Anda di halaman 1dari 17

Sakit Saraf

SAKIT KEPALA

Sakit kepala ialah rasa sakit dalam kepala. Ia merupakan masalah kesihatan yang
paling lazim berlaku dan paling banyak jenisnya.

JENIS-JENIS SAKIT KEPALA DAN CIRI-CIRINYA

Sakit kepala disebabkan ketegangan

• Sakit jenis ini biasanya dirasai di belakang kepala dan leher dan biasanya tidak
terhad pada sebelah bahagian sahaja.
• Sakit mungkin berlarutan selama beberapa hari hingga beberapa minggu dengan
masa lega yang singkat di antara serangan. Walau bagaimanapun tahap
keterukannya mungkin berubah-ubah.
• Menyerang pada bila-bila masa.
• Kesakitannya selalu digambarkan seperti satu 'Ikatan kuat' yang menekan, tetapi
jarang sekali berdenyut-denyut dan tidak pernah disertai dengan demam.

Sakit Kepala Migrain

• Berlaku apabila saluran darah di kepala menutup terlalu ketat atau membuka
terlalu luas.
• Sakit dirasai di sebelah bahagian kepala sahaja pada satu-satu masa, tetapi
mungkin merebak ke seluruh kepala.
• Sakitnya berdenyut-denyut dan selalunya berlaku secara perlahan-lahan dan
menjadi lebih teruk selepas satu jam atau lebih. Berlarutan sekurang-kurangnya
2-4 jam atau lebih lama.
• Sakit mungkin menyerang sekali dalam masa beberapa hari atau beberapa
minggu atau langsung tiada untuk beberapa bulan. Migrain biasanya berlarutan
selama beberapa jam tetapi jarang melebihi satu atau dua hari.
• Sakit yang mungkin menjadi lebih teruk dengan tekanan, pengambilan alkohol,
atau sesetengah jenis makanan seperti coklat dan seringkali disertai rasa loya
dan muntah-muntah. Tidur dapat melegakan sakit kepala jenis ini. Sakit ini juga
boleh berlaku semasa haid.
• Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap migrain.

Sakit kepala yang bertumpu (cluster headaches)

• Sakit kepala jenis ini biasanya berlaku di kalangan lelaki pertengahan umur,
manakala migrain tipikal lebih biasa berlaku di kalangan wanita.
• Sakitnya hanya meliputi sebelah bahagian kepala sahaja. Sakit biasanya terjadi
di belakang mata dan biasanya berlaku pada mata yang sama.
• Sakit yang menyerang secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran.
• Sakit yang memuncak dalam tempoh 5 hingga 10 minit dan mungkin berlarutan
sehingga beberapa jam.
• Sakit yang menyebabkan seseorang terbangun daripada tidur dan berlaku
beberapa kali sehari untuk beberapa minggu dan kemudian berhenti.
• Menyerang hampir pada waktu yang sama setiap hari, untuk beberapa minggu
atau bulan.
• Sakit yang mungkin berkaitan dengan sebelah bahagian rongga hidung
tersumbat dan mata yang berair.

Keradangan Sinus

• Sakit yang biasanya bermula semasa atau selepas demam selsema yang teruk,
terutamanya jika berlaku titis postnasal (pengaliran lendir berlebihan dari
kawasan hidung ke dalam farinks).
• Sakit yang tertumpu pada satu kawasan tertentu pada muka atau kepala, dan
menyerang dalam masa yang singkat.
• Sakit yang teruk pada waktu pagi sebelum mukus (lendir) berpeluang untuk
mengalir keluar.
• Sakit yang menjadi lebih teruk apabila batuk, bersin atau menggerakkan kepala
dengan tiba-tiba.
• Sakit yang menjadi lebih teruk dengan pengambilan alkolhol, perubahan suhu
yang mendadak, semasa musim sejuk dan keluar dari bilik yang panas ke
kawasan luar yang sejuk.
• Menpunyai sejarah demam hay (rinitis alergik) dan alahan.

Arteritis Temporal

• Sakit yang biasanya berlaku di kalangan warga tua yang berumur lebih daripada
50 tahun.
• Sakit yang berkaitan dengan bahagian kepala dan pelipis yang sensitif (mudah
terasa sakit apabila disentuh) dan sakit rahang,
• Penglihatan terganggu.
• Sakit-sakit pada seluruh badan
• Kemungkinan berkait dengan demam ringan yang berlaku sekejap-sekejap.
• Dikaitkan dengan penurunan berat badan pada sesetengah orang.
• Sakit kepala jenis ini dianggap sebagai kes kecemasan perubatan - pesakit perlu
dirawat di hospital dengan segera.

FAKTOR-FAKTOR LAIN YANG MENYEBABKAN SAKIT KEPALA

• Demam selsema yang biasa, influenza


• Demam yang disebabkan oleh virus
• Terlalu sedikit atau terlalu banyak tidur.
• Makananan seperti pemanis tiruan, pisang, minuman beralkohol, kopi, teh,
daging yang telah diawet, dan monosodium glutamate(bahan perisa).
• Kecederaan pada kepala/post-traumatik
• Berlaku jangkitan di kepala atau leher
• Pendedahan terhadap bahan kimia atau pencemaran.
• Keracunan
• Kesan-kesan sampingan daripada ubat-ubatan seperti Indomethacin, nitrat dan
agen vasodilasi (agen yang menyebabkan salur darah menjadi lebih besar).
• Perubahan hormon contohnya sindrom sebelum haid(PMS)
• Tekanan
• Gigi bernanah.
• Kesan-kesan akibat berhenti mengambil kopi, ubat-ubatan simpatomimetik atau
ubat ubatan lain.
• Kesan akibat berhenti daripada mengambil dadah jalanan.
• Pengambilan alkohol yang melampau.

PENJAGAAN SENDIRI UNTUK MENGAWAL SAKIT KEPALA ANDA.

• Cari penyebab atau pencetus sakit kepala anda dan cuba elakkannya.
• Elakkan daripada mengambil makanan dan minuman yang boleh menyebabkan
sakit kepala.
• Minta bantuan seseorang untuk mengurut otot-otot yang tegang.
• Makan ubat penahan sakit seperti Acetaminophen, ibuprofen atau aspirin untuk
mengurangkan sakit kepala anda.
• Berehat - Berehat dengan menutup mata dan menarik nafas panjang-panjang
dengan perlahan-lahan.
• Mandi
• Tutup mata anda dengan kain basah.

HUBUNGI DOKTOR JIKA..

• Sakit kepala yang teruk atau kuat menyerang tiba-tiba.


• Sakit kepala yang semakin lama semakin teruk atau dikaitkan dengan masalah
penglihatan, percakapan yang tidak jelas, masalah mengerakkan tangan dan
kaki, atau masalah-masalah yang seumpamanya.
• Sakit kepala yang dikaitkan dengan demam dan leher terasa tegang.
• Sakit kepala yang dikaitkan dengan kecederaan kepala.
• Sakit kepala yang paling teruk pernah anda alami dan menyerang dengan tiba-
tiba.
• Sakit kepala yang berlarutan lebih beberapa hari.
• Sakit kepala yang teruk pada waktu pagi dan tiada gejala-gejala lain yang timbul.
• Sakit kepala yang sering berlaku dan tidak diketahui penyebabnya seperti alahan
atau sinusitis yang kronik.
• Terdapat perubahan ciri-ciri sakit kepala daripada yang biasa anda alami.
• Anda merasa mungkin anda menghidap arteritis temporal.
INSOMNIA (KESUKARAN UNTUK TIDUR)
Apakah yang dimaksudkan dengan Insomnia?

Kebanyakan orang pernah sekali-sekala mengalami masalah sukar untuk tidur. Ia


merupakan satu perkara biasa dan mungkin tidak di anggap sebagai satu masalah
kesihatan. Janganlah berasa risau sekiranya anda mengalami kesukaran untuk tidur
pada ketika tertentu dalam kehidupan anda.

Insomnia ialah merasa sukar untuk tidur dan tidur dengan nyenyak atau merasa seperti
tidak cukup rehat walaupun telah tidur secukupnya. Maka pesakit yang menghidap
insomnia ialah mereka yang merasakan tidak cukup tidur/tidak dapat tidur nyenyak di
malam hari dan kurang aktif/bertenaga di siang hari..

Tanda tidur yang mencukupi ialah apabila anda bangun di pagi hari dan merasa
bertenaga dan telah berehat secukupnya. Sebanyak mana tidur yang anda perlukan
bergantung kepada individu dan mungkin hanya 4 jam semalam atau mungkin sehingga
10 jam. Fisiologi tidur berubah apabila umur seseorang semakin meningkat. Tempoh
tidur di kalangan warga tua adalah lebih pendek berbanding mereka yang pertengahan
umur. Tidur mereka menjadi kurang nyenyak dan lebih kerap terjaga di waktu malam.
Warga tua mungkin akan lebih banyak tidur di waktu siang. Kanak-kanak biasanya
memerlukan tidur yang lebih banyak berbanding dengan orang dewasa.

Jadi bolehlah dikatakan bahawa insomnia bukanlah masalah berapa jam seseorang itu
tidur, tetapi setakat mana tidur itu merehatkan diri.

Pengkelasan Insomnia

Insomnia boleh dikelaskan kepada insomnia sementara, jangka pendek atau kronik
bergantung kepada berapa lama tidur itu terganggu.

Insomnia Sementara

Ianya bergantung kepada keadaan dan biasanya disebabkan oleh perubahan


persekitaran atau tekanan hidup seperti mengembara, dimasukkan ke hospital atau
menjangkakan bahawa sesuatu peristiwa yang penting atau yang menimbulkan
tekanan kepada diri anda akan berlaku. Ia biasanya tidak melarat kepada gangguan
yang lebih serius dan akan hilang dalam masa beberapa hari.

Insomnia Jangka Pendek

Jika lebih banyak tekanan yang datang (contohnya kematian seseorang yang disayangi,
dibuang kerja atau berlaku penceraian), insomnia sementara mungkin melarat menjadi
insomnia jangka pendek dan biasanya insomnia jenis ini akan berlarutan tidak lebih
daripada 3 minggu.
Insomnia Kronik

Jika insomnia jangka pendek tidak dikendalikan dengan baik, ia mungkin melarat
menjadi insomnia kronik yang biasanya berlarutan dari beberapa bulan hingga
beberapa tahun. Ia selalunya disebabkan oleh keresahan umum, pengambilan ubat-
ubatan, masalah kesihatan, disfungsi fisiologi (gangguan fisiologi) atau penyalahgunaan
bahan seperti alkohol atau dadah. Oleh yang demikian, adalah amat kritikal untuk
mengenalpasti punca insomnia jangka panjang jika gangguan tidur ini hendak
dikendalikan dengan baik.

Tanda-tanda dan gejala insomnia

• Sukar untuk tidur, berbaring dalam keadaan jaga lebih daripada sejam atau lebih
sebelum dapat melelapkan mata.
• Tidur yang tidak nyenyak dan sering terganggu, contohnya terjaga beberapa kali
di waktu malam.
• Terbangun di awal pagi kemudian sukar untuk menyambung tidur semula.
• Terasa letih atau mengantuk di waktu siang menyebabkan kerap tidur di siang
hari.

Apa faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya insomnia?

1. Faktor gaya hidup

Sikap dan ubat-ubatan boleh menyebabkan berlakunya insomnia atau


menerukkan lagi masalah tidur yang dialami. Tabiat meminum alkohol, minuman
yang mengandungi kafein dan merokok merupakan antara contoh utama. Faktor
gaya hidup lain yang boleh menurunkan kualiti tidur ialah seperti waktu tidur
yang berbeza-beza setiap malam, pertukaran masa kerja, perjalanan jauh dan
berpindah ke rumah baru. Beberapa ubat-ubatan seperti antidepresan dan
antihipertensi boleh menyebabkan insomnia menjadi semakin teruk.

Tekanan hidup yang semakin bertambah sama ada di rumah atau di tempat
kerja.

2. Masalah-masalah kesihatan

Penyakit yang boleh menyebabkan rasa sakit (contoh: angina pektoris, artritis,
kanser, ulser peptik /refluks saluran gastrousus), masalah pernafasan (contoh:
asma, bronkitis, penyakit penyumbatan pulmonari kronik, kegagalan jantung
kongestif) atau kerap terasa ingin membuang air kecil (contoh: penyakit kencing
manis). Masalah-masalah kesihatan lain yang boleh menyumbang kepada
kesukaran untuk tidur ialah hipertioidisme, penyakit Parkinson dan masalah buah
pinggang yang tidak berfungsi dengan baik.
3. Masalah psikiatri

Kemurungan, gangguan keresahan, Skizofrenia, gangguan bipolar,


penyalahgunaan bahan seperti dadah dan ubat-ubatan boleh menyebabkan
insomnia.

4. Persekitaran tidur yang tidak selesa

Persekitaran yang bising seperti bunyi lalu lintas, kapalterbang, atau bunyi
televisyen jiran boleh menyebabkan tidur terganggu. Bilik yang terlampau terang,
suhu bilik yang terlampau sejuk/panas dan bantal atau katil yang terlalu lembut
atau keras juga boleh mengganggu tidur.

Penjagaan Sendiri

Elakkan:

• Meminum minuman yang mengandungi kafein (seperti kopi,teh, minuman kola)


dan alkohol, merokok atau mengunyah tembakau 2 hingga 4 jam sebelum tidur,
bergantung kepada bagaimana ia boleh mempengaruhi kemampuan anda untuk
tidur.
• Tidur dengan perut yang kosong atau terlalu penuh.
• Membawa perselisihan atau masalah ke tempat tidur jikalau ia boleh
diselesaikan sebelum itu.
• Memaksa diri untuk tidur dan merasa risau mengenainya.
• Tidur sekejap-sekejap pada waktu siang.

Bersenam secara tekal 3 hingga 5 kali seminggu. Walau bagaimanapun, senaman


berat sebelum tidur mungkin menyebabkan anda sukar tidur.

Berehat sebelum tidur. Berhenti daripada membuat kerja beberapa jam sebelum tidur.
Belajar cara-cara menenangkan diri dan mengosongkan fikiran daripada kerja atau
masalah. Ini kerana apabila fikiran anda terlalu aktif, anda akan menghadapi masalah
untuk berehat.

Pastikan persekitaran tidur anda selesa dengan cara mengurangkan gangguan luaran
seperti cahaya lampu dan kebisingan. Tidur di atas tilam yang selesa, bantal yang
lembut atau memakai pakaian tidur yang longgar.

Tidur hanya apabila anda rasa mengantuk dan gunakan tempat tidur anda untuk tidur
sahaja bukannya sebagai pejabat atau tempat menonton televisyen.

Jika anda berbaring dalam keadaan jaga melebihi daripada 15 minit, keluar dari bilik
tidur dan cuba lakukan sesuatu yang menyenangkan dan merehatkan anda.
Lakukan aktiviti-aktiviti yang merehatkan sebagai amalan sebelum masuk tidur untuk
menimbulkan rasa mengantuk seperti:

• Mandi air suam


• Minum susu suam.
• Membaca buku yang membosankan atau bahan bacaan ringan seperti majalah.
• Mendengar muzik yang menenangkan.

Bangun pagi pada waktu yang lebih kurang sama tanpa mengambil kira waktu anda
tidur.

Semak semula preskripsi dan ubat-ubatan yang anda beli dengan pegawai farmasi
untuk mengelakkan dari terambil ubat-ubatan yang menyumbang kepada masalah tidur.

Bila anda perlu berjumpa doktor

Anda mungkin memerlukan rawatan perubatan jika masalah untuk tidur berlarutan atau
mula mengganggu kerja/aktiviti harian anda terutamanya apabila anda menderita
insomnia kronik ( yang berterusan untuk jangka masa panjang) yang berkait dengan
penyakit. Doktor akan memeriksa kesihatan anda secara keseluruhan dan bertanya
tentang tabiat tidur anda yang biasa. Anda mungkin diberikan pil tidur atau dirujuk
kepada pakar sakit jiwa. Jangan mengambil pil tidur tanpa nasihat doktor. Pil-pil tidur
paling baik digunakan untuk menghilangkan masalah tidur yang sementara pada waktu-
waktu tertentu sahaja. Penggunaan untuk jangka masa panjang boleh membawa
kepada ketergantungan kepada ubat apabila badan mula menyesuaikan diri dengan pil-
pil ini. Ini bermakna anda mesti mengambil lebih pil tidur untuk mencapai kesan yang
diingini.
EPILEPSI
Apakah yang dimaksudkan dengan epilepsi?

Epilepsi ialah satu gejala gangguan saraf disebabkan oleh kecacatan atau gangguan
pada isyarat elektrik yang mengawal operasi otak. Ia juga dikenali sebagai gila babi
dalam masyarakat Malaysia khususnya kaum melayu.

Otak biasanya menerima dan menghantar maklumat dalam bentuk impuls elektrik. Jika
berlaku aktiviti/penghantaran impuls elektrik yang luar biasa atau pertambahan
mengejut impuls elektrik di dalam otak, ia akan dilahirkan dalam bentuk sawan yang
merupakan kejadian sementara sahaja.

Epilepsi dikategorikan sebagai kejadian sawan yang berulang-ulang, berlaku secara


tiba-tiba dan sekejap sahaja. Sifat dan kekuatannya berbeza-beza daripada seorang ke
seorang. Epilepsi tidak menjejaskan kepintaran. Kebanyakan orang yang menghidap
epilepsi berupaya mendapatkan pendidikan yang normal, malah mampu memperolehi
ijazah. Kita tidak perlu takut kepada penyakit epilepsi atau mengubah sikap apabila
berhadapan dengan mereka yang menghidap epilepsi. Seseorang yang menghidap
epilepsi masih boleh menikmati gaya hidup yang aktif jika sawannya dapat dikawal
dengan baik.

Sebab-sebab berlakunya epilepsi

Penyebab gangguan sawan dalam lebih kurang 70 peratus kes epilepsi adalah tidak
diketahui (Epilepsi idiopatik).

Bagi sesetengah pesakit (lebih kurang 30 peratus), kejadian sawan mungkin


disebabkan oleh:

• Janin mengalami kecedaraan otak semasa dalam kandungan


• Trauma kelahiran seperti pendarahan dalam otak atau kekurangan bekalan
oksigen ke otak.
• Tumor otak dan angin ahmar (strok)
• Kecederaan kepala yang teruk.
• Saluran darah ke otak menjadi sempit.
• Penyakit berjangkit, contohnya meningitis atau ensefalitis bakteria (keradangan
otak).
• Sebab-sebab genetik.
• Perubahan paras gula darah, contohnya hipoglisemia dan kerosakan hati atau
buah pinggang.
• Keracunan disebabkan oleh penyalahgunaan bahan seperti dadah atau
pencemaran alam sekitar seperti keracunan plumbum.
Faktor-faktor pencetus

• Serangan epilepsi kemungkinan dicetus oleh:


• Kekurangan tidur
• Tekanan
• Haid
• Alkohol
• Jangkitan kuman
• Sesetengah jenis ubat-ubatan
• Berhenti mengambil ubat-ubatan tertentu dengan tiba-tiba

Jenis-jenis epilepsi

Terdapat banyak jenis epilepsi. Sawan ini boleh dikelaskan kepada 2 jenis utama iaitu:

1. Separa (sebahagian)

Sawan separa berlaku apabila gangguan elektrik terjadi di sebahagian otak


sahaja . Satu contoh yang biasa ialah sawan separa kompleks. Perlakuan
pesakit mungkin menjadi automatik dan selalu disalahanggap sebagai masalah
emosi atau mental. Pesakit mungkin akan berlari dalam satu bulatan, merasa
pening dan keliru, kelihatan seperti berkhayal atau tidak bertindak balas dengan
orang lain. Sesetengahnya merasa sangat pelik/ganjil. Keadaan ini mungkin
berlarutan untuk beberapa saat hingga beberapa minit.

2. Keseluruhan

Apabila seluruh otak terganggu, hasilnya ialah sawan menyeluruh. Jenis-jenis


yang paling lazim ialah:

• Sawan Tonik-Klonik

Semasa berlakunya sawan tonik-klonik, seseorang mungkin tidak


sedarkan diri dan jatuh, badan menjadi kaku dan menggeletar atau
menyintak. Air liur pesakit mungkin meleleh keluar atau pernafasannya
menjadi kuat. Sawan ini akan berlarutan lebih kurang 3 minit. Pesakit
mungkin merasa letih selepas mengalami sawan dan memerlukan rehat
sebelum melakukan aktiviti seperti biasa.

• Sawan Absens

Kebanyakannya berlaku di kalangan kanak-kanak sekolah rendah. Sawan


jenis ini biasanya menyerang untuk suatu tempoh yang pendek dan
mungkin tidak dapat dikesan oleh orang lain. Mangsa kelihatan seperti
berkhayal. Ia akan berhenti daripada aktiviti yang sedang dilakukannya
dan merenung kosong selama 5 hingga 30 saat. Matanya mungkin
memandang ke atas atau berkedip dan kelihatan seolah-olah seperti
sedang berkhayal. Jika dibiarkan tanpa rawatan, sawan ini akan berulang
lebih kerap dalam sehari. Kanak-kanak ini mungkin akan menghadapi
masalah untuk belajar dan memberi tumpuan di dalam kelas.

Komplikasi sawan menyeluruh yang tidak dikawal dan diubati.

• Kecederaan fizikal (seperti kepala terhantuk di permukaan yang keras semasa


rebah)
• Kerosakan otak disebabkan kejadian sawan yang kerap atau berlarutan.
• Kematian, dalam sesetengah kes.

Pengurusan sendiri

• Memahami mengenai epilepsi yang anda hidapi. Ambil ubat seperti yang
diarahkan supaya ia dapat dikawal dan anda boleh menjalani kehidupan yang
normal. Ubat-ubatan tidak dapat menyembuhkan epilepsi tetapi ia membantu
menghilangkan sawan atau mengurangkan kekerapannya. Pengambilan ubat
mestilah diteruskan walaupun tiada serangan dalam tempoh beberapa tahun
kecuali jika doktor mengarahkan sebaliknya.
• Pakai topi keledar keselamatan apabila menunggang basikal, kuda dan lain-lain.
• Pakai gelang amaran perubatan.
• Apabila berenang pastikan anda tidak bersendirian.
• Elakkan faktor-faktor yang boleh mencetuskan epilepsi anda.
• Elakkan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan
kecederaan/membahayakan diri anda ataupun orang lain di sekeliling anda
(contohnya, mendaki gunung, memandu kereta atau mengendalikan mesin)
kecuali sawan anda dapat dikawal dengan baik dan doktor telah mengesahkan
bahawa anda mampu melakukannya.

Berbincang dengan doktor atau pegawai farmasi anda mengenai:

• Apa yang perlu dibuat jika ada dos ubat yang tertinggal/terlangkau.
• Pengambilan ubat-ubatan yang lain - sesetengah ubat boleh mengurangkan
kesan ubat epilepsi.
• Sebelum menukar jenama ubat yang digunakan
• Jika anda merancang untuk mengandung.

Apa yang boleh dilakukan oleh orang lain untuk anda?

• Menerima seseorang yang menghidap epilepsi sebagai seorang yang normal


dan memberikan sokongan positif untuk membantunya menjalani kehidupan
yang normal.
• Belajar rawatan pertolongan cemas supaya dapat membantu orang yang
diserang sawan.
• Pertolongan cemas untuk sawan yang teruk:
• Jangan panik
• Cuba pegang mangsa semasa dia rebah atau jatuh dan baringkan perlahan-
lahan untuk mengelakkan kecederaan pada kepalanya.
• Bersikap tenang. Mangsa sebenarnya tidak merasa sakit dan tidak akan
menggigit atau menelan lidahnya.
• Alihkan benda-benda yang keras dan tajam yang boleh mencederakannya.
• Selepas sawan reda, letakkan mangsa dalam kedudukan pemulihan dan
longgarkan pakaian yang ketat. Kedudukan ini akan menghalang mangsa
daripada tercekik akibat gigi palsu, lidah atau muntahnya sendiri.

Jangan...

• Hentikan pergerakan mangsa.


• Memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya.
• Memberi makanan atau minuman kepada mangsa sejurus selepas sawan.

Hubungi doktor jika..

Sawan berlarutan lebih daripada 10 minit atau serangan sawan berulang-ulang dan
mangsa langsung tidak sedarkan diri di antara serangan-serangan tersebut.
KERESAHAN

Keresahan merupakan salah satu bentuk gangguan mental yang paling biasa berlaku.
Keresahan dicirikan sebagai satu perasaan takut, ketakutan yang amat sangat atau
rungsing mengenai sesuatu perkara yang dianggap menjadi ancaman kepada
kesihatan fizikal atau mental seseorang, tidak kiralah sama ada perkara itu benar atau
khayalan. Ia merupakan satu tindak balas emosi dan fizikal yang subjektif. Ia timbul
apabila kita merasa amat takut bahawa kita mungkin tidak mampu untuk menangani
sesuatu yang akan berlaku atau takut bahawa seseorang atau sesuatu akan
menyebabkan kita hilang kawalan. Adalah normal bagi seseorang itu merasa resah
apabila mengalami tekanan. Ia akan mendorong anda untuk melakukan tugas/kerja
yang lebih mencabar dan menyediakan diri untuk berhadapan dengan situasi yang lebih
sukar. Walau bagaimanapun, adalah tidak normal apabila anda merasa amat resah
tanpa sebarang sebab yang munasabah atau rasa takut yang keterlaluan sehingga
mengganggu kehidupan harian anda. Keresahan berlebihan boleh mengurangkan
kemampuan anda untuk menangani sesuatu situasi dan ini akan menimbulkan gejala-
gejala somatik.

Apakah tanda-tanda anda mengalami keresahan?

• Denyutan nadi dan/atau kadar pernafasan yang cepat


• Menjangka sesuatu yang terburuk dalam mana-mana keadaan.
• Jantung yang berdebar-debar.
• Kemerosotan prestasi kerja.
• Berpeluh.
• Rasa 'kecut perut'.
• Loya dan cirit-birit.
• Badan yang menggigil atau menggeletar.
• Sesak nafas.
• Sukar hendak tidur.
• Rasa sakit yang tidak ketahui puncanya (seperti sakit kepala).
• Hilang keyakinan dan tidak mampu membuat keputusan.
• Tidak dapat menumpukan perhatian.
• Sering merasa tidak sabar, kecewa dan mudah meradang.
• Susah untuk menelan atau merasa seperti ada gumpalan di kerongkong.
• Kebas/rasa menyucuk pada tangan, kaki atau pada bahagian badan yang lain.

Apakah kesan-kesan yang mungkin timbul akibat keresahan yang berlarutan?

Mereka yang menderita keresahan yang teruk cenderung untuk menyisihkan diri
daripada masyarakat. Mereka akan mengasingkan diri dengan duduk di rumah untuk
mengelakkan bersemuka atau berjumpa dengan orang dan menghadapi situasi-situasi
yang boleh membuat mereka resah. Hampir keseluruhan masa yang ada dihabiskan
dengan merasa bimbang dan resah sehinggakan sedikit sahaja masa yang tinggal
untuk perkara-perkara lain. Adakalanya keresahan ini hadir dengan gejala-gejala yang
dinamik.

Pengurusan Sendiri

• Cari punca tekanan yang menyebabkan keresahan dan tanganinya secara


langsung. Kurangkan pendedahan diri anda kepada perkara-perkara yang boleh
menyebabkan anda murung.
• Libatkan diri anda dalam aktiviti-aktiviti mental/fizikal apabila ada sesuatu
perkara yang membimbangkan anda.
• Elakkan daripada bergantung kepada ubat-ubatan yang boleh mengubah mood
apabila sahaja anda menghadapi masalah. Semua ubat-ubatan ini tidak dapat
menyelesaikan masalah anda ataupun memberikan penyelesaian jangka
panjang. Walaupun tiada diet tertentu yang boleh diambil untuk menghindarnya,
cuba elakkan dari mengambil kafein, bahan-bahan perangsang yang lain, alkohol
dan nikotin.
• Anda mungkin memerlukan kaunseling daripada kaunselor terlatih atau ahli
terapi untuk menjalani terapi perlakuan kognitif.
• Bersenam secara tekal. Ikuti rutin senaman jasmani yang tetap dan seboleh-
bolehnya yang melibatkan senaman aerobik.
• Makan makanan yang menyihatkan dan mengikut jadual. Elakkan daripada
melangkau waktu makan.
• Jika anda cenderung mengalami masalah gula dalam darah yang rendah, makan
lebih kerap iaitu lima atau enam kali sehari dalam kuantiti yang kecil setiap kali.
Elakkan pengambilan makanan manis secara tetap, tetapi bawalah sumber gula
yang segera pada setiap masa (contoh: setin kecil jus oren) jika anda cenderung
mengalami reaksi gula darah yang rendah.
• Memberi pertolongan kepada yang memerlukan. Sikap yang positif akan
membantu anda mengatasi atau melupakan perasaan resah anda.
• Rancang jadual harian anda supaya melibatkan apa yang anda boleh kendalikan
sama ada dari segi fizikal mahupun mental.
• Berlatih untuk menghadapi peristiwa/situasi yang akan dilalui yang mana ia
pernah meresahkan anda sebelum ini atau dirasakan akan menyebabkan anda
resah. Beberapa kali sebelum ianya berlaku, bayangkan diri anda berada dalam
keadaan tenang dan terkawal semasa peristiwa berkenaan.
• Persiapkan diri anda untuk menghadapi gejala-gejala keresahan jika anda
merasakan anda mungkin akan alaminya.
• Latihan ketenangan diri - Latihan untuk merehatkan otot-otot dalam dan teknik
biomaklumbalas boleh digunakan untuk membantu pembelajaran dan
menenangkan diri anda.

Ubat-ubatan yang bagaimana perlu digunakan untuk mengubati keresahan?

Rawatan ubat-ubatan lebih berkesan apabila digabungkan dengan terapi psikologi.


Peluang untuk gangguan ini berulang semula dapat dikurangkan apabila rawatan
gabungan ini digunakan.
BENZODIAZEPINES

Contoh:
Diazepam
Alprazolam
Lorazepam dan lain-lain.

Kumpulan ubat-ubatan ini telah menggantikan barbiturat untuk merawat gangguan


keresahan. Ubat-ubatan ini digunakan untuk menghilangkan rasa gementar atau
ketegangan dan membantu mereka yang mengalami kesukaran untuk tidur.

Kesan-kesan sampingan yang lazim: pergerakan janggal atau tidak stabil; pening atau
rasa ringan kepala; mengantuk ; sebutan/perkataan menjadi tidak jelas.

Berjumpalah dengan doktor/pegawai farmasi jika anda mengalami kesan-kesan


sampingan yang berlarutan atau ia menyusah/menggusarkan anda.

PENYEKAT BETA

Contoh:
Propranolol
Atenolol

Penggunaan penyekat beta dapat mengurangkan gejala-gejala autonomik seperti


terketar-ketar, berpeluh dan sebagainya.

Kesan-kesan sampingan yang lazim: Kesan-kesan sampingan ini mestilah dipantau


dengan teliti pada pesakit-pesakit yang cenderung untuk mengalaminya.

Bertanya kepada doktor/pegawai farmasi mengenai risiko-risiko dan kesan-kesan


sampingannya.

ANTIDEPRESAN

Biasanya, keresahan yang berkait dengan kemurungan boleh dirawat dengan


antidepresan. Terdapat banyak ubat-ubatan yang boleh dipilih bermula daripada
Clomipramine sehinggalah ubat-ubatan yang baru ditemui seperti ubat-ubatan jenis
SSRI, contohnya: fluoxetine.

Jalani pemeriksaan dengan doktor untuk mengesan sebarang kesan sampingan.


PENING
Apakah yang dimaksudkan dengan pening?

Pening ialah satu keadaan di mana seseorang itu merasa seperti hendak pitam atau
tidak dapat mengawal keseimbangan badan apabila berdiri atau duduk. Ini mungkin
disebabkan oleh kekurangan pengaliran darah dan bekalan oksigen ke otak dan saraf
tunjang menyebabkan berlakunya penurunan tekanan darah secara tiba-tiba.

Perkataan-perkataan lain yang biasa digunakan untuk menerangkan pening ialah


perasaan gayat, ringan kepala dan hilang keseimbangan, dan terhuyung-hayang.
Walau bagaimanapun, gayat sebenarnya lebih merupakan perasaan seperti alam
sekeliling berputar-putar/berpusing-pusing.

Pening jarang menjadi penyebab kepada penyakit yang serius. Walau bagaimanapun,
terdapat beberapa gangguan serius yang boleh menyebabkan pening, biasanya
keadaan ini akan dialami bersama-sama dengan gejala-gejala lain. Gangguan-
gangguan yang serius ini termasuklah masalah jantung seperti penyakit injap atau
serangan jantung, strok dan tekanan darah rendah yang serius atau mengalami kejutan.

Mekanisma keseimbangan telinga dalam yang tidak berfungsi dengan baik juga boleh
menyebabkan pening. Memandangkan mekanisma keseimbangan juga membantu
mengawal pergerakan mata, pening jenis ini biasanya dikaitkan dengan rasa gayat.
Selalunya dalam keadaan begini, alam sekeliling kelihatan seperti berputar-putar.
Keadaan ini biasanya disebabkan oleh jangkitan virus pada telinga dalam.

Ringan kepala pula ialah satu keadaan di mana kita terasa seperti hendak pitam dan
selalunya berlaku semasa demam selsema atau flu. Ia biasanya tidak serius jika tidak
diiringi dengan gejala-gejala lain.

Pengsan/pitam secara tiba-tiba (pengsan/pitam vasovagal) lebih mudah berlaku apabila


seseorang itu berada dalam keadaan berdiri. Pengsan yang biasa selalunya didahului
dengan rasa lemah, terhuyung-hayang dan loya.

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan pening secara lazimnya?

Faktor-faktor yang biasanya menyebabkan pening ialah:

• Sakit yang teruk


• Hiperventilasi
• Sakit kepala
• Kecederaan
• Ketakutan
• Tekanan darah rendah
• Pengambilan darah
• Batuk teruk
• Meneran semasa membuang air besar atau kecil
• Berdiri terlampau cepat selepas berbaring atau duduk terutamanya bagi warga
tua
• Jangkitan virus pada telinga dalam
• Mabuk
• Tekanan pada sinus karotid di leher (mungkin disebabkan oleh kolar baju yang
terlalu ketat)
• Ubat-ubatan - terutamanya ubat penenang, ubat-ubat yang digunakan untuk
sakit jantung, antikonvulsan, aspirin, Phenytoin, Gentamicin, Streptomycin,
narkotik, sedatif dan kebanyakan ubat antihipertensi (anti darah tinggi).
• Jantung yang berdegup terlalu perlahan ( di bawah 30 kali/minit) atau terlalu
cepat (sekitar 200 kali/minit)
• Migrain yang klasik atau migrain biasa
• Pergantungan kepada ubat-ubatan/dadah dan penyalahgunaannya.
• Alahan kepada ubat-ubatan
• Pembedahan telinga tengah atau trauma
• Penembusan membran timpanik
• Penyakit telinga (otitis media, labirintitis, mastoiditis, choleastoma, neuronitis
vestibul)
• Gangguan penglihatan

Penjagaan sendiri

• Duduk beberapa minit dan tarik nafas panjang-panjang. Berdiri sekali lagi
perlahan-lahan.
• Duduk atau berdiri perlahan-lahan untuk mengelakkan perubahan pengaliran
darah ke kepala yang boleh menyebabkan pening.
• Elakkan kedudukan kepala atau perubahan kedudukan kepala yang boleh
menyebabkan rasa gayat.
• Elakkan baring menelentang jika anda terasa gayat. Jika anda meninggikan
sedikit belakang badan dan kepala anda dengan bersandar pada sesuatu, ia
mungkin dapat membantu melegakan rasa berputar-putar yang dialami.

Adakah saya perlu mendapatkan pertolongan daripada pegawai perubatan apabila


terasa pening?

Hubungi doktor jika:

• Rasa pening disertai dengan sakit dada, sakit kepala, kekeliruan, kehilangan
pendengaran, perubahan penglihatan, rasa lemah pada tangan atau kaki atau
kebas di mana-mana bahagian anggota badan.
• Merasa seperti hendak pitam atau anda langsung tidak sedarkan diri.
• Anda mengalami gayat yang teruk ( biasanya menyebabkan muntah-muntah)
atau disamping rasa gayat anda juga mengalami kehilangan pendengaran atau
sakit telinga yang ketara.
• Anda merasakan pening yang dialami merupakan kesan sampingan ubat yang
diambil.
• Pening yang dialami berlarutan lebih daripada tiga hingga lima hari dan
mengganggu aktiviti harian anda.
• Anda mengalami gayat yang teruk atau berpanjangan lebih daripada tiga hari,
belum pernah diperiksa oleh doktor atau keadaan kali ini berbeza daripada
sebelumnya.
• Anda mengalami ringan kepala yang berulang-ulang beberapa hari.
• Jika denyutan nadi anda kurang daripada 50 atau lebih daripada 130 kali seminit
semasa anda merasa ringan kepala.

Anda mungkin juga menyukai