Anda di halaman 1dari 7

Diabetes Semasa Hamil

Apakah Diabetes Melitus?

Diabetes melitus adalah sejenis gangguan atau ketidakaturan yang menghalang badan dari menggunakan
makanan dengan berkesan. Karbohidrat ringkas (gula di dalam minuman ringan, kek, atau jem) dan
karbohidrat kompleks (kanji di dalam nasi dan mee) akan dihadamkan di dalam badan untuk membentuk
glukosa. Glukosa dalam aliran darah kemudiannya akan dicernakan di dalam pelbagai tisu badan dan
proses ini dikawalatur oleh insulin. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas iaitu organ
kecil yang terletak di belakang perut. Tanpa insulin, glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia
digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan
dan menyebabkan diabetes melitus.

Apakah yang dimaksudkan diabetes melitus semasa kehamilan?

Diabetes melitus (GDM) semasa kehamilan merupakan keadaan di mana kandungan gula dalam darah
tinggi semasa hamil dan ia dialami oleh sesetengah wanita.

Apakah bezanya antara diabetes semasa kehamilan dengan diabetes yang lain?

Di luar kehamilan, diabetes dikelaskan sama ada jenis 1 (diabetes melitus bersandarkan insulin, IDDM) atau
jenis 2 (diabetes melitus tidak bersandarkan insulin, NIDDM). Sebanyak 10% pesakit diabetes menghidap
diabetes jenis IDDM. Bagi kes IDDM, insulin yang dihasilkan oleh sel b-islet di dalam pankreas adalah tidak
mencukupi atau tiada langsung. Manakala bagi NIDDM, reseptor insulin yang tidak sensitif dianggap
menjadi penyebab utama masalah ini dan pesakit NIDDM biasanya gemuk.

Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit oleh berbagai-bagai hormon yang dihasilkan oleh
uri. Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan "human placental
lactogen" akan menyekat pengeluaran insulin. Ia biasanya bermula pada pertengahan kehamilan (20-24
minggu). Semakin uri membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi
rintangan insulin yang terjadi. Bagi kebanyakan wanita, uri dapat menghasilkan insulin tambahan untuk
mengatasi rintangan insulin. Jika ia gagal maka GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas
melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap
diabetes kemudian nanti.

Adakah GDM kerap berlaku?

Ia berlaku sebanyak 3-12% daripada semua kehamilan.

Siapakah yang berisiko mengalami GDM?

Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang sememangnya menghidapi
diabetes melitus berisiko tinggi menghidap GDM. Namun, wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang
penyakit diabetes sebelumnya.

Faktor-faktor yang berkaitan dengan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:

 Sejarah keluarga menghidapi diabetes.


 Wanita berumur (>35 tahun).
 Wanita gemuk dengan indeks jisim badan >30.

1
 Mengalami masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi, penghasilan cecair amnion
berlebihan (polihidramnios), keguguran.
 Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar sebelumnya, lahir mati, atau bayi yang dilahirkan
cacat.
 Kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada kulit.

Bagaimana penyakit ini dikesan?

Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan sesetengah wanita
merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan. Ramai wanita yang menghidap GDM tidak
menunjukkan sebarang faktor risiko. Sesetengah pusat rawatan menyediakan ujian saringan antara 24-28
minggu kehamilan. Namun dicadangkan anda menjalani ujian saringan glukosa (ujian kerintangan glukosa
oral yang diubahsuai, MOGTT) jika terdapat faktor risiko.

Apakah ujian tolerans glukosa secara oral?

Ujian akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00 malam sebelumnya. Sampel
darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75
gm glukosa di larutkan dalam 250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras gula dalam darah
diambil 2 jam berikutnya

Intepretasi hasil ujian

  Aras glukosa dalam plasma vena (mmol/l)


  Puasa 2 jam selepas glukosa diambil
Normal <6 <8
Tolerans glukosa yang terganggu 6-8 8-11
Diabetes >8 >11

Bagaimana diabetes memberi kesan ke atas kehamilan?

Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras gula di dalam darah dapat
dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan
dicegah. Jika paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi uri. Janin
akan bertindak balas dengan menukarkan glukosa yang berlebihan kepada lemak dan bayi ini akan menjadi
terlalu besar (makrosomia). Bayi yang terlalu besar akan menimbulkan kesukaran ketika pelahiran dan
kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.

Sebagai tambahan kepada makrosomia, GDM akan meningkatkan risiko hipoglisemia (paras gula yang
rendah di dalam darah) semasa bayi baru dilahirkan. Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan
teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras
gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada jaundis, ketidakimbangan bahan kimia di dalam
darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan
bayi. Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang.
Semasa dewasa, mereka juga akan cenderung untuk menghidapi diabetes jenis 2 (diabetes yang tidak
bersandarkan insulin).

Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz janin dan mengesan
polihidramnios serta keabnormalan janin. Seperti pesakit diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM
adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik

2
ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada kelahiran pramatang
disebabkan polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.

Adakah GDM menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?

GDM itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean. Namun jika bayi terlalu besar
untuk menjalani kelahiran normal melalui faraj, atau jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal,
maka kelahiran secara Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia kemungkinan akan
mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya kecederaan tulang dan saraf di sekitar bahu.

Jika terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, anda akan diberi suntikan insulin pada waktu pagi semasa
pelahiran bermula atau diberi melalui intravena sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras
gula di dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak diperlukan lagi.

Bagaimana rawatan terhadap GDM?

Langkah pertama ialah mengawal paras glukosa di dalam darah dengan


pengubahsuaian diet. Senaman sederhana secara tekal juga berguna untuk
memperbaiki tolerans glukosa. Jika pendekatan melalui pemakanan tidak berkesan,
terapi insulin diperlukan. Paras glukosa perlu diawasi selalu jika terapi insulin telah
dimulakan. Jika anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda
perlu berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan sebelum
mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester pertama akan
meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.

Mengapa diet yang khusus disyorkan?

Diet seimbang yang berkhasiat amat perlu untuk mengekalkan kesihatan ibu yang sihat
dan kehamilan yang berjaya. Bagi wanita yang mengalami GDM, diet yang sempurna
dapat memastikan paras gula dalam darah adalah normal dan secara amnya ia adalah
langkah pertama yang dilakukan sebelum menggunakan terapi insulin. Tumpukan
sepenuh perhatian terhadap pengambilan kalori setiap hari dan pemilihan makanan
yang betul untuk mengekalkan paras gula di dalam darah.

Keperluan kalori setiap hari meningkat sebanyak 300 kalori semasa trimester kedua dan
ketiga kehamilan. Jika pengambilan kalori semasa tidak hamil adalah 1800 kcal sehari
dan berat badan kekal, pengambilan kalori sebanyak 2100 kalori setiap hari adalah
biasa dari tempoh 14 minggu kehamilan hingga proses kelahiran.

Berikut adalah pola pemakanan yang baik untuk mengekalkan paras gula yang normal
di dalam darah:

 Elakkan gula dan makanan yang tinggi kandungan gulanya (kek, aiskrim,
minuman ringan, buah-buahan di dalam tin, jem, coklat dan lain-lain).

 Mengambil karbohidrat kompleks (bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan


makanan berkanji).

3
 Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti
gandum tulen, dan lain-lain).
 Memastikan diet yang rendah lemak, terutama lemak tepu (mentega, daging
berlemak, krim dan lain-lain). Pilihlah hirisan nipis daging dan ayam tanpa kulit.
Elakkan makanan yang bergoreng.

Perlukah melakukan senaman?

Program senaman setiap hari dapat membantu anda merasa selesa, mengurangkan
ketegangan mahu pun mengelakkan sakit belakang, mengekalkan tona otot, kekuatan
dan ketahanan. Bagi wanita yang menghidapi GDM, ia sangat penting. Selalu bersenam
dapat meningkatkan keupayaan atau potensi insulin di dalam badan. Ini dapat
memastikan paras normal gula di dalam darah disamping mengurangkan penggunaan
insulin. Senaman yang sederhana juga dapat membantu mengurangkan selera makan
dan menurunkan berat badan ke paras normal. Ia sangat penting untuk mencegah paras
gula yang tinggi di dalam darah.

Walau bagaimanapun, penjagaan yang khusus perlu diambil untuk mengelakkan sukan
atau senaman yang mungkin menyebabkan anda jatuh, atau yang melibatkan sentakan.
Aktiviti berbasikal dan berjoging sebelum hamil merupakan contoh senaman yang baik
untuk diteruskan semasa kehamilan. Berjalan-jalan adalah baik untuk wanita yang
sebelum ini tidak aktif dan ingin mula bersenam semasa hamil. Senaman secara tekal
selama 4-5 hari setiap minggu adalah perlu untuk merendahkan paras gula dalam
darah. Berhenti bersenam jika anda merasa sakit, pening, sesak nafas, pitam, debaran
jantung, sakit belakang atau sakit di bahagian pelvis, atau pernah mengalami
pendarahan faraj. The American College of Obstetricians & Gynecologists (ACOG)
mencadangkan meminum cecair sebelum dan selepas senaman dan jika perlu, semasa
sedang bersenam untuk mengelakkan dehidrasi.

Terlalu kuat bersenam mungkin menyebabkan rahim dan janin tidak mendapat bekalan
darah yang cukup. ACOG mengesyorkan wanita hamil mengukur kadar degupan
jantung semasa melakukan aktiviti. Kadar degupan jantung ibu yang mengandung
sepatutnya tidak melebihi 140 denyutan seminit.

Apakah yang berlaku jika amalan diet dan senaman gagal mengawal paras gula
dalam darah?

Jika paras gula di dalam darah cenderung untuk melebihi julat normal, anda perlu
mengambil suntikan insulin. Insulin tidak boleh diberi secara oral kerana ia akan
dihadamkan seperti protein di dalam makanan dan menyebabkan kesan terapeutiknya
hilang. Ia diberi secara suntikan di bawah kulit dengan menggunakan jarum yang sangat
halus, oleh itu anda akan merasa tidak selesa sedikit ketika suntikan diberi. Ia selalu
dilakukan oleh anda sendiri dan anda akan diajar oleh doktor bagaimana untuk
melakukannya. Jumlah insulin yang diperlukan untuk memastikan paras gula adalah
dalam julat normal akan meningkat mengikut perkembangan kehamilan. Ini tidak
bermakna GDM semakin teruk. Uri yang membesar seiring dengan berlanjutnya
kehamilan akan menghasilkan paras hormon kontra-insulin yang lebih tinggi. Akhirnya
anda memerlukan lebih insulin untuk mengatasi kesannya.

4
Adakah anda perlu mengambil insulin?

Ya. Ini kerana walaupun diet dijaga dengan baik, paras gula dalam darah sesetengah
wanita masih tidak berada dalam julat yang boleh diterima. Wanita hamil yang bebas
dari GDM jarang mempunyai paras glukosa dalam darah yang melebihi 6 mmol/l
sebelum sarapan di waktu pagi atau 2 jam selepas bersarapan. Sasaran optima bagi
pesakit GDM ialah mempunyai paras gula dalam darah yang sama dengan wanita yang
tidak mengalami diabetes. Jika paras gula ketika berpuasa melebihi 6 mmol/l atau jika 2
jam selepas makan, paras gula masih melebihi 8 mmol/l pada dua masa yang
berasingan, terapi insulin amnya diperlukan. Keupayaan untuk melakukan sendiri
pengawasan glukosa di dalam darah membolehkan terapi insulin dimulakan sebaik
sahaja tanda awal paras gula yang tinggi dikesan. Dengan itu janin dapat dicegah dari
terdedah kepada paras glukosa yang tinggi dalam darah ibu.

Bagaimana mengendalikan suntikan insulin?

Doktor atau jururawat terlatih akan mengajar anda teknik suntikan insulin apabila
rawatan diperlukan. Ia merupakan suntikan yang biasanya dilakukan di bawah kulit di
bahagian tisu subkutaneus. Kawasan suntikan yang biasa ialah bahagian lengan atas
(kawasan deltoid) atau di bahagian anterior peha atas. Suntikan di bahagian abdomen
patut dielakkan.

Penjagaan ubat-ubatan dan jarum

Insulin mesti disimpan di bahagian kering dalam peti sejuk, seperti di tempat menyimpan
hasil tenusu. Jarum boleh digunakan berulang kali dengan syarat ia dibersihkan selepas
digunakan dan dibuang apabila susah untuk disuntik atau apabila suntikan
menyebabkan rasa sakit

Apakah yang berlaku jika paras gula di dalam darah menjadi lebih rendah?

Paras gula yang rendah di dalam darah (hipoglisemia) merupakan komplikasi yang
mungkin berlaku jika seseorang telah mengambil terapi insulin untuk GDM. Ini mungkin
berlaku jika anda lambat mengambil sarapan atau bersenam lebih dari yang biasa. Ia
merupakan kes kecemasan dan perlu dirawat dengan teliti. Jika terdapat gejala
hipoglisemia (kekeliruan, pening, penglihatan kabur, berpeluh, terketar-ketar, tersangat
lapar) anda perlu mengambil sebarang bentuk gula dengan segera. Apabila anda
menggunakan insulin, anda perlulah membawa gula atau makanan/minuman manis
(kandi yang manis, minuman berglukosa) sebagai langkah berjaga-jaga. Doktor perlu
diberitahu mengenai sebarang reaksi hipoglisemia yang berlaku. Ia mungkin
menyebabkan pengubahsuaian terapi insulin yang anda jalani.

Apakah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah yang berkaitan


dengan GDM?

5
Diet pesakit yang mengalami GDM mestilah mencukupi untuk membekalkan
pemakanan yang dapat memenuhi keperluan ibu dan bayi yang sedang berkembang.
Pada masa yang sama diet yang diambil boleh mengekalkan paras normal glukosa di
dalam darah. Ibu yang menghidapi GDM boleh diajar cara-cara mengukur paras glukosa
di dalam darah di rumah untuk memastikan ia berada di paras yang dibenarkan.
Keupayaan pesakit untuk menentukan paras gula dalam darah melalui penggunaan
peralatan merupakan satu lagi kejayaan penting dalam pengurusan penyakit diabetes.
Teknik ini dikenali sebagai pemantauan sendiri glukosa di dalam darah dan ia
membenarkan anda memeriksa sendiri paras gula darah sama ada di rumah atau di
tempat kerja tanpa melibatkan kos dan menjimatkan masa untuk berjumpa doktor.

Apakah yang dimaksudkan pemantauan sendiri glukosa di dalam darah?

Apabila anda telah didiagnos menghidap GDM, adalah penting bagi anda mengetahui
paras gula di dalam darah dari sehari ke sehari. Anda juga harus mengetahui
bagaimana corak pemakanan dan cara senaman mempengaruhi paras gula di dalam
darah anda. Semakin lanjut kehamilan, uri akan membebaskan lebih banyak hormon
yang akan bertindak ke atas insulin. Menguji paras gula di dalam darah pada waktu
tertentu dalam sehari dapat mengetahui jika diet yang sempurna dan peningkatan berat
badan dapat mengekalkan paras normal gula di dalam darah atau jika insulin yang lebih
diperlukan untuk melindungi janin.

Pemantauan sendiri glukosa di dalam darah boleh dilakukan dengan mencucuk jari
untuk mendapatkan titis darah dan disukat dengan menggunakan alat khas untuk
mendapat bacaannya. Doktor boleh menasihatkan anda bagaimana untuk mendapatkan
alat ini. Anda mungkin perlu menguji darah anda beberapa kali dalam sehari. Secara
amnya, ia dilakukan sebelum makan. Setiap pesakit boleh mempunyai jadual sendiri
untuk tujuan pengukuran

Apakah ujian-ujian lain yang perlu diketahui?

Selain daripada ujian darah, anda juga dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan air
kencing untuk mengesan kehadiran keton. Keton adalah hasil sampingan dari
penguraian lemak. Ia boleh dijumpai di dalam darah dan air kencing akibat insulin yang
tak mencukupi atau kalori yang tidak mencukupi dalam diet anda. Walaupun tidak
diketahui jumlah keton yang boleh mengancam janin, keton yang banyak akan disertai
dengan asidosis, iaitu satu keadaan yang boleh mengancam janin. Sebagai langkah
keselamatan, anda perlu mengawasi kehadirannya dalam air kencing dan melaporkan
sebarang keputusan yang positif kepada doktor.

Untuk menguji kehadiran keton di dalam air kencing, anda boleh menggunakan jalur
ujian khusus yang telah dirawat dengan bahan kimia. Ujian dapat dilakukan dengan
mendedahkan sehelai jalur pakai buang pada aliran air kencing atau mencelup jalur ke
dalam bekas yang mengandungi air kencing. Jalur akan berubah warna bergantung
kepada jumlah keton yang hadir di dalamair kencing. Warna jalur bolehlah dibandingkan
pada carta untuk menunjukkan paras keton. Penasihat kesihatan boleh menasihatkan
anda masa yang sesuai untuk melakukan ujian dan berapa kerap anda perlu
melakukannya.

6
Adakah anda perlu mempunyai jadual pemeriksaan lanjutan antenatal?

Apabila anda disahkan menghidap GDM, anda dicadangkan untuk menjalani


pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan anda berusia 32 minggu
dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah melahirkan bayi.
Semasa pemeriksaan, imbasan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan sebarang
keabnormalan dan komplikasi di samping mengawasi tumbesaran janin. Profil gula di
dalam darah akan diperiksa sekurang-kurangnya setiap 2 minggu untuk menilai
keberkesanan pengawalan diabetes anda.

Anda mungkin juga menyukai