Anda di halaman 1dari 17

Pengenalan

Islam mula diperkenalkan kepada manusia pertama iaitu Adam a.s. Ia


merupakan pemberitahuan dan peraturan yang diwahyukan oleh Allah S.W.T.
Kemudian wahyu itu diperkuatkan dengan perlantikan rasul-rasul yang
bermula dengan Nabi Adam a.s dan berakhir dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Risalah Islam yang diturunkan kepada rasul-rasul adalah sesuai dengan
zaman, jumlah manusia dan kebudayaan umat ketika itu. Islam diturunkan
kepada manusia untuk membimbing mereka ke jalan yang benar supaya
mereka mencapai kesejahteraan hidup, dunia dan akhirat.

Penganut Islam wajib beriman kepada Allah Yang Maha Esa selaku
pencipta alam semesta dan mematuhi segala suruhan dan menjauhi
laranganNya. Tanpa petunjuk dari Allah S.W.T, manusia akan sesat kerana
akal fikiran dan pengalaman manusia amat terbatas.

Manusia tidak mempunyai kemampuan untuk memahami masalah


ketuhanan, kehidupan selepas mati, perkara-perkara ghaib seperti malaikat,
syurga dan neraka, pembalasan amal dan sebagainya, kerana itulah Allah
S.W.T mengutus dan mengangkat ratusan ribu nabi dan rasul yang bermula
dengan Nabi Adam a.s dan diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. Secara
umumnya tugas rasul-rasul dan nabi-nabi dalam menyampaikan ajaran
keimanan adalah sama walaupun ada perbezaan dari segi syariat dan hukum
di antara mereka selaras dengan keadaan dan zaman masing-masing.

Dalam perjalanan sejarah tamadun manusia yang panjang, ramai


manusia yang terus-menerus menentang serta membantah pengajaran-
pengajaran Allah S.W.T yang dibawa oleh utusan Allah S.W.T, lalu dengan
kasih sayang dan belas kasihan Allah S.W.T, Dia telah menurunkan kitab-
kitab agar manusia dapat membaca, memahami dan melaksanakan segala
arahanNya. Tujuannya untuk menegakkan kepercayaan Tauhid (kepercayaan
kepada Allah Yang Maha Esa), menghindarkan mereka dari syirik kepada
Allah S.W.T, terpengaruh dengan hawa nafsu yang liar dan mengajar mereka
supaya mematuhi segala ajaran Allah S.W.T dan menjauhkan diri dari
laranganNya.
Sejarah Islam telah menunjukkan bahawa keistimewaan yang
terkandung dalam Islam telah mampu membentuk satu tamadun yang
mengangkat tinggi martabat manusia, menuju kesejahteraan hidup, dunia dan
akhirat. Tamadun Islam telah muncul dan menempa kegemilangan yang tiada
tolok bandingnya lantaran kesyumulan dan kesepaduan Islam itu sendiri yang
menjadi intipati kepada Tamadun Islam. Akhirnya Tamadun Islam telah
berjaya mendepani zaman dan menjadi rujukan kepada pembinaan tamadun
manusia sehinggalah ke hari ini.
Prinsip Tamadun Islam

Tamadun Islam dibina berdasarkan kepada prinsip-prinsipnya yang jelas. Ia


menekankan kepada pembangunan hidup manusia di dunia dan kesejahtraan
hidup di akhirat. Pada umumnya prinsip tamadun Islam merangkumi:

I. Pengabdian diri kepada Allah S.W.T. di dalam seluruh kegiatan hidup.


II. Asas akidah yang mantap.
III. Keluhuran nilai kemanusiaan berbanding dengan nilai kebendaan.
IV. Nilai kesucian dan keharmonian hidup; dan
V. Tugas khalifah di bumi Allah mengikut panduan Allah S.W.T. dan
sentiasa berpegang pada janji dan amanah Allah.

Dalam konteks pembinaan tamadun, Islam menekankan tiga dimensi


hubungan sebagaimana berikut:

a) Hubungan manusia dengan Allah S.W.T.


Hubungan manusia dengan Pencipta iaitu Allah S.W.T.
dizahirkan melalui kepercayaan dan pelaksanaan ibadat yang
ditetapkan oleh Allah S.W.T. sebagaimana yang diajar oleh RasulNya
Nabi Muhammad S.A.W., dan melaksanakan segala suruhan dan
meninggalkan segala laranganNya. Ia melibatkan hubungan antara
hamba dengan penciptanya atau dikenali sabagai ibadat khusus.
Hubungan tersebut merupakan hubungan paling tinggi dan mulia
dalam kehidupan manusia, mengatasi hubungan yang wujud antara
manusia sesama manusia atau makhluk lain.

b) Hubungan manusia dengan manusia


Hubungan manusia sesama manusia adalah berlandaskan
aturan dan hak-hak yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. sebagai
pencipta kerana hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terbaik bagi
manusia. Hubungan manusia dengan manusia meliputi pembemtukan
sahsiah, keluarga, hidup berjiran, pembentukan masyarakat,
pembentukan institusi pemerintahan, hal pentadbiran, kegiatan
ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan segala bidang kehidupan
manusia. Ia juga dikenali sebagai ibadat umum.
Hubungan sesama manusia dibina di atas dasar ketakwaan,
belas kasihan sesama makhluk dan hormat-menghormati tanpa
mengira agama, bangsa, keturunan, pangkat, kedudukan dan
sempadan geografi. Rasulullah S.A.W. merupakan contoh terbaik
dalam sejarah, yang memperlihatkan hubungan baik dengan manusia
tidak kira sama ada muslim atau bukan muslim. Bagi masyarakat
muslim, hanya satu ukuran di sisi Allah Yang Maha Mencipta iaitu
ketakwaan kepadaNya, di samping berbuat baik kepada sesama
manusia. Firman Allah dalam surah al-Hujurat(49:13) yang bermaksud:
“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan bersuku (puak) supaya kamu berkenal-kenalan
dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-
mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa di antara
kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”.

c) Hubungan manusia dengan alam.


Manusia dan alam adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T., namun
manusia diberikan taraf yang lebih tinggi berbanding dengan makhluk
lain lantaran kelebihan akal dan tanggungjawabnya sebagai khalifah.
Sebagai khalifah, manusia bertanggungjawab memelihara dan
memulihara alam ini mengikut ketetapan Allah S.W.T. atau
sunnatullah. Sehubungan itu, firman Allah S.W.T dalam surah al-
A’raf(7:56) yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi,
sesudah(Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan
rasa takut dan harapan(akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah
amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”
Allah S.W.T. telah mencipta alam semesta ini untuk dinikmati
dan dimanfaatkan oleh makhluk, selaras dengan firman Allah S.W.T.
dalam surah al-An’am(6:99) yang bermaksud:
“Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami
tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka
Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak;
dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjurai, dan
kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima
yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu
pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya.
Sesungguhpun pada yang demikian itu ada tanda-tanda(kekuasaan
Allah) bagi orang-orang yang beriman”.
Tamadun Islam mewajibkan agar manusia mengusahakan
sesuatu yang boleh membawa kepada kesejahteraan hidup mereka di
atas muka bumi ini melalui permanfaatan terhadap sumber alam yang
sedia ada. Dalam masa yang sama, mereka berkewajipan memastikan
agar kegiatan tersebut tidak menjejaskan dan memusnahkan alam
sekitar serta mengganggu ekosistem.

Asas Tamadun Islam

Tamadun Islam dibangunkan berdasarkan akidah, diikat dengan


syariah dan akhlak. Ketiga-tiga asas ini adalah amat penting dan tidak boleh
diabaikan. Pengabaian ketiga-tiga aspek ini akan menjadikan tamadun yang
dibina itu jauh mengipang daripada konsep tamadun Islam yang sebenar.

Akidah

Akidah merupakan dasar terpenting dalam Islam. Baik atau buruk


natijah hidup seseorang di sisi Allah S.W.T. adalah bergantung kepada
akidah yang diyakininya. Akidah dalam Islam merupakan kepercayaan atau
keimanan kepada hakikat dan nilai-nilai mutlak, tetap dan kukuh akan dapat
membebaskan diri manusia daripada tunduk dan patuh kepada sesuatu yang
bersifat makhluk, sama ada dalam bentuk jirim atau roh. Sebagaimana yang
dinyatakan oleh Hassan ai-Banna(m.1949) bahawa akidah adalah hal-hal
yang berhubung dengan kepercayaan dan keyakinan di dalam hati sehingga
hati dan jiwa itu menjadi tenteram, tidak ragu-ragu dan bimbang, bersih dan
murni daripada segala syak wasangka.
Sebagai asas kepada pembinaan tamadun islam, akidah akan
melahirkan tamadun yang mantap dan bebas daripada sebarang
penyelewengan. Ini adalah kerana akidah Islam dapat membebaskan
manusia daripada kecelaruan hidup dan kehidupan yang tiada hala tuju
kepada kehidupan yang bersistem. Akidah juga mampu membentuk
personaliti unggul dalam diri manusia yang menjadi penggerak kepada
tamadun Islam. Namun dalam hal ini terdapat dua aspek yang perlu diberi
perhatian sewajarnya iaitu aspek kepercayaan dan aspek kaedah
pelaksanaan dan kesan.

Aspek kepercayan

Aspek ini merupakan perkara asas yang wajip diimani dan diyakini oleh
setiap individu muslim. Terdapat enam aspek kepercayaan seperti yang
dijelaskan oleh Quran dan Sunnah iaitu:

a) Keimanan kepada Allah S.W.T.


~Keimanan kepada Allah S.W.T. merupakan asas atau intipati
kepercayaan dalam ajaran Islam. Beriman kepada Allah S.W.T.
membawa maksud mempercayai dan meyakini dengan hati, mengakui
dengan kata-kata serta mempamerkan dengan perbuatan, bahawa
sesungguhnya tidak ada Tuhan yang layak disembah malainkan Allah
S.W.T., Tuhan yang Maha Esa yang tiada sekutu bagiNya.
Kepercayaan ini termasuklah mempercayai Allah S.W.T. bukan
makhluk tetapi pencipta, pemilik, pentadbir dan penguasa seluruh
alam. Demikian juga wajib mempercayai segala sifat dan nama-nama
Allah.
~Keimanan kepada Allah S.W.T. mampu memberikan ketenangan,
pergantungan dan motivasi yang tinggi dalam diri individu. Ini kerana
Allah dilihat sebagai kuasa yang tertinggi yang menaungi kehidupan
manusia dan mampu memenuhi setiap keperluan mereka. Hal ini
dapat membentuk individu yang berjiwa kental dan berwawasan.
b) Keimanan kepada malaikat
~Beriman kepada malaikat ialah percaya dan yakin tentang kewujudan
ciptaan Allah S.W.T. yang sentiasa taat kepadaNya dan sentiasa
melaksanakan setiap apa yang diperintahkan kepada mereka. Malaikat
ditugaskan untuk melaksanakan perintah Allah S.W.T. terhadap
manusia dan alam. Bahkan ada di antara mereka yang tidak pernah
berenggang daripada manusia kerana memberikan kesaksian atas
segala gerak-geri manusia sama ada baik atau buruk.
~Ironinya, kepercayaan ini dapat memperbetulkan sisi pandangan
manusia tentang malaikat yang dianggap dan dikaitkan dengan
kekuasaan yang tertinggi bahkan disetarakan kedudukannya dengan
Tuhan yang layak disembah, kepada satu tanggapan bahawa malaikat
tidak lebih dari sekadar ciptaan Allah S.W.T. yang diberikan
keistimewaan tertentu bagi melaksanakan dan menyelaras segala
tugas dan peranan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Antara
tugasnya di dunia ialah menurunkan hujan, memberikan rezeki,
mencabut nyawa manusia dan sebagainya.

c) Keimanan kepada rasul dan nabi


~Keimanan kepada rasul-rasul dan nabi-nabi ialah mempercayai dan
meyakini tentang kewujudan utusan yang dipilih oleh Allah S.W.T. dari
kalangan manusia, untuk menyampaikan dan menjelaskan kepada
manusia apa yang diperintah dan dilarang oleh Allah S.W.T. kepada
mereka bagi mendapatkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di
akhirat. Pemilihan rasul dan nabi dari kalangan manusia itu sendiri
adalah bagi memudahkan manusia menerima, memahami dan
mengikuti segala yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan
meninggalkan segala laranganNya.
~Perutusan para rasul dan nabi mengambil kira faktor kemajuan dan
pencapaian tamadun manusia di sepanjang zaman. Ketika manusia
mendiami beberapa benua dan kepulauan di seluruh dunia yang sukar
berhubung antara satu sama lain kerana ketiadaan alat perhubungan
dan komunikasi yang canggih, Allah mengutuskan bagi setiap bangsa
manusia seorang rasul atau nabi khusus untuk mengajak mereka
kepada kehidupan yang bertamadun. Namun setelah manusia mula
mengalami pencapaian dalam tamadun dan sedikit kemajuan, iaitu
terdapat kemudahan yang dapat menghubungkan manusia dari jarak
jauh, Allah mengutus seorang rasul sahaja iaitu Nabi Muhammad
S.A.W untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan sempadan
negara.

d) Keimanan kepada kitab


~Mempercayai dan meyakini bahawa Quran adalah kitab yang
diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. untuk
dijadikan panduan dalam kehidupan manusia. Isi kandungannya sarat
dengan ilmu pengetahuan sama ada ilmu keagamaan atau keduniaan,
peraturan –peraturan, adab-adab dan sebagainya yang lengkap lagi
sempurna serta sesuai sepanjang zaman. Selain itu, umat Islam wajib
percaya dengan kitab-kitab lain yang diwahyukan oleh Allah S.W.T.
kepada para rasul terdahulu sebelum Nabi Muhammad S.A.W. iaitu
kitab Zabur kepada Nabi Daud, kitab Taurat kepada Nabi Musa A.S.
dan kitab Injil kepada Nabi Isa A.S.
e) Keimanan kepada Hari Akhirat
~Mempercayai dan meyakini kehidupan di dunia bersifat sementara
dan akan dimusnahkan kelak pada suatu masa yang disebut sebagai
hari Kiamat. Manusia juga akan dibangkitkan dan diadili terhadap
setiap perbuatan yang dilakukannya di dunia. Bagi sesiapa yang
melakukan amalan kebaikan lebih banyak daripada amalan
kejahatannya, maka ia akan ditempatkan di dalam syurga buat selama-
lamanya. Sebaliknya jika amalan kejahatannya melebihi amalan
kebaikannya, maka dia akan ditempatkan di dalam neraka. Keimanan
kepada hari akhirat ini, dapat mengawal tingkahlaku manusia kerana
berkeyakinan setiap tindak-tanduknya di dunia akan diadili dan
dihakimi kelak, justeru manusia tidak boleh lalai daripada
melaksanakan tanggungjawabnya di dunia ini.

f) Keimanan kepada Qadak dan Qadar


~Keimanan kepada Qadak dan Qadar ialah percaya dan yakin bahawa
setiap yang berlaku ke atas diri makhluk sama ada baik atau buruk
adalah ketentuan Allah S.W.T. Walau bagaimanapun manusia diberi
keupayaan untuk membuat pilihan tentang tindak-tanduknya ketika
hidup di dunia, kerana ketetapan itu berlaku di atas hukum sebab-
munasabah. Keimanan seumpama ini berupaya membentuk jiwa dan
kehidupan yang sentiasa bermotivasi untuk memperolehi sesuatu.

Aspek Kaedah Pelaksanaan dan Kesan

Apa yang dimaksudkan dengan aspek ini ialah kaedah pelaksanaan akidah
itu sendiri, dan bagaimana ia dapat bertapak serta memainkan peranan bagi
membentuk dan membangunkan tamadun Islam. Terdapat tiga prinsip yang
menjadi kriteria asas akidah iaitu aspek kesatuan, rasional dan toleransi.

i. Kesatuan
Akidah merupakan asas pegangan yang penting kepada kehidupan
manusia. Melalui pegangan akidah ini, manusia yang secara fitrahnya
diciptakan dengan pelbagai perbezaan fizikal, rupa paras, keturunan,
bangsa dan pangkat atau darjat akan dapat disatukan tanpa sebarang
halangan. Ini adalah kerana akidah meletakkan kepercayaan hanya
kepada Allah S.W.T. sahaja dan kehidupan berpaksikan dua sumber
utama iaitu Quran dan Sunnah. Melalui kaedah ini juga kesatuan
fikiran manusia dalam aspek kehidupan manusia dapat dibentuk
kerana masing-masing mempunyai matlamat kehidupan yang sama
iaitu mencari keredhaan Allah S.W.T.

ii. Rasional
Akidah tidak hanya didasarkan kepada kepercayaan yang bersifat
dogmatik semata-mata tetapi penggunaan rasional akal fikiran juga
memainkan peranan penting. Tujuannya adalah untuk membuktikan
kebenaran dan kesahihan akidah Islam itu sendiri. Contohnya
kewujudan tuhan secara rasional simbolik kepada kewujudan alam dan
segala hidupan di alam ini, kerana tiada sesuatu yang terjadi begitu
sahaja melainkan ada pencipta. Oleh sebab itulah Quran
menganjurkan agar manusia sentiasa menyelidik, mengkaji dan
memahami kejadian alam yang menjadi bukti keagungan Allah S.W.T.
Dalam hal ini terdapat beberapa aspek rasional yang boleh dijelaskan
bagi mencapai tahap kebenaran tersebut. Antaranya ialah:

~Menolak semua yang tidak bersesuaian dengan realiti.


Menolak segala bentuk pemikiran serta amalan yang bersifat khayalan,
tahyul, sihir, khurafat dan sesuatu yang berlawanan dengan akal fikiran
yang waras. Segala yang ada di alam ini tunduk pada satu ketetapan
iaitu sunnatullah.

~Menolak pertentangan antara akal dengan wahyu.


Quran merupakan wahyu daripada Allah S.W.T. yang tidak boleh
dipertikai dan diragui oleh hati dan akal fikiran manusia. Ia menjadi
pembimbing dan petunjuk kepada manusia untuk mencari kebenaran
dan ilmu pengetahuan yang boleh membangunkan tamadun. Semua
yang terkandung dalam wahyu ini tidak bercanggah dengan akal
manusia. Meletakkan kepercayaan kepada wahyu akan meningkatkan
lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

~Bersifat terbuka kepada penemuan baru.


Idea dan penciptaan baru ini hendaklah bersandarkan kepada perkara
berikut.
-tidak bertentangan denga Quran dan Sunnah dan akal manusia.
-tidak membawa kemudaratan dan kesengsaraan kepada makhluk di
alam ini.
-tidak menjerumuskan manusia ke arah kemaksiatan dan kebinasaan
dari segi moral dan tatacara hidup beragama; dan
-dapat menjadikan bukti keagungan Allah S.W.T. serta dapat
meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya.

iii. Toleransi
~Islam menuntut umatnya agar memiliki sifat toleransi. Bagaimanapun
sifat toleransi itu hendaklah berpegang dengan prinsip akidah dan
syariah. Oleh sebab itu berlaku interaksi yang baik dalam kalangan
orang Islam dijamin keselamatan dan hak-haknya, mereka hidup aman
dan damai serta bebas mengamalkan agama dan budaya mereka.
Berhubung hal ini Allah S.W.T. berfirman surah al-Ikhsan(109:4-6)
yang bermaksud:
“Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,
dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku
sembah. Bagimu agamamu, dan bagiku, agamaku”.

Syariah

Secara umumnya syariah membawa maksud undang-undang, peraturan-


peraturan dan ketetapan Allah S.W.T. Ia diperuntukkan kepada manusia bagi
mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya, hubungan manusia
sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam untuk mencapai
kesejahteraan, keamanan dan kedamaian di dunia serta kebahagian abadi di
akhirat kelak. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Jathiyah(45:18) yang
bermaksud:

“Kesudahannya kami jadikan engkau(wahai Muhammad dan utuskan engkau)


menjalankan satu syariat(yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama;
maka turutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang
yang tidak mengetahui(perkara yang benar)”.

Keistimewaan Syariah

Syariah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, antaranya ialah:

1. Lengkap dan sempurna;mengatur kehidupan manusia daripada


perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah perkara yang paling besar
bagi menjaga keejahteraan manusia;
2. Bersifat bersepadu; memiliki prinsip-prinsip perundangan yang
mengatur urusan keduniaan dan keagamaan tanpa batasan antara
satu sama lain;
3. Bersifat universal; tidak tetakluk kepada batasan kaum, iklim mahupun
sempadan geografi;
4. Keredhaan Allah S.W.T. sebagai matlamat pelaksanaan undang-
undang syariah.
5. Bersifat tetap dan tidak mengalami perubahan sehingga ke hari kiamat.

Akhlak

Akhlak dalam Islam bukan suatu teori, kerana konsepnya tidak sama
dengan konsep etika yang dibawa oleh barat. Akhlak dalam Islam ialah sikap
rohaniah yang memuliakan tingkah laku manusia terhadap Allah S.W.T. ,
terhadap diri sendiri dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan
serta petunjuk Quran dan Sunnah. Prinsip-prinsip akhlak Islam adalah mutlak,
bersifat universal, terperinci dan tidak boleh diubahsuai bagi memenuhi
kehendak manusia yang sentiasa berubah dan tidak sekata.

Dari segi etimologi, akhlak berasal dari perkataan Arab, iaitu kata
jamak(plural) perkataan al-khuluq yang bermaksud budi pekerti, tingkah laku
dan tabiat. Perkataan ini pula adalah pecahan daripada perkataan al-khalaq
yang bererti ciptaan. Quran menyatakan hakikat ini dalam surah al-
Sajdah(32:5) yang bermaksud:

“Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan


dimulakannya kejadian manusia berasal dari tanah”.

Manusia dicipta dengan penuh keindahan (sebaik-baik kejadian) .


Keindahan tersebut meliputi luaran(fizikal) dan dalaman(spiritual) diri
manusia. Keindahan ciptaan fizikal diistilahkan sebagai al-khalq seperti raut
muka, warna kulit, tinggi rendah tubuhnya dan sebagainya. Sementara
keindahan dalaman diri manusia terangkum dalam istilah al-khuluq yang
menggambarkan keindahan jiwa, meliputi kehendak, inspirasi dan
sebagainya.

Iman al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai sifat yang tertanam


dalam jiwa seseorang dan darinya terbentuk perbuatan dengan mudah tanpa
memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Apabila jiwa tersebut
menerbitkan perbuatan yang baik dan terpuji menurut akal dan syariah, ia
dinamakan akhlak yang baik atau sifat mahmudah. Sifat inilah yang menjamin
kebahagian hidup berkeluarga, kesejahteraan hidup bermasyarakat dan
keamanan dan keselamatan negara. Sekiranya perbuatan yang keluar adalah
buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk atau sifat mazmumah. Sifat ini
bercanggah dengan ajaran Islam dan antara sifat mazmumah ialah
menyekutukan Allah, menipu, dengki, iri hati, khianat, bakhil, tamak, pemalas
dan sebagainya.

Kepentingan Akidah

Akidah sebagai asas Islam. Tanpanya tidak tertegak Islam dan


kehidupan individu. Akidah yang rosak mengkibatkan runtuh pegangan Islan
seseoranng. Sesungguhnya Allah S.W.T. menurunkan wahyuNya memberi
penumpuan yang serius terhadap persoalan akidah supaya setiap orang
Islam selamat akidah dan sejahtera hidupnya.
Akidah memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan
hidup seseorang. Akidah adalah penggerak dan pencorak kehidupan. Akidah
yang lemah mempengruhi gaya hidup negatif seseorang.

Kepentingan Syariah

Prinsip Syariah bertujuan untuk menyelamatkan dan memelihara lima perkara


asas(dianggap sebagai darurat) dalam kehidupan manusia iaitu:

1. Memelihara agama
Agama Islam adalah teras tamadun Islam, justeru ia perlu
dipertahankan oleh penganutnya. Keistimewaan Islam sebagai agama
di sisi Allah telah disebutkan melalui firmanNya dalam surah al-
Ma’idah(5:3) yang bermaksud:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu,
dan Aku telah cukupkan kepadamu nikmatKu kepada kamu, dan Aku
telah redhai Islam itu menjadi agama bagimu”.
Sehubungan itu, seseorang yang telah memilih Islam, wajib bagi
mereka menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Antara
tanggungjawab mereka adalah memelihara kesucian agama Islam.
Justeru bagi menjamin supaya iman dan agama ini terpelihara, maka
Islam telah memperuntukkan undang-undang dan bentuk hukuman
yang sewajarnya bagi orang yang telah keluar dari agama Islam.

2. Memelihara nyawa
Hak menghidup dan mematikan adalah hak Allah. Hanya Allah
yg sebenar-benarnya berkuasa menentukan hidup dan mati
seseorang. Tiada sesiapa berhak mencabar hak tersebut.Islam
mengharamkan pembunuhan orang lain kecuali melalui jalan yang hak;
contoh; mempertahankan diri & hukum bunuh. Firman Allah swt: “
“Sesiapa yang membunuh orang tanpa kesalahan atau berbuat
kerosakan di bumi, maka seolah-olah ia membunuh manusia
seluruhnya” (Surah al-Maaidah: 32)
Juga haram bunuh diri sendiri. Firman Allah:“
“Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah itu
amat pengasih kepada kamu. Sesiapa yang melakukan demikian itu
secara ceroboh dan zalim, maka kami (Allah) akan membakarnya
dengan api neraka, yang demikian itu amat mudah bagi Allah” (Surah
al-Nisa’ : 29 &30)
Cara-cara Islam dalam menjaga hak-hak hidup adalah seperti
menjaga kesihatan & melawan penyakit, pengharaman perkara yg
memudharatkan (dadah, arak dll), pengharusan setiap keperluan
dalam hidup(air,rumah dll).

3. Memelihara akal
Pemeliharaan akal wajib; kerana akal lambang kesempurnaan
manusia berbanding makhluk yg lain. Antara cara memelihara akal
adalah Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu bagi membentuk
pemikiran seperti yang dirujukan daripada Sabda Nabi Muhammad
saw:
“Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad” (HR
Muslim), dan Islam mengharamkan makanan & minuman yang
memabuk dan mengkhayalkan; mabuk menukarkan manusia menjadi
seperti binatang.
4. Memelihara kehormatan dan keturunan
Nabi Muhammad menerangkan:
“Wahai Manusia sesungguhnya tuhan kamu satu (tunggal) dan
kamu berasal daripada Adam dan Adam berasal dari tanah”. (HR al-
Bukhari & Muslim)
Islam memelihara keturunan manusia dengan kawalan seperti
Islam mensyariatkan perkahwinan & meletakkan Undang-undangnya
yg terperinci, dan pencegahan seperti Islam haramkan Khalwat, zina,
seks bebas, luar tabii dsb.

5. Menjaga harta benda


Kekayaan bumi bukan milik tertentu, setiap orang berhak
menurut usaha dan kemampuannya.Firman Allah:
“Allah yang telah memudahkan bagi kamu lautan, supaya kamu
boleh belayar padanya dengan kapal-kapal dengan izinnya, dan
supaya kamu mencari daripadanya kekayaannya, dan supaya kamu
berterima kasih, dan ia memudahkan bagi kamu apa-apa yang di langit
dan apa-apa yang di bumi semuanya” (Surah al-Jaathiyah:12-13)
Islam juga mengiktiraf hak pegangan harta org bukan Islam dlm
negara Islam dan memberi mrk kebebasan dlm bidang ekonomi sama
spt hal org Islam.
Penjagaan Islam terhadap hak harta melalui kawalan Undang-
undang Ekonomi & Muamalat Islam dan pencegahan jenayah curi &
rompak.

Kepentingan Akhlak

Tamadun Islam sangat menitikberatkan persoalan akhlak kerana


pembentukan akhlak mampu melahirkan modal insan yang berpeibadi mulia
iaitu sepadu dan seimbang antara keperluan rohani, jasmani, mental dan
emosi. Manusia tanpa akhlak yang baik akan hilang sifat dan taraf
kemanusiaannya, dan tiada bezakan dengan haiwan bahkan lebih teruk
daripada haiwan.

Akhlak juga mempunyai hubungan secara langsung dengan kualiti


keislaman dan keimanan seseorang. Ini bermakna seeorang yang memiliki
ketinggian akhlak, mempunyai darjat keislaman dan keimanan yang jitu.
Ironinya, banyak tamadun yang musnah disebabkan oleh kepincangan dan
kerosakan akhlak manusia. Oleh itu, Islam menyusun dengan begitu rapi
sistem dan kaedah akhlaknya. Perutusan Nabi Muhammad S.A.W. itu sendiri
simbol kepda kepentingan akhlak dalam Islam sebagaimana dinukilkan dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang


mulia”.
Penutup

Islam adalah agama yang bersifat sejagat, untuk seluruh manusia.


Kemunculannya telah memberi sinar baru kepada dunia yang malap dengan
nilai-nilai jahiliyah kepada dunia petunjuk dan rahmat. Islam telah membawa
perubahan kepada tamadun manusia dengan bertunjangkan akidah,
berpaksikan perlaksanaan syariah dan dihiasi dengan nilai-nilai akhlak mulia.

Kemunculan Islam sebagai way of life telah membentuk tamadun


besar dunia serta memberi sumbangan kepada kebangkitan Eropah dan
dunia keseluruhannya. Segala perlakuan manusia sebagai penggerak
tamadun mestilah berteraskan Quran dan Sunnah di samping memanfaatkan
sumbangan intelektual muslim dalam membangunkan dunia sejagat.

Anda mungkin juga menyukai