Anda di halaman 1dari 7

Kepentingan Pemuliharaan Warisan Kebudayaan di Negara Malaysia oleh

Farah Shaqhirah Binti Robert Raja

“Warisan kebudayaan negara merupakan khazanah yang sangat tinggi nilainya dan

wajar dipelihara oleh generasi masa kini” petikan ucapan Yang Berhormat Dato’ Seri

Utama Dr. Rais Yatim ketika merasmikan Perasmian Hari Muzium Negara pada tahun

2009 ini menggambarkan betapa pentingnya pengekalan budaya dan seni warisan di negara

Malaysia waimah di seluruh dunia sekali pun. Skop definisi warisan terlalu besar untuk

ditakrifkan. Pendapat para sejarahwan, golongan intelektual hatta masyarakat secara amnya

juga wajar dipertimbangkan dan diambil kira untuk menentukan takrifan yang paling tepat

bagi menjelaskan kewujudan warisan kebudayaan ini sebagai satu entiti penting dan

sewajarnya diberi perhatian yang serius. Namun begitu, pendefinisian yang telah digariskan

oleh Jabatan Kebudayaan Negara sudah cukup untuk menjelaskan betapa agungnya warisan

kebudayaan yang terdapat dalam ruang lingkup masyarakat di negara ini. Warisan

ditafsirkan sebagai sesuatu yang diwarisi daripada generasi yang terdahulu. Warisan

merupakan khazanah negara yang pernah atau sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu

kelompok masyarakat mahupun manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama

untuk dilindungi dan dikekalkan. Entiti ini meliputi ilmu, pengetahuan dan kepakaran yang

diwariskan melalui cara hidup, kepercayaan yang dijelmakan melalui objek budaya serta

berperanan untuk menggambarkan memori keseluruhan hidup masyarakat serta

melambangkan ketamadunan sesuatu masyarakat itu. Kerajaan di bawah pimpinan Yang

Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Razak amat menekankan peri pentingnya

pemuliharaan dan pengekalan warisan kebudayaan sebagai satu anugerah yang mampu

membawa negara ke tahap yang lebih tinggi suatu masa nanti. Akta Warisan Kebudayaan

yang digubal menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan yang kian prihatin terhadap

kondusi peninggalan sejarah yang semakin usang dimamah usia. Undang-undang ini adalah
suatu Akta yang memberi peruntukan bagi pemeliharaan Warisan Kebangsaan, Warisan

Kebudayaan Ketara (Tangible Cultural Heritage), Warisan Kebudayaan Tak Ketara

(Intangible Cultural Heritage) dan warisan semula jadi. Akta ini turut menjelaskan beberapa

skop warisan kebudayaan iaitu, tapak warisan, objek warisan, warisan orang hidup dan

warisan kebudayaan bawah air. Walau bagaimanapun, arus modenisasi yang dinikmati oleh

negara kini telah merobek keprihatinan rakyat itu sendiri untuk menghargai dan menghayati

kepentingan pengekalan warisan kebudayaan sebagai salah satu identiti nasional yang

menjadi teras kehidupan berlandaskan acuan moralisasi tersendiri.

Warisan kebudayaan amat penting khususnya bagi menjana ekonomi negara. Dalam

tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), penekanan yang lebih akan diberikan

kepada pembangunan budaya, seni dan warisan. Penekanan ini selaras dengan Misi Negara

untuk membangunkan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berdaya saing

dari segi ekonomi, tetapi juga berketerampilan progresif dan bernilai murni termasuk nilai

budaya positif. Industri berkaitan kebudayaan, kesenian dan warisan terutamanya kraf juga

akan digalakkan sebagai satu sumber pertumbuhan ekonomi. Penghayatan terhadap budaya,

seni dan warisan akan dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan

negara yang lebih besar dalam membina kesedaran terhadap sejarah dan warisan serta masa

depan untuk dikongsi bersama oleh semua rakyat Malaysia. Pertumbuhan ekonomi negara

yang tidak stabil mendorong pelbagai pihak untuk bertindak dan melontarkan buah fikiran

yang mampu membantu memulihkan situasi kurang enak ini. Dunia melihat pembangunan

yang dinikmati negara sebagai salah satu peningkatan yang memberangsangkan, bukan

sahaja dari sudut pembangunan ekonomi, bahkan turut meluputi jaminan kebudayaan yang

lebih unggul. Pengekalan budaya dalam erti kata lain perhatian yang lebih terhadap usaha-

usaha memulihkan artifak, monumen dan bangunan bersejarah merupakan tindakan bijak
yang digarapkan oleh pihak kerajaan dalam memastikan warisan terbabit bukan sahaja

membawa keuntungan besar buat negara, malah turut meningkatkan taraf hidup rakyat di

negara ini. Memetik ucapan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi

ketika Majlis Penyerahan Watikah Georgetown dan Melaka di Dataran Merdeka pada 23

November 2008 yang mengatakan bahawa pengiktirafan Melaka dan Georgetown sebagai

Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah kategori kebudayaan mampu memberi lonjakan

ekonomi kepada negara. Sektor pelancongan berpotensi untuk melonjak naik dan

peningkatan yang memberangsangkan itu mampu membawa sinar baharu terhadap

keutuhan ekonomi negara dalam jangka masa panjang. Analisis kajian turut menunjukkan

bahawa, tapak warisan yang mendapat pengiktirafan terbabit akan berupaya mencatatkan

kedatangan pelancong atau pelawat sehingga 30 peratus pada tahun pertama. Selain Melaka

dan Georgetown, Taman Negara Kinabalu (Sabah) dan Taman Negara Mulu (Sarawak)

telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia kategori Tapak Semulajadi pada tahun 2000.

Perkembangan positif dalam usaha mengekalkan warisan kebudayaan negara ini jelas

memberikan impak positif terhadap pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Pelbagai kemudahan telah diberikan bagi tujuan membaik pulih warisan

kebudayaan negara. Misalnya, peruntukan sebanyak RM 50 juta kepada Kementerian

Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam Bajet 2009 wajar dimanfaatkan

sebaik-baiknya untuk pemeliharaan dan pemuliharaan warisan ketara dan tidak ketara yang

terdapat di Malaysia. Pembangunan budaya dan kesenian tempatan dilihat kerajaan sebagai

salah satu inisiatif ulung bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengekalkan

kelestarian warisan, sekali gus menjamin kesinambungan tamadun. Takkan Melayu hilang

di dunia, begitulah ungkapan yang acap kali didengari, malahan menjadi salah satu teras

utama dalam memperkenalkan kebudayaan Melayu dalam kalangan generasi muda masa
ini. Ketamadunan membuktikan kemajuan sesebuah masyarakat yang dikaitkan dengan

pencapaian mega, khususnya dari sudut sains dan teknologi. Kepelbagaian warisan

kebudayaan yang terdapat kini, sebagai contoh seni tampak, seni lukis dan seni kebudayaan

membuka mata pelbagai pihak tentang keunikan yang ditonjolkan dalam entiti yang

menjadi warisan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Kepentingan pemulihan warisan

yang cukup bersejarah ini sentiasa diwar-warkan, malahan menjadi buah mulut para

intelektual dan para pemikir. Ironinya, sesetengah anak muda kini tidak lagi melihat karya-

karya sejarah seperti kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, keunggulan Bahasa

Melayu selaku bahasa lingua franca suatu ketika dahulu dan tamadun-tamadun awal yang

sudah sekian lama wujud dan bertapak di negara ini sebagai pembakar semangat untuk

menumpahkan sepenuh taat setia kepada negara. Mereka lebih mengagung-agungkan

budaya luar yang semakin dominan serta berpotensi untuk meracuni minda anak-anak

muda supaya melupakan kebudayaan timur yang diwarisi oleh mereka. Natijahnya,

generasi tonggak pembangunan negara ini kian hanyut dalam era ciptaan mereka dan

ketamadunan nenek moyang mereka kian pudar, bahkan semakin jauh daripada kehidupan

yang berlandaskan pegangan agama dan tatasusila yang mapan. Pada masa yang sama, ibu

bapa perlu memainkan peranan bukan sahaja selaku pemerhati bahkan menitipkan

secangkir pengetahuan buat anak-anak remaja agar tidak terus dibuai dengan budaya-

budaya negatif dan tidak bertamadun. Sebaliknya, ketamadunan bangsa yang dipamerkan

melalui warisan budaya yang pelbagai ini seharusnya menjadi rencah dalam kehidupan

seharian.

Aspirasi satu Malaysia sudah tidak asing lagi dalam diri setiap insan yang bergelar

warganegara. Setiap aspek kehidupan dikaitkan dengan aspirasi terbabit dan membentuk

pemikiran bahawa perpaduan amat penting seraya wajar dijadikan agenda peribada setiap
pihak. Pengekalan dan pemuliharaan warisan kebudayaan tidak terkecuali dalam usaha bagi

menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini. Umum mengetahui

bahawa negara kita terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, budaya dan adat resam. Tidak

dapat dinafikan agenda perpaduan menjadi tunjang utama dalam memastikan keamanan

negara akan sentiasa berkekalan. Bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh, semua

rakyat harus bersatu padu bagi mencapai hasrat terbabit. Persoalannya, bagaimanakah

keamanan tersebut boleh dikekalkan? Pelbagai usaha berupaya dilaksanakan dan salah

satunya ialah mendekatkan diri masyarakat dengan kepelbagaian warisan budaya yang

terdapat di Malaysia. Justeru, pengekalan warisan ini penting bagi mengelakkan salah

faham berlaku, sekali gus meningkatkan jurang perbezaan antara kaum. Rakyat Satu

Malaysia dan identiti bangsa Malaysia yang diselitkan dengan kefahaman tentang perkara-

perkara asas dalam kebudayaan satu-satu bangsa, mampu mengukuhkan perpaduan yang

menjadi syarat utama dalam mencapai kemerdekaan negara lagi. Pemupukan perpaduan

nasional tidak berlaku dalam situasi utopia atau segalanya sempurna. Perlu ada

pengorbanaan, umpama bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Peruntukan

yang dijana kerajaan dalam hasrat untuk membaik pulih peninggalan warisan di negara ini

merupakan pelaburan masa hadapan yang tidak akan menemui titik kerugian. Bahkan, para

arkeologi akan terus menjalankan kajian di tapak-tapak warisan terbabit bagi mendapatkan

penemuan-penemuan baharu yang lebih bersifat global. Isu perpaduan yang ditimbulkan

bersifat universal dan harus dipandang secara analitikal oleh semua pihak. Perkaitan antara

warisan ini dan perpaduan negara begitu ketara dalam mengasimilasikan kebudayaan

pelbagai kaum sebagai salah satu elemen dalam menjalani kehidupan sebagai bangsa

Malaysia. Tak kenal maka tak cinta. Oleh hal yang demikian, warisan-warisan ini

sepatutnya dikekalkan untuk dipelajari serta diteladani oleh generasi masa akan datang. Hal

ini penting dalam memastikan perpaduan negara akan terus berkekalan.


Dalam tempoh RMKe-9, usaha yang berterusan akan diambil untuk membangun

dan meningkatkan kualiti warisan kebudayaan Malaysia. Usaha ini meliputi penyelidikan

dan pembangunan mengenai kaedah baharu bagi meningkatkan kemahiran pertukangan

serta membangunkan reka bentuk dan teknologi baru. Usaha mempromosi tapak warisan di

pasaran tradisi dan baru akan dilaksanakan secara meluas dengan kerjasama sektor swasta.

Oleh hal yang demikian, pemulihan artifak dan monumen milik negara akan berupaya

mengindustrikan budaya bukan sahaja di dalam, malah di luar negara. Industri budaya ini

membolehkan negara mengetengahkan kebolehan dan keistimewaan yang dimiliki untuk

dinilai oleh masyarakat luar. Hal ini membolehkan kita duduk sama rendah dan berdiri

sama tinggi dengan negara-negara maju lain di dunia. Meski pun berdepan dengan pelbagai

krisis yang tidak menentu, pengindustrian budaya ini diyakini mampu mencetuskan

revolusi baru dalam pembangunan ekonomi berteraskan pemuliharaan dan pemeliharaan

warisan kebudayaan negara. Malaysia mempunyai sumber budaya yang kreatif dan luas

dalam bidang seni persembahan, seni halus dan seni tampak, kaligrafi Islam dan penulisan

Jawi, filem, pendidikan seni, kesusasteraan dan kraf yang boleh dimajukan dan diterokai.

Dalam tempoh RMKe-9, potensi ekonomi industri budaya kreatif akan terus dibangunkan

melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Bagi memudahkan pembangunan

industri ini, kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif dan pihak industri

akan digalakkan untuk menggunakan pelbagai kemudahan di peringkat negeri seperti pusat

kebudayaan dan galeri untuk menjayakan aktiviti mereka. Pengenalan terhadap

pengindustrian budaya ini dilihat sebagai suatu capaian yang menarik dan wajar diteliti

dengan sedalam-dalamnya oleh semua pihak. Warisan kebudayaan yang dipulihara oleh

pihak kerajaan ini mampu merealisasikan hasrat dan garapan untuk mengindustrikan

budaya yang menjadi kebanggaan penduduk di negara Malaysia.


Konklusinya, terdapat banyak kepentingan pemuliharaan warisan budaya di negara

ini. Perkara ini harus dinilai daripada prespektif sarwajagat agar semua pihak mengamalkan

budaya cakna dalam memulihara warisan terbabit. Kejayaan dan hasil daripada usaha

terbabit bakal menjadi indikator dalam menentukan pencapaian yang telah diterima oleh

negara sejak dahulu hingga kini. Proklamasi tentang kepentingan pemuliharaan artifak,

monumen dan bangunan bersejarah wajar diwar-warkan. Sekiranya terdapat pihak yang

terlepas pandang, hatta tidak memainkan peranan tersendiri sekali pun, maka perkara

terbabit akan menatijahkan variasi dampak yang negatif terhadap kebudayaan, kesenian

serta warisan negara Malaysia yang tercinta ini.