Anda di halaman 1dari 26

UBM 1032

WACANA
AKADEMIK
BAHASA
MELAYU

________________________________________________________

TAJUK:

GURU CEMERLANG, GURU GEMILANG :

ETIKA & PERANAN

________________________________________________________

NAMA PELAJAR : NORALIA BINTI ROSLAN


NO. MATRIK : D20081032827
PROGRAM : PENDIDIKAN GEOGRAFI
FAKULTI : SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
SEMESTER : SEM 3
SESI : SESI (2008/2009)
KUMPULAN : T
NAMA PENSYARAH : PN. ROHAIZA BT. ABDUL KARIM

ISI KANDUNGAN

________________________________________________________

1
BIL. TAJUK HALAMAN

1.0 PENDAHULUAN m/s 1-5


1.1 KONSEP GURU CEMERLANG GURU GEMILANG
1.2 CIRI-CIRI GURU CEMERLANG
2.0 ETIKA GURU m/s 6-10
2.1 ETIKA PROFESION
2.1.1 PROFESIONALISME
2.1.2 INTEGRITI
2.1.3 KEJUJURAN INTELEKTUAL
2.1.4 NEUTRALITI
2.1.5 AKAUNTABILITI
2.1.6 BERPAKAIAN
2.1.7 BERBAHASA
2.1.8 PENGURUSAN MASA
2.1.9 MEMBUAT KEPUTUSAN
3.0 PERANAN GURU m/s 11-14
3.1 TANGGUNGJAWAB GURU MENGIKUT PROFESION
3.1.1 PELAJAR
3.1.2 RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION
3.1.3 MASYARAKAT DAN NEGARA
3.1.4 IBU BAPA
3.2 TANGGUNGJAWAB TERHADAP KERAJAAN
3.3 PERANAN ASAS GURU CEMERLANG
4.0 PENERAPAN ETIKA DAN PERANAN GURU CEMERLANG DALAM P&P m/s 18-19
4.1 PERSONAL
4.2 INTERPERSONAL
4.3 PROFESIONAL
4.4 INTELEKTUAL
5.0 KESIMPULAN m/s 20
6.0 BIBLIOGRAFI

1.0 Pengenalan

2
Guru merupakan aset utama negara. Sambutan Hari Guru yang bertemakan 'Guru Cemerlang

Negara Terbilang' tahun ini, menggambarkan pentingnya seseorang itu guru harus berada

pada tahap yang cemerlang bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dapat

disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Adalah diperakukan profesion keguruan ini

merupakan profesion paling utama dalam proses menyerapkan ilmu pengetahuan kepada

individu dan masyarakat. Dalam menyerapkan ilmu, tingkah laku guru haruslah berlandaskan

etika dan peranan yang telah ditetapkan agar dapat membentuk peribadi yang mampan

dikalangan generasi muda kita yang masih terumbang-ambing. Guru memainkan peranan

penting dan merupakan nadi kepada pembentukan manusia. (Mok Soon Sang, 1988: 43).

Menurut Kamus Dewan Edisi ketiga, ‘profesion’ bermaksud pekerjaan terutamanya

yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang

undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. Istilah ‘keguruan’ pula

membawa maksud tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru. Secara lebih terperinci,

menurut Kamus Dewan (1970), ‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Menurut

Teuku Iskandar (1970:334), jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik

bermaksud orang yang memelihara dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi

petunjuk kepada orang lain, manakala pengasuh memberi makna orang yang memelihara,

menjaga dan mendidik. Justeru, perguruan pula ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan

dengan bidang menuntut ilmu atau tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah, tempat belajar,

pengajaran dan pembelajaran dan sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru.

Manakala definisi ‘Cemerlang’ pula, menurut Kamus Dewan (1970), adalah bermaksud

bersinar (bercahaya) dengan terang, gilang-gemilang.

Definisi ini diperincikan lagi oleh pejabat pelajaran daerah Hulu Langat, menerusi

Buku Terma Rujukan konsep Guru Cemerlang yang menyatakan bahawa, Guru cemerlang

3
ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi serta sentiasa

berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, khususnya

dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Hal ini jelas, dalam era globalisasi sekarang,

peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Saya percaya kewujudan guru yang

cemerlang akan menghasilkan generasi anak muda yang mahir dan terampil. Justeru itu,

golongan guru hendaklah mempertingkatkan serta mengaplikasikan etika dan peranan

profession keguruan dari semasa ke semasa agar dapat merealisasikan Misi Nasional seperti

yang digariskan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

1.1 Konsep guru cemerlang, guru gemilang

Mok Soon Sang (1996) dalam sebuah buku telah mendefinisikan guru cemerlang sebagai

jawatan Guru Cemerlang yang diwujudkan Kementerian Pelajaran pada 1993. Mereka adalah

segelintir guru yang diiktiraf benar-benar cemerlang dalam pengajaran sesuatu subjek dan

turut dijadikan pakar rujuk oleh guru lain. Menurutnya lagi, tanda aras atau kayu pengukur

kecemerlangan ini adalah berdasarkan prestasi subjek yang diajar dalam peperiksaan. Mok

Soon Sang (1996) juga sependapat dengan Awang Had Salleh (1980) yang menyatakan

bahawa guru yang memiliki ciri-ciri cemerlang saja mampu melahirkan pelajar cemerlang

seterusnya melonjakkan kemajuan negara ke tahap yang gemilang dan terbilang.

Mok Soon Sang (2003) dalam bukunya yang lain, menyatakan bahawa guru yang

cemerlang adalah guru yang sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas

dan tanggungjawab secara berterusan. Secara lebih terperinci, guru yang cemerlang juga

bersinonim dengan istilah guru gemilang kerana guru yang gemilang juga adalah guru yang

berjaya melahirkan generasi yang berkemahiran, berilmu pengetahuan serta berupaya

menggemilangkan pembangunan negara.

4
Profesionalisme seseorang guru adalah berkait rapat dengan mutu

pendidikan dari beberapa segi seperti sikap dan nilai guru dalam pengajaran

umpamanya akan mempengaruhi minat, sikap dan nilai pelajar. (Sufean

Hussin, 1996: 446).

Berdasarkan petikan di atas, jelas menunjukkan bahawa guru yang cemerlang

umumnya cenderung mempunyai sikap dan nilai pengajaran yang berbeza dari guru lain.

Seiringan itu, mereka turut mengutamakan aspek etika dan peranan yang tinggi dalam

bertugas. Guru yang cemerlang sentiasa mengamalkan 9 aspek yang terdapat di dalam etika

keguruan iaitu aspek profesionalisme, integriti, akauntabiliti, kejujuran intelektual, berbahasa,

etika berpakaian, pengurusan masa dan juga mengamalkan etika dalam membuat keputusan.

Selain itu, guru yang cemerlang juga melaksanakan peranannya kepada pelajar, profesion, ibu

bapa, masyarakat dan negara serta menjadi ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan

dan keberkesanan para guru adalah bersandarkan etika dan peranan yang diamalkan oleh guru

tersebut sewaktu mengajar yang bergerak seiring dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi,

bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria serta amanah dalam

menjalankan tugasnya.

Menurut Amir Hasan Dawi (2002), prinsip utama seorang guru yang cemerlang

adalah memahami bahawa tugas ‘mengajar dan mendidik serta meneladan’ adalah pekerjaan

yang sangat mulia. Kecemerlangan seseorang guru tidak terbatas pada kebolehannya

melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran ( P&P ) dengan baik tetapi juga pada

kualiti peribadinya yang tinggi kerana guru diharapkan mempamerkan peribadi contoh

kepada pelajarnya. Oleh itu, ketinggian kualiti peribadi guru yang cemerlang juga boleh

menjadi pemangkin kecemerlangan sesebuah sekolah melalui usaha mereka menyediakan

pelajar sebagai modal insan masa depan. Amir Hasan Dawi (2002:67), menyatakan

pembinaan modal insan adalah teras kepada kejayaan bangsa dan negara. Ia merangkumi
5
proses lengkap membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu, berakhlak, berkemahiran,

berdaya saing dan berdaya tahan. Selari dengan aspirasi negara dan hasrat Perdana Menteri,

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang meletakkan usaha membina budaya baru iaitu

berani berlumba, membina prestasi serta memiliki merit hingga dapat bersaing dan

bertanding pada peringkat antarabangsa, pembinaan modal insan turut menjadi teras dalam

Rancangan Malaysia Kesembilan ( RMK-9).

1.2 Ciri-ciri guru cemerlang

Guru cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran tinggi

dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang

demikian, menurut pejabat pelajaran daerah Hulu Langat menerusi Buku Terma Rujukan

konsep Guru Cemerlang, guru cemerlang seharusnya mempunyai ciri-ciri berikut dari segi

kualiti:

i. Peribadi : Guru cemerlang ialah guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji,

berketrampilan dan berpegang teguh pada etika perguruan dan etika perkhidmatan

awam serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar serta dapat menjadi role

model kepada warga pendidik.

ii. Pengetahuan dan kemahiran : Guru cemerlang adalah guru yang menguasai dan

menghayati kandungan mata pelajaran atau bidang pengkhususan dan kepakarannya,

menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan

sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenal pasti keperluan dan

masalah pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan

berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

6
iii. Hasil kerja : Guru cemerlang adalah guru yang berupaya meningkatkan hasil

pembelajaran kearah pembangunan potensi pelajar selaras dengan Falsafah

Pendidikan Kebangsaan.

iv. Komunikasi : Guru cemerlang ialah guru yang memiliki kemahiran komunikasi yang

tinggi serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam

pelbagai situasi.

v. Potensi : Guru yang cemerlang ialah guru yang berwawasan, proaktif, mempunyai

inisiatif, bersifat kreatif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai

pendidik.

vi. Sumbangan kepada kemajuan pendidikan negara : Guru yang cemerlang ialah guru

yang berupaya menjana idea baru dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan

masing-masing dan berkongsi idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan

negara.

(Sumber : Pejabat pelajaran daerah Hulu Langat : http:// ppdhl.net/v2/index.php)

2.0 Etika guru cemerlang

Perkataan etika adalah berasal daripada Bahasa Inggeris “ethic”. Perkataan ethic itu pula

diambil dari bahasa Greek ethos yang membawa maksud sikap atau adat yang menentukan
7
tingkah laku sesuatu golongan. Manakala menurut Kamus Dewan Bahasa & Pustaka, etika

adalah bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan.

Sependapat dengan sudut persepktif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul

berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah dan seterusnya saya percaya etika adalah

suatu bentuk panduan atau peraturan yang diwujudkan bagi mengawal tingkah laku suatu

kumpulan atau golongan.

Menurut Mok Soon Sang (1995:232), etika ialah suatu sistem yang berkaitan dengan

dasar akhlak dan tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar

ini meliputi aspek-aspek moral yang baik dan yang buruk, serta yang betul dan yang salah

dengan tujuan memberi garis panduan kepada ahli-ahli berkenaan. Dalam konteks perguruan,

etika yang dipegang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah “Tatasusila Profesion

Keguruan”. Etika tersebut menjadi garis panduan dan dasar yang harus dipatuhi oleh semua

kakitangan perguruan. Seseorang yang melanggar etika tersebut akan dikenakan tindakan

tatatertib dan dikenakan hukuman sewajarnya. Guru yang cemerlang sentiasa mengamalkan

etika keguruan yang telah digariskan dalam melaksanakan tugas-tugasnya untuk berkhidmat

kepada anak bangsa.

2.1 Etika keguruan

Etika keguruan bermaksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap

masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar. Menurut Ashah Samah

(2008) dan juga dalam penulisan Sufean Hussin (1996), etika keguruan dipercayai dapat

dipelihara melalui aspek berikut:

2.1.1 Profesionalisme

8
Menurut Sufean Hussin (1996:444), dari segi konsep, profesionalisme adalah satu nilai yang

berkait rapat dengan fungsi pekerjaan seseorang. Ia juga perlu wujud dalam diri seseorang

jika matlamat pekerjaannya menuju kearah keberkesanan, produktiviti, kecekapan dan

bertanggungjawab. Dalam konteks guru cemerlang, profesionalisme dianggap sebagai suatu

nilai yang murni jika guru mengamalkan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi,

tidak mementingkan diri atau suka memilih pekerjaan. Profesionalisme seorang guru juga

berkait rapat dengan mutu pendidikan di beberapa segi seperti sikap dan nilai guru dalam

pengajaran akan mempengaruhi minat, sikap dan nilai pelajar. Begitu juga dengan

pendekatan yang digunakan turut memberi pengaruh terhadap tingkah laku, tahap penerimaan

dan kefahaman pelajar dalam pembelajaran. Mok Soon Sang ( 1996 ) pula, merumuskan

secara ringkas konsep profesionalisme sebagai suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan

oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup bermutu, bersikap

jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai outonomi bertugas serta

mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya.

2.1.2 Integriti

Integriti berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa erti keutuhan dari semua segi

yang baik. Dalam bahasa Melayu, ia biasanya menjurus kearah perwatakan seseorang.

Manakala maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP (1985) pula, ialah kejujuran

dan ketulusan, kesempurnaan serta keutuhan. Secara lebih terperinci, dalam konteks guru

cemerlang dapatlah dirumuskan bahawa, integriti merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan,

ketulusan, ketelusan, amanah, benar, berpegang pada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh

dipercayai dan percakapan yang boleh dipegang yang wajar diamalkan oleh para guru. Nilai

ini selalunya dihubungkan dengan nilai-nilai guru cemerlang yang amanah, jujur, boleh

dipercayai dan memelihara kepentingan awam tanpa mengambil peluang untuk kepentingan

9
sendiri. Guru perlu menjalankan tanggungjawab dengan adil serta mematuhi prosedur,

peraturan dan undang-undang yang sedia ada. Bertindak atau membuat keputusan atas dasar

kepentingan sendiri, tidak harus berlaku tetapi haruslah atas kepentingan pelajarnya.

2.1.3 Kejujuran intelektual

Guru yang telah diberi tanggungjawab dan telah menjalankannya dengan penuh integriti akan

sentiasa berpegang kepada kejujuran intelek atau 'intellectual honesty'. Dalam konteks guru

cemerlang, guru perlu jujur dalam mengajar, mengurus dan melaksanakan arahan-arahan

kerajaan di samping ikhlas memberikan ilmu kepada murid atau masyarakat tanpa

menyembunyikan maklumat-maklumat penting. Menurut Ashah Samah (2008), etika

keguruan dari aspek kejujuran intelek bermaksud ikhlas dalam menyampaikan ilmu

pengetahuan. Guru cemerlang juga sentiasa menambah dan membaikpulih pengetahuan

inteleknya supaya dapat menjadi penyumbang ilmu yang utama dan benar kepada pelajar.

2.1.4 Neutraliti

Neutraliti merupakan satu lagi nilai penting yang harus dihayati dan menjadi pegangan utama

pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam. Ashah Samah (2008), menyatakan bahawa

neutraliti ataupun berkecuali dalam profesion keguruan bermaksud guru tidak boleh memihak

kepada mana-mana kumpulan termasuk parti politik atau mana-mana kuasa besar semasa

mengajar untuk kepentingan sendiri. Dalam konteks ini, guru yang cemerlang tidak akan

mencampurdukkan urusan diri sewaktu bekerja sama ada untuk mempengaruhi pelajar atau

untuk mendapatkan suatu kepentingan dari pihak lain. Guru yang cemerlang sentiasa

bersikap adil dan saksama serta berkecuali sewaktu mengajar.

2.1.5 Akauntabiliti

10
Menurut Kamus Dwibahasa , perkataan ‘akauntabiliti’ dihuraikan sebagai bertangungjawab

kepada seseorang atau bertanggungjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad Sarji ,

konsep akauntabiliti adalah mengenai displin dan keperluan untuk memberikan justifikasi dan

menerima kebertanggungjawaban terhadap sesuatu keputusan yang telah diambil. Justeru itu,

akauntabiliti keguruan membawa maksud tanggungjawab yang harus difahami dan

dilaksanakan oleh seseorang guru. Dalam erti kata yang lain, akauntabiliti keguruan

membawa maksud tanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau

tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan adalah terhadap pelajar, profesion,

masyarakat dan ibubapa. Keterangan lebih lanjut adalah pada bahagian peranan guru, (Guru

sebagai satu profesion, 2008).

2.1.6 Etika berpakaian

Menurut Ashah Samah (2008), etika berpakaian guru haruslah sopan dan tidak terlalu

terdedah. Cara pemakaian guru lelaki misalnya haruslah berbaju kemeja lengan panjang,

bertali leher, berkasut hitam serta berstokin hitam, berkasut kelabu atau coklat dengan stokin

coklat terang serta berpakaian sopan dan bersesuaian di majlis rasmi. Menurutnya lagi, bagi

guru perempuan pula, antara pakaian yang dibenarkan adalah berbaju kurung, baju kebaya,

blouse labuh, skirt labuh serta potongan rambut yang kemas. Cara pemakaian guru yang

kemas ini akan memberikan contoh teladan yang baik kepada anak murid dalam berpakaian

apabila keluar sahaja dari rumah.

2.1.7 Berbahasa

Guru haruslah menggunakan bahasa yang sopan apabila berkomunikasi. Penggunaan bahasa

yang bersopan santun dan berbudi bahasa dalam komunikasi diluar kelas amat digalakkan.

11
Tidak dinafikan juga, penggunaan laras bahasa serta istilah yang bertul dalam berkomunikasi

amat dititikberatkan lebih-lebih lagi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran agar pelajar

dapat memahami perkara yang diajarkan dengan mudah dan tepat.

2.1.8 Pengurusan masa dan ketepatan waktu

Guru juga perlu mempunyai tahap disiplin masa yang tinggi bagi mempastikan segala tugas

yang diberikan dapat diselesaikan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan. Surat

pekeliling iktisas bil.2/1982 telah menyatakan peraturan waktu hadir ke sekolah, waktu hadir

ke kelas, mengajar mengikut jadual waktu dan waktu tidak mengajar, waktu untuk menyemak

buku latihan serta waktu untuk memberikan bimbingan kepada guru.Untuk mengatasi

masalah pembaziran masa, guru yang cemerlang biasanya akan membuat perancangan yang

teratur seperti buku rekod mengajar untuk rancangan setahun, rancangan sepenggal,

seminggu dan tiap hari. Selain itu. Guru yang cemerlang juga bijak melaksanakan kerja

mengikut keutamaan iaitu kerja yang penting haruslah diutamakan berbanding kerja lain yang

bersifat lewah seperti menyelenggara jadual harian, mengurangkan aktiviti bersifat individu

serta mengadakan mesyuarat mengikut prosedur (PKPA 2/1991) supaya masa tidak terbuang.

2.1.9 Membuat keputusan

Guru yang cemerlang mempunyai dan mengamalkan autoriti atau kuasa veto dalam membuat

keputusan. Antara keputusan sering diputuskan oleh guru ialah dalam pemilihan teknik dan

pendekatan mengajar, pemilihan tajuk sukatan pelajaran, alat bantu mengajar yang diperlukan

dan sebagainya.

3.0 Tanggungjawab dan peranan guru cemerlang

Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam

dalam diri setiap individu. Tanggungjawab menurut kamus Dewan (1998) bermaksud
12
kewajipan yang mesti oleh seseorang individu, manakala peranan pula membawa maksud

tugas yang perlu dijalankan. Tanggungjawab dan peranan guru haruslah dilaksanakan dan

bergerak seiring dalam konteks untuk menjadi seorang guru yang cemerlang.

3.1 Tanggungjawab guru menurut profesion keguruan

Guru cemerlang juga tidak terlepas dari menjalankan tanggungjawab terhadap etika profesion

perguruan yang menetapkan peranan dan tanggungjawab guru terhadap pelajar, rakan sejawat

dan profesion, ibu bapa serta tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Tanggungjawab merupakan komitmen dan amanah dalam melaksanakan suatu tugas.

Penyempurnaan tugas secara berkesan dan cekap merupakan satu tanggungjawab yang

memerlukan komitmen dan sifat amanah.

3.1.1 Pelajar

Sufean Hussin (1996:456) menyatakan bahawa seorang guru yang cemerlang haruslah

menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi di bilik darjah termasuk mematuhi masa dalam

jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknik

yang berkesan. Guru juga haruslah mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan

murid-murid berbanding hal-hal lain. Seorang guru yang bertanggungjawab haruslah bersikap

adil terhadap pelajar-pelajarnya tanpa mengira bangsa, agama, faktor jasmani, emosi, mental,

politik, sosial dan perkara-perkara lain. Guru juga hendaklah menunjukkan satu cara

berpakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat menjadi contoh yang baik kepada pelajar.

Menurutnya lagi, guru hendaklah membimbing dan mengajar murid-murid tanpa meminta

sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru sekali-sekala perlu memberi

hadiah kepada murid-muridnya untuk menggalakkan mereka berminat terhadap proses

pembelajaran. Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi bahasa

dan bersopan santun semasa bertugas harus juga di amalkan supaya murid memperolehi
13
model yang baik. Akhir sekali guru harus memelihara dan memperbaiki kecekapan iktisas

melalui pengkajian, lawatan, menghadiri kursus, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran

mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

3.1.2 Rakan sejawat dan profesion keguruan

Sufean Hussin (1996:456) menyatakan bahawa guru harus mengelakkan diri dari membuat

sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru

dihadapan pelajar atau ibu bapa atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah

seorang guru. Guru juga haruslah tidak melibatkan diri daripada kegiatan yang boleh

menjejaskan kecekapan sebagai seorang guru seperti menjauhkan diri dari kegiatan berniaga

atau berkempen di dalam sekolah. Selain itu, guru harus berusaha dengan sepenuhnya

menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh serta mengekalkan

kemajuan iktisas dan juga sosial. Guru yang cemerlang juga sentiasa bersedia membantu

rakan sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion keguruan serta harus

bertanggungjawab menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.

3.1.3 Masyarakat dan negara

Sufean Hussin (1996:456) menyatakan bahawa guru haruslah mengelakkan diri daripada

menyebarkan suatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau

negara ataupun yang bertentangan dengan Rukun negara. Guru juga berperanan untuk

memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing

mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna,

menghormati orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan,

keturunan dan agama. Guru juga harus menghormati masyarakat tempat mereka berkhidmat

dengan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup

14
mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Selain itu, guru juga harus

memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan

kecendekiawanan masyarakat. Guru juga perlu menggalakkan kerjasama dan persefahaman

diantara guru dan ibu bapa, serta institusi pendidikan dengan masyarakat. Akhir sekali, guru

harus berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dalam

menjalani kehidupan sehari-harian.

3.1.4 Terhadap ibu bapa

Sufean Hussin (1996:456) menyatakan bahawa guru harus menghormati tanggungjawab

utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan

kerjasama yang erat diantara institusi pendidikan dengan rumahtangga. Guru juga perlu

menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai rumahtangga dan

keadaan anak mereka sebagai sulit dan tidak membocorkan kepada sesiapa kecuali kepada

mereka yang berhak mengetahuinya. Selain itu, guru harus memberikan maklumat kepada

ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka dan menggunakan maklumat yang diterima

daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana. Guru juga harus mengelakkan diri daripada

dipengaruhi oleh kedudukan social dan ekonomi ibu bapa pelajar. Akhir seklai guru harus

mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh

menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa tau penjaga mereka.

3.2 Tanggungjawab guru cemerlang terhadap kerajaan

Persatuan Pendidikan Malaysia (Jld 20 No.2 (SEP) 1998, menyatakan bahawa Guru

cemerlang hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan mencapai

kadar dan tahap cemerlang seperti yang teah diperincikan dalam Standard Kualiti Pendidikan

15
Malaysia (SKPM). Antara peranan dan tanggungjawab mereka terhadap kerajaan adalah

seperti berikut :

1. Membuat perancangan pengajaran, melaksanakan pengajaran mata pelajaran

kepakaran dan pembentukan serta pembangunan diri pelajar mengikut tahap yang

tertinggi yang ditetapkan oleh kementerian pelajaran Malaysia.

2. Memimpin dan membantu dalam tugas kurikulum dan kokurikulum berkaitan dengan

mata pelajaran kepakaran atau bidang pengkhususan.

3. Menjadi pakar rujuk, memberi khidmat nasihat dan membimbing guru dalam mata

pelajaran kepakaran atau bidang pengkhususan.

4. Menjalankan kajian, menghasilkan penulisan ilmiah dan penyelidikan, meneroka

inovasi dan penemuan baru dalam mata pelajaran kepakaran aatu bidang

pengkhususan dan membentang hasilnya.

5. Melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh Pegawai Pelajaran Daerah, Pengarah

Pelajaran Negeri dan Pengarah Bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia.

3.3 Peranan guru cemerlang

Menurut Sardiman A.M (1986:144), selaras dengan fungsi guru sebagai “pengajar”,

“pendidik” dan “pembimbing”, justeru pelbagai peranan perlu ada pada diri seorang guru

yang cemerlang. Guru ialah pendidik yang berilmu pengetahuan. Di samping itu mereka

dilatih untuk menguasai kemahiran mengajar, dan diberi tugas menyampaikan ilmu kepada

pelajarnya. Oleh itu guru sebagai pengamal ilmu perlu memainkan peranan untuk

menyampaikan ilmu yang berguna dalam bidangnya. Sebagai seorang pendidik yang

bertanggunjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan

16
kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak. Perubahan

perancangan hari ini adalah perlu diiringi dengan perubahan strategi pengajaran dan

pembelajaran dalam bilik darjah. Untuk menghadapi cabaran dan tuntutan daripada

perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, guru hari ini hendaklah

sentiasa berusaha melengkapkan diri dari masa ke semasa.

Mok Soon Sang (2000:453) menyatakan bahawa seorang guru yang cemerlang

menjadi pendidik sekaligus akan menjadi seorang pembimbing. Sebagai contoh guru yang

berfungsi sebagai “pendidik” dan “pengajar” seringkali akan melakukan pekerjaan bimbingan

misalnya bimbingan belajar, tentang ketrampilan dan sebagainya. Membimbing pula

dikatakan sebagai perbuatan membawa pelajar ke jalan yang sesuai dengan tujuan

pendidikan. Menurut Crow dan Crow (1983), bimbingan di bawah konteks pendidikan

merujuk kepada bantuan atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada pelajar yang

berkenaan. Sebagai pendidik, guru harus juga berperanan sebgai seorang pembimbing dengan

erti kata lain menyelesaikan segala masalah yang dialami oleh pelajar dan membawa mereka

ke arah jalan yang betul.

Menurut Sardiman A.M (1986:144) peranan guru sentiasa menggambarkan pola

tingkah laku dalam berbagai interaksinya sama ada dengan masyarakat, pelajar, sesama guru

mahupun sesama staf yang lain. Adalah didapati sebahagian besar interaksi guru adalah

terhadap pelajar-pelajarnya. Terdapat pelbagai pendapat yang cuba menjelaskan peranan

guru, antaranya adalah :

1. Prey Katz dalam buku (Sardiman A.M, 1986:145) menggambarkan peranan guru

sebagai komunikator, sahabat yang dapat memberikan nasihat, motivator sebagai

pemberi inspirasi dan dorongan, pembimbing dalam pengembangan sikap dan tingkah

laku serta nilai-nilai orang yang menguasai bahan yang diajarkan.

17
2. Havighurst dalam buku (Sardiman A.M, 1986:145) menjelaskan bahawa peranan guru

di sekolah sebagai pegawai dalam hubungan kelas, sebagai subordinat terhadap

atasannya, sebagai orang tengah dalam perhubungan dengan anak didik, sebagai

pengatur disiplin, sebagai penilai dan pengganti ibu bapa.

3. James W. Brown dalam buku (Sardiman A.M, 1986:145) mengemukakan bahawa

tugas dan peranan guru antara lain menguasai dan mengembangkan bahan pelajaran,

merencana dan mempersiapkan pelajaran, mengawal dan mengawal serta menilai

kegiatan pelajar.

4. Federasi dan Organisasi Profesional Guru Sedunia dalam buku (Sardiman A.M,

1986:145) mengungkapkan bahawa peranan guru di sekolah tidak hanya sebagai

pemindah idea tetapi juga berperanan sebagai pengubah dan pembaikpulih dari segi

nilai dan sikap.

Menurut Sardiman A.M (1986) lagi, berdasarkan beberapa pendapat di atas dapatlah

diperincikan bahawa peranan yang dimainkan oleh guru yang cemerlang dalam proses

pengajaran dan pembelajaran dapatlah dirumuskan seperti berikut iaitu pertama, guru sebagai

pemberi maklumat. Sebagai seorang tenaga pengajar, guru merupakan individu yang

bertindak sebagai pemberi maklumat dan ilmu pengetahuan kepada anak muridnya. Guru

merupakan sumber ilmu kepada setiap pelajarnya. Oleh itu, guru digalakkan untuk

mengamalkan budaya membaca agar memperoleh banyak pengetahuan untuk disumbangkan

dan dipindahkan kepada pelajar. Kedua, guru sebagai pengurus. Guru sebagai pengurus,

pengelola kegiatan akademik, penyelesai sukatan pelajaran, jadual pelajaran dan sebagainya.

Segala aktiviti yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran diurus sehingga mencapai tahap

keberkesanan yang tinggi kepada pelajar.

18
Menurutnya lagi peranan ketiga guru yang cemerlang adalah, guru bertindak sebagai

pendorong. Peranan guru sebagai motivator ini penting dalam merangka dan meningkatkan

pengembangan pembelajaran pelajar. Guru merangsang dan memberikan dorongan serta

galakan untuk menyerlahkan potensi pelajar dan meningkatkan daya cipta iaitu kreativiti

pelajar sehingga menjadi aktif dalam proses P&P. Keempat, guru berperanan sebagai

pengarah. Jiwa kepimpinan bagi peranan guru lebih menonjol. Guru dalam hal ini harus dapat

membimbing dan mengarahkan kegiatan pelajar supaya sesuai dengan tujuan. Kelima, guru

sebagai pencetus idea. Guru merupakan pencetus idea-idea baru semasa proses P&P. Idea-

idea yang dikeluarkan haruslah bersifat kreatif dan inovatif supaya dapat dicontohi oleh

pelajar. Keenam, guru juga berperanan sebagai pemindah. Dalam kegiatan belajar guru juga

akan bertindak selaku penyebar kebijaksanaan pendidikan dan pengetahuan.

Seterusnya, guru yang cemerlang juga berperanan sebagai fasilitator iaitu guru dalam

hal ini akan menjadi pemudah cara proses pembelajaran pelajar. Misalnya dengan

menciptakan suasana belajar yang selesa di dalam bilik darjah supaya interaksi belajar

berlaku secara efektif. Disamping itu, guru turut berperanan sebagai orang tengah dalam

proses pembelajaran pelajar. Misalnya, guru menjadi orang tengah dalam perbincangan

pelajar. Akhir sekali guru bertugas sebagai penilai untuk menilai prestasi pelajar dalam

bidang akademik mahupun tingkah laku sosial pelajar-pelajarnya.

4.0 Penerapan nilai etika dan peranan seorang guru cemerlang menerusi proses

pengajaran dan pembelajaran.

Guru yang cemerlang sememangnya mengaplikasikan dan menjadikan etika serta peranan

profesion sebagai garis panduannya dalam bekerja. Antara ciri yang ditunjukkan oleh guru

yang cemerlang apabila mengajar adalah seperti berikut :


19
4.1 Dari segi personal

Rozhan Othman (1997:153) menyatakan, personal merujuk kepada kualiti diri seperti

sahsiah, tingkah laku, kekemasan, keceriaan, ketrampilan diri, kematangan, kewibawaan guru

dan sebagainya. Guru yang cemerlang sentiasa mematuhi etika berpakaian sopan, kemas,

berwajah manis, ceria, mesra, etika berbudi bahasa dan menunjukkan tingkah laku yang baik

bukan sahaja di sekolah bahkan di mana sahaja mereka berada. Konsep kepimpinan melalui

teladan juga dikaitkan dengan profesion keguruan. Misalnya, dalam proses P&P guru yang

menunjukkan cara berpakaian dan peruturan yang sopan sewaktu mengajar akan menjadi

role model yang baik kepada murid-murid. Dengan pelaksanaan ini, guru sekaligus dapat

melaksanakan peranan atau tanggungjawabnya terhadap pelajar iaitu dengan menunjukkan

satu cara berpakaian dan pertuturan yang baik dan menjadi contoh kepada pelajar. Hal ini

bermakna, guru-guru perlu menunjukkan teladan dan sahsiah yang baik serta bebas daripada

sifat-sifat yang tidak baik sewaktu mengajar. Ciri-ciri personel yang ditunjukkan para guru

yang cemerlang akan menjadi ikutan yang baik kepada pelajar dan dipandang tinggi oleh

masyarakat.

4.2 Dari aspek interpersonal

Selain itu, guru yang cemerlang juga mestilah mempunyai ciri-ciri interpersonal yang baik.

Ciri-ciri interpersonal merujuk kepada kemahiran berhubung, berkomunikasi, menangani

masalah, menyesuaikan diri dan sebagainya. Perkara ini bertepatan sekali dengan peranan

guru sebagai komunikator, pendorong, pemberi maklumat, pemindah dan juga pencetus idea.

Hal ini terbukti apabila, guru yang cemerlang biasanya akan mengelakkan komunikasi secara

sehala sehingga pelajar berasa bosan terhadap pengajarannya. Guru tidak boleh

mementingkan diri sendiri sehingga tidak mengambil peduli sama ada pengajarannya dapat

diterima atau tidak oleh pelajar, dan mengambil sikap endah tidak endah terhadap tahap

20
kefahaman dan penerimaan mereka. Oleh itu, seorang guru yang cemerlang akan bertindak

sebagai komunikator, pemberi maklumat yang berkesan dan sebagainya untuk mewujudkan

komunikasi dua hala dengan pelajarnya, sama ada meminta pendapat atau bertanyakan soalan

yang berkaitan (Rozhan Othman, 1997).

Guru yang cemerlang juga peka dengan tingkah laku setiap pelajarnya. Jika ada

pelajar yang berangan atau mengantuk, mereka akan berperanan sebagai fasilitator ataupun

orang tengah untuk mengajukan soalan atau meminta pandangan daripada pelajar dalam

proses perbincangan. Mereka juga memanggil nama pelajar dengan baik, mengucapkan

terima kasih di atas jawapan dan pandangan yang diberi sewaktu perbincangan. Dalam

melaksanakan tanggungjawab terhadap pelajar dan profesion, guru cemerlang juga

membimbing pelajar dengan menunjukkan sifat prihatin dan menghormati para pelajarnya

dan tidak sesekali mengherdik atau menghina pelajar yang dianggap nakal di hadapan kawan-

kawan mereka. Seorang guru memang perlu bersikap tegas untuk mengawal murid-muridnya.

4.3 Dari aspek professional

Ciri professional adalah berdasarkan etika profesionalisme keguruan yang merangkumi

kemahiran mengajar, kecekapan dan kewibawaan seorang guru, pengetahuan dan kepimpinan

yang ditunjukkan oleh guru itu sendiri. Guru yang cemerlang biasanya akan menunjukkan

integritinya iaitu kepimpinan yang positif dan sesuai mengikut keadaan. Sebagai seorang

guru mereka bebas membuat keputusan namun ia perlulah mengambil kira kepentingan

pelajar-pelajarnya. Menurut Nur Faizah (2006), membuat keputusan yang rasional adalah

sangat penting untuk mengelakkan daripada guru-guru bertindak melulu sehingga boleh

meninggalkan kesan buruk terhadap pelajar dan masyarakatnya. Pendekatan ini memerlukan

guru yang cemerlang meningkatkan kesabaran, pengetahuan dan kemahiran yang dipupuk

21
dari semasa ke semasa dan juga haruslah tidak terlalu mengharapkan kesempurnaan, tetapi

sentiasa belajar daripada kesilapan.

Selain itu, guru yang cemerlang juga bersifat professional dengan menjalankan

tanggungjawabnya terhadap ibu bapa iaitu sentiasa memaklumkan kepada ibu bapa maklumat

bekaitan anak-anak mereka. Guru cemerlang juga tidak menghebahkan maklumat sulit

berkaitan ibu bapa pelajar kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Seiringan dengan itu,

guru juga bersifat professional dengan menjalankan tanggungjawabnya terhadap masyarakat

dan negara dengan melahirkan pelajar-pelajar yang bermutu dan berdaya saing. Tidak

dinafikan juga, guru yang cemerlang sentiasa melaksanakan peranannya di kawasan tempat

mereka mengajar dengan berperanan sebagai pengurus dan penilai tahap kemajuan pelajar

serta menyertai segala aktiviti masyarakat yang dijalankan di tempat tersebut. Dengan

penglibatan guru secara menyeluruh ini akan menambahkan keyakinan masyarakat terhadap

kebolehan guru dalam menjadi seorang pendidik.

Seterusnya guru yang cemerlang adalah berkemahiran dalam pegurusan. Selain

dariapada mengajar, mereka juga mempunyai kemahiran merancang, berorganisasi,

pemantauan, pengurusan kualiti dan sebagainya.Guru yang cemerlang perlu menguasai

kemahiran dalam pengurusan murid dan tingkah lakunya. Hal ini kerana banyak tugas atau

akauntabiliti yang perlu dilaksanakan oleh guru di sekolah, seperti mengurus murid, disiplin,

rekod dan profil murid, mengurus bilik darjah, pengetahuan kaunseling, menjalankan aktviti-

aktiviti luar bilik darjah dan sebagainya.

4.3 Dari aspek intelektual

Ciri-ciri intelektual adalah merangkumi kebolehan akademik, minat terhadap hal-hal

intelektual, bijak merancang dan sebagainya. Guru yang cemerlang biasanya mengamalkan

budaya membaca sebagai satu amalan dan sentiasa memastikan diri mereka mempunyai
22
pemikiran yang segar, berkembang dan kesungguhan kendiri dengan minda yang sihat dan

terbuka serta melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang menyeluruh supaya

dapat melaksanakan peranan mereka sebagai pemberi maklumat, pemindah serta pencetus

idea kepada pelajar.

Pengetahuan guru yang cemerlang dalam mata pelajaran yang diajar biasanya berada

di tahap yang maksimum, iaitu mutu pengetahuannya sentiasa diperbaiki melalui proses

pembacaan. Hal ini juga menunjukkan guru yang cemerlang akan mengamalkan etika

kejujuran intelek semasa mengajar dan dapat mengelakkan diri dari kekeringan idea ketika

menyampaikan ilmu kepada murid. Ilmu yang meluas amat diperlukan oleh pelajar untuk

perkembangan minda dan pemikirannya supaya mereka sentiasa bersikap terbuka dan positif.

Menurut surat khabar Berita Harian keluaran Mei 2006, dalam artikel Guru Cemerlang

Lahirkan Anak didik gemilang menyatakan bahawa idea-idea bernas yang dikemukakan oleh

guru yang cemerlang serta penggunaan kaedah pengajaran dan pendekatan yang bertepatan

dengan kebolehan dan tahap pemahaman pelajar akan dapat melahirkan pelajar yang kreatif,

inovatif dan berdaya saing serta seterusnya dapat melahirkan generasi muda atau anak didik

yang gemilang.

5.0 Kesimpulan

Cabaran yang dihadapi oleh para guru dalam mengajar murid-murid zaman ini bukanlah

suatu yang mudah. Kerajaan wajar peka dengan keperluan persekolahan dan pembelajaran

generasi baru yang semakin canggih dan pelbagai. Masyarakat juga mustahak memainkan

peranan sebagai pemangkin kejayaan guru dan murid dalam pembelajaran mereka. Tanpa

kerjasama semua pihak proses pendidikan tidak akan berjaya menghasilkan berjaya

23
menghasilkan generasi yang cemerlang dan gemilang. Dengan dapat memahami prinsip etika

dan peranan, guru dapat memahami tanggungjawabnya yang sebenar seorang pendidik.

Oleh itu, Amir Hasan Dawi (2002), mencadangkan supaya penghayatan akauntabiliti

terhadap etika dan peranan haruslah di hayati sepenuhnya kerana ia dapat meningkatkan

tahap profesionalisme keguruan. Penghayatan tersebut membolehkan semua guru

menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh komited dan dedikasi. Kita

juga dapat melihat bahawa etika mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pengurusan.

Etika yang baik akan menghasilkan budaya kerja yang cemerlang dan pengurusan yang

berkualiti yang akan berakhir dengan hasil perkhidmatan dan barangan yang bermutu

tinggi. Kod Etika Profesion Perguruan Malaysia perlulah diikuti dan diamalkan sepenuhnya

oleh semua warga pendidik kerana ianya merupakan asas kepada perkhidmatan yang menuju

kepada pendidikan bertaraf dunia yang diidamkan. Guru-guru telah diamanahkan untuk

membentuk generasi pelajar yang berilmu, beriman, bertakwal, berakhlak mulia serta mampu

memberi sumbangan kepada pembangunan negara berasaskan kod etika profesion perguruan.

Saya percaya adalah menjadi tanggungjawab guru yang cemerlang untuk berperanan sebagai

tonggak utama dalam menghasilkan generasi muda yang mampan dan terampil menerusi

pelaksanaan proses P&P berlandaskan etika dan peranan profesion yang mantap yang

akhirnya akan dapat menghasilkan generasi yang gemilang untuk pembangunan negara.

6.0 BIBLIOGRAFI

Amir Hasan Dawi (2002). Penteorian sosiologi dan pendidikan. Tanjung Malim : Quantum

Books.

Awang Had Salleh (1980). “ Keguruan dan perguruan di Malaysia: keperihalan kini dan

arah yang dituju”. Johor Bharu 6-8 Disember : KONPEN V.

24
Crow & Crow (1980). Psikologi Pendidikan untuk Perguruan. Kuala Lumpur : Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Mok Soon Sang (1996). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.

Mok Soon Sang (2000). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI : Kursus Perguruan lepasan Ijazah.

Subang Jaya : Kumpulan Budiman.

Mok Soon Sang (2003). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI Sekolah Rendah:Komponen 1&2

Psikologi Pendidikan & Pedadogi. Subang Jaya : Kumpulan Budiman.

Rozhan Othman (1997). Pengurusan Personal dan Perancangan Guna Tenaga. Kuala

Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sufean Hussin (1996). Pendidikan di Malaysia : sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur

: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sardiman A.M (1986). Interaksi dan Motivasi : Belajar Mengajar. Jakarta : Perpustakaan

Nasional.

Persatuan Pendidikan Malaysia (Jld 20 No.2(SEP) 1998). Suara Pendidik. Institut Aminuddin

Baki Sri Layang Genting Highland Pahang.

ARTIKEL AKHBAR

Guru Cemerlang Lahirkan Anak Didik Gemilang. (2006, Mei 23). Berita Harian, 8-11.

ARTIKEL MAJALAH

Nur Aishah Ismail (1996, Mei). Kerjaya Perguruan Harus Seiring Dengan Minat. MASSA.

INTERNET

Ashah Binti Samah (2008). Etika keguruan.


25
Diperoleh pada 24 Ogos, 2009 daripada

http://www.scribd.com/doc/2958583/ETIKA-KEGURUAN-

Ilmu pendidikan perguruan (2007).

Diperoleh pada 15 Ogos, 2009 daripada

http://www.geocities.com/kulanz_salleh/article/ilmu_pendidikan/perguruan_sebagai_
satu_profesion.htm

Guru sebagai satu profesion (2008).

Diperoleh pada Ogos 16, 2009 daripada

http://www.scribd.com/doc/19140788/Guru-Sebagai-1-Profesion

Status pelaksanaan guru cemerlang di negeri perak (2008).

Diperoleh pada Ogos 18, 2009 daripada

www.iab.edu.my/jpnperak.pdf

portal rasmi pejabat pelajaran daerah hulu Langat (2008).

Diperoleh pada Ogos 19, 2009 daripada

http:// ppdhl.net/v2/index.php?...&task=category&sectionid=14&id=62&Itemid=114

26