Anda di halaman 1dari 5

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA:

AURAT TUDUNG BOTOL DAN SARUNG NANGKA:WIWIT SEXY ~!

SEMPENA PERSIDANGAN PISANG GORENG PERINGKAT KAMPUNG KONA LEPER

4-6 APRIL 2011

Assalamualaikum wbt dan salam revolusi. I‟lam.

Terima kasih kepada pengerusi majlis kerana menjemput saya untuk membentangkan kertas kerja saya yang bertajuk Aurat Tudung Botol Dan Sarung Nangka:

Wiwit Sexy~!. Terima kasih juga kepada Ketua Kampung Kona Leper, Tok Imam, Tok Bilal, Tok Siak dan AJK Masjid Kampung Kona Leper, ahli JKKK Kampung, barisan pengundi hantu, driver-driver hantu, serta para pembayar cukai sekalian.

Dewasa ini, hangat diperkatakan, setidaknya dalam lingkungan golongan celik- agama, isu berkaitan fesyen dan trend pemakaian anak-anak gadis jambu dan juga ibu-ibu gedik gadis Muslimah semasa yang tidak patuh-Syariah. Jika dulu heboh tentang trend tudung botol, kini timbul isu trend sarung nangka.

Laksana tudung botol, bertutup diatas, tapi badan botol tetap nampak dalam, begitu juga dengan gaya pakaian wanita Muslimah yang trendy, beropol-ropol diatas, tapi jasad mungil mereka terbuka sedia untuk dijamu mata yang memandang. Berpuluh meter panjang kain tudung melilit kepala, namun lurah-lurah dendam pada tubuhnya terdedah luas.

Laksana sarung nangka yang membaluti buah-buah nangka di dusun Pak Brutus, nangka bersarung penuh, namun bentuk buah nangka itu jelas kelihatan. Begitu juga dengan fesyen semasa gadis yang inesen 1 , tubuh mulus itu berbalut penuh, namun ketat dan sendat hingga menyeksakan jejaka beriman yang memandang. Badan berbungkus, namun liuk lentuk bentuk tubuh terpampang jelas, menjolok mata jejaka hidung belang yang mengusyanya.

Dimana silapnya? Bertudung, tapi macam tudung botol. Berpakaian, tetapi telanjang bulat. Segelintir manusia yang termasuk dalam golongan Holies [seperti biasa] akan menyalahkan si pemakai kerana jahil dalam beragama, jahil dalam berpakaian. Dan atas alasan itu, bertebaranlah gambar si pendosa yang tak menutup aurat dengan sempurna ini, yang cenderung berpakaian tak patuh-Syariah ini keserata pelusuk kampung. Diletakkannya dalam poster-poster „kesedaran‟, diletak dalam album gambar Mukabuku, dalam blog, dalam forum, dan lain-lain. 2

Namun, jika kita melihat dari satu aspek yang lain, dari segi pendakwah itu sendiri, kita akan sedar bahawa pendakwah itu juga sedikit sebanyak menyumbang kepada salah faham yang berlaku dalam perihal tudung botol dan sarung nangka ini. Untuk memudahkan perbincangan, izinkan saya untuk membawa sebuah kes kajian, iaitu kes Pekan Sproket S33 yang saya bawakan khas untuk pembentangan kali ini. Sila beri tepukan gemuruh standing ovation untuk beliau:

1 Innocent 2 Saya tak berkeinginan untuk membicarakan perkara tentang tindakan menyebar gambar tak menutup aurat atas alasan kesedaran ini. Pisang goreng boleh jadi berkulat kalau saya membicarakannya dalam kertas kerja ini.

Kajian kes: Pekan Sproket S33

Pada asalnya, penduduk wanita pekan ini lebih cenderung untuk menjadikan kebaya cutting cheongsam belah tepi sebagai pakaian harian mereka. Disertai dengan dandanan rambut yang pelbagai, dari fesyen ala era Victoria hinggalah ke fesyen ekor ayam, penampilan mereka bolehlah dikatakan trendy.

Pada dekad-dekad terakhir era Showa, muncul satu gerakan yang diketuai oleh seorang lulusan Timur Tengah bernama Muhd Redza, atau lebih dikenali dengan nama panggilannya, Muhd Redza. 3 Muhd Redza mendapati, perkara berkaitan aurat dipandang enteng dan mudah oleh majoriti penduduk Pekan Sproket S33 ini. Dengan rasa rendah diri tetapi tegas, beliau menggerakkan barisan pemuda kental pekan tersebut untuk menyertai gerakan yang beliau pelopori, demi memberi kefahaman yang menitikberatkan aurat dan perkara yang berkaitan.

Beliau melihat, satu seruan melakukan perubahan secara drastik dan revolusi boleh menyebabkan kepincangan dan perpecahan perpaduan yang terjalin sekian lama diantara penduduk pekan tersebut. Lalu, langkah pertama yang beliau lakukan ialah memberi kesedaran mengenai pemakaian tudung dan dalam pada masa yang sama, beliau menerapkan kefahaman mengenai konsep aurat secara keseluruhannya.

Namun, pada permulaan era Heisei, beliau terpaksa berpindah ke luar negeri atas sebab tertentu. Dan pada masa ini jugalah kekeliruan mengenai aurat timbul. Oleh kerana pengganti beliau dan barisan pemuda gerakan Muhd Redza itu secara tidak sengaja terlalu menekankan konsep bertudung dalam pemakaian Muslimah, secara tidak langsung telah wujud satu kefahaman bahawa aurat itu adalah rambut semata-mata. Konotasi aurat sama dengan rambut dan tudung sahaja ini telah menjadi kefahaman yang terdoktrin, bukan sahaja dalam pemikiran penduduk Pekan Sproket S33, bahkan yang lebih menyedihkan, ia juga terdoktrin dalam pemikiran barisan pelapis yang bakal menggantikan pengganti Muhd Redza tersebut. Ia juga seumpama menjadi satu „wabak‟ yang telah merebak ke seluruh pelusuk negeri, kerana banyak gerakan menggunakan modul yang digunakan oleh gerakan Muhd Redza tersebut. Sejak itu, timbullah fesyen-fesyen yang pada masa ini dikenali dengan nama fesyen Tudung Botol dan Sarung Nangka.

Bagaimana Dengan Kita?

Bukanlah niat di hati sali ini untuk menidakkan usaha yang telah dilakukan oleh gerakan yang dipelopori oleh saudara Muhd Redza pada Pekan Sproket S33 itu, tetapi dengan menjadikan kajian kes Pekan Sproket S33 sebagai sandaran, bagaimanakah pula

3 Nama betul dan nama panggilannya hampir sama, cuma lenggok panggilannya yang berbeza. Nama asalnya dipanggil dengan lenggok Nahwand, manakala nama panggilannya dipanggil dengan lenggok Jiharkah bertabaqat Jawwabul Jawwab.

pandangan kita terhadap isu aurat ini? Adakah kita adalah individu yang pernah menuturkan kata-kata dibawah?:

Tudung labuh tak semistynya baik, free hair tak semistynya jahat.”

Tudung labuh vs tudung tiga segi.”

Bertudung tapi akhlak buruk, free hair tapi akhlak sopan.”

Tudung, tudung, tudung, tudung. Itu tudung, ini tudung . Adakah kita adalah orang yang mengehadkan konsep aurat hanya kepada perkara berkaitan tudung sahaja? Bukankah lidah kita yang selalu mengaitkan aurat itu dengan tudung dan pemakaian tudung sahaja? Jika itu yang kita lakukan, jika itu yang kita katakan, maka tidakkah apa yang terjadi pada hari ini, apa salah faham dan kekeliruan yang berlaku berkaitan aurat itu, adalah sebahagian daripada hasil usaha kita?

Dengan itu, sebelum saya menamatkan pembentangan kerja saya, dan sebelum kita meneruskan pembentangan yang lain, seterusnya melantak pisang goring Mak Jah yang rangup itu, saya aruh amarah tuan-tuan pendakwah yang mulia dan diri saya sendiri:

Mengapakah perkara seperti ini terjadi? Ya, ianya bertitik tolak daripada kefahaman si pemakai dalam mentakrifkan aurat dan keperluan menutupnya. Kendatipun demikian, pernahkah kita, para pendakwah yang bijaksana terfikir bahawa kita juga menyumbang kepada kefahaman yang pincang ini? Salah faham yang berlaku itu mungkin terjadi kerana kejahilan mereka. Tetapi, salah faham itu mungkin juga berlaku kerana kita yang menyalahfahamkan mereka, kita yang memberi input yang salah kepada mereka, kita yang mengotorkan pemikiran mereka dengan fahaman-fahaman yang tidak tepat. Atau mungkin juga kita sendiri yang terkeliru dengan apa yang kita ingin sampai dan fahamkan kepada orang awam yang jahil tersebut? 4

Kesian. Terima kasih kerana sudi mendengar pembentangan kertas kerja saya yang tidak berobjektif ini. Saya dah lapar, jom pekena pisang goreng Mak Jah kat belakang tu.

Assalamualaikum wbt.

4 Apabila saya menggunakan kata ganti diri “kita”, saya tak bermaksud untuk melibatkan tuan-tuan dalam perbincangan ini, kerana saya tahu tuan-tuan orang yang mulia lagi wise . Takkanlah tuan-tuan boleh buat kesilapan yang sebegini rupa. Saya tujukan persoalan ini untuk mereka yang hina dan jahil sahaja. Cemiaw.

Oh terlupa pula, cemiaww. Sekali lagi, assalamualaikum wbt.