Anda di halaman 1dari 10

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

JXEA 1104

TAJUK : KUPASAN FALSAFAH DALAM


SULALATUS SALATIN

PENSYARAH : PROF. DR.AMRAN MUHAMAD


NAMA : MOHD HANIF BIN JUSOH
NO. MATRIK : JEA 080042

SEMESTER 1, SESI 2008/2009 AKADEMI PENGAJIAN


MELAYU, UNIVERSITI MALAYA
KUALA LUMPUR
Pengenalan Hikayat Sulalatus Salatin
Hikayat Sulalatus Salatin merupakan sebuah hikayat sastera sejarah yang mengisahkan

tentang salasilah keturunan raja-raja Melaka yang telah dikaitkan dengan asal usul

keturunan Iskandar Zulkarnain. Baginda merupakan seorang tokoh pahlawan yang

teragung dan terulung yang sukar ditandingi sama ada dari segi keberanian mahupun

kehandalan.Raja Iskandar Zulkarnain telah berjaya menakluki negeri Kida Hindi.

Sewaktu Baginda memerintah di negeri Kida Hindi, Baginda telah mengahwini Puteri

Syahrul Bariah yang kemudiannya telah melahirkan zuriat keturunan raja-raja Melaka.

Peristiwa yang berlaku di dalam Hikayat Sulalatus Salatin ini berkisarkan tentang

latar tempat yang luas dan tempoh waktu yang agak panjang. Latar tempat yang

diceritakan di dalam Hikayat Sulalatus Salatin ini tidak hanya berfokus di negeri Melaka

semata-mata malahan turut berlaku di tempat-tempat lain seperti Majapahit, Siam, China,

Keling dan sebagainya.

Manakala latar masa perkembangan cerita di dalam hikayat ini juga mengambil masa

yang lama iaitu melebihi seratus tahun. Ianya bermula dari awal zaman pembukaan

negeri Melaka sehinggalah negeri Melaka jatuh ke tangan Feringgi pada tahun 1511.

Pengkisahan yang berlaku adalah di sekitar raja-raja Melayu bertujuan untuk

menggambarkan kedudukan dan kebesaran raja-raja Melayu Melaka yang memerintah

dan keagungan yang diperintah oleh mereka.


Petikan sebahagiaan daripada teks.

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Sungguh tuanku seperti khabar orang itu;jikalau

tuanku berkehendakkan patik itu, patik sembahkan, lamun mahu duli tuanku berjanji

dahulu dengan patik. Maka titah baginda, “Apa janji paman hendak diperjanjikan dengan

hamba itu? Katakan oleh paman hamba dengar.”Maka sembah Demang Lebar Daun, “

Barang maklum duli tuanku Yang Maha Mulia, jikalau anak patik telah terambil ke

bawah duli,jikalau ia kena penyakit seperti patik-patik yang lain, telah maklum ke bawah

duli tuanku itu, jikalau ada ampun kurnia duli Yang Maha Mulia, janganlah tuanku

keluarkan dari bawah istana tuanku. Biarlah ia menjadi gembala dapur Yang Maha

Mulia, dan menyapu sampah di bawah peraduan duli tuanku. Seperkara lagi, perjanjian

patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia,segala hamba Melayu jikalau

ada dosanya ke bawah duli, patik mohonkan janganlah ia difadihatkan, dinista yang keji-

keji ,jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi.”

Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba

pun hendak minta janji juga pada paman.”Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji

yana mana itu, patik pohonkan titah Duli Yang Maha Mulia.”Maka titah Seri Teri Buana,

“Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salah sekalipun, atau zalim jahat

pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi,

jikalau mereka itu akan akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga,”
Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu

duli tuannku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku,”Maka titah

Seri Teri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu. Maka baginda pun

bersumpah-smpahlah dengan Demang Lebar Daun. Titah baginda, “Barang siapa hamba

Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke

bawah kaki ke atas,” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau raja Melayu itu

mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta

kerajaannya.” Itulah dianugerahkan Allah subhanahuwa taala pada segala raja-raja

Melayu, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba Melayu, jikalau sebagaimana

sekali pun besar dosanya, tiada diikat dan tiada digantung, difadihatkan dengan kata-kata

keji yang keji hingga sampai pada hukum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-

raja Melayu itu memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa.
Merujuk kepada petikan yang saya kaji di dalam Hikayat Sulalatus Salatin

tersebut, saya dapati di dalam petikan tersebut, terdapat falsafah mengenai wa’adat yang

dapat di rungkaikan. Menurut Kamus Dewan Dewan dan Pustaka edisi ketiga, wa’adat

dapat didefinasikan sebagai suatu perjanjian atau sumpah setia yang dimeterai dan

dipersetujui antara seorang individu dengan individu yang lain. Petikan tersebut telah

menunjukkan kepada kita tentang wa’adat yang telah dimeterai antara Seri Teri Buana

yang mewakili raja manakala Demang Lebar Daun pula mewakili golongan rakyat jelata.

Wa’adat yang dimeterai antara kedua belah pihak ini berlaku sebelum Seri Teri Buana

berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun iaitu Raden Ratna Cendera Puri. Wa’adat

yang dimeterai ini dilakukan disebabkan oleh Demang Lebar Daun bimbang anaknya

akan mengalami sejenis penyakit iaitu penyakit kedal sebagaimana yang telah dialami

oleh gadis-gadis yang pernah berkahwin dengan Seri Teri Buana yang akhirnya telah

dijatuhi hukuman mati oleh Baginda.

Antara intipati yang terkandung di dalam wa’adat atau perjanjian di antara

Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana adalah sekiranya Seri Teri Buana

mengahwini anak Demang Lebar Daun iaitu Raden Ratna Cendera Puri, dan baginda

mendapati Raden Ratna Cendera Puri mengalami masalah kecacatan, Baginda dilarang

sama sekali menganiayai atau menyakiti isterinya. Baginda dilarang menghalau atau

mengeluarkan isteri Baginda itu daripada istana, akan tetapi Baginda hendaklah

memelihara isteri Baginda tersebut dengan layanan yang baik sekalipun dijadikan sebagai

hamba di istana sebagai penyapu sampah ataupun penyapu sampah.


Selain daripada isi-isi perjanjian di atas yang terpaksa dipatuhi oleh Seri Teri

Buana, Demang Lebar Daun juga turut menuntut supaya Seri Teri Buana tidak

memfadilatkan, menista, mengeji,dan mengaibkan anak cucunya sekiranya anak cucunya

melakukan dosa atau kesalahan. Akan tetapi, sekiranya anak cucunya telah melakukan

kesalahan yang telah melanggari hukum syarak, raja atau sultan diberi kebenaran untuk

menjatuhkan hukuman bunuh terhadap mereka. Sekiranya hamba Melayu telah

menderhakai sultan atau raja dengan tidak mematuhi atau mengubah perjanjian yang

telah dimeterai tersebut, mereka akan ditimpa malapetaka ataupun kesusahan hidup

contohnya barang siapa yang melanggari perjanjian tersebut akan dibalikkan ALLAH

S.W.T bumbung rumahnya ke bawah dan tiangnya ke atas. Demikianlah perjanjian yang

dimeterai antara rakyat jelata yang diwakili oleh Demang Lebar Daun dan raja pula

diwakili oleh Seri Teri Buana yang jelas memperlihatkan kepada kita bahawa golongan

pemerintah seperti raja tidak boleh menzalimi golongan hamba sesuka hati.

Selain perjanjian yang terpaksa dipatuhi oleh golongan raja, rakyat juga turut

mempunyai perjanjian dengan pihak raja yang terpaksa mereka patuhi. Menurut isi

kandungan perjanjian tersebut, Seri Teri Buana yang merupakan raja pada ketika itu juga

turut menuntut supaya anak cucu Demang Lebar Daun tidak menderhakai atau

menitiskan darah seperti membunuh raja walaupun raja yang memerintah pada ketika itu

memiliki sikap yang jahat atau zalim pekertinya. Hal ini demikian kerana, ketaatan

rakyat jelata kepada pemerintah amat penting demi untuk mengekalkan kesejahteraan

serta keamanan di dalam sesebuah negeri atau negara. Sekiranya sikap ketaatan kepada

pemerintah tidak diterapkan di dalam diri rakyat jelata nescaya akan berlaku
ketidakstabilan sama ada dari segi politik,ekonomi mahupun sosial di dalam sesebuah

negeri.

Di samping tidak menderhakai golongan raja, perjanjian tersebut juga turut

menuntut agar golongan rakyat jelata mempertahankan raja dan negaranya daripada

serangan pihak musuh seandainya terdapat musuh yang datang cuba untuk memerangi

raja atau untuk menawan negara tersebut yang bertujuan untuk merampas takhta

kerajaan. Sekiranya terdapat kesan luka atau cedera sekalipun rakyat di dalam

pertempuran bagi mempertahankan negara daripada ancaman musuh, mereka sama

sekali ditegah daripada menyerah kalah dan mereka juga hendaklah melawan musuh

tersebut sehinggalah negeri itu jatuh ke tangan musuh barulah mereka boleh berundur

dalam jajahan takluknya.

Menurut wa’adat yang telah dimeterai antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri

Buana lagi, sekiranya terdapat raja Melayu yang bertindak mengubah atau melanggari

parjanjian ini kerajaannya akan binasa dan sekiranya raja bertindak mengubah perjanjian

ini rakyatnya juga akan mengubahnya. Hal ini telah menunjukkan kepada kita bahawa

perjanjian yang dimeterai antara kedua belah pihak ini adalah satu perjanjanjian yang adil

dan saksama. Perjanjian ini juga merupakan satu bentuk perjanjian yang tidak

menyebelahi golongan-golongan tertentu yang memiliki pengaruh yang besar dalam

sesebuah negara atau negeri seperti raja.Hal ini seterusnya dapat mengelak daripada

berlakunya penindasan di dalam sesebuah masyarakat.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, kajian falsafah mengenai wa’adat di dalam hikayat Sulalatus

Salatin ini amat penting kepada kita semua. Hal ini demikian kerana, melalui kajian ini

kita dapat mengetahui serba sedikit tentang perjanjian yang telah dimeterai antara Seri

Teri Buana yang mewakili golongan raja dengan Demang Lebar Daun yang mewakili

rakyat biasa. Perjanjian antara kedua belah pihak ini seterusnya telah melahirkan konsep

“Pemerintahan Beraja” di dalam institusi politik pada ketika itu dan ianya masih kekal

dan masih diamalkan sehingga kini. Selain daripada itu, pejanjian ini juga telah

mewujudkan garis pemisah yang jelas di antara raja dan rakyat disamping ianya

mensahihkan lagi kedudukan seseorang raja di dalam sesebuah masyarakat.

Di samping itu, wa’adat yang dimeterai antara kedua pihak tersebut itu juga telah

melahirkan konsep “Yang Di Pertuan untuk raja manakala gelaran “patik” sebagai

pengganti diri untuk rakyat biasa. Wa’adat ini turut melahirkan konsep “Daulah” dan

“Tulah” dan konsep “Setia” dan “Derhaka”di dalam masyarakat Melayu. Kesemua

elemen yang dinyatakan itu amat penting bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian

hubungan antara golongan raja dan rakyat yang di perintah. Perhububungan yang baik

serta erat yang terjalin tersebut seterusnya dapat mewujudkan sebuah negeri atau negara

yang aman dan harmoni tanpa berlaku perbalahan atau pertumpahan darah.
Seterusnya, wa’adat yang telah dimeterai ini juga turut mengangkat martabat raja

serta nengiktiraf kedudukan seseorang raja di dalam sesebuah kelompok masyarakat

mahupun negara. Di dalam susun lapis sesebuah masyarakat pula, raja menduduki

hirerki yang paling tinggi. Baginda dipandang mulia oleh rakyat jelata dengan anggapan

raja sebagai bayangan Tuhan di bumi dan Baginda difahamkan memiliki kuasa mutlak

yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada Baginda.


BIBLIOGRAFI

• AWANG SARIYAN. 2007 . (FALSAFAH DAN


LOGIKA MELAYU)SELANGOR.
SYNERGYMATE SDN.BHD.

• A. SAMAD AHMAD. 1979.(SULALATUS SALATIN)


KUALA LUMPUR. DEWAN BAHASA
PUSTAKA.

• SHEIKH OTHMAN B. SHEIKH SALIM. 2005 .


(KAMUS DEWAN EDISI KEEMPAT)
KUALA LUMPUR. DEWAN BAHASA
DAN PUSTAKA.

Anda mungkin juga menyukai