Anda di halaman 1dari 11

Kematian hadir tanpa duga. Tiada siapa tahu bila dan dimana.

Namun ada insan

yang kecewa dengan hidup dan berangan untuk mati. Mereka sanggup terjun bangunan

setinggi lapan belas tingkat untuk mengakhiri hidup akibat putus cinta. Mereka fikir, mati

itu satu kemanisan dan penyelesai segala kekusutan hidup. Biar mati terhina daripada

hidup terseksa!

Mereka tidak sedar mati begitu menyakitkan ibarat dicincang oleh seratus bilah

pisau. Apatahlagi mati dalam keadaan kufur. Roh yang keluar amat busuk dan dikutuk

oleh sekalian makhluk. Segala binatang dan makhluk boleh melihat roh melainkan

manusia dan jin sahaja yang tidak diizinkan Allah untuk melihatnya. Roh itu dicaci dan

terawang-awang dengan penuh kekesalan.

Tapi lain pula halnya bagi calon syurga. Daripada hadith, bahasanya pada

mukmin, apabila putus hubungannya dari dunia dan berhadapan dengan akhirat, saat

hembus nafas, turunlah atas mukmin itu malaikat dari langit. Putih segala mukanya

seolah-olah mereka itu matahari dan serta dengan mereka itu kapan daripada kapan

syurga - jika si jenazah adalah calon syurga. Maka duduklah malaikat itu disisi mukmin

itu sejauh sepandang mata. Kemudian malaikat maut pun datang, duduk dekat kepalanya

lalu berkata, “Keluarlah olehmu hei nafsu mutmainnah. Kembalilah olehmu kepada

keampunan Allah dan keredhaan Nya.. sabda Nabi maka keluarlah ia dan mengalir dari

badannya seperti mengalir titiknya air dari bekasnya. Maka malaikat ambil akan nafsu
tadi dan diserahkan kepada malaikat rahmat. Dia menghantar nafsu itu. Dan terhidulah

bau wangi nafsu itu seperti bau kasturi.

Masyarakat umum mempercayai seseorang itu sudah mati apabila tiada lagi desah

nafas dan berhenti sudah degup jantung. Manakala masyarakat Islam mempercayai

bahawa mati bermaksud tercabutnya roh dari badan. Dan persoalan demi persoalan

berkaitan roh hanya mampu dijawab oleh Allah s.w.t.

Apa yang berlaku selepas mati…

Badan kita terdiri dari jutaan sel. Sel-sel berkumpul membentuk lapisan demi

lapisan. Lapisan sel inilah yang akhirnya membentuk tisu dan organ seperti jantung, kulit

dan hati. Sel seolah-olah sebuah rumah yang mempunyai komponen yang sentiasa

bekerja tanpa henti. Mitokondria, jasad Golgi, ribosom, nukleus, dan sitoplasma bekerja

24 jam sehari selama 7 hari seminggu. Untuk bekerja secara normal, sel memerlukan

tenaga yang diambil dalam bentuk tenaga ATP. Sel juga memerlukan oksigen, fosfat,

kalsium dan bahan makanan sebagaimana kita. Setiap apa yang kita makan akan

disalurkan kepada sel-sel tertentu mengikut pengkhususan kerja mereka. Namun jika

berlaku sebarang masalah dan bekalan ini tidak mencukupi, sel akan mati.
Boleh dikatakan bahawa kematian bermula apabila roh dikeluarkan dari jasad.

Jasad adalah pakaian roh. Maka apabila manusia mati, jantung berhenti mengepam darah

ke seluruh badan. Sel-sel badan tidak lagi menerima oksigen yang diangkut oleh darah.

Akibat ketiadaan oksigen, semua sel akan mati. Kematian sel bermula pada sel

otak dan berakhir pada sel kulit. Dalam beberapa minit darah akan mengalir dari

bahagian atas ke bahagian bawah dan berkumpul di situ akibat tarikan graviti bumi.

Bahagian atas yang ketiadaan darah kelihatan pucat manakala bahagian bawah menjadi

lebih gelap.

Tempoh perubahan badan adalah berbeza-beza. Sel otak akan mati jika ia

mengalami kekurangan oksigen selama tiga minit. Sel otot boleh bertahan setelah

beberapa jam manakala sel tulang serta kulit boleh bertahan berhari-hari lamanya.

Perlu diketahui bahawa badan bernafas secara aerobik iaitu dengan menggunakan

oksigen. Maka apabila mati, proses respirasi aerobik akan terhenti dan menghalang

penghasilan tenaga molekul yang diperlukan untuk melakukan tindakbalas biokimia otot.

Ion kalsium akan berkejaran ke sel-sel otot bagi menghalang otot berehat atau

mengendur. Tapi apa yang berlaku ialah otot menjadi kaku dan keras, tidak bergerak lagi.
Sel telah mati. Tidak mampu melawan bakteria daripada memusnahkan dirinya.

Enzim dan bakteria sebenarnya sudah wujud dalam sel semasa kita masih hidup lagi.

Oleh sebab itulah, diriwayatkan jika kita ditemukan dengan tanda berupa denyutan atau

kedutan di antara dahi kanan dan kiri menandakan kematian kita akan terjadi dalam

beberapa hari lagi, kita digalakkan berpuasa supaya badan kita tidak mengandungi

banyak kotoran dan ini memudahkan memandikan mayat kita nanti.

Pengebumian jenazah...

Mengikut agama Islam, jenazah lebih dimuliakan dari jasad yang hidup.

Mengurus jenazah orang Islam adalah wajib dan merupakan fardu kifayah yakni jika

tiada orang mengurus jenazah tersebut, semua orang Islam di kawasan itu berdosa. Tetapi

apabila sudah dikerjakan oleh beberapa orang Islam, maka orang Islam yang lain akan

terlepas dari menanggung dosa.

Di antara perkara yang wajib dilakukan ke atas jenazah adalah memandikan,

mengkafankan, melakukan solat jenazah dan mengebumikannya. Berbeza dengan

sesetengah agama, Islam tidak membenarkan membakar mayat. Mayat tidak boleh

dibakar kerana ini dikhuatiri akan menyakitinya. Malah melakukan bedah siasat tanpa
ada keperluan juga turut ditegah. Betapa sakitnya jenazah, hanya dia yang mengetahui

sedang kita yang masih hidup tidak mendengar rintihan sang jenazah.

Dari segi pengebumian, jenazah hendaklah ditanam sehingga tiada bau dapat

dihidu oleh orang yang masih hidup dan tidak memudahkan binatang mengorek balik

lubang kubur tersebut.

Orang yang syahid dalam peperangan, dikafankan dalam kain yang mereka

terbunuh dalamnya melainkan jika dikehendaki oleh keluarga supaya mengkafankan

dalam kain lain. Nabi bersabda “ selimutkanlah mereka dengan luka dan darah mereka”.

“Bau Luka itu bau kasturi”.

Imam syafie rahimahullah berkata, “ Saya lebih menyukai bahawa di dalamkan

kuburan mayat itu kadar sedepa dan yang lebih dari itu, lalu ditimbus, nescaya memadai.

Saya menyukai yang demikian adalah supaya tidak tercapai oleh binatang buas dan tidak

mudah kepada seseorang, kalau ia mahu membongkarnya. Dan tidak timbul baunya.

Diletakkan mayat dalam kuburnya atas lambung kanan. Ditinggikan kepalanya dengan
batu atau batu bata, disandarkan mereka supaya tidakmenelungkup atau menelentang,

dan kepala diletakkan mengadap kiblat.

Kebiasaannya di Malaysia, penggalian kubur adalah sedalam 6 depa. Antara lain

hikmah mengebumikan jenazah adalah dari segi kesihatan ialah tidak tersebarnya

penyakit.

Sejarah pengebumian jenazah bermula di zaman Nabi Adam alaihis salam lagi.

Peristiwa ini tercatat dalam surah al-Maidah dari ayat 27-31. Menurut Kitab Tafsir Al-

Quranul Karim terbitan Yayasan Amal Bakti Sumatera Utara tahun 1967, dalam qaul

pertama, diceritakan sebab pembunuhan antara kedua putera Adam yang menyebabkan

berlakunya peristiwa pertama dalam sejarah pengebumian manusia.

Menurut riwayat, adalah Siti Hawa melahirkan sepasang kembar setiap kali ia

melahirkan anak. Lelaki dari pasangan pertama akan dikahwinkan dengan perempuan

dari pasangan kedua dan begitulah seterusnya. Kebetulan, anak Nabi Adam yang

bernama Qabil dilahirkan dengan pasangan kembar perempuannya yang cukup cantik.

Gadis ini akan dikahwinkan dengan Habil manakala kembar Habil yang akan

dikahwinkan dengan Qabil kurang elok rupa parasnya. Kerana itu, Qabil tidak mahu

menerimanya, katanya perbuatan itu hanya kemahuan bapanya sahaja, bukan dari Tuhan.
Maka Nabi Adam menyuruh Qabil dan Habil melakukan korban. Korban siapa yang

diterima Allah, dialah yang akan dikahwinkan dengan saudaranya yang rupawan itu.

Qabil adalah seorang pekebun manakala Habil merupakan seorang penternak.

Habil telah mengorbankan kambingnya yang gemuk sedang Qabil telah mengorbankan

tanaman gandumnya yang kurang elok.

Maka oleh Allah diterimanya akan korban Habil dengan mendatangkan api dari

langit mengambil korban Habil dan tidak diterima oleh Allah akan korban Qabil itu.

Kerana hal itu, maka timbullah kedengkian Qabil terhadap Habil lalu ia bercita-cita untuk

membunuh Habil.

Menurut kata Imam Razy, Iblis menunjukkan kepada Qabil bagaimana cara

membunuh Habil. Iblis telah datang dengan mengambil seekor burung lalu dipukul tepat

di kepalanya dengan menggunakan batu, lalu Qabil mendapat idea bagaimana mahu

membunuh Habil. Lalu dia pun mencari batu besar dan dicarinya Habil. Didapati Habil

sedang tidur lalu dipukulnya kepala Habil dengan batu, lalu Habil mati di situ juga.
Inilah peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah anak-anak Adam. Sesudah

Qabil melakukan pembunuhan itu, dia tidak tahu bagaimana harus disembunyikan mayat

Habil. Qabil mengusung mayat Habil ke sana kemari dengan penuh kekesalan dan

dicerca ibu-bapanya sehingga Allah menunjuknya jalan..

Jumhur ulamak telah menerangkan bahawa Allah telah mengutus dua ekor burung

gagak berkelahi berbunuh-bunuhan di hadapan Qabil, lalu mati seekor. Yang hidup

mengorek-ngorek tanah dengan paruhnya sehingga lama-kelamaan terbentuklah lubang

dan ditanamilah gagak yang mati itu. Dengan menyaksikan perbuatan gagak itu tahulah

Qabil bahawa dia harus menanam mayat Habil dengan menggali tanah membentuk

lubang kubur.

Reput tanpa kebumi…

Amat besar hikmah mengkebumikan jenazah di dalam kubur. Manusia yang

dicipta dari segumpal tanah akhirnya kembali kepada tanah. Kita sedia maklum, semua

jasad yang mati, lama kelamanan akan mereput. Proses pereputan ini berlaku

berperingkat-peringkat di dalam kubur. Seandainya jenazah tidak disemadikan di tanah

perkuburan, maka akan tersingkaplah kejadian pereputan yang mengaibkan ini dan

manusia tidak dapat hidup aman lantaran bau busuk yang dikeluarkan dari mayat.
Malahan, bakteria akan tersebar dan menularkan penyakit kepada manusia yang masih

hidup.

Peringkat pertama pereputan dikenali sebagai Pemecahan Sendiri. Enzim yang

terdapat dalam badan akan menghadamkan badan sendiri. Struktur membran sel akan

rosak dan enzim penguraian dilepaskan. Ia akan menyahaslikan makromolekul dalam

badan. Peringkat pertama ini bermula dalam sel yang aktif menjalankan metabolisma

seperti sel perembes dan makrofaj.

Peringkat kedua adalah peringkat pembusukan akibat tindakan bakteria

anaerobik . Oksigen sudah tiada menyebabkan wujud suasana anaerobik ( tiada oksigen)

dalam mayat. Keadaan ini menggalakkan pertumbuhan dan pembiakan bakteria

anaerobik terutamanya pada bahagian organ dalaman badan seperti perut. Bakteria ini

menguraikan zat makanan iaitu karbohidrat, protein dan lipid pada mayat dan

menghasilkan asid dan gas. Gas yang dilepaskan mengakibatkan tubuh mengembung

bermula dari perut yang akan mengubah bentuk dan rupanya. Buih-buih darah akan

meletus dari mulut dan hidung mayat akibat tekanan gas yang terjadi di sekitar

diafragma. Organ dalam tubuh seperti paru-paru, jantung dan hati turut membusuk.

Pandangan yang paling menjijikkan adalah di sekitar perut, akibat kulit tidak dapat lagi

menahan tekanan gas dan akhirnya pecah lalu menyebarkan bau yang meloyakan.
Peringkat ketiga adalah peringkat pereputan. Pada akhir peringkat kedua, cecair

badan yang busuk telah mengalir keluar. Daging akan luruh satu persatu bermula dari

bahagian tengkorak. Kulit dan jaringan lembut yang lain akan tercerai-berai. Otak turut

membusuk dan kelihatan seperti tanah liat. Tisu-tisu badan yang lembut menjadi kecut

dan kering. Proses pereputan berterusan hingga akhirnya mayat tinggal rangka.

Peringkat keempat adalah peringkat terakhir dalam proses pereputan. Pada masa

ini, tiada lagi daging untuk dihancurkan. Semuanya telah dimakan bakteria dan serangga

di dalam kubur. Yang tinggal hanyalah tisu-tisu keras seperti tulang dan gigi.

Akhirnya, mikroorganisma seperti bakteria, kulat, alga dan serangga berjaya

menakluki tulang. Berlakulah perembesan asid dan enzim metabolisma.

Mikroorganisma tersebut memetabolismakan matriks tulang pula hingga tulang hancur.

Penguraian tulang ini dibantu oleh bahan kimia di persekitaran. Pada persekitaran

berasid, kalsium fosfat yang terdapat dalam tulang akan melarut. Tulang akan musnah.

Maka, tiada apa lagi yang tinggal pada jasad.

Sehebat manapun kita, akhirnya akan mati dan hancur jua. Apabila mati,

segalanya telah berlalu dan tidak dapat diubah. Maka ingatlah sentiasa akan mati kerana

ia satu peringatan..