Anda di halaman 1dari 6

UCAP UTAMA

KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS KAWASAN SERDANG


Assalamu’alaikum wrt wbh

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan
membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.
Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa
yang mereka telah usahakan.

[Surah al-A’raf : 96]


MUKADDIMAH

P
ertamanya dan selamanya, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana
dengan limpah dan kurnianya serta nikmat Islam dan Iman kita dikumpulkan sekali lagi di dalam
muktamar tahunan Dewan Muslimat Pas Kawasan Serdang kali ke-21. Saya mewakili exco Dewan
Muslimat Pas Kawasan Serdang mengucapkan selamat datang kepada seluruh tetamu, dif kehormat serta
para perwakilan dan para pemerhati mesyuarat agong. Semoga dengan kehadiran semua akan dapat
memeriahkan lagi dan melancarkan perjalanan mesyuarat agong kita serta berjaya merumuskan satu
natijah yang cemerlang untuk memacu pergerakan jemaah kita dengan lebih mantap pada sesi yang akan
datang.

Bagi pihak Dewan Muslimat PAS Kawasan saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada ketua-ketua
muslimat serta saff pimpinan muslimat cawangan yang baru dilantik. Semoga perlantikan puan-puan dapat
memberi nafas baru kepada muslimat cawangan menerusi idea-idea dan input yang baru serta gerak kerja
yang lebih bertenaga. Kepada mereka yang masih mengekalkan jawatan pada sesi 2011-2013 ini,
bersyukur dan bersabarlah di atas kuniaan itu. Semoga Allah memberikan kepada kita kekuatan dan
pertolonganNya dan kita dapat sama-sama melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebaik
mungkin dengan bantuan sahabat-sahabat kita yang lain. Insya Allah.

MUSLIMAT SAYAP KIRI PERJUANGAN

Firman Allah Taala yang berbunyi maksudnya :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya
yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka
mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi
rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[ At-Taubah : 71 ]

Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Berdasarkan dalil di atas, dapat kita lihat bagaimana Islam mengiktiraf dan mengangkat kedudukan wanita
sebagai pembantu dan penolong agama-Nya. Jika lembaran sejarah diselak dan dibuka, kita akan dapati
bagaimana para ummahatul mukminin menjadi pembantu dan tulang belakang kepada perjuangan
baginda s.a.w.

Selain menjadi orang kanan baginda, para isteri nabi juga memiliki sifat-sifat terpuji yang patut menjadi
ikutan setiap anggota Dewan Muslimat. Sebagai contoh ;

1. Saidatina Khadijah terkenal dengan pengorbanannya yang tinggi kepada perjuangan Islam yang
dipimpin oleh baginda Rasulullah s.a.w.

2. Saidatina Aisyah terkenal dengan kepintarannya memahami agama yang disampaikan oleh baginda
Rasulullah s.a.w. serta menjadi pakar rujuk kepada para sahabat.

3. Saidatina Zainab pula terkenal dengan sifat penyayang, pemurah dan budiman terutama kepada
orang-orang miskin sehingga dia mendapat nama julukan "Ummul Masaakin" (ibu orang-orang
miskin).

Malahan kesemua isteri-isteri Rasulullah s.a.w terkenal dengan sifat-sifat mulia, ketaatan dan ketaqwaan
kepada Allah s.wt dan Rasulullah s.a.w. Sifat-sifat mulia ini perlu menjadi contoh teladan kepada para
muslimat untuk menyediakan diri sebagai muslimah contoh kepada masyarakat wanita khususnya di
Malaysia.

DMPK pada sepanjang sesi ini telah berusaha untuk memenuhi tuntutan dalam ayat di atas di peringkat
cawangan dan kawasan serta terlibat secara langsung dalam siri pilihanraya kecil yang telah berlangsung.
Di sana mungkin terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbetulkan dan muslimat
terbuka kepada sebarang teguran dan cadangan membina yang dapat membantu kami memperbaiki
prestasi dan perkhidmatan yang diberikan.

Kami menghadapi banyak kekangan dan ujian sepanjang sesi ini khususnya dari aspek sumber tenaga
untuk melaksanakan program-program di peringakat kawasan dewan dan DUN. Perpindahan beberapa
exco ke tempat lain kerana kerjaya misalnya, menyebabkan gerak kerja agak tergendala kerana jawatan
yang perlu diisi oleh ahli yang lain. Saya bagi pihak exco memohon keampunan dari Allah serta meminta
maaf di atas segala kekurangan ini.

Saya menyeru kepada seluruh muslimat agar dapat menggembleng tenaga dengan azam dan semangat
yang lebih kuat lagi dalam segala usaha kita untuk mempertingkatkan usaha memperkuatkan diri dan
parti kita pada masa hadapan.

MENGGEMPUR USAHA, MENYUSUN JENTERA

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekelian,

Bahang Pilihan Raya Umum ke-13 kian terasa. Media massa sudah mula bermaharajalela. Saban hari di
televisyen kita disogokkan dengan propaganda Kerajaan dan penyelewengan maklumat berkaitan Pakatan
Rakyat dan tokoh-tokohnya. Character asassination terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah contoh
klasik perang saraf yang dijalankan oleh musuh politik kita untuk melemahkan dan memporak perandakan
pakatan.

Kemenangan hatrik Barisan Nasional dalam PRK Tenang, Kerdau dan Merlimau memberi keyakinan kepada
mereka bahawa mereka masih berkuasa dan bertaring. Daripada 16 kali pilihan raya kecil, kedudukannya
seri 8-8. Terdapat kawasan yang menyaksikan peralihan kerusi. PAS dapat merebut satu kerusi UMNO,
Parlimen Kuala Terengganu tetapi hilang Dun Galas, manakala DAP mencipta sejarah di Sibu dan MIC
berjaya merebut Hulu Selangor. Di Semenanjung, selepas BN meningkatkan undi di Bagan Pinang, parti
yang menerima tamparan hebat pada Mac 2008 itu terus melonjak. Selain berjaya merampas kerusi
KEADILAN di Hulu Selangor, UMNO menguasai semula Galas dan meningkatkan majoriti kemenangan di
Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Demikian perancangan Allah kepada hamba-hambanya. Diuji dengan kemenangan serta kekalahan untuk
melihat siapa di antara kita yang ikhlas berjuang di ketika senang mahupun susah di kala menang
mahupun kecundang.

Sebelum mengorak langkah dengan lebih jauh dalam menjalankan segala gerak kerja pilihan raya, saya
ingin mengajak kita bersama-sama membetulkan niat. Kita bukanlah parti yang meyertai pilihanraya
untuk merebut kuasa, harta atau kemegahan dunia tetapi kita adalah sebuah jemaah atau gerakan Islam
yang mengambil demokrasi sebagai salah satu jalan muwajahah silmiah untuk berhadapan dengan
kerajaan taghut UMNO dan Barisan Nasional.

Selain melipatgandakan usaha memohon pertolongan daripada Allah, kita sebagai ahli gerakan perlulah
meraikan sunnatullah dengan menggempur usaha menyusun strategi yang realistik dan tersusun dalam
usaha kita berjuang meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi sesuai dengan Islam sebagai agama
yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

Kita jangan pernah lupa untuk mengadakan muhasabah dan bedah siasat secara menyeluruh bagi
mengkaji kekalahan PAS terutama di kawasan orang Melayu di kampung tradisi. Segala kealpaan atau
kepincangan harus diakui bagi dirumuskan jalan keluar yang tepat dan berkesan. Program YB Masuk
Kampong yang dilaksanakan secara marathon oleh PAS Kawasan dan cawangan baru-baru ini adalah
salah satu cara untuk mengatasi masalah kelompangan sokongan pengundi Melayu terhadap PAS.

DMPK dengan kerjasama HALWA JPRD dan JPRU akan merancang untuk meneruskan program
seperti ini di cawangan-cawangan dengan memberi penekanan dan fokus serta meningkatkan
ziarah rumah ke rumah dalam usaha meyakinkan pegundi kepada perjuangan PAS.

Alhamdulillah, sejak kemenangan pilihanraya umum yang lalu juga, PAS telah berjaya mengekalkan
identitinya sebagai parti Islam yang berpegang dengan prinsip perjuangan. Dalam kegawatan ADUN
melompat parti, pemimpin pembangkang difitnah dengan segala fitnah yang jelek, PAS masih kekal
dengan identiti Islam dan perjuangan Islam. Hal ini menjadi asset serta senjata ampuh yang akan
meningkatkan kepercayaan rakyat kepada PAS.

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekelian,

Kita juga perlulah memastikan golongan circle of influence dari kalangan kita sudah berdaftar sebagai
pengundi sebaik sahaja mencukupi syarat. Kesedaran untuk menggalakkan orang di sekeliling kita
khususnya anak muda untuk mendaftar haruslah diberi perhatian. Kita perlulah bijak mengambil ruang dan
mengoptimakan segala peluang yang ada.

KEBATILAN YANG TERSUSUN AKAN MENGALAHKAN KEBENARAN YANG TIDAK TERSUSUN

Itulah wasiat yang diberikan oleh Saidina Ali karamallahu wajha ribuan tahun yang lalu. Aspek pengurusan
organisasi perlu dipertingkat dari semasa ke semasa. Walaupun usaha ini telah dilakukan, tetapi perlulah
diperkemaskan lagi.
Program-program perlu disusun dengan lebih intensif untuk mendekatkan masyarakat dengan perjuangan
PAS. Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada muslimat cawangan seperti di
cawangan Tun Perak, di cawangan seksyen 7 BBB, di cawangan Cheras Jaya, cawangan Desa Surada,
muslimat cawangan Council Home dan di cawangan-cawangan lain yang sangat aktif melaksanakan
program di tempat masing-masing.

Walaubagai manapun kita harus mencari kaedah yang sesuai dan berkesan bagaimana program-program
yang banyak dan pelbagai yang dianjurkan oleh tenaga muslimat di surau-surau, masjid dan di persatuan-
persatuan penduduk dapat diasosiasi dengan PAS amnya serta dengan Dewan Muslimat khususnya.
Sebagai parti politik, political mileage penting direbut bukan untuk bermegah-megah tetapi sebagai
wasilah meraih undi kerana kajian ILHAM Centre 2011 menunjukkan masih ramai pengundi yang tidak
tahu kewujudan Dewan Muslimat walaupun penggerak dewan berada diposisi dan kedudukan penting
dalam masyarakat.

Begitu juga, cawangan-cawangan yang masih belum memperkemaskan organisasi muslimat di peringkat
cawangan harus bersegera bertindak mengembeling tenaga sahabat-sahabat kita di akar umbi kerana di
cawangan-cawanganlah pengundi dan mad’u kita berada. Dewan muslimat kawasan akan meneruskan
kaedah gerakkerja sesi lepas dengan mengatur program-program dengan kerjasama muslimat
cawangan dalam usaha memperkasa dan mengaktifkan muslimat di cawangan-cawangan.

PENJANAAN KEMAHIRAN, MENUJU KECEMERLANGAN

Untuk memastikan keberkesanan Dewan Muslimat untuk melaksana dan memacu tugas-tugas dan
penglibatan dalam semua sektor dengan jayanya, ahli Dewan Muslimat harus dilengkapi dan ditingkat
pengupayaan menerusi pelbagai ilmu dan kemahiran.

Ahli Dewan Muslimat mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk membina potensi diri sebagai tenaga
penggerak yang bijak berorganisasi dengan sistematik dan terancang. Muslimat harus memiliki pemikiran
yang tajam, peka dan dapat memahami arus politik dan perkembangan semasa serta dapat menyampaikan
dan mempengaruhi orang lain dengan fikrah yang benar dan jelas.

Pembacaan buku-buku agama, buku haraki, buku sejarah, makalah ilmiah, ilmu kemasyarakatan dan
pengurusan di samping bacaan lain harus dibudayakan oleh semua muslimat kerana ia cara yang sangat
berkesan meluaskan pengetahuan dan mematangkan pemikiran. Untuk mencapai matlamat ini, saya
sarankan muslimat di peringkat cawangan mewujudkan koleksi buku-buku yang boleh dipinjam oleh ahli-
ahli di cawangan dan menganjurkan diskusi serta kupasan buku sebagai aktiviti dalam usrah-usrah
muslimat.

Gerakan penerangan dan dakwah juga mesti dimantapkan sebagai saluran penyampaian maklumat
berkesan kepada ahli dan juga masyarakat awam. Di samping berfungsi sebagai penyebar maklumat parti
ia juga harus berfungsi sebagai pemantap fikrah ahli di samping berupaya mengembangkan fikrah
Islamiyah agar fikrah ini menyemarak di kalangan anggota masyarakat.
Ilmu dan maklumat serta amal Islami yang digarap diharap dapat melahirkan masyarakat yang
berpengetahuan, produktif dan berakhlaq dalam semua bidang kehidupan berteraskan ketaqwaan kepada
Allah s.w.t.
Harapan kita akan lahirlah ahli muslimat serta ahli masyarakat yang memahami, menghayati dan
mengamalkan Islam dan seterusnya melahirkan masyarakat yang memperjuangkan Islam.

GENERASI BARAKAH BAKAL PENYUMBANG SAHAM AKHIRAT

Para hadirin dan hadirat yang saya kasihi,

Gerakan Islam hari ini mengharapkan lebih ramai pelapis dan kader-kader perjuangan Islam walaupun
pada hakikatnya, Allah tidak langsung memerlukan kita untuk menegakkan Islam di muka bumi dengan
kekuatan dan kehebatan yang ada pada-Nya. Kitalah sebenarnya yang berhajatkan pada Allah dan Islam
itu sendiri.

Dengan gejala sosial yang semakin menular, kes keruntuhan akhlak remaja yang semakin meruncing, saya
ingin mengajak para hadirin dan hadirat mengikat dan membawa masuk anak-anak ke dalam perjuangan
Islam.

Kita bukan menawarkan pakej tarbiyah untuk golongan tua dan veteran sahaja tetapi juga buat para anak
dan remaja yang sedang menginjak dewasa, mengenal dunia. Saya percaya dengan memastikan anak-anak
kita melazimi usrah dan program-program tarbiyah yang dianjurkan oleh kita, insya-Allah kita dapat
memastikan kesinambungan perjuangan Islam dalam keluarga dan generasi anak cucu kita.

Anak remaja sekarang perlu dibelai jiwa mereka dengan program yang diisi dengan ruh dan tarbiah
Islamiah bagi melawan agenda musuh-musuh Islam melalui hiburan melampau dan gejala hedonism yang
semakin menggila. Pendidikan generasi muda khususnya anak-anak dengan nilai-nilai Islam secara
menyeluruh dalam kehidupan serta penglibatan mereka dalam jamaah di sekolah, kampus dan di alam
pekerjaan menjadi tanggungjawab yang wajib bagi kita ibubapa yang berada dalam perjuangan.
Sebagaimana kita mewajibkan anak-anak kita mendirikan solat dan berpuasa serta melaksanakan perintah
Allah yang wajib lainnya, begitu juga wajib kita mengerah anak-anak menyertai jamaah. Ingatlah tangga
untuk menuju ke puncak khilafah Islamiah bermula daripada batu bata individu muslim dan baitul muslim.
Kita perlu yakin dan percaya, anak-anak yang mendapat asuhan dan tarbiah inilah yang akan mewarisi
perjuangan kita seterusnya menjadi saham akhirat yang akan mendoakan kita di alam kubur nanti. Ayuh
kita teruskan usaha menanam benih-benih kemenangan untuk Islam walaupun yang menikmatinya adalah
generasi selepas kita!!

ORANG MUDA GENG KITA

Dewan Muslimat amat mengharapkan supaya Nisa’ akan terus menjadi pintu masuk ‘opening gate’ kepada
anak-anak gadis, remaja dan generasi muda untuk rapat dan mendekati PAS. Nisa berperanan besar
mencapai ’the untapped market’ iaitu golongan yang belum mendapat dan menerima sinaran nur Islam.
Nisa’ harus terus mewujudkan imej ’mesra remaja’ dan pembela remaja yang teraniaya dan bermasalah.
Apabila pemudi-pemudi remaja yang belum mendapat tempias nur Islam menghadiri program-program
Nisa’, itulah saatnya tanda kejayaan Nisa’ mendekati masyarakat remaja. Setelah kita berjaya mendekati
dan mengenali mereka kita mesti mengikatkan komitmen mereka kepada PAS. Kita tidak seharusnya
menghabiskan perancangan program setakat sukan dan rekreasi sahaja tetapi menjadikan mereka
penggerak program menurut kebolehan dan minat mereka.

Para hadirin yang dikasihi sekelian,


Pada sesi yang lepas, DMPKS telah melancarkan program ‘Satu Keluarga Satu Tabung’ yang sepatutnya
berakhir pada bulan Oktober hujung tahun ini. Alhamdulillah ramai ahli kita menunjukkan komitmen yang
tinggi dan menyambut baik program tersebut.
DMPKS bercadang untuk melanjutkan program ini dan dilaksanakan secara berterusan supaya puan-puan
serta ahli keluarga yang lain dapat terus menginfakkan sedikit dari rezeki yang diperolehi kepada
perjuangan. Kami menyeru puan-puan yang belum menyertai program kami untuk segera merebut
‘perniagaan’ ini.

PENUTUP

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi,


Marilah kita sama-sama bergerak dan berjuang mencapai keredhaan Allah swt dengan semua yang Allah
kurniakan dan pinjamkan kepada kita samada dari harta kekayaan, anak pinak, masa, tenaga, pemikiran,
kesenangan dan keselesaan dunia.

Semoga kita termasuk dalam golongan yang memilih akhirat walaupun terpaksa mengorbakan kenikmatan
dunia. Sabda Nabi saw:

Sesiapa yang mencintai dunia, kecintaan itu memberi mudharat kepada kehidupan akhiratnya.
Sesiapa yang mencintai akhirat, kecintaan akhirat itu memberi mudharat kepada dunianya.

Sesiapa yang mengutamakan kehidupan dunia walaupun sedikit akan memberi mudharat kepada
kehidupan akhiratnya begitulah sebaliknya, sesiapa yang mengutamakan akhirat dia terpaksa
meninggalkan sebahagian dari kenikmatan dunia. Sesungguhnya kehidupan akhirat itulah yang kekal
abadi.

Selamat bermesyuarat agong.

Takbir! Takbir! Takbir!

Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah. Wasalamu’alaikum wrt.

Ukhtukum fil Islam,

Zuryati Binti Yasin


Ketua DMPKS 2009-2011

Anda mungkin juga menyukai