Anda di halaman 1dari 3

Detik awal sinar Islam di alam maya ini bermula dengan pancaran cahaya wahyu Ilahi

melalui kalimah Iqra bermaksud ‘Bacalah’ dan melambangkan ilmu yang di dalamnya
terangkum makna membaca, mengkaji, menyelidik dan berfikir.
Istilah ‘ilmu’ yang menjadi teras sistem nilai dalam Islam dan menduduki tempat tinggi
mempunyai hubungan rapat dengan istilah ‘buku’ yang menjadi sumber kepada ilmu dan
pengetahuan.
Di dalam buku terkandung khazanah intelektual, dokumentasi pengekalan warisan dan
budaya serta idea besar, yang kadang-kala menjadi pencetus bahaya mengakibatkan
peperangan atau diharamkan atas sebab idea yang dilontarkan pengarangnya. Namun, buku
saja tetap akan tinggal sebagai buku jika tiada proses perpindahan ilmu yang ada di dalamnya
ke dalam minda manusia melalui proses dikenali sebagai pembacaan.
Pembacaan dengan kata lain seharusnya membawa kepada kesahihan ilmu yang dapat
membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Melalui wahana inilah usaha keilmuan dapat
membangunkan intelektualan, membentuk budaya berfikir yang kreatif dan dinamis yang
akhirnya melahirkan masyarakat progresif.
Dalam peradaban Islam, buku adalah kekasih dan teman paling setia dalam memimpin
ke arah kebenaran dan membentuk kemajuan unggul. Sikap orang Islam ketika itu yang
mencintai buku jelas dilihat daripada kehidupan seharian mereka terutama ketika mereka
berbicara. Membaca buku bagi mereka yang mencintai ilmu sama seperti berkomunikasi
dengan teman yang begitu setia untuk mendengar.
Profesor Ahmad Shalaby dalam bukunya bertajuk Sejarah Pendidikan Islam ada
menyatakan, dalam sejarah Islam pernah diriwayatkan apabila seseorang berbicara mengenai
buku, maka pendengarnya akan mengira bahawa dia sedang berbicara mengenai seseorang
yang amat setia dan jujur, seorang kekasih yang sudah lama tidak bertemu atau seorang
pemimpin yang memimpin ke jalan kebenaran dengan satu tujuan yang suci murni.
Dalam buku itu, beliau juga telah menulis satu bahagian khusus mengenai hubung kait
buku dan perpustakaan. Pada zaman Harun al-Rasyid, iaitu kemuncak perkembangan ilmu di
bumi Arab terutama apabila Baitul Hikmah iaitu perpustakaan dan juga sebuah pusat
penterjemahan mula beroperasi.
Di sinilah tempat berkumpul segala ilmu yang didapati daripada tamadun luar seperti
kaedah mantik atau logik dari tamadun Yunani, penghasilan kertas daripada tamadun China dan
ilmu nombor diambil daripada tamadun India. Ilmu yang dikumpulkan itu terus dikaji dan
diselidiki dengan lebih mendalam, juga diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan dihasilkan
semula dalam bentuk buku untuk dimanfaatkan semua.
Bagi pencinta ilmu, buku adalah pasangan paling setia. Ke mana saja mereka pergi akan
tetap ditemani pasangannya ini. Al-Jahiz, seorang ulama besar Islam yang mempunyai
komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan sehingga mati tertindih oleh bukunya pernah
berkata ‘buku itu akan diam bila engkau menyuruhnya diam. Dia tidak akan mengganggumu
jika engkau sedang bekerja. Tetapi apabila engkau diulik kesepian, dialah teman yang akan
menjadi temanmu paling baik’. Dalam mencari buku yang boleh dijadikan pasangan atau
teman, aspek kualiti perlu diberi perhatian sewajarnya.
Buku karya besar atau agung dalam pelbagai tradisi bangsa dan peradaban manusia
penting terutama dalam memanusiakan pembaca kerana ia mewakili tradisi dan perkembangan
pemikiran dan intelektualisme sesuatu bangsa.
Sejarah juga membuktikan hanya dengan ketinggian budaya ilmu, sesuatu bangsa dapat
mempengaruhi negara dan bangsa lain yang lebih besar dan kuat. Kefahaman kepada idea dan
gagasan besar yang dilontarkan adalah antara usaha manusia untuk memahami dan
menghayati kebijaksanaan santapan mental dan rohani manusia.
Ahli sufi klasik tersohor, Muhyiddin Ibnu Arabi, pernah menceritakan mengenai
penghargaan seorang ulama mengenai buku: “Belum pernah ku melihat kebun buah-buahan
yang dapat diletakkan di lengan baju atau taman bunga yang dibawa dalam pangkuan”.
Dalam sejarah peradaban Islam, buku berperanan sebagai terapi atau dikenali sebagai
biblioterapi. Bagi ulama pencinta ilmu, mereka akan meletakkan buku di atas kepala untuk
menghilangkan sakit kepala atau demam.
Jika hilang rasa sakit, mereka akan terus membaca buku berkenaan.Antara buku dan
budaya menulis, dua perkara tidak dapat dipisahkan sebagaimana Saidina Ali pernah berkata:
“Ikatlah ilmu dengan menulisnya”.
Prof Hamka juga berkata, jika seseorang sudah mencapai tahap membaca yang tinggi,
secara semula jadi akan terpanggil untuk memindahkan ilmu pengetahuan yang didapatinya
dalam bentuk penulisan. Ini jelas dilihat dalam diri Prof Hamka sebagai seorang ulama,
sasterawan, pemikir dan penulis.
Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas ,di dalam pendahuluan bukunya bertajuk A
commentary on the Hujjah al-Siddiq of Nur-Din al-Raniri menyatakan, ‘sumbangan yang abadi
yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah
buku kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan
pemikiran dan tindakan manusia lupus.’ Dalam hal ini, buku berperanan sebagai penzahiran
pemikiran seseorang melalui tulisan.
Sebagai contoh, Syed Sheikh al-Hadi, seorang tokoh pembaharuan Islam yang hidup
sezaman dan seangkatan dengan Muhammad Iqbal, pemikir Islam tersohor dari Pakistan.
Sifatnya yang agak positif dengan Barat sering disalah ertikan. Beliau menyarankan ajaran Islam
harus menerima idea dan falsafah Barat supaya umat Islam boleh mengecapi kemajuan dan
bersaing dengan bangsa lain.
Bagi beliau, wadah terpenting dalam menyampaikan idea ialah melalui kaedah
penulisan sama ada buku ataupun majalah. Hal ini boleh digunakan untuk mengejutkan umat
Islam di Tanah Melayu dari tidur untuk bangkit menebus kemunduran masa lalu. Bagaimanapun
hal itu masih tidak diberi perhatian serius hingga ke hari ini.
Oleh itu, tidak hairanlah walaupun Malaysia kaya dengan hasil buminya namun anak
watan, khususnya bangsa Melayu masih tidak dapat memanfaat sepenuhnya lantaran
kekurangan pengetahuan mengenai bagaimana semua itu dapat digunakan.
Rasulullah SAW pernah menyatakan mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam
kehidupan sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Bila kamu menghendaki hidup
berjaya di dunia hendaklah kamu berilmu dan bila kamu menghendaki hidup berjaya di akhirat
hendaklah berilmu dan bila kamu menghendaki kedua-duanya hendaklah juga kamu berilmu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Buku sebagai khazanah ilmu pengetahuan perlu diberi kedudukan tinggi kerana di
dalamnya tersimpan rahsia kehidupan dan kunci kemajuan. Nilai terkandung dalamnya akan
mencorak kehidupan manusia dan telah banyak mempengaruhi golongan pemikir, pemimpin,
ilmuwan dan ulama.
Sikap mementingkan ilmu melalui membaca akan memajukan manusia dalam seluruh
aspek kehidupan termasuk budaya, kemanusiaan dan adab. Bagaimanapun, budaya ilmu tidak
hanya terbatas di sekolah atau universiti, malah perlu dikembangkan dalam kehidupan
masyarakat.
Apabila budaya ilmu menjadi sebahagian hidup mereka, konsep penghidupan tidak lagi
untuk hidup semata-mata tetapi memberi keutamaan kepada pentingnya memburu ilmu,
menambah ilmu untuk meningkatkan corak pemikiran atau intelek sebagai satu keperluan
dalam menghadapi cabaran hidup.
Seorang penyair Arab yang terkenal pada zaman Abbasiah, Al-Mutanabbi berkata:
‘Teman yang paling mulia sepanjang zaman adalah buku.’