Anda di halaman 1dari 4

Menulis Perlukan Semangat Tinggi

Semangat yang tinggi untuk berlatih menulis

Dalam sehari berapa lama pelajar menulis? Baiklah, saya silap memberikan soalan, dalam
seminggu berapa kalikah pelajar menulis? Sekali? dua kali atau lebih daripada empat kali?
Menulis sama juga seperti kemahiran yang lain harus dilakukan berulang kali untuk mencapi
satu tahap kelancaran yang tertentu. Pelajar harus menulis sepanjang masa. Mungkin menulis
boleh dimulakan dengan sekali seminggu atau mungkin 30 minit setiap hari kemudian ditambah
sehingga menjadi 40 minit setiap hari.

Semangat yang tinggi untuk menulis biasanya akan dijelmakan dalam bentuk kekerapan pelajar
melakukan aktiviti menulis. Biasanya kalau pelajar itu tidak boleh menulis, saya sudah mampu
jangkakan bahawa dia tidak suka menulis dan tidak banyak menghabiskan masa dengan
menulis. Bukan sahaja menulis dalam bentuk karangan tetapi dalam apa-apa bentuk sekali pun.
Pelajar masih tidak mengerti bahawa untuk menulis anda harus menulis. Setakat menghafal
fakta karangan tidak akan membawa anda kemana-mana dalam penulisan. Bayangkan anda
membaca buku panduan tentang cara-cara belajar menaiki motosikal tetapi anda tidak pernah
menaiki motosikal. Adakah anda yakin anda boleh terus menunggang motosikal dengan hanya
membaca buku panduan itu sahaja?

Semakin lama pelajar menulis semakin mahir mereka akan kelebihan dan kekurangan pelajar
dalam sesuatu penulisan itu. Kefahaman tentang kelebihan dan kekurangan ini akan
menjadikan teknik penulisan pelajar lebih mengkhusus dan baik. Manusia belajar tentang
sesuatu perkara menerusi kekerapan mereka melakukan proses yang menghasilkan perkara
tersebut. Kadangkala konsep ini dikaitkan dengan latihan yakni semakin banyak latihan dibuat
seseorang itu akan menjadi lebih biasa dan mampu melakukan perkara tersebut dengan lebih
baik lagi.

Pelajar yang boleh menulis biasanya ialah pelajar yang sanggup menghabiskan masanya
menulis. Pada peringkat awal mungkin mereka hanya mampu menulis selama sepuluh minit
tetapi lama kelamaan menjadi 20 minit dan seterusnya mungkin 40 minit. Semakin lama mereka
menulis semakin mahirlah mereka untuk menghasilkan apa-apa bentuk penulisan tidak
termasuk karangan sahaja. Bayangkan jika pelajar semua sanggup dan berlatih dengan baik.
Menulis Memerlukan Kemahiran
Berfikir Secara Kritis
Kemahiran untuk berfikir secara kritis sesuatu topic

Bagaimana hendak berfikir secara kritis tentang sesuatu topik itu? Ini satu persoalan yang sukar
untuk dijawab oleh kebanyakan pelajar kerana mereka tidak suka berfikir lalu menganggap
berfikir membuang masa sahaja. Namun berdasarkan pengalaman saya dalam bidang
penulisan, konsep berfikir inilah yang mencetuskan sesuatu idea untuk menulis. Semakin bagus
seseorang pelajar itu berupaya untuk berfikir maka semakin baguslah penulisannya kelak
kerana ideanya akan jelas dan matang ketika menghuraikannya.

Buat pelajar kemahiran berfikir ini perlu dimiliki terlebih dahulu sebelum mampu menulis. Untuk
menulis, pelajar harus mengenal pasti masalah itu dan melihatnya daripada dua kemungkinan
yang wujud. Pertama kesan masalah itu dan cara-cara untuk mengatasinya. Konsep kesan dan
cara mengatasinya merupakan dua skop peperiksaan yang sering ditanya. Jika pelajar faham
dua konsep utama ini, pelajar seharusnya sudah boleh berfikir tentang aspek-aspek yang
menjurus kepada kesan dan cara ini.

Biasanya untuk mendidik seseorang pelajar itu berfikir secara kritis, konsep pertanyaan harus
dijadikan asas perbincangan. Pelajar harus sedar bahawa semua tajuk yang ditanya boleh
dilihat daripada dua sudut secara umum yakni positif atau negatif. Baiklah ambil contoh
karangan tentang internet. Sudah pasti ada dua kesimpulan umum yakni kebaikan dan
keburukan internet. Selalu fokus kepada dua kemungkinan tentang sesuatu perkara itu.
Kewujudan dua kemungkinan ini memaksa pelajar untuk berfikir secara mendalam dan
serentak tentang sesuatu perkara tersebut.

Buat pelajar yang mampu berfikiran kritis, mereka akan cuba menghuraikan perkara-perkara
yang mampu dibawa oleh internet kepada pelajar sebagai satu bentuk pengetahuan. Fikir
secara mendalam semua perkara yang anda nampak dalam internet yang mampu memberi
pendidikan kepada pelajar. Dan tulis serta huraikan dengan panjang lebar. Setelah siap
menulis, huraikan lagi perkara yang sudah anda huraikan kali pertama tadi. Maksud saya sudah
pasti ada penerangan atau contoh lain yang berkaitan dengan isi yang anda tulis.

Setiap kali melihat sesuatu tajuk, pelajar harus selalu melihat dalam dua aspek. Huraikan
kedua-dua aspek itu secara mendalam. Baca akhbar dan nampak sahaja sesuatu topik, sila
fikirkan dua kemungkinan yang menyebabkan perkara itu berlaku dan sebabnya secara
langsung.
Menulis Satu Kemahiran Bukan
Bakat Semata-mata
Menulis Satu Kemahiran bukan bakat semata-mata

Sebenarnya masalah menulis merupakan satu masalah yang sering dialami oleh kebanyakan
pelajar baik di sekolah mahupun di peringkat universiti. Masalah ini memang begitu ketara
berdasarkan pengalaman saya dalam bidang pendidikan. Ada pelajar yang tidak tahu untuk
memulakan sesuatu ayat pun dan kalau mereka mampu untuk menulis, masa yang panjang
diperlukan oleh mereka untuk menyiapkannya. Pelbagai alasan akan diberikan jika mereka
gagal untuk menyiapkan tugasan penulisan itu. Kenapakah masalah ini berlaku? Adakah
menulis berasaskan bakat semata-mata?

Jawapan kepada pertanyaan ini begitu mudah iaitu pelajar tidak ada kemahiran menulis dan
menganggap kemahiran menulis ini tidak penting berbanding dengan kemahiran mengira atau
membaca yang amat diperlukan dalam subjek Matematik dan Sains. Sebenarnya tanpa pelajar
semua sedari, aspek kehidupan kita banyak ditentukan oleh kemahiran untuk menulis dengan
baik. Ya, memang kemahiran mengira dan membaca penting tetapi bayangkan seseorang
pekerja yang ada semua data-data yang menarik tetapi tidak mampu untuk menulis dengan
begitu meyakinkan untuk memudahkan majikannya membuat keputusan tentang sesuatu
perkara itu. Bahan penulisan bukan sahaja untuk menerangkan tetapi mampu menjelaskan
sesuatu dengan mudah kepada seseorang. Maka, bukankah kemahiran mengira dan membaca
itu sesuatu yang membazir jika pada masa yang sama pelajar tidak tahu cara untuk menulis
yang berkaitan dengan pengiraan dan pembacaan tersebut?

Lantaran itu, hujah yang mengaitkan kegagalan seseorang pelajar itu menulis dengan
ketiadaan bakat juga bukanlah sesuatu yang kukuh. Sepanjang pengalaman saya sebagai
pendidik, ada pelajar yang memiliki bakat menulis tetapi keputusan peperiksaannya terutama
dalam aspek penulisan agak mengecewakan. Ada juga pelajar yang tiada bakat menulis tetapi
berkat ketekunan dan kerajinan yang tinggi, pelajar terbabit berjaya mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaannya. Pada saya semua pelajar boleh menulis dan harus tahu
menulis dalam hidup mereka dengan syarat mereka tahu teknik dan kesanggupan untuk
mencuba menulis dengan tekun.
Kemahiran menulis ini boleh diperoleh jika pelajar tahu cara-cara yang mudah untuk menulis.
Pengetahuan mengenai teknik menulis ini boleh menjadi asas kepada mereka untuk
menjelaskan sesuatu perkara dengan lebih baik menerusi tulisan. Sudah pasti mereka yang
memiliki bakat menulis mempunyai kelebihan tetapi harus kita sedar bahawa bakat sahaja
belum cukup untuk membawa kejayaan dalam aspek penulisan kerana ada pelbagai aspek lain
yang turut mempengaruhi kejayaan pelajar dalam penulisannya. Antara aspek lain yang penting
untuk memahirkan seseorang itu menulis ialah:

(1) kemahiran untuk memikir secara kritikal sesuatu topik itu.


(2) semangat yang tinggi untuk berlatih menulis
(3) kesanggupan untuk melakukan kesilapan ketika menulis
(4) membaca dengan meluas