Anda di halaman 1dari 2

Karangan Peribahasa- Sediakan Payung Sebelum Hujan

Memang tidak dapat disangkalkan, masyarakat Melayu memang terkenal dengan


bahasa kiasan. Antara kiasan yang telah digunakan sejak dahulu ialah peribahasa.
Salah satu daripada jutaan peribahasa itu ialah ‘sediakan payung sebelum hujan’.
Merujuk Kamus Peribahasa, peribahasa ini bermaksud berjaga- jaga dan
berwaspada sebelum ditimpa bencana ataupun kemalangan. Sesungguhnya, kisah
mengenai Ali, seorang pelajar yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin
boleh dikaitkan dengan peribahasa ini.

Keluarga Ali amat miskin, ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’
Arwah ayahnya sudah lama meninggalkan Ali dan ibunya, bertemu dengan Allah
Yang Maha Berkuasa itu. Maka, tinggallah Ali dan ibunya di sebuah rumah papan di
hujung kampung itu. Mereka berdua hidup saling bergantung. Ibunya terpaksa
bekerja siang dan malam bagi mencari rezeki untuk menyara hidupnya dan
membiayai pelajaran anaknya. Mujurlah Ali seorang anak yang mithali dan ringan
tulang. Setiap petang selepas kembali dari sekolah, Ali akan membantu ibunya
menjual kuih- muih di warung. Tanpa pengetahuan ibunya, Ali sebenarnya
mengamalkan amalan menabung. Dia tidak menggunakan duit yang dicari oleh
ibunya dengan penat lelah itu sewenang- wenangnya. Dia sedar bahawa
keluarganya tidak seberapa. Lantaran itu, dia sering menyimpan wang yang diberi
oleh ibunya, bak kata pepatah, ‘sedikit- sedikit lama- lama menjadi bukit’.

Sejak belakangan ini, ibunya sering mengadu sakit. Ali berasa amat bimbang
melihat keadaan ibunya. Kadang- kadang pada waktu malam, Ali terdengar ibunya
mengerang kesakitan. Ali membuat keputusan untuk membawa ibunya ke klinik
kesihatan berhampiran untuk menjalani rawatan, supaya penyakit ibunya tidak
bertmabah padah. Memandangkan penyakit ibunya agak serius, doktor meminta
ibunya menginap di wad selama beberapa hari lagi untuk pemerhatian dan rawatan
lanjut.

Setiap hari, Ali senantiasa berdoa kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa itu supaya
ibunya boleh pulang ke rumah. Syukurlah, setelah lebih kurang seminggu ibunya
berada di wad, akhirnya dia dibenarkan pulang jua. Sungguhpun Ali berasa
gembira, namun muncul satu masalah yang timbul di benak hati ibunya. Ibunya
sedar bahawa duitnya sudah lama habis memandangkan sudah beberapa hari dia
tidak bekerja. Ibunya berasa sungguh runsing dan dia selalu megeluh. Pada saat-
saat genting beginilah Ali teringat akan wang simpanannya. Ali segera
mengeluarkan wangnya itu dan menggunakannya untuk membiayai rawatan
ibunya. Ibunya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakannya
seorang anak yang begitu baik.

Sebagai menggulungkan segala yang diperkatakan di atas, kita sebagai insan di


muka bumi ini harus senantiasa bersedia dari semua segi, sama ada mental
ataupun fizikal agar boleh mengharungi segala onak dan duri yang bakal kita
hadapi pada zaman pancaroba ini. Ada pepatah yang mengatakan, ‘sediakan
payung sebelum hujan’. Bukan itu sahaja, malahan kita juga patut berganding bahu
memastikan khazanah bahasa yang tidak ternilai harganya yang ditinggalkan oleh
orang tua- tua Melayu dahulu masih segar dalam ingatan rakyat negara kita.