Anda di halaman 1dari 5

“ 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan ”

Putera kepada tokoh terbilang,

Lahir di Lipis, membesar di Pekan,

1 Malaysia formula dicanang,

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Setelah saya memperdengarkan pantun tersebut saya pasti, sudah ramai yang mengetahui
wajah tampan yang terselindung disebaliknya. Beliau adalah Perdana Menteri kita yang Ke-6,
Dato’ Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis,
Pahang, beliau kemudiannya tumbuh dan membesar di Pekan , Pahang. Pengalaman
menyaksikan perjuangan serta aliran politik negara ketika pemerintahan ayahanda tercinta,
Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, menjadikan beliau berinspirasi untuk berbakti kepada
masyarakat juga negara.

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pensyarah Bahasa Melayu
Kontekstual, Encik Dzulkarnain Bin Mat, Yang berusaha Ketua Unit Program Persediaan Ijazah
Sarjana Muda Pendidikan Seni Visual, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris (2) Semester 3, serta
para hadirin yang saya hormati. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada pagi yang mulia ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana
memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato yang cukup bermakna dan
penuh perisian. Insya-Allah. Tajuk pidato yang ingin saya sampaikan pada pagi ini ialah “ 1
Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan ”. Sebelum saya berbicara dengan lebih
lanjut tentang tajuk ini, rasanya elok benarlah saya merungkai mutiara makna atau definisi
tentang apa yang diertikan dengan konsep 1 Malaysia yang sebenarnya.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, konsep 1 Malaysia
adalah merujuk kepada cara kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia atau
One People. Tindakan-tindakan yang kita ambil perulah berdasarkan kehendak semua kumpulan
etnik dalam Negara kita. Meskipun begitu, dasar afirmatif yakni dasar untuk menolong kaum
Bumiputera tidaklah diketepikan namun sebaliknya dilaksanakan dengan cara adil dan saksama.
Pertimbangan yang diberi kepada golongan Bumiputera yang layak wajar mendapat sesuatu
pertimbangan daripada kerajaan. Kita akan keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik
yang kita amalkan sejak sekian lama.

Konsep 1 Malaysia menuntut pemimpin dan setiap warganegara untuk memainkan peranan
masing-masing disamping melibatkan nilai tambah dan pembaharuan. 1 Malaysia membawa
aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin
perpaduan yang lebih erat. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang
mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana
Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’‘1 Malaysia’ memerlukan
kepimpinan yang bijak menafsir dan memahami tugasan yang diberi serta dan rakyat yang
berintegriti tinggi. Sifat jujur, bercakap benar, telus, ikhlas, amanah dan berkebolehan amat
penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1 Malaysia turut menjadi
pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara
yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat.

Hadirin yang dimuliakan,

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1
Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam
bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan
lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. Konsep 1 Malaysia
berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia kerana di samping menjaga kepentingan semua
kaum, konsep ini juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. 1 Malaysia
tidak hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara
Malaysia seperti yang dibawa oleh Malaysian Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia adalah
dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama.
Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total.
Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang
berbeza.

Sebenarnya konsep 1 Malaysia tetap berkait dengan dasar-dasar kerajaan yang terdahulu. 1
Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua
konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu dan bukanlah suatu perkara baru.
Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha
yang telah lama diamalkan iaitu usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta
negara. Usaha ini sudah lama dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kemudiannya, usaha ini disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Meskipun setiap
Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk
rakyat dan juga negara.

Saudara dan saudari,

‘1 Malaysia’ akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian


berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun
Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Konsep yang bermatlamat untuk
mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi
kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita
untuk menghadapi sebarang cabaran. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan
tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan
Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Untuk menjayakan konsep ini, semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip
utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging). Nilai-nilai
murni yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1
Malaysia’ juga perlu diamalkan. Nilai-nilai murni ini dapat menyatu padukan rakyat Malaysia
dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Nilai-nilai
tersebut adalah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan,
meritokrasi, pendidikan serta integriti.

Hadirin yang budiman sekalian,

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian
yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana
budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja pula
memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan
kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala
rintangan dan dugaan. Disamping itu, rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk
dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan
sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri iatitu dikenali sebagai
Tawaduk’.

Konsep penerimaan dan toleransi pula adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada
ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif
menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa.
Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau
sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan
ketidakjujuran. Prinsip kesetiaan turut amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada
Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat
negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan
kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

Hadirin hadirat yang dirahmati,

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi
memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu
pembangunan negara. Pendidikan dan pengetahuan pula adalah prasyarat penting untuk mana-
mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat
yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Juga adalah penting
bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan
keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak
daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

Peranan yang dijayakan rakyat akan mendapat manfaat dari komitmen kerajaan mlelalui tema
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian dari konsep 1 Malaysia. Hal
ini bermaksud bahawa di samping menekankan peri-pentingnya perpaduan rakyat Malaysia,
kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat.
Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangan nya apabila
berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya
kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu
pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Hadirin yang saya hormati,

Tampaknya masa begitu cemburu dan berlalu pantas meninggalkan kita. Tidak dapatlah saya
berpidato dan mengulas dengan lebih panjang lebar lagi. Sebelum mengundurkan diri, saya ingin
menyeru kepada diri saya sendiri serta haridin hadirat sekalian agar yakin dengan konsep yang
dibawakan YAB Perdana Menteri. Sudah terang lagi bersuluh bahawa konsep “1 Malaysia :
Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” adalah satu pakej lengkap yang mampu menjamin
keharmonian dan pembangunan Malaysia yang mapan sekiranya kita semua, yakni rakyat
Malaysia memberikan kerjasama juga komitmen padu.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai