Anda di halaman 1dari 5

RASUAH : PUNCA DAN CARA MENGATASI

Karangan Rasuah. Faktor-faktor penyebab dan langkah-langkah mengatasinya

Fenomena rasuah sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan
konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin
tinggi kadar rasuah di sesebuah negara itu maka semakin rendahkan persepsi masyarakat
luar terhada kemampuan rakyat negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam
aspek ekonomi. Media massaa turut menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai
kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan rasuah ini sebagai bukti betapa masalah
ini semakin menular dalam masyarakat kita. Jelaslah, fenomena sosial ini mempunyai
pelbagai imlikasi, punca dan langkah yang efektif untuk menanganinya.

Punca yang ketara tentang gejala ini sering dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem
pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masaah rasuah ini bermaharajalela
kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian
tender dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan
daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram ini. Ketiadaan sistem
pemantauan yang berkesan telah menyebabkan ramai kaki tangan awam yang terangsang
untuk melakukan jenayah yang keji ini. Jelaslah, masalah ini berleluasa apabila tiadanya satu
ketelusan dalam sistem tadbiran awam negara kita.

Selain itu, masalah jenayah kolar putih ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang
tidak peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada kalangan masyarakat yang
menganggap masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami
oleh semua negara di dunia ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap
tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang

tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja. Maka, kurangnya pemahaman masyarakat
terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini menular secara pantas dalam
masyarakat kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala
sosial ini tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang
yang dikatakan lemah dalam sistem perundangan negara kita tentang isu rasuah ini.
Tindakan mahkamah mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah
rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu
pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini.
Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk
mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu menikmati
hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara. Sesungguhnya, kelemahan
dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah di
negara ini telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada masyarakat kita.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah
pasti tindakan awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani
kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa
mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak
tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak di bawa ke muka pengadilan yang
menimbulkan rasa tidak ppercaya rakyat akan keikhlasan kerajaan menangani isu ini.
Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan memberi
satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya.
Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih
bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang
setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini.

Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi
satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media
massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua
khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan
melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir
dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan
menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini.

Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor
pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan
konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya
mudah untuk mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya
mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah
ini. Ringkasnya, pendidikan kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak
sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu mudah dan berkesan.

Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan
dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigm masyarakat terhadap
rasuah perlu berlaku terlibat dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya.
Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang
begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah
daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam
tempat yang sepatutnya.
Kejadian Buli Satu Fenomena Sosial

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin
gusar. Huraikan punca-punca tercetusnya masalah ini dan langkah-langkah untuk
menanganinya.

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti
memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan
oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini,
kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai
satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak
sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan
pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”.
Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca
yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang
sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk
mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka
semakin ketandusan nilai kemanusiaan.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak
juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit
dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya
merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya
dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi
puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian
mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah
drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya
ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus
menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran
tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan
itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar
juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan
membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara
berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar
menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh
dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan
sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak
memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah
Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak
pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi
pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh
itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar
biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika
kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca
bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam
kes buli di sekolah.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk
membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus
memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi
dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus
berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan
menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes
buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan
juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan
mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal
kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan
sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.
Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung
kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka
supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak
mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa
berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek,
menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam
mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu
bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di
sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya
mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak
kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati
dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan
satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan
sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai
angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara
yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu
‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir

semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita
terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha
yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan
mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Anda mungkin juga menyukai