Anda di halaman 1dari 5

Penggunaan teknologi informasi dalam bidang pendidikan pada masa kini bukanlah

sesuatu yang baru. Malah perkembangan dan hala tuju amalan teknologi instruksional dan
teknologi pendidikan telah bermula di Amerika sejak awal tahun 1920. Dalam konteks
pendidikan, komputer dan teknologi maklumat dapat membantu dalam pelbagai urusan dan
berpotensi mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Di Malaysia penggunaan
teknologi informasi dalam pendidikan masih dalam peringkat permulaan namun penggunaannya
semakin pesat dan memberangsangkan. Perkembangan pesat dalam penggunaan teknologi
informasi dalam pendidikan merupakan satu jalan yang cerah untuk menjayakan pendidikan
bertaraf dunia. Selain daripada penggunaan komputer, internet merupakan saluran utama bagi
teknologi informasi.

Oleh itu, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melaksanakan proses pembestarian
sekolah melalui penggunaan ICT secara lebih meluas, penggunaan Teknologi Komunikasi dan
Informasi (Information Communication Technology - ICT) di dalam pendidikan telah giat
dilakukan. Hal ini termasuklah penilaian prestasi pelajar yang dilakukan secara on-line.

Kaedah penilaian adalah aspek yang penting bagi setiap kursus pembelajaran di sekolah
yang bertujuan untuk menilai perkembangan pelajar dan membantu pelajar untuk belajar dengan
berkesan. Tujuan-tujuan lain adalah seperti menguji keberkesanan pengajaran guru,
menggalakkan guru membuat refleksi mengenai pengajaran dan bahan pengajaran yang
digunakan, mempromosikan pemikiran pelajar secara kritis, kreativiti dan berekspresi semasa
menjawab soalan, menggalakkan pelajar bertanya soalan, dan memotivasikan pelajar untuk
belajar.

Terdapat banyak jenis cara atau kaedah yang dapat digunakan oleh guru untuk menilai
prestasi pelajar-pelajar mereka. Perkara ini termasuklah penilaian kuiz on-line yang biasanya
merupakan latihan ringkas dan pelajar hanya perlu menjawab soalan kuiz dengan cara memilih
opsyen yang betul atau mengisi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai. Kuiz on-line ini
boleh diperiksa oleh komputer. Jenis penilaian on-line yang berikutnya adalah soalan esei
(subjektif) yang berbentuk latihan yang lebih panjang dan digunakan untuk menguji pengetahuan
pelajar untuk menghasilkan jawapan jenis huraian. Jawapan esei biasanya tidak boleh diperiksa
oleh komputer. Penilaian yang seterusnya adalah penilaian yang melibatkan tingkah laku atau
perkembangan pelajar yang dilakukan melalui pemerhatian, forum, atau interaksi daripada

1
pelajar terhadap soalan yang dikemukakan. Contohnya seperti myGuru yang dilaksanakan oleh
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sememangnya, terdapat banyak kelebihan atau faedah yang diperolehi daripada penilaian
prestasi pelajar yang dilakukan secara on-line. Pertamanya, penilaian pelajar secara on-line dapat
menjimatkan masa. Cara penilaian sesuatu mata pelajaran boleh dicipta atau direka dengan
menggunakan software tertentu yang juga dapat diubah suai oleh guru dan digunakan semula
untuk penilaian seterusnya. Kaedah ini bukan sahaja mudah digunakan, di mana sahaja dan pada
bila-bila masa malah lebih kerja boleh dilaksanakan dalam jangka masa singkat melalui
penggunaan semula sumber elektronik, yakni guru mempunyai lebih masa untuk ditumpukan
terhadap pengajaran mereka.

Selain itu, penjimatan masa juga boleh dicapai apabila guru menggunakan sistem
penilaian yang membolehkan komputer untuk memeriksa kerja rumah atau ujian pelajar dan
seterusnya mengurangkan masa pemeriksaan oleh guru secara tradisional yang lebih memakan
masa yang lama. Ekoran daripada itu, pelajar dapat memperoleh markah penilaian mereka
dengan secepat mungkin untuk tujuan penilaian sendiri (self-assessment) terhadap mana-mana
subjek pada bila-bila masa, memeriksa gred dan markah serta pencapaian mereka.

Seterusnya, penilaian pelajar secara on-line juga mendatangkan kebaikan seperti


penyimpanan rekod penilaian pelajar yang boleh diakses pada bila-bila masa. Hal ini kerana
kerja rumah dan ujian yang dilakukan oleh pelajar adalah diperiksa secara elektronik dan data-
data yang diperolehi akan disimpan dalam sistem yang memudahkan guru, staf sekolah atau
pelajar untuk mengakses markah penilaian. Dari situ, pelajar bukan sahaja dapat mengetahui
sejauh mana prestasi mereka dalam sesuatu mata pelajaran tertentu supaya refleksi kendiri dapat
dilakukan, malah guru juga dapat membuat penilaian yang berkesan mengenai cara pengajaran
mereka di kelas.

Penilaian pelajar yang dilakukan secara on-line juga adalah berfaedah dalam
memperbaiki kualiti dan keberkesanan guru. Antaranya guru berpeluang untuk membina sumber
elektronik mereka sendiri di samping meningkatkan sumber pengetahuan mereka dalam bidang
ICT. Guru kini dapat menyatakan pendapat dan mempromosikan perkongsian pengetahuan
dengan guru-guru di negara lain. Keadaan ini dapat membantu guru untuk memperbaiki

2
keberkesanan pengajaran mereka secara keseluruhannya. Bagi guru yang tidak begitu mahir
dalam menghasilkan sendiri sistem penilaian secara on-line, capaian terhadap alatan penilaian
dan simpanan sumber pendidikan secara online dapat dilakukan. Contohnya pakej Pembelajaran
dan Penilaian Online Tutor.Com.My yang boleh didapati dengan hanya RM10 sebulan atau
RM120 setahun yang boleh diakses di mana-mana jua merupakan kaedah tuisyen secara atas
talian yang lengkap dengan latihan dan rujukan untuk pelajar. Latihan secara topikal yang dapat
membantu pelajar memahami apa yang diajar oleh guru dalam kelas serta ujian penilaian secara
online dapat memberi peluang kepada pelajar menguji tahap kefahaman dalam setiap subjek.
Begitu juga nota dan panduan jawapan yang disediakan memudahkan pelajar membuat rujukan
secara cepat.

Namun begitu, penilaian secara on-line ini masih mendatangkan beberapa masalah
kepada proses penentuan pencapaian pelajar. Reka bentuk dan cara penyampaian kuiz atau ujian
secara on-line masih tidak sempurna dan perlu dibaiki. Hal ini kerana masalah-masalah ini akan
mempengaruhi ketepatan proses penilaian gred dan tahap pembelajaran seseorang pelajar.

Masalah utama bagi penilaian on-line ini adalah pergantungan yang berlebihan terhadap
kuiz secara on-line dalam penggredan pelajar. Penekanan yang lebih kuat kepada penyampaian
kuiz secara on-line daripada penilaian secara tradisional menyebabkan pelajar lebih cendorong
menggunakan teknik menjawab soalan secara “point-and-click”. Walaupun cara menjawab
tersebut adalah mudah tetapi teknik ini mungkin menyebabkan pelajar menghadapi masalah
kekurangan latihan dan pengalaman untuk menjawab soalan yang lebih mendalam. Hal ini
kerana kebanyakan bentuk soalan tersebut adalah objektif dan kurang berbentuk subjektif.
Semasa menjawab soalan tersebut, pelajar hanya perlu memilih jawapan yang betul dan tidak
perlu menunjukkan cara kerja atau penerangan dalam kertas soalan. Tambahan pula, pelajar
kadang kala bertuah dapat meneka jawapan yang betul tanpa betul-betul tahu menjawab soalan
tersebut. Oleh itu, penilaian kefahaman pelajar tentang sesuatu topik tidak dapat dinilai dengan
tepat dan mereka akan menghadapi masalah semasa menjawab soalan peperiksaan akhir yang
lebih susah dan mendalam.

Selain itu, masalah yang keduanya adalah tahap kesukaran bagi setiap kuiz dalam internet
adalah sama dan berstandard sederhana. Tahap penilaian yang agak sama bagi kuiz-kuiz yang
berterusan tersebut menyebabkan sesetengah pelajar kurang mementingkan kuiz-kuiz tersebut.

3
Mereka berasa bahawa tahap pengujian kuiz tersebut adalah rendah dan tidak mencabar. Oleh
demikian, pelajar semakin tidak serius atau teliti semasa menjawab soalan kuiz dalam internet
tersebut. Masalah ini menyebabkan fungsi sistem penilaian diri pelajar terpengaruh dan semakin
merosot dalam pelajaran berkenaan.

Seterusnya, masalah yang ketiga adalah penilaian kuiz secara on-line hanya mendorong
pelajar menumpukan penghafalan dalam proses pembelajaran. Reka bentuk soalan kuiz dalam
internet lebih menumpukan kepada pengetahuan pelajar yang sedia ada dan yang telah dipelajari.
Akibatnya, penilaian tentang pemahaman pembelajaran yang lebih mendalam dan kebolehan
mengaplikasi pengetahuan sedia ada telah diabaikan. Pembentukan soalan kuiz ini menyebabkan
pelajar beranggapan bahawa pengingatan dan penghafalan adalah unsur yang lebih penting
dalam proses pembelajaran berbanding dengan pemahaman dan pengaplikasian pengetahuan.
Oleh itu, penilaian ini gagal menilai pemahaman pelajar tentang sesuatu topik dan kebolehan
mereka untuk mengaplikasikan pegetahuan yang telah dipelajari dalam penyelesaian masalah.

Kelemahan berikutnya adalah penghasilan keyakinan diri yang palsu bagi pelajar.
Kebanyakan soalan kuiz dalam internet diubah dengan standard yang rendah agar pelajar yang
lebih lemah dapat menjawab. Oleh kerana standard kuiz tersebut adalah rendah, maka pelajar
yang lebih cemerlang mudah dapat skor yang tinggi pada setiap kuiz. Hal ini menyebabkan
pelajar tersebut melahirkan keyakinan diri yang tinggi dan berlebihan. Mereka beranggapan
bahawa mereka sudah memahami dan menguasai subjek tersebut secukup-cukupnya dan tidak
perlu mencari bahan bacaan tambahan untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka terhadap
subjek tersebut. Oleh itu, pemahaman mereka terhadap subjek tersebut adalah terhad dan
kemajuan pembelajaran diri tidak dapat ditingkatkan.

Masalah yang terakhirnya adalah kelonggaran penjaminan kesulitan jawapan ujian dalam
internet. Masa dan tempat ujian tersebut adalah tidak ditentukan, tetapi tempoh sesi menjawab
soalan adalah ditetapkan. Calon yang mengambil ujian tersebut bebas membuat di mana-mana
tempat dan tidak diawasi oleh pengawas peperiksaan. Selain itu, kesulitan jawapan bagi setiap
calon adalah tidak terjamin dan mudah diperolehi oleh pihak ketiga melalui internet. Oleh kerana
keadaan ujian tersebut yang tidak diawasi dan pemerolehan jawapan calon yang mudah, maka
berlakunya masalah kecurangan ujian dan penyalinan jawapan calon lain. Masalah ini
menyebabkan sistem penilaian ini gagal berfungsi untuk menilai pencapaian seseorang pelajar.

4
Kesimpulannya, penilaian secara on-line ini memang menyebabkan beberapa masalah
kepada sistem penilaian pendidikan tetapi kelebihan atau kebaikannya tidak boleh diabaikan.
Kebanyakan masalah tersebut masih boleh diselesaikan atau diatasi dengan kerjasama antara
guru dan pelajar. Penilaian on-line ini tidak sepatutnya dianggap sebagai satu permainan,
manakalanya pelajar-pelajar perlu menyedari bahawa objektif penilaian ini adalah membantu
mereka dalam pembelajaran dan peningkatan diri. Selain itu, guru-guru juga perlu berusaha
terhadap pengubahan soalan kuiz atau ujian dalam internet tersebut. Pembentukan soalan
tersebut perlu dipastikan agar dapat dianalisis, bersesuaian dengan tahap pengetahuan pelajar
semasa, bersesuaian dengan kandungan topik yang ingin diuji dan kesulitan jawapan calon
adalah terjamin. Tambahan pula, standard atau tahap kesukaran soalan tersebut boleh
ditingkatkan dengan berturutan dari satu kuiz ke satu kuiz yang seterusnya. Oleh itu, kualiti
sistem penilaian ini dapat ditingkatkan dan dapat berfungsi untuk menilai dan meningkatkan
tahap pembelajaran pelajar.

Anda mungkin juga menyukai