Anda di halaman 1dari 2

Selesa dengan ekspres Perdana

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR


utusankelantan@utusan.com.my

Laili Ismail (tiga dari kanan) bersama kakitangannya di hadapan sebuah bas ekspres Perdana. - utusan/Yatimin Abdullah

KOTA BHARU 22 Nov. - Walaupun ia dilihat sebagai satu keperluan, namun untuk memenuhi keperluan
secara total kepada pengguna bukan satu perkara yang mudah.

Apatah lagi bila terdapat pesaing yang tampil dengan pelbagai wajah dan idea baru untuk menambah
keselesaan sekali gus sebagai tarikan kepada pelanggan.

Namun, itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh sesetengah pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam
termasuk pengusaha bas ekspres yang menyediakan perkhidmatan tersebut sebagai alternatif kepada seluruh
masyarakat terutama golongan pertengahan dan berpendapatan rendah sejak sekian lama.

Justeru, konsep mengejar untung sudah tidak lagi relevan bagi pengusaha yang menyediakan perkhidmatan
berkenaan sekiranya mereka ingin kekal lama.

Sebaliknya perkhidmatan yang ditawarkan harus dilihat dalam ruang lingkup lebih luas iaitu sebagai
tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dengan menyediakan suasana lebih kondusif dan selamat.

Menyedari situasi itulah maka Tiara Pesona Sdn. Bhd. (TPSB), pemilik bas ekspres Perdana telah melakukan
beberapa perubahan ke atas struktur perkhidmatannya dengan lebih menekankan aspek keselesaan dan
keselamatan penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif TPSB, Laili Ismail, berkata, prinsip mengutamakan pelanggan atau pengguna
menjadi teras dan nadi utama dalam membangunkan bidang perkhidmatan pengangkutan awam yang diceburi
syarikat itu sejak hampir dua tahun lalu.

Maka tidak hairanlah apabila beliau sendiri sangat menekankan aspek keselesaan dan keselamatan
penumpang dengan mengutamakan keadaan bas mestilah sentiasa dalam keadaan terbaik.
"Dalam memastikan keselamatan, setiap bas syarikat dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) bagi
mengelak sikap tidak bertanggungjawab pemandu ketika memandu.

"Melalui penggunaan sistem itu, kita dapat mengesan kesalahan pemandu dengan segera, sebagai contoh
apabila pemandu cuba memandu melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan kita akan dapat mengesannya
melalui isyarat yang dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit pegawai operasi
termasuk saya sendiri.

"Sebaik sahaja kita terima isyarat itu kita akan segera membuat pemantauan," katanya dalam satu pertemuan
semasa sesi lawatan muhibah anjuran syarikat itu bersama media Kelantan ke Kuala Lumpur dengan menaiki
bas ekspres Perdana baru-baru ini.

Keadaan bas yang cukup selesa dilengkapi dengan sistem keselamatan, maka tidak hairanlah jika bas ekspres
Perdana berjaya meningkatkan keyakinan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan
sehingga mencecah 10,000 sebulan dalam masa yang singkat berbanding 8,000 sebelum operasi bas
berkenaan diambil alih oleh TPSB.

Beberapa penumpang yang ditemui mengakui berasa selesa semasa menggunakan perkhidmatan bas
berkenaan dan yakin dengan ciri-ciri keselamatan yang diguna pakai.

Mohd. Azhari Abd. Ghani, 18, pula mengakui merupakan pelanggan tetap bas ekspres Perdana kerana berasa
puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat terbabit.

"Masalah selamat atau tidak itu perkara yang tidak pasti. Tapi sekurang-kurangnya kita merasai satu
keselesaan ketika kita menggunakan perkhidmatan ini. Tambahan pula tambangnya murah," katanya yang
berasal dari Sabah dan kini menuntut di Politeknik Mara di sini.

Sementara itu bagi Husna Pammu, 21, pula, tambang murah dan keselesaan yang dirasai menjadikan faktor
pendorong menggunakan perkhidmatan bas ekspres Perdana setiap kali pulang ke Kuala Lumpur dan
sebaliknya.

"Saya menggunakan perkhidmatan bas ekspres ini kerana dua faktor iaitu selesa dan tambang murah
walaupun semua basnya adalah jenis coach eksekutif dengan tempat duduk VIP," katanya.

Sementara itu, bagi menambah kelainan perkhidmatannya, ekspres Perdana buat pertama kali menggunakan
laluan jalan pantai bagi perjalanan Kota Bharu-Kuantan-Kota Bharu melalui Kuala Besut, Kampung Raja,
Penarik dan kawasan pesisir pantai Terengganu.

Menurut Laili, langkah tersebut secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat
setempat dengan pembukaan beberapa ejen jualan tiket.

Bagi menambah keselesaan penumpang di laluan Kota Bharu-Kuala Lumpur dan sebaliknya pula, pihak
syarikat katanya, akan membina satu kawasan rawat dan rehat (R&R) milik sendiri membabitkan pelaburan
sebanyak kira-kira RM1 juta pada tahun hadapan.

Anda mungkin juga menyukai