Anda di halaman 1dari 13

ISU MURTAD DAN KEBEBASAN BERAGAMA DALAM KERANGKA

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

ABDUL AZIZ BARI

1.0 PENGENALAN

Kes-kes murtad bukanlah satu perkara baru yang berlaku dalam masyarakat Islam. Ada dakwaan
yang mengatakan bahawa sehingga tahun 1999, terdapat sebanyak 5, 0000 deed poll1, affidavit,
notis dan iklan yang mengisytiharkan niat mahu meninggalkan agama Islam. Dalam tempoh dua
tahun yakni dari 1998 hingga 1999, sekurang-kurangnya tiga seminar peringkat kebangsaan
mengenai masalah murtad telah diadakan.2 Demonstrasi juga pernah berlaku menggambarkan
rasa prihatin dan emosi masyarakat Islam yang tidak boleh menerima isu memurtadkan orang
Islam sepertimana kes yang berlaku pada seorang gadis Melayu, Nur Aisyah yang dikatakan
dimurtadkan oleh seorang lelaki Katolik pada 1998 di Kuala Lumpur.3

Tidak kurang hebatnya pukulan kepada masyarakat Islam apabila terdapat orang Islam
sendiri yang mengisytiharkan mahu keluar daripada agama Islam dan sudah tidak percaya
kepada agama yang dipegangnya sejak kecil seperti dalam kes Jamaludin Othman, Lina Joy dan
Kamariah Bte Ali. Masyarakat Islam negara kita juga dikejutkan dengan berita kemahuan
muallaf yang ingin kembali kepada agama asal mereka kerana tidak percaya dengan agama Islam
dan juga tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam sejak memeluk Islam seperti dalam kes
Jeffeery Or Bin Abdullah @ Or Boon Hua4, Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Hung5 dan
banyak lagi kes yang berkait dengan keluar agama Islam.

1
Deed poll ialah pengakuan yang dibuat sendiri oleh individu terbabit melalui surat akuan berkanun. Bagaimanapun,
ini tidak semestinya mengikat mahkamah, yang boleh memanggil individu berkenaan untuk memastikan kebenaran
akuannya.
2
Seminar-seminar ini dianjurkan oleh Biro Guaman Pemuda PAS (14 Jun 1998), Persatuan Undang-undang UIAM
(1 Ogos 1998) dan Jemaah Islam Malaysia (JIM) pada awal 1999.
3
Abdul Aziz Bari (2008). Perlembagaan Malaysia, Asas-asas dan Masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, hlmn 161
4
Lihat kes Jeffeery Or Bin Abdullah @ Or Boon Hua. Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang Kes No 06100-
099-0186 tahun 2006
5
Lihat kes Siti Fatimah Tan Abdullah lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang. (Kes mal no: 07100043-0191-2006)

1
Murtad sebenarnya berbeza dengan kebebasan beragama. Murtad atau riddah adalah
bermaksud kembali ke jalan asal, atau keluar dari agama Islam, tidak setia pada agama ataupun
kembali kepada kafir setelah Islam6 manakala kebebasan beragama merujuk kepada
mempertahankan amalan dan cara hidup yang disarankan oleh agama seperti memakai purdah,
tudung kepala, serban dan sebagainya yang boleh dilihat dalam kes Meor Atiqulrahman Ishak
dan Hjh Halimatussaadiah Kamarudin.

Isu murtad dan kebebasan beragama semakin kronik berlaku dalam negara kita.
Permintaan memurtadkan diri dan mengamalkan kebebasan beragama seringkali dikaitkan
dengan hak-hak asasi manusia yang diiktiraf oleh dunia dalam Pengisytiharaan Sejagat mengenai
Hak Asasi (UDHR) dan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan. Sememangnya negara kita tiada
pendekatan komprehensif untuk menangani masalah keluar masuk agama Islam dan kebebasan
beragama yang dituntut. Mahkamah Syariah sendiri pun tiada keupayaan untuk menangani kes-
kes sebegini yang akhirnya diserahkan kepada penghakiman di mahkamah sivil untuk membuat
keputusan. Sememangnya isu murtad dan kebebasan beragama sukar untuk ditafsirkan dalam
konteks Perlembagaan Persekutuan dan keputusan mahkamah.

2.0 SINOPSIS ARTIKEL ABDUL AZIZ BARI

Kebebasan beragama dan perlakuan murtad dalam kalangan orang Islam adalah isu bersifat
sensitif kerana ia menyentuh soal kepercayaan seseorang. Isu ini menjadi lebih kontroversi
apabila melibatkan penyelesaian dalam mahkamah oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menukar
agama atas tiket ‘kebebasan beragama’ yang diperuntukkan dalam Perkara 11, Perlembagaan
Persekutuan. Atas dasar untuk memperbetulkan fahaman masyarakat terhadap isu murtad dan
kebebasan beragama yang dikatakan dijamin oleh Perlembagaan kepada masyarakat, penulis
iaitu Abdul Aziz Bari bertanggungjawab untuk memperbaiki fahaman ini dengan mengambilkira
perincian sebenar yang dimaksudkan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan
pengecualian Malaysia dalam mendokongi hak kebebasan beragama yang dimaktubkan dalam

6
Muhammad Isa Selamat & Ahmad M.A.Ghaffar (1998). Murtad, Kesan dan Kisah Mengenainya. Kuala Lumpur:
Darul Nu’man. Hlm. 1

2
Pengisytiharaan Sejagat mengenai Hak Asasi (UDHR) 1948 yang akan diterangkan dalam artikel
ini.

Isu mengenai murtad dan kebebasan beragama telah banyak dikupas dan dibincangkan
oleh penulis ini dalam buku-bukunya seperti Islam dalam Perlembagaan Malaysia,
Perlembagaan Malaysia, Asas-asas dan Masalah, Murtad dan Kedudukannya di Sisi Islam dan
Perlembagaan Malaysia dan lain-lain lagi. Secara keseluruhannya, pengkaji melihat penulis ini
sangat peka dengan isu yang berkaitan dengan murtad dan kebebasan beragama kerana banyak
membuat penyelidikan dan penulisan mengenai isu agama ini.

Isu murtad dan kebebasan beragama sangat menarik untuk dibincangkan kerana ia secara
tidak langsung menyentuh tentang kebebasan beragama yang diperjuangkan dalam konteks
global, skima Perlembagaan Persekutuan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan mahkamah
sivil. Perdebatan mengenai isu ini selalunya akan dialami oleh negara Muslim.

Isu mengenai permasalahan agama sepatutnya dibicarakan dan dihakimi oleh Mahkamah
Syariah kerana ia merupakan bidang kuasanya tetapi mahkamah tersebut tidak dapat
mentafsirkan peruntukan mengenai kebebasan beragama dan murtad tersebut dalam
perlembagaan. Oleh itu, kita dapat melihat bahawa mahkamah sivil kini terpaksa mengambil alih
bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam membuat beberapa keputusan mahkamah yang berkaitan
dengan isu murtad dan kebebasan beragama. Contohnya, kita boleh lihat dalam kes Meor
Atiqulrahman dan Hjh Halimatussaadiah Hj. Kamaruzzaman dalam konteks kebebasan
beragama dan kes Jamaluddin Othman dan Lina Joy dalam kes murtad.

Penulis dalam penulisannya mengakui bahawa hak kebebasan beragama adalah hak yang
bersifat sejagat dan didokongi oleh seluruh dunia dalam satu pakatan persidangan antarabangsa
yang dipanggil sebagai Perisytiharaan Sejagat tentang Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948. Walau
bagaimanapun, Malaysia mengambil sikap berkecuali terhadap hak tersebut walaupun dalam
Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan ada menyebut tentang kebebasan beragama.
Perlembagaan Persekutuan memang memperuntukkan kebebasan beragama namun setiap
kebebasan bukanlah bersifat mutlak.

Mana-mana individu atau pihak yang menuntut kebebasan beragama untuk murtad
seharusnya memahami skima Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu. Perlembagaan
3
sememangnya telah menyatakan bahawa kebebasan beragama adalah salah satu hak yang
dijamin di bawah bab mengenai kebebasan asasi dalam Perkara 11 tetapi yang dimaksudkan
kebebasan di situ ialah dalam ruang lingkup menganut, mengamal dan mengembangkan agama
berkenaan.7 Walau bagaimanapun, dalam konteks pengembangan agama, wujud sekatan dan
larangan terhadap penyebaran doktrin atau agama lain selain Islam kepada orang-orang Islam.8
Peruntukan sebegini menunjukkan kelebihan yang diberikan kepada agama Islam sesuai dengan
kedudukannya sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3(1).9 Mengenai isu murtad, kebebasan
untuk keluar daripada agama Islam tidak dimasukkan dalam Perkara ini.

Jika dilihat isu murtad dan kebebasan beragama dalam konteks keputusan mahkamah,
penulis melihat kes ini kebanyakannya dibawa kepada mahkamah sivil berbanding Mahkamah
Syariah. Dan kebanyakan kes yang dibicarakan akan membawa kepada penghakiman yang
berbeza-beza. Penulis sendiri melihat mahkamah di negara kita tidak menunjukkan pendekatan
konsisten dalam menangani isu ini. Terdapat keputusan penghakiman yang mengiktiraf
kebebasan beragama dan ada juga yang menolak kebebasan beragama. Sukar untuk difahami
maksud atau pengertian sebenar kebebasan beragama yang ditafsirkan dalam peruntukan
Perlembagaan dan sidang mahkamah. Beberapa kes yang terlibat dalam kebebasan agama dan
murtad akan diterangkan secara terperinci dalam bahagian yang seterusnya.

Penulis di akhir perbincangannya menyatakan bahawa negara kita tidak menafikan hak
kebebasan beragama tetapi orang Islam tidak mempunyai hak tersebut. Kebebasan beragama dan
perlakuan murtad adalah sangat ditegah dan diberi pengecualian kepada orang Islam demi
menjaga ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral. Maka, tidak timbul isu murtad
atau kebebasan beragama bagi orang Islam kecuali bagi penganut-penganut agama lain. Pihak
yang menghujah bahawa murtad dibenarkan oleh perlembagaan sebenarnya telah terkeliru atau
terdapat cubaan untuk memutarbelitkan Perkara 11 dalam konteks kebebasan beragama. Oleh
itu, membendung masalah murtad dalam kalangan orang Islam adalah diharuskan dan ia tidak
menunjukkan pertentangan dengan peruntukan kebebasan beragama yang ada dalam
Perlembagaan Persekutuan.

7
Perkara 11 (1), Perlembagaan Persekutuan
8
Ibid Perkara 11 (4)
9
Ibid, Perkara 3
4
3.0 ULASAN PENGKAJI MENGENAI ISU MURTAD DAN KEBEBASAN
BERAGAMA

Isu murtad dan kebebasan beragama bukanlah isu remeh dalam konteks negara kita yang
majoritinya penduduk Islam. Banyak kes-kes murtad dan menuntut kebebasan beragama dibawa
kepada mahkamah. Ia semakin kompleks apabila melibatkan peruntukan kebebasan beragama
yang dijamin dalam Perlembagaan. Secara umumnya murtad merupakan isu berkait rapat dengan
orang Islam yang telah keluar dari agama Islam serta merasakan hak kebebasan beragama
menurut perlembagaan telah disekat dan dihalang oleh badan berkuasa agama Islam dan
mahkamah apabila kes ini dituntut di mahkamah.

Pengkaji dalam bahagian ini ingin mengulas dengan lebih terperinci mengenai pandangan
penulis mengenai isu murtad dan kebebasan beragama. Sememangnya, hak kebebasan beragama
dijamin dalam Perlembagaan tetapi yang sebenarnya, ia tidak memberi kebebasan yang bersifat
mutlak demi menjaga ketenteraman awam, kesihatan awam dan mutlak. 10 Ini bermaksud agama-
agama lain tidak dibenarkan menyebarkan ajaran mereka kepada orang Islam, yang secara
langsung boleh menyebabkan mereka keluar daripada agama Islam.

Setakat ini mahkamah telah menghukumkan bahawa hak kebebasan beragama


merangkum hak untuk memilih agama11 tetapi tidak menganggap perbuatan murtad sebagai
sebahagian daripada hak itu.12 Contohnya kita boleh lihat dalam kes Daud Mamat yang mana
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa murtad bukan sejenis agama dan dengan itu murtad
tidak dilindungi oleh Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan yang meletakkan
peruntukan Perkara 11 ini sebenarnya cuba mencari perseimbangan dalam soal ini iaitu
mengekal dan meneruskan sejarah dan dalam masa yang sama berusaha menjamin bahawa
orang-orang bukan Islam tidak tertindas dan dapat mengamalkan ajaran agama dan tradisi
mereka. Inilah maksud yang ingin dicapai dalam Perkara 11 sebenarnya.

10
Perkara 11 (5), Perlembagaan Persekutuan.
11
Lihat kes Re Susie Teoh (1986) 2 MLJ 229, 231B dan (1990) 2 MLJ 306.
12
Lihat kes Daud Mamat & Ors v Majlis Agama/ Adat istiadat Melayu Kelantan & Kerajaan Negeri Kelantan
(2001) 2 CLJ 161 MT, (2001) 2 MLJ 390 MT & (2002) 3 MLJ 728 MR.
5
Hukum Islam dalam soal murtad sebenarnya tidak mengancam kebebasan beragama. Ia
sebenarnya mahu menjaga kehormatan Islam supaya ia tidak diremehkan dan ditinggalkan
apabila bersifat menyulitkan. Pengkaji melihat pendirian Islam menolak murtad tidak
bertentangan dengan Pengisytiharaan Sejagat mengenai Hak-hak Asasi (UDHR) 1948. Secara
teknikalnya, perisytiharaan mengenai kebebasan beragama tidak mengikat negara-negara
anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Hak menukar agama termasuk sebagai salah
satu hak-hak yang dianggap asasi. Bagaimanapun, perlu dicatat bahawa ketika Perhimpunan
Agung badan dunia itu menerima perisytiharaan berkenaan, Arab Saudi tidak menerima
perisytiharaan ini, walaupun negara berkenaan menerima perisytiharaan-perisytiharaan lain yang
dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan kata lain, dunia antarabangsa mengiktiraf
hak negara-negara anggotanya membuat pilihan. Sikap berkecuali ini turut diguna pakai oleh
Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Maka, kebebasan beragama sebenarnya tidak dibuka luas
kepada rakyat negara ini.

Dalam kes Lina Joy, terdapat hujahan dan dakwaan yang mengatakan usaha untuk
menghalang wanita ini daripada murtad telah menafikan hak asasi manusia dalam soal kebebasan
beragama.13 Sebenarnya, isu murtad ini merupakan masalah dalaman umat Islam yang tidak
harus dilihat berlawanan dengan soal kebebasan beragama. Ada pihak yang secara sewenang-
wenangnya memetik peruntukan dalam UDHR itu tanpa mengambil kira senario asal
perisytiharaan berkenaan. Selain itu, mereka juga semacam sengaja melupakan peruntukan di
dalam Akta Suhakam 1999 sendiri yang menyatakan bahawa hanya peruntukan yang tidak
bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan boleh diterima dan diamalkan di
negara ini. Sebenarnya dunia antarabangsa telah mengiktiraf sikap Islam tentang persoalan
murtad. Ini dapat dilihat dalam peruntukan di bawah perjanjian antarabangsa tentang hak sivil
dan politik (ICCPR) 1966 yang dipersetujui selepas UDHR 1948 dilaksanakan. ICCPR 1966
tidak menyebut hak menukar agama sebagaimana yang terdapat di dalam UDHR 1948. Malaysia
sebenarnya tidak mengiktiraf kebebasan beragama secara mutlak yang dicadangkan oleh UDHR.
Kebebasan beragama yang dimaksudkan dalam Perkara 11 hanyalah dalam ruang lingkup

13
Lihat kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah & Anor (2004) 2 MLJ 119.

6
menganut, mengamal dan mengembangkannya dan hak untuk murtad tidak dibenarkan dalam
negara kita.

4.0 KES-KES MAHKAMAH BERKAITAN MURTAD DAN KEBEBASAN


BERAGAMA

Perlembagaan telah membuat peruntukan mengenai Islam dan kebebasan beragama. Tetapi
ruang lingkup peruntukan-peruntukan ini juga perlu dilihat dalam konteks tafsiran mahkamah.
Jika kita lihat kepada beberapa keputusan mahkamah, terdapat pembezaan dalam menentukan
penghakiman bagi mengadili kes murtad dan kebebasan beragama. Contohnya, di Perak, kuasa
Mahkamah Syariah hanyalah mengisytiharkan seseorang itu telah keluar daripada agama, di
Terengganu, Mahkamah Syariah mengenakan denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak
melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang yang murtad dan di Kelantan pula,
hukuman bunuh cuba dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah negeri itu tetapi disekat oleh
Kerajaan Persekutuan. Negeri Kelantan dilihat cuba mempertahankan sabda Nabi mengenai
hukuman murtad sepertimana yang disebut dalam ayat:

‫ رواه البخاري‬.‫ من بدّل دينه فاقتلوه‬: ‫قال رسول هللا‬

Sesiapa yang menukarkan agamanya maka bunuhlah dia.14

Dari sudut struktur dan bidang kuasa dalam Perlembagaan, persoalan murtad dan
kebebasan beragama sebenarnya tergolong dalam hal-hal yang diletakkan di bawah bidang kuasa
Mahkamah Syariah. Seseorang yang meninggalkan agama Islam perlu mendapatkan permohonan
di Mahkamah Syariah. Pindaan Perlembagaan pada tahun 1988 telah menyatakan secara jelas
bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam mengendalikan kes seperti ini dan mahkamah-
mahkamah sivil tidak lagi mempunyai kuasa ke atas hal-hal yang telah diletakkan di bawah
bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Walau bagaimapaun, hakim-hakim mahkamah sivil kelihatannya masih enggan untuk


menerima sepenuhnya maksud pindaan berkenaan. Mereka beranggapan bahawa kuasa
Mahkamah Syariah dalam hal-hal tersebut perlu disebut dengan jelas dalam statut berkenaan dan
14
Al-A’skolani, Ibnu Hajar, Fathul Bari, Cetakan 1, (Mesir: Dar Misr li Toba’at< 1421H/2001M) Jilid 12, Hlm 376.
7
sekiranya ini tidak ada, maka mahkamah sivil masih boleh memiliki bidang kuasa dalam soal
tersebut. Jika kita lihat, kebanyakan kes-kes murtad diselesaikan oleh mahkamah-mahkamah
sivil. Ini boleh dilihat dalam kes-kes seperti di bawah yang melibatkan penghakiman di peringkat
Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan. Ini memperlihatkan bidang kuasa Mahkamah
Syariah adalah terhad dalam mengendalikan kes yang berkaitan dengan murtad dan kebebasan
beragama. Berikut adalah beberapa contoh kes-kes murtad dan kebebasan beragama yang
dituntut dalam mahkamah di Malaysia.

4.1 Jamaluddin Bin Othman v Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Seorang
Lagi (1989) 1 MLJ 368

Jamaluddin bin Othman ialah seorang pemuda Melayu yang didakwa memeluk agama Kristian
dan terlibat dalam gerakan menyebarkan agama tersebut dalam kalangan orang-orang Melayu.
Dalam kes ini, mahkamah menerima hujah bahawa seorang Melayu yang masuk Kristian berhak
untuk diberi kebebasan beragama. Kedua-dua Mahlamah Tinggi dan Mahkamah Agung
memutuskan bahawa kebebasan beragama tidak boleh disekat hatta oleh Akta Keselamatan
Dalam Negeri 1960. Mahkamah menekankan pengecualian yang disebut oleh perlembagaan
terhadap kebebasan beragama yang disebut oleh perlembagaan dan tidak menerima hujah pihak
kerajaan bahawa usaha mengkristiankan orang-orang Melayu berpotensi mengancam
ketenteraman awam. Kes ini mempunyai kesan yang buruk terhadap usaha menangani masalah
murtad kerana terdapat usaha mengeluarkan orang-orang Islam dari agama mereka.

Dalam kes ini, mahkamah menganggap ia sebagai salah satu aspek kebebasan beragama
yang perlu diakui dan usaha-usaha sedemikian tidak dianggap sebagai sesuatu yang mengancam
ketenteraman awam. Dengan kata lain, pihak berkuasa tidak boleh berbuat apa-apa untuk
menyekat orang Islam keluar daripada agama Islam. Keputusan mahkamah dalam kes
Jamaluddin bin Othman ini telah mengundang lebih banyak berlakunya masalah murtad. Selain
itu, kes ini menunjukkan bahawa mahkamah menjunjung prinsip kebebasan beragama.

8
4.2 Hajah Halimatussaadiah bte Hj. Kamarudin v Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,
Malaysia & Seorang Lagi (1994) 3 MLJ 513

Dalam kes Jamaluddin Othman, mahkamah dilihat menjunjungi hak kebebasan beragama tetapi
pendekatan yang agak berbeza dilihat dalam kes Hjh Halimatussaadiah. Dalam kes ini, tuntutan
wanita ini memakai purdah semasa bekerja dalam sektor kerajaan ditolak atas alasan kebebasan
beragama tidak mutlak dan tertakluk kepada sekatan di dalam perlembagaan. Dalam kes Hajah
Halimatussaadiah, seorang kakitangan awam yang mengenakan tutup muka (purdah) telah
dibuang kerja kerana dianggap mengingkari pekeliling yang melarangnya berbuat demikian.
Kakitangan tersebut menyaman kerajaan di mahkamah dan menghujah bahawa larangan tersebut
menafikan haknya untuk mengamalkan ajaran agamanya.

Mahkamah tidak menerima hujah ini kerana mahkamah berpendapat bahawa purdah
tidak diwajibkan oleh ajaran Islam. Ini agak meragukan kerana apa kaitan antara kebebasan
beragama dengan wajib atau tidaknya sesuatu amalan yang bersumberkan kepada agama.
Keputusan ini menimbulkan persoalan kerana soal wajib atau tidaknya purdah itu adalah soal
yang lain. Yang jelas, purdah tidak menyalahi ajaran Islam. Sesetengah pendapat menyatakan
bahawa memakai purdah, dalam keadaan tertentu, boleh menjadi wajib. Dengan kata lain,
memakai pudah adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Menafikan hak seseorang memakai
purdah sebenarnya menafikan seseorang mengamalkan sesuatu daripada ajaran agamanya dan
dengan demikian bertentangan dengan hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pandangan ini disokong oleh keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Meor Atiqulrahman.
Dalam kes ini Gopal Sri Ram HMR menyatakan bahawa amalan serta praktis yang integral dan
penting dari sesuatu agama sekiranya dinafikan akan menyebabkan penafian itu dianggap
melanggar perlembagaan. Ini jelas berbeza dengan keputusan Mohd. Dzaiddin Abdullah dalam
kes Hjh Halimatussaadiah.

4.3 Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Seorang Lagi (2004) 6 CLJ
242

Lina Joy seorang gadis Melayu menyaman kerajaan yang tidak membenarkan permohonannya
untuk murtad daripada agama Islam dan menukarkan status agamanya dalam pengenalan identiti
9
diri di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Di dalam kes ini, permohonannya untuk murtad
ditolak kerana hak sedemikian tidak wujud. Plaintif telah memohon kepada Mahkamah Tinggi
untuk pelbagai perintah deklarasi, terutama hak-hak beliau berhubung Kebebasan Beragama di
bawah Perkara 11 (1) Perlembagan Persekutuan iaitu: “tiap-tiap orang adalah berhak menganuti
dan mengamalkan ugamanya”. Perkara ini jelas memberikan kebebasan kepada setiap
penganutnya mengamalkan cara hidup yang dikehendaki.

Mahkamah menguraikan konsep kebebasan beragama dalam konteks Perkara 3(1) dan 11
selain merujuk kepada Perkara 160(2) yang menekankan keakraban antara Melayu dan Islam.
Plaintif merupakan seorang yang dipanggil etnik Melayu perlu memenuhi ciri-ciri seorang
Melayu iaitu sinonim dengan agama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat
orang Melayu. Maka hal ini jelas Melayu itu dekat dengan Islam dan permohonan penukaran
status agama daripada agama Islam kepada Kristian adalah dilarang sama sekali.

Menurut Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan membicarakan tentang kebebasan


beragama tetapi ini tidak bermaksud bahawa plaintif patut diberikan kebebasan memilih untuk
menganut dan mengamalkan agama pilihannya.

Keputusan mahkamah tinggi dalam kes Lina Joy ini sangat kukuh kerana ia berjaya
menunjukkan persoalan hak kebebasan beragama berkait rapat dengan struktur dan kerangka
perlembangaan keseluruhannya. Kes ini menarik kerana kes-kes yang terdahulu beranggapan
bahawa murtad adalah sebahagian daripada aspek-aspek kebebasan beragama. Pandangan
sebegini, secara tidak langsung, mempunyai kesan menafikan kedudukan istimewa Islam dalam
struktur perlembagaan kita.

4.4 Kes Pengesahan Keluar Islam Jeffeery Or bin Abdullah @ Or Boon Hua

Kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang dan sebutannya di
laksanakan pada 22 September 2006. Dalam kes ini pemohon bernama Jeffery Or bin Abdullah
@Or Boon Hua tinggal di Kuantan, Pahang telah memfailkan permohonannya di Mahkamah
Tinggi Syariah Kuantan bagi mengishtiharkan dirinya telah keluar daripada agama Islam
(murtad). Pemohon telah memeluk agama Islam pada 20 Januari 1994 dan didaftarkan
keislamannya di Majlis Agama Islam Pahang bil 25/94. Pada 16 November 1996 pemohon
mengahwini seorang perempuan Melayu yang bernama Zarita binti Muda dan memperolehi 2
10
orang cahaya mata. Kemudian pada November 2001 yang lalu, pasangan ini disahkan bercerai
di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh plaintif di mahkamah memohon dirinya


diisytiharkan supaya keluar daripada agama Islam kerana beliau sama sekali tidak pernah
mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama ini. Pemohon turut mengemukakan empat
orang saksi bagi memberi keterangan bagi pihaknya di mahkamah. Seterusnya keterangan yang
dikemukakan jelas menunjukkan plaintif masih mengamalkan ajaran agama Buddha yang
dianutinya sejak beliau kecil lagi. Kemasukan plaintif ke dalam agama Islam semata-mata untuk
tujuan perkahwinan dan tidak mempunyai niat untuk mengamalkan ajaran agama Islam.

Menerusi kes ini, mahkamah memutuskan bahawa plaintif telah keluar daripada agama
Islam dan menjadi murtad setelah mendengar keterangan-keterangan yang telah diberikan oleh
pemohon sendiri dan saksi-saksi pemohon. Sijil perakuan memeluk Islam yang bernombor 25/94
(MUI PHG 27/5/1) yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pahang telah dibatalkan.
Pemohon diminta untuk membuat pendaftaran penukaran agama di Jabatan Pendaftaran Negara.
Walaupun dari sudut pandangan agama penukaran agama dilihat memberikan impak negatif dari
segi pengaruhnya kepada orang lain, namun disebabkan plaintif memeluk Islam adalah untuk
tujuan perkahwinan dan tidak pada landasan atau niat yang betul, maka defendan dibenarkan
melepaskan status agama Islam meskipun keputusan yang dibuat ini tidak tepat seperti yang
digariskan dalam Islam.

5.0 KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, kes-kes yang dihuraikan dalam isu murtad dan kebebasan beragama di Malaysia
seolah-olah menunjukkan keputusan mahkamah bersifat tidak konsisten. Terdapat percanggahan dalam
setiap keputusan kes apabila ada di antara kes yang mengenakan sekatan terhadap kebebasan beragama ke
atas orang Islam yang ingin keluar dari agama. Contohnya dalam kes Lina Joy dengan menggunakan
peruntukan Perlembagaan dalam Perkara 160(2) sebagai prinsip teras yang melarang perbuatan plaintif
menukar status agama apabila menekankan keakraban antara Melayu dan Islam. Akhirnya permohonan
plaintif gagal dalam usaha menukar status agamanya. Walau bagaimanapun, dalam kes lain seperti kes

11
Jamaluddin Othman, mahkamah membenarkan permohonan plaintif untuk menukar agama dari
Islam kepada Kristian.

Walau bagimanapun, dalam kes Hajah Halimatussaadiah soal kebebasan beragama


seolah-olah dinafikan. Plaintif dilarang memakai purdah atas alasan pemakaian purdah bukan
merupakan sesuatu yang diwajibkan dalam agama Islam. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana
setiap individu dibenarkan mengamalkan ajaran agama yang dianuti sepertimana dalam Perkara
11 Perlembagaan Persekutuan. Keputusan-keputusan kes yang sentiasa bercanggah dan
bergantung kepada mahkamah menggunakan peruntukan-peruntukan tertentu dalam
Perlembagaan Persekutuan menyebabkan isu murtad dan kebebasan beragama menjadi semakin
kompleks. Wujud kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan juga bukan Islam dalam masalah
ini.

Justeru itu, pengkaji berpendapat dalam menangani isu sebegini adalah lebih baik jika
kuasa diberikan kepada Mahkamah Syariah bagi menangani masalah berhubung soal keluar
masuk agama Islam dan kebebasan beragama. Ini bagi mengelakkan wujudnya pihak-pihak
tertentu yang mengambil kesempatan di atas kelemahan perkara ini. Selain itu, Mahkamah
Syariah mempunyai bidang pengetahuan yang mendalam dalam hal ehwal agama Islam
berbanding mahkamah sivil. Peruntukan Perlembagaan jelas menunjukkan kuasa dalam bidang
agama Islam terletak di bawah Senarai Negeri dan lebih baik diberikan kepada Mahkamah
Syariah dalam menangani persoalan ini. Secara tidak langsung, integriti Mahkamah Syariah
dapat ditingkatkan di mata masyarakat.

12
13

Anda mungkin juga menyukai