Anda di halaman 1dari 6

Ibu Mithali (Cerpen)

PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkalung
pingat "Ibu Misali". Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil.
Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan.

Anaknya setia melangkah di sisi."Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema


kembali, "Tibalah kita kepada penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir. Penerima ini
agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah
Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan
ibunya. Dipersilakan. "Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil
tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam
manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam
lingkungan usia 60-an untuk bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas?
Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga
menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput? Hampir lima minit kemudian,
barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga
merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke
pentas.Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima
sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang
kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.'Pelik sungguh ibu yang seorang
ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang
pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan,
sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang
dipakainya.'Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.

Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku
menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam
keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya
masih dapat bertahan.Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar
dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan
masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah
pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam.Aku tersenyum dan
mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman
dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku
mencari posisi yang paling selesa."Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke
hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-
gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur
yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang penerima anugerah "Ibu
Misali" tahun ini."

Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan


gadis itu."Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu
meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa
yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang, disisihkan oleh ibu sendiri, dan
diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya"
"Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik
dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar
lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak
kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin
lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan,
pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga "Ibu Misali" yang baru
menerima anugerah sebentar tadi."

Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran."Inilah dia abang-abang dan kakak-
kakak saya!" suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa
kekaguman."Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang
merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu,
ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang.
Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak.""Seperti yang
tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abangabang dan,
kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung,
seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-
pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun."

Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton
video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya."Untuk pengetahuan semua, abang-
abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun
telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum
dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan,
pakai mereka."

"Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang,
dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati
melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya
disuruh buat semua itu sendiri.""Mirah dah besar, kan? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah
sendiri, kan?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu
telah menyemarakkan api radang saya"Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak
buat segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu
berkira!""Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!"
Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka."

"Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua anggota
mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang
betulnya, mereka malas, mak!""Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan
menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi,
kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya."Apabila difikirkan kembali, saya
merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau
saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan
atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.

Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika
makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas
tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja
mencubit atau menampar mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat
saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-
abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup
saya.""Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya pernah
mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.

"Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain.
Mirah pun takkan rasa terganggu lagi.""Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang
patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap kali
saya mencadangkan hal itu."Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi
pendirian mak.

Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang
telah sedia terentang di hadapannya.""Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya,
semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat
bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan
untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.

Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak
sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak
makan, dan menukar kain lampin mereka." Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih
khusyuk mendengar cerita gadis itu."Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama
abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup
menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar
kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang
Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka.
Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya
dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air. Penat saya
membersihkannya. " "Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh
saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri
ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila
fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan.

"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak?
Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi
Mirah, bukan mak.""Mirah!" Ibu merangkul saya. "Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang
ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah.""Lazimnya ibu akan
membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak.
Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak
yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak
dapat menjaga seorang anak normal.Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan
kami.""Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas.
Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun,
dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di
hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu
rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain.""Sayang apa?
Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah
seperti hamba di rumah tu?"

"Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak
membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-
kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah,
abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah.""Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya
masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah."Mak jarang-jarang mengadu
keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana
Mirah melaksanakan suruhan mak.""Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata
ibu.""Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat
meringankan penderitaan mak.Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan
beban mak.""Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu.""Ibu rasa, apa yang telah mak
beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri.
Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah
dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga.
Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu
tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima
hadiah.""Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak
mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu.""Saya meninggalkan rumah
ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak
mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan
kesedaran baru."

"Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang
belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh
sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah.
Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. ""Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan
bunyi ketukan di pintu bilik saya. "Mirah.""Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam
mata, pura-pura tidur.""Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Mirah
dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak
semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda
untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak
janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga
abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah".

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara
mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika
itu."Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak."Suatu titisan air mata
gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-
titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya."Walau apa pun tanggapan
Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana
dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah
telah. ...""Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir
antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis.

\Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap
mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya
mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan,
menyayangi mereka.Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak
gadis itu berbicara.Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah
lima, saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah
sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut."Kenapa Mirah tolak tawaran
itu?""Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan
sempurna?""Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan
daripada abang-abang dan kakak-kakak! ""Mirah tak menyesal ke, kemudian hari
nanti?"Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang
saya."Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.

"Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak,
ayah, abang-abang dan kakak-kakak. ""Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah?
Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan
saya."Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di
sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin.Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut
mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih
terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk
terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik. Selama di
sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerjakerja
memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-
kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri
untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.Gadis yang
bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan
hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat."Saya terpaksa juga
meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya
pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di
samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk
abang-abang dan kakak-kakak. ""Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka,
sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung
ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara
pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya.""Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih
bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh
apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah.""Apa akan jadi kepada
kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?" suara mak diamuk pilu.Ayah akan
mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?""Mirah
bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan
abang-abang dan kakak-kakaknya.""Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan
membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang
mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan
tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka,
juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang
sama, tangan mak."Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu,
tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya
wanita turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan
anugerah "Ibu Misali" dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya.
Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak
akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada
orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak "Ibu Misali" yang
lain."Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak
duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun
berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak
ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah.""Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke
saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk
menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak
mendengar pengisahan "Ibu Misali" pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan
yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-
anak adalah amanah Tuhan.""Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak
untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan
ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-
senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang comel, segar-bugar serta sempurna
fizikal dan, mental.""Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan
saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah
seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi
semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak.""Sekian, wassalamualaikum
warahmatullah. "

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.Penku telah lama terbaring. Buku
notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku.
Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh
pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap
gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya yang telah
menarik perhatian wartawan-wartanan lain.'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau
seharusnya berusaha mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.'
Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.Lantas, aku mengesat air mataku. Aku
menyelak buku notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku
capai penku semula."Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang
tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri Salwa
Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan "Ibu Misali" untuk
menyampaikan anugerah "Ibu Misali" serta beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah
Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri dipersilakan."Nurul Humairah membantu maknya bangun.
Kemudian, dia memimpin maknya melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa
Najwa. Lutut maknya menggeletar.

Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya dia terduduk kembali di
atas kerusi.Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang
mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan
beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung.Tepukan gemuruh bergema dari
segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seorang demi seorang penerima anugerah "Ibu
Misali" sebelumnya, naik ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah.
Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir itu.

Anda mungkin juga menyukai