksudnya :

“Maka bertaqwalah kamu kepada Allah terhadap wanita kerana sesungguhnya kamu
mengambil mereka adalah kerana Allah dan Allah menghalalkan kepada kamu mencampuri
mereka dengan ijab Kabul yang sah sesuai dengan aturan Allah dan hak suami terhadap
isterinya ialah agar mereka tidak membiarkan orang luar yang dibenci oleh suaminya
berkunjung kerumahnya. Sekiranya mereka melakukan sedemikian, ajarlah mereka dengan
pukulan yang tidak menyakitkan. Manakala bagi mereka(wanita) keatas kamu(lelaki)pula
ialah memberikan mereka rezeki (makanan) dan perhiasan/pakaian dengan cara yang baik.
Dan telah aku tinggalkan kepada kamu suatu yang tidak akan menyesatkan kamu
selepasnya sekiranya kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah(al-qur’an)”.

Realiti yang berlaku di negara kita sejak negara mencapai kemerdekaan sampai ke hari ini
menunjukkan setiap kaum dan bangsa tidak dinafikan hak-hak mereka, bahkan dalam
beberapa perkara diberikan perlindungan dan jaminan melalui undang-undang negara.

Di negara kita seperti juga di kebanyakan negara-negara lain bagi menjamin hak-hak
seseorang dan kumpulan itu tidak dinafikan, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia (SUHAKAM). Kerajaan juga telah menerima deklarasi Hak Asasi Manusia
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDHR), beberapa teriti dan kemanusiaan lain, termasuk
mengenai wanita. Bahkan dalam beberapa aspek kedudukan wanita di negara ini jauh lebih
baik berbanding di sesetengah negara Islam. Ada undang-undang yang menjamin hak-hak
mereka dan kesatuan yang menguruskannya. Mereka boleh terlibat dalam semua sektor
pekerjaan dan perkhidmatan yang tidak menyalahi undang-undang negara dan penyertaan
dalam pembangunan negara.

Bagi menjamin hak-hak tersebut dihormati dan tidak dicabuli, terdapat badan-badan yang
mengawasi termasuk mahkamah-mahkamah diberi kuasa dan bebas untuk membicarakan
isu menyalahi hak-hak apabila berlaku pertikaian.

Dalam beberapa penulisan barat menimbulkan isu bahawa Islam tidak memberi perhatian
dan kedudukan wajar kepada bukan Islam dan wanita. Sebenarnya hak-hak asasi
sepatutnya diperjelaskan meliputi golongan bukan Islam dan semua kaum serta jantina.
Dalam sejarah pemerintahan Islam orang bukan Islam diberi kedudukan dalam
pemerintahan, hak-hak mereka tidak dinafikan. Kebebasan beragama diberikan bagi
menjamin penghayatan dalam pembangunan negara dan perkhidmatan. Mereka diberikan
hak sehingga menjawat jawatan menteri dan pegawai kanan kerajaan. Sejarah
membuktikan orang bukan Islam begitu senang berada di bawah pemerintahan Islam
kerana hak-hak mereka terjamin dan kerajaan berlaku adil ke atas mereka. Keadaan yang
sama dapat disaksikan berlaku di negara kita.

Islam ditegakkan di atas prinsip-prinsip yang jitu serta adil, saksama, amanah dan
bertanggungjawab kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa,
keturunan dan fahaman agama, tidak memandang rendah mana-mana golongan. Hak-hak
mereka dilindungi oleh undang-undang dan apabila timbul pertikaian ia boleh diselesaikan
oleh mahkamah atau badan seumpamanya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam
surah al-Nisa’: 58.

maksudnya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya(yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hokum diantara
manusia, (Allah menyuruh)maku menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya
Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008


Prinsip Islam Hadhari : 8. Keutuhan
Budaya & Moral
 

KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL

Satu daripada perinsip ketamadunan sesuatu bangsa dan negara ialah wujudnya keutuhan
budaya dan ketinggian moral sebagai identiti negara tersebut. Dalam rangka meningkatkan
kemajuan negara Malaysia, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan
berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai
akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan
dalam masyarakat majmuk. Ia juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mukminin: 1-2

maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu’ dalam
sembahyangnya”.

Dengan demikian kemajuan ekonomi dan teknologi Malaysia akan berjalan selari dengan
keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum. Namun, gejala
keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat
Malaysia semasa, merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam
Hadhari.

Dari perspektif tamadun dan agama Islam, kemajuan ekonomi dan ilmu sesuatu bangsa
harus dijiwai oleh budaya moral dan etika yang luhur. Matlamat ini tidak akan dapat dicapai
selagi kemajuan kebendaan diasingkan daripada nilai-nilai moral, etika dan kerohanian yang
luhur. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan Empayar Romawi yang begitu
hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat daripada kepincangan moral yang parah dalam
masyarakat dan negara.

Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiring dengan nilai-nilai murni yang
berasaskan keluhuran dan kreativiti yang menyumbang ke arah kebudayaan tinggi (high
culture).

 
Prinsip Islam Hadhari : 9. Pemeliharaan
Alam Semula Jadi
 

PEMELIHARAAN ALAM SEMULAJADI

Kehidupan manusia tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga
hubungan manusia dengan alam persekitaran. Kesejahteraan yang dinikmati oleh manusia
adalah akibat daripada kehidupan yang sejahtera antara sesama manusia dengan alam
tabii. Dalam proses pembangunan, manusia mempunyai kecenderungan untuk menguasai
dan mengekploitasi alam tabii secara berlebihan dengan menggunakan sains dan teknologi.
Natijahnya, keseimbangan alam semula jadi tidak dapat dikekalkan. Peristiwa tanah runtuh,
banjir kilat, pemanasan global, ribut taufan, hujan asid, pencemaran udara, air dan darat,
kepupusan tanaman, habitat dan sebagainya semuanya menyumbang kepada
ketidakstabilan eko-sistem yang dilakukan oleh aktiviti manusia.

Di peringkat antarabangsa beberapa deklarasi mengenai alam sekitar telah pun


dilaksanakan oleh UNDP untuk memastikan pembangunan yang lestari. Deklarasi Reo De
Janerio (1993) dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara dua deklarasi di mana
Malaysia turut menandatanganinya. Malaysia sendiri telah mengadakan Deklarasi Langkawi
untuk memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam.

Untuk mengatasi semua ini alam sekitar perlu ditadbir urus melalui kaedah dan pendekatan
yang lebih seimbang dan menyeluruh. Pembangunan insan yang berteraskan kepada
kehidupan yang berteraskan nilai-nilai murni agama, bertanggungjawab dengan alam,
membangun alam secara terancang perlulah diberi penekanan yang bersungguh-sungguh.
Pembangunan sains dan teknologi yang berteraskan kepada ajaran agama dan nilai budaya
perlu diterapkan kepada seluruh peringkat masyarakat. Penyelidikan dan pemantauan
terhadap alam tabii perlu dilakukan secara berterusan agar pembangunan yang dijalankan
tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat.

Adalah menjadi pendekatan Islam Hadhari agar kehidupan manusia menjadi harmoni
dengan alam sekitar dan persekitarannya disamping berusaha untuk terus maju.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008


Prinsip Islam Hadhari : 10. Kekuatan
Pertahanan
 

KEKUATAN PERTAHANAN

Islam Hadhari melihat pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan ketenteraan
dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, fizikal dan spritual. Ini bertepatan
dengan firman Allah SWT dalam al-qur’an surah al-Anfal: 60

maksudnya:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis
kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap
sedia, untuk mengerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta
musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahui nya; sedang Allah
mengetahuinya. Dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan
balasanya kepada kamu,dan kamu tidak akan dianiayai”.

Bangsa yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara dari
dicerobohi. Untuk itu mereka perlu memiliki kekuatan ketenteraan yang terkini bagi tujuan
mempertahankan diri dan negara dan bukan untuk menyerang dan menguasai bangsa dan
negara lain.

Kekuatan pertahanan akan menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan negara yang
membolehkan proses pembangunan dilakukan secara berterusan.

Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang
dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan
dan keupayaan mempertahankan diri. Negara perlu diperlengkapkan dengan rancangan
serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab membela
kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Pendekatan Islam Hadhari akan berusaha
memperkasakan umat supaya mereka berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008