Anda di halaman 1dari 2

PERANAN IBU BAPA DALAM MENGURANGKAN GEJALA SOSIAL

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan
peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Sejak akhir-akhir ini, berita mengenai
golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang menerusi dada akhbar.
Isu ini menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai.
Antara penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, buli dan ponteng. Keutuhan
institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi ini
diibaratkan seperti cerucuk di dalam sesebuah bangunan yang kukuh. Malah, institusi
kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen
“Rumahku Syurgaku” diadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan
rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu
bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam
gejala sosial. 

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak
mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu
menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak
dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk
mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai
kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu
sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada
hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti
riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di
destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak
diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa
perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan
kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang ayah dan ibu. 

Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna.
Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental
remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin keimanan remaja agar dapat
membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk dan seterusnya mendorong remaja
mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab
mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak
benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan anak-anak mereka mendapat ajaran agama
yang sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan
ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-
anak mereka mempunyai benteng pertahanan diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-
rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan
merosakkan nama baik sesebuah keluarga. 

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-
anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa ke
semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk
mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu
bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan
ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk
membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa
perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka
tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah
remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan
meletakkan kepentingan anak-anak mereka dan
meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka kerana
bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah
laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak
mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya,
ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti
merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya
merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar
perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang
kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul.
Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan
seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan
mereka. 

Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan
sehingga akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa
perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan golongan
remaja tidak akan ditulari sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan
negara pada masa hadapan. Mereka harus dibimbing agar akan menjadi modal insan yang
berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan
yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan. Marilah kita sama-sama mengekang
diri daripada terjerumus dalam kancah sosial yang mampu meranapkan harapan bangsa dan
negara.

800 patah perkataan

Anda mungkin juga menyukai